23.5.07


Mengajukan soalan yang tepat

Semasa terlibat dalam dunia penyiaran, pelbagai jenis, watak dan perwatakan orang perseorangan yang ditemui. Itu adalah satu kelebihan bekerja dalam bidang ini. Kita berpeluang bertemu dengan orang biasa sehinggalah orang yang punya kuasa. Dari orang kecil sehinggalah orang besar-besar. Begitu juga dengan bahasa percakapan dari yang fasih berbahasa melayu dan ada langsung tidak tahu bahasa melayu. Jika pandai berbahasa Inggeris itu satu bonus tetapi terseksa jiwa jika orang yang kita jumpa itu langsung tidak tahu ke dua-dua bahasa itu. Itu lagi parah! Alamak, seperti itik dengan ayam bercakap atau pun guna bahasa isyarat yang entah apa-apa serta tonggang langgang.


Bila baru bertemu dengan seseorang itu sudah tentulah kita akan perkenalkan diri dahulu.

"Saya .....dari ......... " dengan wajah yang manis dan mesra. Bukan masam dan kelat. Bertanya khabar tetapi tidak ikhlas. Bahasa badan boleh mencerminkan sikap kita. Kalau berkomunikasi itu mata mesti dipandang dengan tepat supaya kita boleh lihat sikap dan tingkah laku seseorang yang kita temui itu. Dari situ, mungkin orang itu akan lebih mudah menerima diri kita untuk menjawab pertanyaan selanjutnya.


Apakah sikap kita terhadap orang yang sedang bercakap dengan kita tetapi tidak memandang muka kita. Sudah tentu terasa sakit hati. Seolah-olah bercakap dengan kita secara tidak bersungguh-sungguh. Asalkan bercakap tanpa memperdulikan orang yang diajak berbual. Itu adalah kesilapan besar dalam berkomunikasi.


Lepas itu, nyatakan terus tujuan perjumpaan itu (sekiranya ia dirancang terlebih dahulu dan menetapkan tarikh pertemuan itu). Jangan pula meleret-leret. Orang yang bekerja bertaraf professional, mereka amat mementing waktu dan perbualan yang penting sahaja. Ini kerana mereka banyak kerja yang perlu dilakukan. Sekiranya hendak beramah mesra dengan lebih lanjut, itu perlu dibuat pertemuan yang lain.


Teringat pada suatu masa itu, saya dan kawan ditugaskan melakukan tugasan bagi merakamkan beberapa segmen untuk siaran langsung yang akan diadakan di sebuah negeri yang mempunyai banyak daerah. Kami meninjau lokasi di serata negeri itu bersama krew yang lain. Akhirnya setelah tiga hari menetap di sebuah hotel di negeri itu yang ditaja penuh oleh kerajaan negeri, maka tibalah masa dan harinya bertemu dengan orang kuat negeri itu, iaitu menteri besar.


Hari dan masa sudah ditetapkan terlebih dahulu kerana beliau seorang yang sibuk. Maklumlah memerintah sebuah negeri, sabtu dan ahad adalah hari bekerja bagi orang-orang seperti itu. Tiba masanya kami pun sampai satu rombongan dengan van dan kereta. Saya, kawan serta krew naik van. Sementara, penerbit saya naik keretanya sendiri kerana hendak melihat hasil kerja kami dengan orang besar ini. Kebetulan, penerbit saya itu bercuti di negeri yang sama, oleh itu dia mengambil kesempatan untuk melihat kerja-kerja anak buahnya.


Saya amat suka dengan kehadiran penerbit itu kerana saya merasa bimbang dengan tingkah laku kawan sekerja saya itu. Dia ini macam 'tidak betul' dalam gerakkerjanya. Dan bukan saya sahaja yang merasakan begitu, penerbit saya juga begitu. Sepatutnya dalam melakukan kerja luar daerah ini, sepatutnya saya tidak terlibat. Ini kerana saya ada komitmen lain. Tapi atas permintaan penerbit yang mahu saya pergi bersama kawan setugas itu, maka saya pun reka secara kreatif segmen apa yang saya hendak lakukan. Tidak mahulah pergi semata-mata hendak menemankan kawan saya itu yang kurang diyakini tingkah lakunya. Mungkin sebab itu, penerbit saya itu pun datang sekali. Ini kerana, semasa menemuduga dengan menteri besar itu, bukan tanggungjawab saya. Kami ditugaskan berdasarkan segmen masing-masing. Segmen saya sudah siap, tinggal segmen kawan saya ini yang belum lagi selesai.


Oleh kerana itu, saya tidak peduli apakah soalan-soalan yang hendak diajukan oleh kawan saya itu. Kami pun sampailah ke kediaman rasmi menteri besar itu. Sebelum bertemu dengan tuan rumah (menteri besar lah) saya mencari en tan das dulu. Seharian berkeliaran di negeri itu, en. tan das belum lagi saya temui. Akhirnya saya bertemu juga yang terletak di luar rumah yang tersergam besar itu. Dikatakan tandas itu digunakan oleh orang ramai yang berkunjung ke rumah rasmi itu. Jadi, tiada peluang hendak menggunakan tandas yang berada di dalam rumah yang indah ala-ala tradisional itu.


Setelah melepaskan hasrat yang terpendam, saya pun pergilah ke tempat yang sudah ditetapkan sebagai lokasi temuduga. Agaknya, menteri itu memang tidak mahu kami masuk ke dalam rumahnya. Adakah sesi temuduga itu diadakan di luar rumah berhadapan dengan pintu masuk ke rumahnya. Kecil hati kami, dilayan ibarat peminta sedekah. Tidak mengapa, layanan istimewa kami sudah pun nikmati dengan menginap di hotel lima bintang dan juga makan yang enak-enak belaka, saya memujuk hati yang tersentuh.


Saya pun memandang dari jauh kerja-kerja kawan saya itu. Ini diikuti oleh penerbit yang turut memberikan pandangan mengenai soalan yang hendak diutarakan oleh kawan saya itu. Saya pun buat tidak tahu sambil mata ini memandang di sekeliling kawasan rumah itu.


Setelah mic di selitkan di celah baju menteri besar itu, kamera pun sudah bersedia. Perakam suara dan lampu sudah siap sedia, semuanya sudah on belaka! Saya pun sudah menadah telinga, soalan apakah yang hendak diajukan oleh kawan saya itu.


"Apo nak ditanyo? Tanyolah, den sedio menjawabnyo," kata menteri besar itu.


"Tan Sri, boleh saya tahu di manakah letaknya tan..das.." tanya kawan saya dengan selamba.


"Ado yeh, itu hah di belakang sano!" menteri besar itu pun jawab dengan selamba.


Saya terperanjat dengan soalan cepumas yang kawan lontarkan kepada menteri besar itu. Saya sudah tidak dapat menahan ketawa lalu menutup mulut sebelum suara ketawa yang terbahak-bahak keluar melulu. Krew kami sudah menggeleng kepala. Penerbit saya, lagi sudah merah padam mukanya menahan malu dengan sikap kawan saya yang dikatakan "kurang betul" tingkah lakunya.


Saya menggaru kepala yang tidak gatal. Akhirnya, penerbit menyuruh saya menyoal menteri besar mengenai perkembangan ekonomi negeri itu. Nasib baiklah saya sudah membuat sedikit kajian sebelum datang ke negeri itu. Bagi menutup keaiban yang dirasakan begitu besar kesilapan yang dilakukan oleh kawan saya itu.

5 comments:

Latiptalib said...

Kisah ini macam berlaku di negeri sembilan sebab ada loghat nogori.
hehe

blackpurple @ jowopinter said...

Di para-para yang terakhir itu baru saya dapat mencerna maksud sebalik cerita entri ini. he he he..

blackpurple @ jowopinter said...
This comment has been removed by the author.
Abang Long said...

Adakah "orang itu" ... terlalu betul atau "terlalu lurus" ? ... dalam pejabat saya pun ada, kadang - kadang "menyusahkan" walaupun rajin.

saridahamid said...

Pak Latip, betullah tekaan itu, eheheh jangan marah sebab negeri Pak Latip.

blackpurple, minta maaflah kalau tulisan saya ini panjang berjela sebabnya sudah terbiasa..apa-apapun terima kasihlah kerana akhirnya faham dan sudi bertandang ke sini.

abang long, entahlah hendak dikata lurus bendul, sudah biasa berurusan dengan orang penting, tapi itulah kesilapan yang kecil itu boleh mengaibkan satu kumpulan yang lain.