26.5.07


Pencarian cinta seorang gadis


Hati seorang bergelar gadis begitu sensitif, mudah tersentuh dan inginkan suasana romantis. Oleh itu, aku begitu teringin melakar cinta di dalam hati yang masih kosong. Namun begitu, hingga kini, bait-bait cinta belum menjelma. Mungkin belum sampai masanya cinta itu hadir dalam diri ini. Cinta tidak boleh direka atau dipaksa kehadirannya. Benarkah cinta sejati hadir dalam kepayahan?


Siapakah insan itu yang boleh membuat lakaran cintanya di dalam hatiku? Supaya hadirnya cinta itu memberi semangat pada diriku yang kadang kalanya lemah. Apakah benar cinta itu boleh merangsang jiwa yang sepi? Apakah cinta itu boleh menceriakan hidup?


Pencarian cinta masih jauh lagi. Usiaku masih terlalu muda hendak mengenali cinta seorang bernama lelaki. Adakah cinta itu perlu dicari atau cinta itu akan datang sendiri?. Aku sendiri tidak pasti kerana aku belum pernah merasakan getaran cinta seperti yang dikatakan oleh kawan-kawanku yang asyik di lamun cinta.


Mereka kata, cinta lelaki menceriakan hidup yang sepi. Tetapi cinta lelaki juga meracun jiwa suci menjadi lara. Ah! Lara? Kekecewaan itu yang membimbangkan hatiku yang kecil ini. Mampukah aku melalui saat-saat duka dalam cinta? Kerisauan melampau akan merugikan diri ku. Masih banyak lagi yang aku perlu belajar dalam hidup yang masih panjang perjalanannya.


Namun begitu, biarlah buat masa ini aku melakar cinta suci ini hanya dengan mengenali diri-Nya terlebih dahulu. Aku rasakan cintaku kepada Allah masih lagi jauh. Semakin aku dekat, semakin sukar rasanya aku menggapai-Nya.


Masih lagi dalam kealpaan atas sebab kerdilnya diri ku yang bernama insan. Seorang gadis yang kurang dalam pengalaman hidup bagi menghadapi cabaran dan halangan dalam dunia ini. Aku perlu mempelajari dan terus menghayati apakah yang perlu dibuat oleh seorang makhluk yang bergelar manusia kepada pencipta-Nya.


Peranan yang perlu dilakukan bagi membalas balik nikmat yang teramat besar dan tidak terhitung yang Allah berikan kepadaku. Hanya mampu ku lahirkan cintaku kepada-Nya dengan sedaya upayaku mengucap rasa syukur yang tidak terhingga. Melakukan segala suruhan dan menjauhkan diriku dari melakukan segala kesalahan yang mungkin mengundang kemarahan Allah.


Ya Allah, insan kerdil ini seorang yang lemah di sisi-Mu. Seorang yang begitu hina di pandangan-Mu. Aku sering melakukan kesilapan yang adakalanya tanpa ku sedari. Maafkanlah segala dosa-dosa itu yang aku sendiri tidak mampu menolaknya. Aku seorang yang lemah memerlukan bantuan dan kekuatan dari-Mu dalam menghadapi segala ujian yang diberikan kepadaku.


Dengarkanlah rintihan hamba yang serba kekurangan. Hati hamba merayu agar diberikan petunjuk ke jalan kebenaran. Pandukan hamba ke jalan kebenaran. Hati seorang gadis yang lemah perlu kekuatan bagi menangkis kerakusan manusia angkuh.

No comments: