20.5.07

Rejab meninggalkan Muharam

Isnin lalu Rejab yang merupakan adik angkat dan kawan Muharam tidak masuk ke dalam rumahku seperti biasa untuk makan bersama Muharam. Hatiku menjadi resah, kerana selalunya Rejab pantang mendengar pintu kayu rumah ku di buka, pasti dia yang akan terjah dahulu dari Muharam.

Muharam pun masuk ke dalam rumah tanpa Rejab. Aku tidak ambil pusing ketika itu, mungkin si Rejab berjalan-jalan atau pun di ambil orang lain. Ini kerana, kesan dari makanan yang aku berikan selalu yang penuh dengan vitamin, sesuai untuk kucing makan, Si Rejab mempunyai bulu yang cantik dan gebu. Namun masuk hari Selasa, Rejab tidak juga datang.


Muharam sudah seperti orang putus kasih. Dia sudah tidak selera hendak makan seperti selalu. Ini kerana kebiasaannya dia makan berebut-rebut dengan adik angkatnya. Aku juga semakin gelisah dan gundah gulana kerana melihat Muharam termenung dan makin monyok. Lihat betapa seekor binatang juga mempunyai perasaan cumanya dia tidak tahu bercakap je. (Kalau Muharam tahu bercakap sudah tentu saya tanya mengapa dan apa yang terjadi kepada Rejab..teringat Nabi Sulaiman yang boleh bercakap dengan binatang.)

Akhirnya, aku mendengar berita yang sungguh sedih, Si Rejab mati dilanggar oleh kenderaan. Tidak tahulah sama ada motor, kereta atau lori. Berita itu aku sambut dengan rasa sedih dan memeluk Muharam yang sudah pasti tambah sedih.

Muharam tidak tentu arah, seleranya sudah tiada. Sudah dua hari dia tidak mahu makan. Kepalaku semakin pening dan hatiku semakin rungsing mengenangkan nasib Muharam yang kehilangan adik dan juga sahabat karib. Buktinya, lihatlah gambar-gambar yang sempat aku rakamkan begitu akrab dan mesranya mereka berdua. Itulah kasih sayang antara binatang. Apatah lagi kita manusia, jika kehilangan seseorang atau putus cinta, lagi teruk!

Aku memikirkan strategi supaya Muharam hendak makan. Aku bimbang, badannya yang berat hampir 4 kilo itu nanti turun mendadak. Aku tidak mahu dia kelihatan seperti tiada tuan. Akhirnya, aku bagi makan ayam goreng dan juga ikan lampan goreng. Amboi! Bukan main berselera ibarat dia tidak makan 10 hari. Tapi itu hanya sehari sahaja aku bagi makan seperti itu sebagai memujuk hatinya yang sedang rawan.

Kini Muharam banyak termenung kerana tiada kawan hendak bermain. Kucing-kucing lain yang berkeliaran mengikut Muharam tidak serasi untuk dijadikan kawan. Sukar mencari pengganti Rejab. Tetapi Muharam tetap menjalani aktiviti hariannya menjadi pemburu- memburu cicak, lipas, cicak kubing, anak biawak dan anak ular.

Muharam! Muharam! Aku doakan supaya hatimu tenteram dan bahagia semula!

2 comments:

kusyi said...

Setelah sedikit lega, baru pertama kali dapat menjengah, akhirnya sampai juga ke blog saridah kita.

tapi terus baca cerita sedih si muharam. sedih nya hik hik hik :(

kesiannya kat muharam....

saridahamid said...

Terima kasih Sdr Kusyi kerana sudi menjenguk terataq saya yang masih usang dan perlu diperbaiki. Maklumlah rumah segera, binaannya pun kelam kabut. (hehehe)

Muharam semakin pulih dari selera makan tetapi itulah dia banyak termenung kerana mencari teman bergumpal.