19.5.07


Sesiapa boleh jadi popular


Dalam dunia hari ini yang semakin cepat berputar, masa semakin singkat, sehari dirasakan sejam, seminggu dirasakan bagai sehari, sebulan ibarat seminggu dan setahun disamakan dengan sebulan. Begitu pantas dan samalah juga dengan makhluk yang bernama manusia yang apabila hendakkan sesuatu itu buatlah sesuatu yang pelik tapi benar.


Hari ini sesiapa sahaja boleh membina nama di mata dunia tanpa menghiraukan latar belakang. Jika anda ingin popular dan glamer, buatlah sesuatu yang kelihatan sukar dan pelik serta mustahil dilakukan oleh manusia biasa. Hanya manusia luar biasa sahaja yang boleh melakukan panjat gunung(sudah macam biasa-sayapun pernah panjat gunung tapi Gunung Jerailah dan tidak layak masuk rekod dunia peringkat Malaysia pun!), pergi rentas kutub utara, terjun dari udara di atas glasier yang hendak retak, pergi ke bulan (itu sudah ramai melakukannya, orang tidak hairan).


Berbasikal seluruh Malaysia dan lebih hebat lagi ke seluruh dunia. Menaiki bot mewah mengeliling dunia (boleh dapat gelaran datuk!), berenang sungai kelang ke? (heheheh itu tempat lepas gian orang separuh rangka!), dan terbaru bermotosikal ke seluruh dunia. Senang sajakan! Cumanya yang perlu dilakukan cari penaja yang hebat-hebat atau gunalah nama emak bapa (jika mereka itu dari orang kenamaan).


Apa lagi yang belum dilakukan oleh orang yang boleh dijadikan satu panduan bagi yang tergila-gila hendak jadi popular. Baru terpikir, belum lagi orang lakukan iaitu bersampan mengeliling dunia (ala-ala do re mi, yang mencari tok guru silat...hehehhe), buat cekodok paling banyak, buat lempeng paling besar dan .......(mungkin saudara ada cadangan?)


Sungguh dikesalkan adalah duit yang ditaja oleh ahli-ahli korporat, orang kaya (pada nama aja), orang perseorangan dan sewaktu dengannya sanggup pula memberi sokongan dengan huluran wang ringgit. Bukan sekadar seringgit atau 100 ringgit tetapi beratus-ratus ribu ringgit. Semata-mata hendak menyokong usaha tingkatkan populariti seseorang itu. Kalau begitu, saya pun hendak. Tiba-tiba jadi orang glamer dan penting (tapi sebenarnya tidak terlintas dalam hati hendak jadi glamer, jadi orang biasa-biasa pun sudah bersyukur. Alhamdulillah!)


Tidakkah itu satu perkara yang membazir? Jika benarlah hendak mengangkat nama negara di mata dunia banyak cara lagi. Fikir-fikirkan dan renung-renungkan secara mendalam.

No comments: