28.5.07

Ingin Berhenti Kerja

Sebulan yang lalu saya berkenalan seorang rakan yang sudah berumah tangga dan juga menjawat jawatan yang baik di salah sebuah sektor yang terkenal di negara ini. Dia menghadiri bengkel yang buat pertama kali bagi dirinya dan berkali-kali bagi diri saya. Di situlah mulanya perbincangan serius antara saya dengannya.


Pada mulanya dia sekadar mendengar celoteh saya dengan seorang kawan semasa makan. Apabila saya berbual dengan kawan saya (masing-masing sudah veteran, adalah ceritanya yang tidak pernah habis, dari satu cerita dari ke satu cerita. Tapi bukan mengumpat, perbualan lebih ke arah rumah tangga dan juga dunia penulisan.)


Seorang kawan yang baru saya kenali tadi mungkin tertarik dengan tutur bual kami yang bercelaru dan bercampur aduk antara rumah tangga dan penulisan, maka dia pun mengajukan beberapa soalan cepu mas kepada saya,


1. Bagaimanakah caranya menjadi penulis yang baik?


2. Bagaimana hendak memulakan menulis. Saya minat menulis tetapi tidak tahu hendak menulis apa dan apakah yang saya perlu lakukan.


3. Saya ingat hendak menulis sepenuh masa kerana saya sudah bosan bekerja di pejabat yang kerjanya tidak pernah habis.


Saya memikirkan jawapan yang padu untuk menyakinkannya. Namun begitu, jawapan yang saya beri secara rambang bermula dari waktu makan itu hinggalah berhari-hari melalui panggilan telefon darinya.


Tidak beberapa minggu selepas itu, kawan baru saya itu mengajukan jawapan yang membuatkan jantung saya berdebar-debar dan mungkin tekanan darah tinggi naik sedikit. Inilah jawapannya yang tidak sempat saya ajukan soalan,


4. Saya sudah buat keputusan dan saya berhenti kerja. Saya sudah mendapatkan kerja yang membolehkan saya bekerja dan sambil menulis.


Saya lagi sekali berasa bersalah kerana adakah dengan kata-kata saya itu mempengaruhi orang lain untuk membuat satu keputusan? Saya tidak mahu ia berulang kembali seperti sebelum ini yang membuat saya menyesali, menangisinya dan memikirkan kembali kesilapan selama seminggu dengan hati yang rawan, titisan air mata tanpa disedari mengalir, dan merajuk sendiri sehingga makan pun tidak selera.


Orang bertanya, saya menjawab berdasarkan pengalaman dan pandangan sipi-sipi hasil dari pengamatan dan pembacaan. Tapi, sekiranya mereka sudah membuat keputusan muktamad bagi diri mereka, adakah saya yang bersalah? Saya ingin kurangkan bercakap dan banyakkan buat kerja. Tetapi, apabila sudah bertemu dengan orang, saya ingin bercakap kerana hendak tahu apa yang mereka tahu. Kesudahannya mereka yang ingin tahu apa yang saya sudah tahu (hehehe gelak dalam hati).


Maafkanlah daku teman sekiranya kata-kata ku membuat kamu semua merasa serba salah dan mengambil satu keputusan yang membuat hati ku menjadi gundah gulana dan rawan. Apa pun, daku berdoa teman-teman dengan menjawat kerjaya baru semoga tabah menghadapi ujian, onak duri perjuangan dalam dunia yang serba baru. Anggaplah itu satu penerokaan pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana sekolah atau universiti. Berjuanglah selagi hayat di kandung badan!

1 comment:

Zamri Mohamad said...

Assalam alaikum Puan,

Saya tertartik dengan ayat ini;

4. Saya sudah buat keputusan dan saya berhenti kerja. Saya sudah mendapatkan kerja yang membolehkan saya bekerja dan sambil menulis.

Individu tersebut sudah pun mendapatkan pekerjaan. Sekurang-kurangnya beliau mempunyai sumber pendapatan. Jika beliau tidak bekerja dan terus menjadi penulis, mahu haru jadinya. :D

Selepas ini beliau kena rajin datang kursus...