29.12.09



Kulit Terbaru 10 Sahabat diJanjikan Syurga
Cetakan kedua buku ini berwajah baru. Dengan penambahan muka surat, rekaletak yang berbeza serta disisipkan penanda buku.Alhamdulillah! Cantik juga kulit yang baru itu.

18.12.09

Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah 1431Hijrah. Semoga tahun-tahun akan datang lebih bermakna pada diri kita. Hidup ini semakin singkat, kerana usia semakin bertambah. Apakah segala yang dituntut Allah telah kita laksanakan? Apakah amalan yang dilakukan telah diterima? Apakah azam telah dicapai?

Aku sebagai insan yang kerdil hanya termampu membuat setakat yang terdaya. Ingin menjadi insan yang solehah. Ingin menyampaikan ilmu yang sedikit ini melalui tulisan. Ingin melakukan kebaikan dengan banyak bersedekah, rendah diri, tidak sombong, tidak kedekut.

Semoga amalan yang sedikit ini diterima..itulah harapanku.. Dan banyak lagi harapan dan cita-cita tetapi biarlah ia menjadi rahsia diri ini.

Anda pula bagaimana?

11.12.09

Membina Peribadi Positif

Peribadi perlu dibentuk supaya cemerlang di dunia dan di akhirat. Muslimah hendaklah membina keperibadian sebelum menjalinkan hubungan dengan individu lain. Ini kerana individu lain itu juga menilai keperibadian kita sebelum menjalinkan hubungan baik dengan. Dalam Islam, tingkah laku dan keperibadian murni adalah dituntut untuk diamalkan sebagai satu amalan ibadah di sisi Allah.

1. Menjauhkan diri dari melakukan tingkah laku yang boleh merosakkan kesihatan, fizikal dan jiwa. Elakkan diri dari membuat sesuatu yang merosakkan diri sendiri.

2. Menjaga diri dengan menyemaikan sifat-sifat baik seperti menjauhkan diri dari menurutkan kehendak hawa nafsu yang boleh menjerumuskan diri ke lembah yang tidak baik. Kita juga perlu menjaga diri dari terjebak dengan kelakuan yang tidak sopan yang menjejaskan imej muslimah sejati. Mengawal diri dari dipengaruhi oleh sahabat yang tidak beradab tinggi.

3. Mempunyai tingkah laku yang sabar, tabah dan rendah diri.

4. Memelihara maruah diri dari melakukan tingkah laku yang dilarang oleh agama Islam.

5. Merasa malu hendak melakukan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai Islam.

6. Bersederhana dalam tutur kata dan juga berpakaian. Tidak berlebihan dalam kehidupan seharian.

7. Menjauhkan diri dari mengambil barang keperluan yang haram dan meragukan. Pastikan halal atau haram sesuatu barang itu.

8. Merasa cukup dengan rezeki yang diperoleh.

9. Menjaga kebersihan diri.

10.Bersikap jujur dan ikhlas dalam apa jua keadaan.

11. Menggunakan waktu lapang dengan mengerjakan amalan ibadah.

12. Memulakan setiap pekerjaan dengan ucapan bismillah.

13. Mendahulukan yang kanan bagi tingkah laku yang baik.

14. Menjaga lidah supaya tidak bercakap perkara yang tidak baik seperti suka mencarut,mengumpat, membawa mulut, menghina, dan sebagainya.

15. Rajin menuntut ilmu dan menjadi bijaksana.

16.Tidak asyik berangan-angan tetapi selalu ingat bekalan apakah apabila mati.

17. Rajin memelihara amal ibadah.

18. Hendaklah pemurah dan suka menderma demi kebaikan orang lain.

19. Mudah memaafkan orang lain.

20. Sering merenung diri (muhasabah) atau menghitung diri sendiri.

21.Sentiasa bekerja sungguh terhadap sesuatu pekerjaan.