2.5.07

Laporan tidak rasmi pesta buku (01.05.07)

Hari ini saya bertandang lagi ke PWTC bagi meneruskan perjuangan mempromosikan buku-buku saya. Kali ini saya datang seorang diri. Dalam pada itu, saya juga hendak mendengar ulasan buku oleh penulis Dr. Danial Zainal Abidin yang mempromosikan buku terbarunya dengan PTS. Di samping itu, bertemu dengan puterinya, Cik Fatimah Danial buat kali terakhir sebelum beliau berpindah pulang ke Pulau Pinang. Sempat juga berkenalan dengan ibu Cik Fatimah yang diperkenalkan oleh En. Faris.

Sebelum program itu bermula, saya menuju ke aras atas bagi menuju ke booth PTS. Orang ramai semakin membanjiri ruang legar dewan itu. Tidak berapa lama kemudian, orang semakin menyesak dalam dewan dan lebih sesak dari laporan saya pada 29/04/07. Laluan semakin sukar dan dalam pada itu kedengaran pengumuman, ibu bapa tertinggal anak. Ada yang tertinggal buku di kaunter kedai buku, dan bermacam pengumuman akibat dari kesesakan manusia yang tidak terkawal. Ini termasuklah seorang kakitangan PTS yang pitam akibat penangan orang ramai yang datang berkerumun di booth PTS.

Saya pun mengikut program Dr. Danial pada pukul 1 tengahari. Sungguh mengkagumkan, orang ramai mulai membanjiri tempat duduk yang disediakan dan juga ramai yang berdiri di sekeliling pentas utama. Ini termasuklah orang tua, orang muda, lelaki dan wanita, budak lelaki dan juga budak perempuan. Dan tidak ketinggalan kehadiran istimewa Pengerusi PTS, Puan Sifu, Ainon Mohd dan suami, Prof. Emiritus Abdullah Hassan.


Masa semakin berlalu dan saya juga tidak berputus asa setia menunggu walaupun tidak ada penulis wanita yang hadir. Termangu-mangu duduk seorang diri dan mulai merasa mengantuk. Tetapi nasib baik saya berkenalan dengan penulis baru dari PTS Professional yang mempromosikan buku kerjaya mengenai Pegawai Tadbir, En. Shaharuddin dan En Samsudin Kadir.

Dalam pada itu, muncullah Abang Long dengan anak-anaknya.
"Inilah penulis buku yang abang baca." katanya kepada anak lelakinya.
"Kenapa cerita itu pendek sahaja. Saya sudah habis membacanya."
Saya hanya tersenyum mendengar anak Abang Long berkata demikian.

Tidak lama kemudian, datanglah seorang penulis duduk di meja yang sama dan saya menegur, "Ini En. Razzi ar-Mansur, " beliau mengangguk dan saya pula memperkenalkan diri. Kami mula berbual dan hilang sikit rasa mengantukdan bosan.

Saya pun beralih tempat duduk dan masih keseorangan. Ketika itu orang masih belum ramai kerana mungkin makan tenghari ataupun solat. Tidak lama kemudian, orang semakin ramai tetapi tidaklah seramai tenghari tadi. Di kejauhan, saya lihat Puan Sifu datang (ingatkan beliau sudah balik). Saya mulai tersenyum, sudah ada orang yang boleh saya berbual dan bertanya khabar dengan Sifu. Kami berbual dan En. Samsuddin kemudiannya datang menggabungkan diri berbual dengan kami. Dalam masa berbual itu, mata saya tertumpu kepada seorang lelaki yang berkerusi roda di tolak oleh seorang lelaki muda. Dalam hati terdetik, "Seperti aku pernah lihat orang ini, tetapi di mana yeh!"

Tidak berapa lama kemudian, datang En. Fauzul datang berjumpa dengan Puan Sifu dan menyatakan ada orang hendak bertemu. Saya dan Puan Sifu pun menoleh. Saya hampir menjerit, tetapi masih kawal suara.

"Oh! Saudara Kassim Selamat!" kata saya dengan suara girang.

Saya lihat Puan Sifu turut gembira dan saya turut terharu dengan kesanggupan beliau bersusah payah semata-mata hendak menjenguk gerai PTS! Saya lihat Puan Sifu mulai mengalirkan air matanya dan saya yang ada di situ hampir juga menggabungkan diri dengan Puan Sifu mengalirkan air mata kegembiraan bercampur baur sayu. (tetapi tiba-tiba kakitangan PTS berkata, kak tolong sain buku, maka saya tidak sempatlah...)

Kami bergambar dan sayangnya gambar saya dengannya tidak menjadi (sebabnya bukan saya yang ambil!) tetapi gambar dengan Puan Sifu cantik. Itulah dia hikmah bersahabat dengan blogger...saya terharu dapat berjumpa dengan Sdr. KS dan sempat bertanya khabar dan bermesra dengan isterinya.

Sdr. KS atau Matahati, datang hendak beli buku saya dan Pn. Ez Rahmani. Tetapi Puan Sifu yang baik hati, belanja Sdr. KS.

Lepas itu saya tanya, "Hendak pergi ke gerai mana selepas ini?"

Sdr. KS menjawab, "Hendak balik."

Kedatangan beliau semata-mata hendak berkunjung ke gerai PTS. Sahabat sekalian, sekiranya sdr KS boleh datang, kenapa tidak anda?

No comments: