25.5.07


Hari cuti sekolah dan hari pergi jalan-jalan


Baru-baru ini gaji kaki tangan awam dinaikkan. Amboi! Senyum memanjang dalam minggu ini. Masih lagi menjadi perbualan hangat. Terhangat minggu ini! Syukur! Itulah impian orang-orang yang bekerja dengan kerajaan. Tetapi bagaimana pula dengan orang yang bekerja dengan sektor swasta? Mengurut dada kerana barang pun semakin naik bukannya semakin turun.


Roti canai dikatakan sudah naik 10 sen. Memang benar, saya yang baru melepaskan rasa mengidam makan roti telur terkejut naik 10 sen. Itu orang jual roti canai bertaraf tiada bintang hanya jual di tepi jalan sahaja. Apa tah lagi kalau makan di restoran yang berbintang. Agaknya berpinar-pinar mata dan terketar-ketar tangan hendak mengeluarkan duit semasa hendak membayarnya.


Hujung minggu ini mungkin sudah ada yang merancang hendak melakukan aktiviti cukup bulan iaitu membeli dan membelah duit bagi mencari barang-barang yang diperlukan untuk stok sebulan di rumah. Ditambah lagi, dengan percutian sekolah bagi mereka yang ada anak sekolah dan sudah tentulah belanjanya lebih sedikit dari biasa.


Maka hubung kaitnya dengan isu di atas, inginlah saya perturunkan beberapa petua semasa membeli belah bagi panduan bersama. Sama-samalah kita memperjuangkan hak pengguna (hehehe terlebih semangat pula!). Antaranya petuanya adalah (itu pun kalau boleh diterima oleh saudara, tetapi ini adalah ikhlas dari saya untuk saudara).


1. Kita hendaklah merancang dan hadkan perbelanjaan. Kita sediakan senarai barang yang hendak dibeli dan pastikan kita patuh kepada senarai yang sudah dibuat.


2. Kita digalakkan menggunakan wang tunai bagi mengehadkan perbelanjaan


3. Usah mudah percaya kepada apa yang didengar atau dilihat.


4. Beli apabila memerlukannya.


5. Kita hendaklah memastikan mutu dan kegunaan barang yang dibeli tidak terjejas ataupun hampir terjejas. Ataupun barang dibeli sudah tamat tempohnya.


6. Rajinlah membuat bandingan harga dan kualiti dengan kedai-kedai yang lain sebelum membeli.


7. Ketahui hak-hak kita sebagai pengguna.


8. Digalakkan membawa bakul yang kecil, bukan troli! Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kecenderungan dan keinginan kita hendak berbelanja lebih.


9. Kita membeli barang dalam keadaan perut kenyang. Amalan ini dapat mengelakkan kita daripada tergesa-gesa dan membuat pilihan dengan lebih tenang.


10. Hendaklah kita rajin menyemak harga yang dipamerkan dengan harga yang tercatat pada resit dan jumlah barang yang dibeli.


11. Kita perlu membuat tuntutan apabila terdapat perbezaan sama ada dari segi harga, kualiti, keselamatan dan kesahihan barang yang dibeli.


12. Berjalan atau menggunakan pengangkutan awam adalah lebih membataskan hasrat dan kemampuan kita bagi membeli barangan yang tidak perlu.


p/s: Nantikan terbitannya yang dijangkakan pada bulan Julai.

3 comments:

blackpurple said...

Petua-petua itu seperti selalu kita baca tapi itulah juga yang kita selalu lupa :)

Agaknya budaya konsumerisme yang berorintasikan 'budaya belanja berhemah dan beringat-ingat' itu tak cukup kuat...Agaknyalah. :)

saridahamid said...

Kita sebagai manusia sering dan perlu diingatkan selalu. Namun begitulah, ilmu yang diterima tidak mudah untuk diamalkan. Tetapi sekurang-kurangnya kita tahu daripada tidak tahu langsung!

Bukan mudah untuk mengubah hati dan fikiran manusia hanya berdasarkan kempen, yang lebih penting setiap individu yang tahu kenalah amalkan dan galakkan orang lain juga mengamalkannya.

Sama-samalah kita berusaha ke arah itu. Dan elakkan slogan, "Biar papa asalkan bergaya!"

nor ash burn said...

satu lg petua yg sy kira blh diambilpakai ialah klu hendak membeli-belah lebih baik bawa suami bersama sebagai penasihat dan pencegah pembaziran. sbb org lelaki ni lebih berhati2 semasa berbelanja. tak seperti org perempuan yg semua benda dia nmpk dia nk beli.