29.12.09



Kulit Terbaru 10 Sahabat diJanjikan Syurga
Cetakan kedua buku ini berwajah baru. Dengan penambahan muka surat, rekaletak yang berbeza serta disisipkan penanda buku.Alhamdulillah! Cantik juga kulit yang baru itu.

18.12.09

Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah 1431Hijrah. Semoga tahun-tahun akan datang lebih bermakna pada diri kita. Hidup ini semakin singkat, kerana usia semakin bertambah. Apakah segala yang dituntut Allah telah kita laksanakan? Apakah amalan yang dilakukan telah diterima? Apakah azam telah dicapai?

Aku sebagai insan yang kerdil hanya termampu membuat setakat yang terdaya. Ingin menjadi insan yang solehah. Ingin menyampaikan ilmu yang sedikit ini melalui tulisan. Ingin melakukan kebaikan dengan banyak bersedekah, rendah diri, tidak sombong, tidak kedekut.

Semoga amalan yang sedikit ini diterima..itulah harapanku.. Dan banyak lagi harapan dan cita-cita tetapi biarlah ia menjadi rahsia diri ini.

Anda pula bagaimana?

11.12.09

Membina Peribadi Positif

Peribadi perlu dibentuk supaya cemerlang di dunia dan di akhirat. Muslimah hendaklah membina keperibadian sebelum menjalinkan hubungan dengan individu lain. Ini kerana individu lain itu juga menilai keperibadian kita sebelum menjalinkan hubungan baik dengan. Dalam Islam, tingkah laku dan keperibadian murni adalah dituntut untuk diamalkan sebagai satu amalan ibadah di sisi Allah.

1. Menjauhkan diri dari melakukan tingkah laku yang boleh merosakkan kesihatan, fizikal dan jiwa. Elakkan diri dari membuat sesuatu yang merosakkan diri sendiri.

2. Menjaga diri dengan menyemaikan sifat-sifat baik seperti menjauhkan diri dari menurutkan kehendak hawa nafsu yang boleh menjerumuskan diri ke lembah yang tidak baik. Kita juga perlu menjaga diri dari terjebak dengan kelakuan yang tidak sopan yang menjejaskan imej muslimah sejati. Mengawal diri dari dipengaruhi oleh sahabat yang tidak beradab tinggi.

3. Mempunyai tingkah laku yang sabar, tabah dan rendah diri.

4. Memelihara maruah diri dari melakukan tingkah laku yang dilarang oleh agama Islam.

5. Merasa malu hendak melakukan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai Islam.

6. Bersederhana dalam tutur kata dan juga berpakaian. Tidak berlebihan dalam kehidupan seharian.

7. Menjauhkan diri dari mengambil barang keperluan yang haram dan meragukan. Pastikan halal atau haram sesuatu barang itu.

8. Merasa cukup dengan rezeki yang diperoleh.

9. Menjaga kebersihan diri.

10.Bersikap jujur dan ikhlas dalam apa jua keadaan.

11. Menggunakan waktu lapang dengan mengerjakan amalan ibadah.

12. Memulakan setiap pekerjaan dengan ucapan bismillah.

13. Mendahulukan yang kanan bagi tingkah laku yang baik.

14. Menjaga lidah supaya tidak bercakap perkara yang tidak baik seperti suka mencarut,mengumpat, membawa mulut, menghina, dan sebagainya.

15. Rajin menuntut ilmu dan menjadi bijaksana.

16.Tidak asyik berangan-angan tetapi selalu ingat bekalan apakah apabila mati.

17. Rajin memelihara amal ibadah.

18. Hendaklah pemurah dan suka menderma demi kebaikan orang lain.

19. Mudah memaafkan orang lain.

20. Sering merenung diri (muhasabah) atau menghitung diri sendiri.

21.Sentiasa bekerja sungguh terhadap sesuatu pekerjaan.

10.11.09

Selamat Menunaikan Haji Kak Engku

Bulan November ini adalah bulan orang-orang Muslim pergi mengerjakan haji ke Mekah. Sungguh bertuah pada sesiapa yang mendapat seruan untuk menunaikan haji pada tahun ini. Aku pula entah bila agaknya. Belum ada rezeki ini tetapi niat untuk ke sana, memang sudah lama dipasang.

Baru-baru ini aku baru dapat berbual dengan rakan penulis, Puan Ainin Naufal. Antara cerita yang disampaikan kepada aku ialah bahawa rakan penulis yang sedang menunggu jawapan untuk mengerjakan haji tahun ini adalah Ezee Rahmani. Atau aku selalu memanggilnya dengan Kak Engku.

Hari ini aku tergerak hendak menelefon Kak Engku untuk bertanyakan khabar. Alhamdulillah aku dapat bercakap dengannya. Dan aku bersyukur kerana rupa-rupanya hari ini Selasa adalah tarikh Kak Engku akan meninggalkan rumahnya untuk pergi ke Kelana Jaya dan esok (Rabu) akan bertolak ke Mekah. Aku mengucap syukur kerana dapat berbual dengannya buat kali terakhir dia berada di Malaysia. Terharu rasanya, kerana dengan kesihatannya yang kurang memuaskan, akhirnya hajatnya hendak menunaikan haji termakbul.

Aku mendoakan semoga Kak Engku dan suaminya, Abang Rosli selamat pergi ke Mekah dan kembali ke tanahair dengan selamat. Semoga mendapat haji mabrur. Amin!!!

5.11.09




Selembut Bicara menjadi Oasis Hati






Alhamdulillah Selembut Bicara telah dilesenkan secara rasmi dan kini menjadi Oasis Hati, judulnya yang baru yang diterbitkan oleh Gramedia di Indonesia. Aku menerima 5 naskhah buku dari pihak Gramedia melalui PTS Islamika yang diterima dalam dua bulan yang lalu. Tajuknya agak berbeza berbanding dengan buku yang lagi satu. Tidak mengapalah, yang penting, isi kandungan itu dapat dibaca dengan baik oleh pembaca di sana. Kerana segala isinya telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia



Kepada pengunjung dari Indonesia, bolehlah mendapatkan buku itu di kedai-kedai buku di Indonesia. Selamat Membaca!

1.11.09

Kembali ber-blog

Sekian lama tiada cerita baru dalam blog peribadi, kini kembali ber-blog. Alhamdulillah! Itupun atas rasa prihatin dari suami yang kasihan melihat aku termangu kerana sudah lama tidak melayari internet. Banyak cerita yang hendak dicoretkan di sini, apakan daya, banyak halangan yang melanda. Tetapi, biasalah itu hanya ujian kecil, insan yang lain, lebih besar ujian yang dihadapi. Alhamdulillah, akhirnya dapat bersiaran..macam hendak keluar tv pula. Baiklah..insya-Allah aku akan menulis cerita-cerita yang tertangguh...

9.6.09


10 Sahabat Yang Dijanjikan Syurga sudah terbit di Indonesia

Minggu lalu, aku menerima kiriman pos laju dari PTS Islamika. Isi kandungannya adalah buku 31 kisah teladan, 10 Sahabat Yang Dijanjikan Syurga versi Indonesia. Alhamdulillah, akhirnya buku itu telah diterjemah ke dalam bahasa Indonesia. Aku menerima sebanyak enam buah buku itu. Kulitnya memang amat berbeza. Ala-ala rekabentuk zaman dahulu. Emm...tidak mengapa, janji buku itu sekarang ini sudah berada di toko-toko di Indonesia, terbitan syarikat penerbitan yang terbesar di sana, iaitu Gramedia. Semoga usahaku untuk menyebarkan ilmu akan berterusan, alhamdulillah dan insya-Allah. Kini, aku menunggu pula, buku “Selembut Bicara” yang juga akan diterbitkan oleh Gramedia juga.



Cuba lihat perbezaan kulit buku terbitan di Malaysia dan juga di Indonesia.

5.5.09

Novel Islami PTS dilancarkan

Aku adalah salah seorang penulis novel islami PTS yang dijemput untuk sama-sama memeriahkan majlis pelancaran novel islami terbitan PTS oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said. Pengerusi PTS, Puan Ainon Mohamad turut menyerikan majlis. Novel Islami dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (26 April) baru-baru ini.

Dalam majlis yang sederhana itu, diserikan lagi dengan kehadiran dua penulis novel islami dari Indonesia. Saudara Taufiqurrahman al-Azizy dan Tere Liye.

Dalam keriuhan orang ramai yang berpusu-pusu keluar dan masuk PTWC, dialog yang diadakan berjalan dengan baik. Moga-moga apa yang dibicarakan dalam difahami oleh para audien.

Antara penulis yang hadir, Maya Iris, Abdul Razak dan Salina Ibrahim yang bertindak sebagai moderator bicara penulis. Tidak lama kemudian, kelihatan Zaid Akhtar yang duduk di belakang aku.

Apabila majlis tamat, aku dan suami terus pulang ke rumah. Kerana aku sudah tidak betah duduk lebih lama dengan kesesakan orang ramai. Kepalaku mula pusing. Jadi aku tidak bertemu dengan editor PTS Litera untuk menyapa mereka.

Selang sehari kemudian, editor PTS, Cik Nor Hafizah menyapa aku di Yahoo Messenger. Dia menyatakan bahawa pada hari itu agak kelam kabut sehingga dia terlupa hendak menyerahkan buah tangan. Dia minta maaf atas kelemahan penganjur. Aku pun tidak kisah. Dan menurutnya, dia akan hantar melalui pos laju. Aku pun setuju.

Dan hari ini, aku terima buah tangan yang dimaksudkan itu. Sebuah beg kecil dan dua buah novel penulis yang terbabit iaitu Munajat Cinta dan Bidadari-bidadari Syurga. Terima kasih PTS Litera. Nanti aku akan membaca dua buah novel itu. Bilalah agaknya hendak menyulit novel itu kerana sekarang ini aku sedang menghabiskan novel Imam karya Sasterawan Abdullah Hussin untuk bacaan kali kedua. Kali pertama aku pernah membacanya 12 tahun yang lalu dan sudah lupa jalan ceritanya. Novel Imam boleh dikategorikan novel Islami yang perlu dibaca oleh peminat novel sastera.

22.4.09

Aku di Pesta Buku Antarabangsa KL








18 April 2009


Kini, baru aku dapat mencatatkan serba sedikit suasana Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 yang berlangsung PWTC selama 10 hari bermula dari 17 April hingga 26 April. Memandangkan aku diminta untuk mengisi sesi tandatangan buku dan siri kuiz pada 18 April yang lalu, aku pun mengambil keputusan untuk datang lebih awal.


Setibanya aku ke PWTC dengan menaiki LRT dari Bandar Tun Razak, dalam pukul 11 pagi aku sudah sampai. Aku mencari gerai PTS terlebih dahulu supaya memudahkan aku untuk mengunjunginya bila-bila masa. Setelah bertemu tempat yang dituju, aku lihat orang ramai berpusu-pusu dan saling tolak menolak di lorong yang sempit. Gerai PTS berhadapan dengan Dewan Kedah/Johor. Ruang yang disediakan untuk gerai-gerai di situ memanglah sempit.


Aku terpaksa berjalan mengikut arus orang ramai. Hendak berhenti jumpa dan berbual dengan editor memang tidak boleh. Sekadar melaporkan diri kepada editor Islamika, Cik Asyuura yang aku sudah berada di PWTC. Aku tidak singgah malah aku ikut bersesak dalam orang ramai dan aku hendak mencari pintu keluar kerana kepalaku sudah mula pusing. Akhirnya aku dapat meloloskan diri dari sesakan orang ramai.



Apa lagi, aku pun menuju ke ruang legas utama yang menempatkan pentas untuk pelbagai acara yang dirancang. Aku pun mencari kerusi kosong dan duduk termenung merenung orang ramai yang berpusu-pusu. Ada yang baru datang dari dua arah. Satu dari hadapan dan satu lagi dari belakang yang berdekatan dengan hotel. Ada yang turun dan naik tangga berjalan sendiri untuk ke tingkat yamg menempatkan gerai-gerai yang lain.


Lama juga aku duduk untuk menghilangkan rasa kepala yang pusing-pusing. Aku hantar sms kepada kawan yang katanya akan datang pada pagi itu. Rupanya dia tidak dapat datang pagi tetapi sebaliknya sebelah petang. Nampaknya aku kena berjalan seorang diri meninjau gerai demi gerai. Sementara acara dipentas masih belum bermula lagi. Bosannya kalau seorang diri tanpa teman berbual.


Akhirnya, aku melangkah dengan lemah untuk pergi ke gerai-gerai di bahagian tingkat atas. Aku tidak berniat hendak membeli buku kerana masa masih panjang. Hanya untuk meninjau apa yang terbaru di pasaran.


Setelah bosan, aku pergi sekali lagi ke gerai PTS. Masih tidak berubah. Aku pun masuk ke dalam dewan untuk melihat perlancaran buku Ain Maisarah. Tetapi malang, tiada tempat duduk. Dalam badan aku yang masih sengal-sengal belakang, aku tidak mampu untuk berdiri lama. Jadi aku ambil keputusan untuk keluar dewan. Terus menuju ke ruang legar yang menempatkan pentas utama. Tidak ingat acara apa yang sedang berlangsung ...Dalam termangu seorang diri, dapat sms dari adik yang dia akan hadir sekeluarga kalau tiada halangan kerana anaknya bersukan.

Tidak lama kemudian, dapat panggilan yang adikku sudah berada di PWTC. Emm! Ada juga teman. Kami berjumpa dan aku dapat melepaskan rindu dengan anak-anak buah yang sudah lama tidak berjumpa. Adikku hendak mengeluarkan wang dari mesin wang. Begitu juga aku. Dalam pada itu, aku berjumpa dengan Puan Kursyi Hirdan, penulis dari PTS One sebaik sahaja aku hendak ke mesin wang itu. Kami berbual sebentar beberapa perkara.

Setelah belanja anak buah dengan membelikan siri Young Aisyah, aku menunggu kawan penulis, Ainin Naufal yang datang seorang diri. Akhirnya kami bertemu. Aku mengajaknya untuk berkunjung ke gerai-gerai buku yang terletak di tingkat atas. Baru seronok, kerana sudah ada teman berbual. Tetapi, dalam masa yang singkat, tidak lama kemudian dapat panggilan dari editor yang meminta aku segera ke gerai PTS.


Tiba masanya, aku ke gerai PTS untuk sesi tandatangan buku 31 Kisah. Aku bersama dengan Saudara Mohd Allif Mohd Nor dan Saudara Reja (pelukis siri young aisyah). Boleh tahan ramainya yang hendak sertai kuiz yang dianjurkan oleh PTS Islamika. Sdri. Asyuura bertindak selaku pengacara.



19 April 2009

Hari ini juga aku tiba awal seperti semalam. Kali ini aku terus ke ruang legar. Aku hendak bertemu dengan kawan. Kali ini aku menanti kedatangan Ainin Naufal pada sebelah pagi. Dan tidak lama kemudian rupanya Ainin Naufal datang bertemankan Siti Hajar. Tidak lama kemudian aku berjumpa dengan kawan, Nora yang selalu aku panggil dengan nama itu.

Aku dan Siti berjalan bersama untuk meninjau gerai-gerai buku. Akhirnya aku memborong semua majalah Solusi terbitan Telaga Biru yang sukar untuk mendapatkannya di pasaran. Alhamdulilah dapat membeli dengan harga diskaun yang lumayan.

Setelah penat, kami menjamu selera di tepi sungai yang lesu. Badanku pun lesu dan tidak berapa selera hendak menjamu menu yang terhidang. Yang habis, adalah dua gelas air. Memang sungguh dahaga dengan cuaca yang panas terik.

Selepas itu dalam pukul 2.30, aku dan kawan yang lain memasuki Dewan Kedah untuk melihat Seminar Sai-Fai. Aku sebenarnya tidaklah berminat sangat dengan Sai-Fai. Tetapi ingin sekadar menambah ilmu. Dan ternanti-nanti juga bual bicara dari para panel. Emm..boleh tahan juga ahli panel membentangkan pandangan mereka. Malangnya aku tidak boleh mengikutinya sehingga habis kerana sesi tandatangan bagi Siri Young Aisyah bermula pada pukul 4.00 petang.

Seronok apabila bertemu dengan penggemar buku dari kanak-kanak. Mereka datang membeli bersama ibu bapa masing-masing. Boleh tahan juga mereka yang menyertai kuiz yang diadakan. Semuanya dapat menjawab dengan tepat setiap soalan yang dikemukakan oleh Sdri. Asyuura.

Tidak lama kemudian, muncul Puan Ezee Rahmani dengan suami. Terharu bertemu dengannya. Kerana sudah lama tidak berjumpa apatah lagi, katanya, dia datang petang itu untuk bertemu dengan aku. Oh! terima kasih Kak Engku! Kemudian, tiba Puan Ainon, Sifu PTS bertanya khabar dengan kami yang berada di meja penulis.




Sila ke blog Young Aisyah :
http://aisyahsofia-sah.blogspot.com/














15.4.09


Semua diijemput memeriahkan program di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009
Pesta buku kini kembali menjelma. Semacam hari raya pula. Tetapi inilah masanya semua penulis dan pencinta ilmu dan buku bertandang dan berkumpul untuk melihat,membelek dan terus membeli buku yang diminati.
Bagi para penulis yang karyanya terbit pada tahun ini sudah tentu tidak sabar hendak melihat reaksi pembeli dan pembaca buku yang pelbagai golongan. Ini termasuklah aku yang akan sama-sama memeriahkan booth PTS bagi mempromosikan buku terbaru. Aku bersama dengan penulis lain akan menceriakan hari yang ditetapkan.
Saudara-saudari yang membaca blog ini, dijemput hadir kerana ada hadiah misteri menanti anda. Berikut adalah jadual aku berada di booth PTS.
Selamat berpesta buku dan jumpa anda di sana!!


1) Program: Sesi Autograf Bersama Penulis 31 Kisah dan Kuiz


Penulis:Saridah Hamid & Mohd Alif Md Nor

Tarikh:18 April 2008 (Sabtu)

Masa: 5:00 hingga 6:00 petang

Tempat: Booth PTS (72-79), PWTC bersebelahan dewan Tun Hussien Onn

Anjuran: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Diskripsi: Sesi autograf bersama penulis buku 31 kisah. Kuiz juga turut diadakan.Soalan mudah dan senang dijawab. Pemenang akan menerima hadiah buku 31 kisah. Maklumat lanjut, sila hubungi Siti Asyuura Jalaluddin , 016-6612014. Penyertaan adalah percuma. Semua dijemput hadir.

2) Program: Bicara Buku Young Aisyah, Sesi Autograf dan sesi Melukis Bersama Penulis


Penulis:Saridah Hamid & Rezarly Musa

Tarikh:19 April 2008 (Ahad)

Masa: 4:00 hingga 5:00 petang

Tempat: Booth PTS (Booth PTS (72-79), PWTC bersebelahan dewan Tun Hussien Onn

Anjuran: PTS Islamika Sdn. Bhd.

Diskripsi: Penulis akan bercerita tentang buku bersiri Young Aisyah. Selain sesi autograf dan sesi melukis bersama ilustrator komik Young Aisyah. Kuiz juga turut diadakan. Soalan mudah dan senang dijawab.Pemenang akan menerima hadiah buku siri Young Aisyah. Maklumat lanjut, sila hubungi Siti Asyuura Jalaluddin , 016-6612014. Penyertaan adalah percuma. Semua dijemput hadir.


-- Siti Asyuura bt Jalaluddin Editor PTS Islamika

8.4.09

1.4.09





Surah-surah Rindu dalam Mata Pena di IKIM.FM




Semalam aku dijemput ke radio IKIM.FM untuk rakaman bagi program Mata Pena kendalian DJ Fairuz Hj Nordin. Program yang membicarakan mengenai novel dan kali ini aku berpeluang untuk membicarakan novel sulungku Surah-Surah Rindu.




Menurut DJ Fairuz, program Mata Pena adalah satu program baru. Baru sebulan diperkenalkan kepada pendengar. Program itu disiarkan setiap hari Isnin dari pukul 9.15 malam.




Pada mulanya, rakaman berjalan dengan lancar, tetapi apabila disemak semula, DJ Fairuz kata, "Alah kak, mesin tak rakam perbualan kita. Ada rosak sikit. Pada hal tadi, akak cakap dah cantik. Emm! Nampaknya kena buat rakaman lagi sekali."




Semput juga mendengarnya. Entah apa-apa yang aku telah cakap pada rakaman pertama. Tapi aku rasa itu yang terbaik. Ini sudah masuk kali kedua...alahai, bolehkah aku bercakap perkara yang sama. Entahlah, rasanya dialog aku bertukar..hehehe.. Bukannya aku ada sediakan skrip. Semuanya lahir secara spontan.




Alhamdulillah, akhirnya dapat juga aku habiskan rakaman. Bila dengar suara balik..alahai! Bagi yang sering mendengar radio IKIM.FM, jangan lupa pada Isnin, 6 April, pada pukul 9.15, minggu hadapan.




Cuak juga rasa!!

27.3.09






Siri Young Aisyah dilamar oleh Penerbit Gramedia, Jakarta untuk dilesen


Berita gembira ini aku terima dari editor PTS Islamika, Sdri. Asyura seawal pagi 1 Mac melalui pesanan ringkas. Pada mulanya aku bagaikan tidak percaya, kerana novel itu baharu sahaja berada di pasaran pada awal Februari lalu.

Aku pun membalas sms itu, meminta kepastian. Menurut Asyura, Sdra. Imran Azmi, editor PTS Islamika yang merupakan salah seorang yang hadir Pesta Buku Islami, Jakarta terus mengkhabarkan berita itu secara langsung dari Indonesia. Pihak Gramedia berminat hendak melesenkan siri Pindah Rumah dan juga sirinya yang lain sekiranya masih dijaga dari segi kualitinya.

Alhamdulillah, itu satu berita yang benar-benar membuatkan hatiku terharu. Tidaklah sampai ke situ jangkauan bahawa novel kanak-kanak Islami itu akan ke seberang. Kerana selama ini, sukar bagi genre novel untuk ke seberang laut. Ini satu berita yang membuatkan aku bersemangat untuk terus menulis genre seperti itu.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai berita itu sila layari
sini

25.3.09

Kasihan Penulis kita

Bulan lalu, ada satu jualan murah buku di Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama MPH Book Store. Aku telah dijemput untuk memeriahkan lagi satu program bual bicara bersama dengan penulis yang lain.

Meskipun ruang legar yang dijadikan sebagai pameran buku tidak luas tetapi tetap meriah. Sebaik sahaja aku habis dijamu selera tengahari itu, aku pun mengajak suami melihat beberapa gerai yang ada di sekitar kawasan luar PNM itu. Selain MPH, ada juga beberapa gerai dari penerbit lain seperti Dawama.

Seperti yang aku jangkakan, syarikat itu mesti ada menjual buku yang murah semurah RM1/-. Sebelum ini, sekiranya aku berkunjung di kedai buku DBP, maka buku-buku lama memang menjadi sasaran aku untuk membelinya.

Tetapi kali ini, buku yang dilelong begitu banyak judul yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Maka memandangkan aku datang bersama suami, maka aku tiada masalah untuk memborongnya. Kereta yang akan mengangkut buku itu, bukan seperti selalu aku yang usung buku naik lrt turun lrt.

Pilih punya pilih, termasuk suami aku juga berperanan memilih, bila mengiranya , semuanya berjumlah 33 buah buku. Wow! Hanya dengan harga RM33, mendapat 33 buah buku. Dan tajuk-tajuk yang dipilih, hebat-hebat belaka.

Kasihan penulis-penulis terkenal di negara kita...bukunya terpaksa dilelong, itu kata sipenjual kerana kalau tidak berlonggok di dalam stor!

Berikut antara judul buku yang sempat ditaip:

1. Batas-batas Perhitungan ; Norhisham Mustapha
2. Denyut Nadi; Ali Jusoh
3. Lepaskan Kembali Aku ke Laut ; Shaari Isa
4. Nukilan Hati ;Solveigvon Schoultz Antologi cerpen Finland
5. Ketipung Bunga Jambu
6. Yang Indah Belum Menjelma Lagi ; Ayi Kwei Armal
7. Jalinan (Kumpulan Esei)
8. Sayembara-Esso-Gapena: Malaysian Short Stories
9. Tragedi Lubuk Mandi -Mohamad Jusoh
10. Syed Syeikh al Hadi: Sasterawan Progresif Melayu; Talib Samat
11. Dan Fikirkan Sejenak
12.Hikayat Purasara ; Khalid M Hussain
13. Untuk Siapa Genta Bergema ; Ernest Hemingway
14.Kabilah Adnan; Abu Hamid Jandal al Shalihar
15. Autobiografi Seorang Wartawan dari Kodiang Ke Jalan Riong; Tajuddin Saman
16. Riak dan Gelombang Sastera Melayu; Ramli Isin
17. Menangani Penulisan Kreatif Sastera Remaja; Talib Samat
18. Sastera: Pengalaman Ilmu Imaginasi dan kitarannya; Shahnon Ahmad
19. Kesusasteraan Bandingan seabgai Satu Displin
20 Pengenalan Kritikan Sastera ; M.K. Danziger/W/S Johnson
21. Organisasi Yang Membantu Dunia; Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ; Michael Pllard
22. Persediaan Menulis Esei Sastera ; Rahman Shaari
23. Istilah Psikologi
24.Aisyah Ghani Memoir Seorang Pejuang

19.3.09

18.3.09


Wajah Kulit Novel Young Aisyah Siri 3: Juara Kampung Badak Berendam
Novel ini bakal berada di pasaran pada penghujung bulan ini. Adik-adik yang mengikuti siri ini sila dapatkan di kedai yang berhampiran.

17.3.09




Young Aisyah Siri Ke 3




Akhirnya, aku dapat juga menyiapkan manuskrip ke 3 siri Young Aisyah dalam masa seminggu. Alhamdulillah. Tempoh yang sungguh mencabar. Diberi tugas saat terakhir. Sepatutnya aku tidak terlibat dalam siri ke 3 tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, editor meminta aku menulisnya.




Untuk membina mood menulis dalam masa yang terdesak amat payah. Tetapi aku menganggap itu sebagai satu cabaran. Kerana selama ini pun aku memang suka buat kerja di saat-saat terakhir.(Jangan ada yang mencontohi, satu teladan yang tidak baik). Tetapi itulah aku, sudah terbiasa sejak menjadi wartawan dahulu dan juga semasa sedang belajar. Namun alhamdulillah, kadang-kadang kerja di saat terdesak itu menghasilkan sesuatu yang baik. Dan aku mengharapkan hasilnya berkualiti.




Tidak sangka pula, tahun ini tiga siri Young Aisyah akan mewarnai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 nanti. Harap-harap para pembaca terutama adik-adik yang minat membaca dapat memberi sokongan yang baik. Hanya pada-Nya aku berserah!

15.3.09

Promosi novel Young Aisyah di MPH



Temui saya di MPH, Alpha Angle, Wangsa Maju, pada 22 Mac 2008 bermula dari 2.00 petang.

3.3.09



Siri 2 Inilah Dunia Aisyah Sofia: Buli

Siri 2 Aisyah Sofia akan berada di pasaran minggu hadapan. Adik-adik, kakak, ibu bapa, mak cik dan pak cik sila dapatkannya di kedai-kedai berhampiran. Selamat membaca!

24.2.09


Undangan Menjadi Panel dalam Bicara Penulis di PNM

Pada suatu petang, saya mendapat panggilan telefon dari Cik Siti Nor Fadilah, salah seorang staff pemasaran dari PTS. Bertanyakan kepada saya, bolehkah saya hadir dalam satu dialog anjuran Perpustakaan Negara Malaysia. Hati saya berdebar, adakah saya boleh hadir kerana saya mempunyai tanggungjawab yang lain. Saya meminta beberapa minit untuk memberi persetujuan. Akhirnya, Allah permudahkan, masalah yang saya hadapi dapat di atasi. Setelah memberi kata setuju, saya masih kabur program apakah yang meminta saya jadi panel. Apakah yang perlu diperkatakan?


Sebelum ini saya pernah diundang oleh Perpustakaan Awam Selangor membicarakan tentang buku kegemaran, tetapi kini tentang apa. Saya minta Cik Fadilah menghantar maklumat yang berkaitan dengan program yang bakal saya hadiri pada 28 Februari, iaitu pada hari Sabtu ini. Jumaat yang lalu, saya terima panggilan dari Cik Rozlinah dari PNM. Dia ingin memastikan kehadiran saya dan menyatakan akan mengirimkan segala maklumat pada hari Isnin.
Rupa-rupanya, saya salah seorang panel mewakili penulis Melayu. Sementara dua penulis yang lain mewakili bangsa India dan Cina. Program itu sempena jualan murah bersama MPH yang bermula dari 27 Februari hingga 1 Mac. Program yang dikenali sebagai Program Bicara Penulis:Eksporasi Minda Penulis. Antara yang panel lain ialah Saudara Unthaya Shankar SB dan Saudara Lee Yow Chuan.


Cik Rozlinah memaklumkan bahawa audien yang hadir adalah terdiri dari kakitangan PNM dan juga pelajar UiTM. Emm...rasa gementar pun ada. Inilah kali kedua menjadi panel. Harap-harap keluar idea hendak bercakap seperti mana keluarnya idea apabila menulis. Semoga Allah permudahkan urusan hambanya yang lemah ini.

9.2.09

Hari-hari yang lelah

Sudah lama tidak menulis di sini. Hanya alasan yang hendak diberi adalah kesibukan harian yang tidak mengizinkan. Perlu menyiapkan sesuatu di samping tanggungjawab yang bertambah. Hanya mampu melihatnya sejenak blog ini tanpa tidak berupaya untuk memasukkan cerita baru. Banyak ujian yang melanda diri ini, tapi hanya ujian kecil tidak seperti masyarakat Palestin yang menghadapi ujian sebenar perjuangan hidup.

Ah! Lemah sungguh diri ini. Aku hanya menerima secebis ujian yang aku sendiri tergugah dalam mengatasinya. Hati ini sebenarnya tersentuh dengan peristiwa Gaza...tetapi aku tidak mampu untuk mengungkapkannya dengan tulisan. Kerana aku tidak layak untuk mengulas apa-apa. Hanya doa dan airmata ini ada tertumpah apabila melihat insan-insan tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman manusia bertopengkan binatang....rasanya lebih teruk dari binatang mungkin berwajahkan syaitan...zionis laknatullah itu!

Dalam fikiran ini, banyak yang hendak dikongsi bersama. Tetapi entahlah....waktu semakin cemburu. Jika ada masa terluang, hanya diisikan dengan menulis untuk menyiapkan manuskrip yang tertangguh. Kini, hati rasa lega setelah manuskrip kedua untuk siri Young Aisyah, baru sahaja disiapkan. Itupun dengan nafas yang semput dan lelah. Namun alhamdulillah, dengan tenaga yang masih tersisa ini manuskrip itu dapat disiapkan juga meskipun sudah tersasar tarikh luputnya.

Kini, aku perlu perjuanganku melalui tulisan ini dengan berusaha sedaya upaya menyiapkan manuskrip Surah-surah Rindu 2 pula. Aduh! rasanya perit sekali. Ingin menyambung yang terputus suatu yang payah. Moga-moga Allah memberikan aku kekuatan dan semangat baru untuk aku terus berkarya.

Esok, jika diizinkn Allah, insya-Allah aku akan menghadiri suatu perjumpaan penting. Yang berkait dengan dunia penulisan juga. Harap-haraplah aku dapat memberikan sumbangan dalam perbincangan itu kerana sudah lama juga aku tidak berdiskusi dengan sesiapa. Terperam dalam dunia sendiri, otak pun ada kalanya terasa kosong. Moga ilham datang menjelma.

7.1.09




Young Aisyah: Pindah Rumah terbit 19 Januari 2009


Inilah karya sulung novel kanak-kanak yang akan menemui pembaca pada pertengahan Januari tahun ini. Inilah juga karya pembuka tirai 2009. Di harap mendapat reaksi yang baik dari pembaca terutama awal remaja.


Novel ini adalah satu alternatif bagi para pembaca awal remaja yang dahagakan ilmu dan pengolahannya ceritanya lain dari yang lain. Lebih menitikberatkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan Aisyah Sofia sebagai gadis remaja yang ingin belajar dan terus belajar. Tapi dalam pada itu, sifat kenakalan sebagai seorang budak itu tetap ada dan itu adalah sesuatu yang fitrah. Malah jika diasuh dan dididik dengan baik, semua itu akan terarah kepada kebaikan atau positif.


Jangan lupa untuk membelinya bagi dihadiahkan kepada anak-anak, adik, anak saudara dan sesiapa sahaja yang berminat atau tidak berminat hendak membaca.


Apa komen anda dengan kulit buku itu?