7.12.10



Sambungan...

Berpada-padalah Layari Muka Buku

Saya tidak menjawab pertanyaan kawan-kawan dengan segera. Sengaja saya hirup jus oren yang enak. Saya lihat wajah kawan-kawan yang tidak sabar.

“Apa faedahnya kita berkenalan dengan orang yang kita belum pasti latar belakangnya. Kalau dibuatnya orang itu saja-saja hendak mainkan kita bagaimana? Awak hendak berkongsikah maklumat peribadi dengan orang yang awak tidak pasti.

Kita ini mesti jaga adab sebagai seorang wanita Islam atau muslimah. Apa tujuan kita bermuka buku? Suka-suka, hendak cari kawan, hendak hilang rasa sunyi, hendak menjejak kasih, menimba ilmu atau apa? Jangan asyik ber muka buku hingga lupakan tanggungjawab dan batas-batas Islam. Ingat, Allah sentiasa melihat apa yang kita buat dan jangan lupa malaikat kiri dan kanan yang sentiasa mencatat setiap saat.”


Masing-masing terlongo mendengar aku berceloteh sebaik sahaja aku menghabiskan minuman dan juga rojak yang tersisa di pinggan. Aku malas untuk bercakap lagi. Mereka mendesak lagi tapi aku buat tidak tahu. Aku rasa mereka sudah pandai berfikir.

Bagi yang sudah berkahwin..berpada-padalah bila menghadap muka buku. Macam-macam yang aku dengar. Bagi yang bujang bertemu jodoh di fb, tahniah aku ucapkan. Bagi yang gatal mencari pasangan walaupun sudah beristeri, ingatlah dosa dan pahala. Apatah lagi bagi yang kesunyian, tidak memperdulikan batas-batas Islam, redah sahaja melayan suami atau isteri orang lain. Bagi yang anak-anaknya yang sudah pandai bermuka buku, perhatikanlah..bimbang tersasar pula. Dalam apa tindakan kita hendaklah berpada-pada.

26.10.10

Demam Muka Buku..

Sudah lama aku membiarkan rumahku yang usang ini menjadi kosong dan sunyi dari cerita-cerita yang baru. Entahlah, ada angin 'm' bergema dalam diri ini. Itulah padahnya kalau penyakit 'm' ini sukar dihindar dari mindaku. Tapi aku terfikir, adakah orang hendak baca lagi dengan cerita yang dipaparkan di sini. Ah! Apa aku peduli, yang penting aku dapat luahkan apa yang terdapat dalam kotak fikiranku.

Seronoknya apabila bertemu dengan dua orang kawan yang sudah lama tidak berbual. Maklumlah masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk dengan kerjaya masing-masing. Kalau sekadar pesanan ringkas melalui telefon bimbit, bukan kegemaranku. aku yang tidak bekerjalah kenalah jimat cermat menggunakan kemudahan telefon bimbit. Jadi aku yang menjadi surirumah sepenuh masa menjadikan pertemuan itu sesuatu yang bermakna. Dan aku manfaatkan berjumpa mereka dengan bertanya khabar.

Salah seorang daripada mereka bertanya padaku, “Awak ada fb?”


Aku menjawab kerana ingin menduganya, “Fb itu apa? Sejenis sabun barukah? Awak terlibat dengan jualan langsungkah?”


Kawan yang lagi seorang ketawa kecil. Agaknya kelakar jawapan yang aku berikan. Aku tahu maksud fb kerana aku bukannya buta teknologi alam maya. Sengaja hendak menghidupkan perbualan kami yang agak kaku.


Kawanku membeliakkan matanya. Agaknya dia hairan dengan jawapan darikku. Akupun buat muka selamba sambil memasukkan makanan rojak kegemaranku ke mulut. Mereka yang belanja. Masa itu, para suami dibiarkan menjaga anak-anak dan kami, kaum wanita diizinkan beramah mesra. Alahai, alhamdulillah para suami memang baik hati dan memahami hati wanita.


“Awak ini buta it kah?” Kawanku bertanya lagi.


“It itu apa?” Aku menambahkan rasa kurang sabar di hati kawanku itu.


“Belajar tinggi-tinggi pun masih kabur pasal IT?” tanya kawanku seorang lagi yang sejak tadi mendiamkan diri. “IT itu singkatan internet,” katanya lagi.


Aku tergelak. “Ooo, internet ingatkan apa tadi. Sejenis kuihkah, biskutkah? Janganlah marah. Lain kali apabila bercakap itu dengan menggunakan bahasa yang penuh. Ini ringkas..macam manalah budak-budak sekarang hendak pandai bercakap, cakap pun separuh-separuh,” Aku mula membebel tanpa berhenti. Dua kawanku itu mula menggeleng kepala. “Makna fb itu apa? Awak tidak terangkan lagi?” tanyaku, sengaja hendak memanjang perbualan.


Dua kawanku itu menarik nafas panjang. Mungkin mereka mengata yang aku ini tidak pandai internet atau ketinggalan zaman dalam dunia tanpa sempadan ini.


“Alahai, takkan kau tidak tahu? Fb itukan maknanya, facebook,” kata kawanku yang memakai tudung coklat pekat.


“Oooo muka buku. Ingatkan apa tadi,” kataku selamba.


“Awak ada akaunnyakah?” tanya kawan yang bertudung pink gelap. Cantik orangnya, kalau pandang mukanya tidak jemu.


“Ada, sudah lama,” jawapku ringkas. Aku menghirup air jus oren. Orang belanja, aku pun pesan yang air yang mahal sikit.


Kedua kawan-kawanku memandang antara satu sama lain.


“Kami cari awak, tak pernah jumpa pun,”


“Tak ada gambar, mesti kau tak boleh cari.”


“Jadi awak adalah fb. Berapa ramai kawan awak sekarang?”


“Tak penting berapa ramai. Yang penting apa yang kita buat dengan fb itu? Awak berdua buat apa? Cari kenalan lelaki atau perempuan?”


“Kita ramai kawan.”


“Awak kenalkan semua kawan-kawan awak itu?”


“Ada yang kenal dan ada yang baru hendak kenal.”


“Awak bagaimana pula?”


“Saya terima kenalan yang saya kenal sahaja. Yang tidak kenal, kirim salam sahajalah.”


“Kenapa begitu?”

bersambung...
nota: gambar di atas tiada kaitan dengan artikel..saja-saja letak untuk cuci mata.

15.8.10

Salam Ramadan

Sudah sekian aku tidak mencatatkan dalam rumah yang usang ini. Masalah sukar untuk mengakses ruang maya membuatkan aku semakin malas hendak mencatatkan sebarang tulisan. Inipun setelah mendapat semangat baru mungkin berkat bulan Ramadan yang mulia ini. Salam Ramadan untuk semua pembaca blog yang masih sudi meninjau terataq ini yang sunyi dan sepi dari sebarang coretan.

Alhamdulillah, kita dipertemukan jua dengan bulan yang penuh berkat ini. Rasanya masa berjalan dengan begitu pantas. Dunia semakin pantas..dan tanda-tanda dunia akan berakhir sudah semakin dekat...Masa semakin suntuk..adakah aku boleh meraih segala kebaikan di bulan ini..moga-moga Allah permudahkan..Amin! Sama-samalah kita berlumba untuk mendapat ganjaran bagi bekalan di alam akhirat..




22.6.10

Berani berkata benar.

Sheikh Abdul Kadir Jailani seorang ilmuan dan juga kuat imannya adalah seorang yang rajin menuntut ilmu sejak dari kecil lagi. Dia merancang hendak menyambung pelajarannya ke bandar Baghdad. Pada suatu hari, Kadir bersiap-siap kerana hendak bertolak ke bandar Baghdad bagi melanjutkan pelajarannya. Apabila sudah bersiap, dia pun bertolak dari rumahnya dengan iringan doa dari ibunya. Ibunya juga membekalkannya sedikit wang sebanyak 40 keping wang emas sebagai perbelanjaannya pergi dan balik nanti.


“Ibu, saya pergi dahulu. Doakan saya berjaya.”

“Baiklah anakku. Ibu ingin berpesan kepada kamu.”

“Apakah dia, ibuku?”

“Ibu meminta kamu sentiasa bercakap benar dalam segala perkara.”

“Baiklah ibu.”

Kadir salam tangan ibunya dan kemudiannya keluar dari rumahnya.

Bandar Baghdad adalah sebuah tempat yang jauh dari rumahnya. Namun begitu dia berazam hendak ke sana demi menambah ilmu agamanya meskipun umurnya masih muda lagi. Dalam perjalanannya itu, dia bernasib baik kerana dapat menumpang sebuah rombongan pedagang yang membawa barang. Dia menumpang unta mereka. Oleh itu, Kadir terpaksa mengikut rombongan itu pergi ke sebuah tempat yang bernama Hamadan sebelum ke bandar Baghdad.
Dengan tidak diduga, apabila mereka sampai ke daerah itu, satu kumpulan orang jahat menahannya dan juga rombongan pedagang yang dia tumpang. Perompak itu menangkapnya dan menjadi kan Kadir sebagai tawanan mereka. Kadir dibawa pergi bersama dengan perompak -perompak itu.

Dalam perjalanan, salah seorang perompak bertanya kepada Kadir, “Apakah yang kamu bawa bersamamu wahai budak!”

Kadir memandang wajah perompak itu dan berkata dengan berani, “Saya hanya membawa 40 keping wang emas sahaja.”

Apabila mendengar jawapan daripadanya, perompak itu meninggalkan Kadir seorang diri kerana menyangkakan Kadir mempermain-mainkannya.

Tidak lama kemudiannya, datanglah seorang perompak lain bertanya kepada Kadir, “Wahai budak! Apakah yang kamu bawa dalam beg itu?”

Kadir memandang wajah perompak itu dan menjawab, “Saya membawa 40 keping wang emas.”

Sebaik sahaja perompak itu mendengar jawapan dari Kadir, perompak itu membawa Kadir berjumpa dengan ketua mereka. Ketua perompak itu pun menanyakan soalan yang sama kepada Kadir. Tetapi Kadir tetap memberi jawapan yang sama.

Apabila mendengar jawapan dari Kadir, ketua perompak itu hairan. Dia pun bertanya kepada Kadir, “Wahai budak! Mengapakah kamu berani berkata benar, yang kamu membawa wang ?”
Kadir memandang wajah ketua perompak itu sambil berkata, “Pak cik! Semenjak kecil lagi ibu saya mengajar supaya saya selalu bercakap benar. Sehingga saya hendak pergi menuntut ilmu ke Baghdad, dia tetap berpesan supaya saya jangan bercakap bohong.”

Kadir diam sebentar dan kemudiannya menyambung lagi, “Saya tidak sampai hati hendak membantah nasihat dan pesanan ibu saya itu. Apakah nilai 40 keping wang emas ini dengan nilai saya hendak menuntut ilmu, pak cik?”

Apabila mendengarnya, ketua perompak tiba-tiba menangis tersedu-sedu. Ketua perompak itu berkata kepada Kadir, “Alangkah mulianya akhlak kamu wahai budak. Sesungguhnya, beruntungnya ibu yang melahirkan kamu. Usia kamu masih muda tetapi sudah takut melakukan dosa. Tetapi pak cik ini, tanpa segan silu membuat kejahatan dan mengkhianati janji dan amanah Allah.”

Ketua perompak itu menangis lagi dan menyambung katanya, “Demi Allah! Mulai hari ini pak cik bersumpah hendak bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.”

Kemudiannya, ketua perompak itu mengarahkan orang-orangnya memulangkan kembali harta rampasan kepada rombong pedagang yang Kadir tumpang. Mereka meneruskan perjalanan ke bandar Baghdad dengan selamat.


19.4.10

Menjadi Ibu Bapa Soleh

Sebagai insan yang lemah, masih lagi banyak perkara yang tidak diketahui, maka perlulah banyak mengkaji. Dan untuk mengkaji sudah tentu perlu membaca. Belajar itu bukan tamat setelah tamat sekolah atau universiti, tetapi belajar itu perlu sepanjang hayat selagi nyawa dibadan.

Tetapi, ada sesetengah orang, setelah tamat peperiksaan penting, dan mendapat keputusan sama ada cemerlang atau sederhana, sudah mencukupi bagi mereka. Itu pandangan cetek. Budaya membaca dan menuntut ilmu tidak beraja di hati mereka. Yang lebih penting, ada pekerjaan, cukup makan, pakaian, ada harta..semua itu sudah mencukupi.

Sedangkan menuntut ilmu adalah sepanjang hayat. Tidak kiranya ilmu dunia apatah lagi ilmu bekalan akhirat. Untuk mengeluarkan belanja bagi memiliki beberapa buah buku pun berkira. Tidak menguntungkan, kata mereka. Apatah lagi hendak membeli majalah ilmiah yang mendidik.

Sejauh mana kita sebagai Islam sudah mendalami ilmu fardu ain yang pelbagai cabang itu? Apatah lagi ilmu fardu kifayah, yang juga pelbagai.

Begitu juga apabila sudah mendirikan rumahtangga. Bukan sekadar lulus ujian di kursus perkahwinan, tetapi juga perlu lulus dalam menjalani hidup berumahtangga.

Kita rasa gembira apabila dikurniakan anak. Ya, anak adalah warisan kita. Yang bakal mendoakan kita apabila berada di alam barzakh. Tetapi adalah kita menyedarinya bahawa jika kita sudah mempunyai zuriat, adakah kita akan membiarkan anak itu membesar dengan sendirinya?

Dari akal yang waras, sudah tentu tidak! Kita yang sudah dewasa ini pun diasuh dan dididik oleh ibu bapa kita. Begitu juga prosesnya yang berterusan, dan kini kita pula sebagai ibu dan bapa yang perlu mengasuh dan mendidik anak-anak kita, bukan orang lain. Tetapi, adakah kita sedar tentang tanggungjawab itu?

Sebelum ini kita sering mendengar kisah-kisah mengenai anak-anak yang derhaka. Tetapi pernahkah kita terfikir, bahawa ibu bapa hari ini juga ada yang derhaka kepada anak-anaknya?

Baru-baru ini, aku membeli sebuah majalah yang penuh dengan informasi ilmiah ilmu Islam. Sungguh berbaloi membelinya. Sarat dengan ilmu yang tidak termampu untuk insan biasa seperti aku ini menceduk dari kitab-kitab agama.

Tajuk depan majalah itu, Ibu Bapa Derhaka?

Memang benar, akhir zaman ini, ada ibu bapa derhaka selain anak-anak derhaka. Kita mendengar pelbagai cerita tentang bapa yang merogol anak, ibu bapa yang tidak memberikan perhatian dan kasih sayang apatah lagi didikan agama kepada anak-anak. Mereka mengharapkan sepenuhnya, sang nenek atau pembantu rumah menjaga anak-anak mereka apabila keluar bekerja. Kalau boleh sepenuh masa. Mereka tidak merasa malu atau rasa bersalah, apabila anak-anak membuat maksiat, astagfirullah! Itu yang menakutkan aku.

Lebih-lebih lagi dalam zaman moden yang canggih ini, mudah sahaja anak-anak terpengaruh dengan perkara negatif. Aku mohon jauhkanlah semua itu dari terkena tempias ke atas keluargaku.

Ibu Bapa Derhaka? Mengapakah jadi begitu?

Seorang ayah dari berjumpa dengan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau mengadu mengenai sifat derhaka anak lelakinya. Khalifah Umar memanggil sianak dan menasihatinya. Antara lain beliau menasihatkan, supaya sianak taat kepada ibubapanya dan tidak mengabaikan hak-hak ibubapanya.

Anak itupun menjawab, "Wahai Ketua Kerajaan Islam, bukankah seorang anak mempunya hak terhadap orang tuanya?"

"Sudah tentu."

"Apa hak itu, wahai Amirul Mukminin?"

"Seorang bapa wajib memilih ibu yang baik baginya, memberikan nama yang baik kepadanya serta mengajarkan kepadanya."

"Wahai Amirul Mukminin, bapaku tidak melakukan itu semua. Ibuku adalah seorang Majusi (penyembah api. Dia memberiku nama Ju'al (yang bererti kotoran kumbang) dan dia tidak mengajarkan kepadaku satu ayat daripada al-Quran."

Kemudian Khalifah Umar menoleh ke arah bapanya dan berkata,
"Kamu datang kepadaku untuk mengadu ketidaktaatan anakmu, padahal kamu terlebih dahulu gagal melaksanakan tugas-tugasmu kepadanya. Kamu telah melakukan kesalahan kepadanya sebelum ia melakukan kesalahan kepadamu."

Dalam majalah itu juga memberikan ciri-ciri ibu bapa Mukmin dan profesional:
  • lemah lembut dan tidak kasar
  • sabar
  • penyayang
  • mengambil yang paling ringan daripada dua perkara selama mana perkara itu tidak berdosa.
  • menjauhi sifat marah
  • bersikap sederhana dan seimbang
  • mempunyai kemahiran berkomunikasi
  • tahu mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya.

Imam al-Ghazali memberi pesanan,

"Anak-anak adalah amanah bagi kedua ibu bapanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung kepada apa sahaja yang mempengaruhinya. Jika dia dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, maka tumbuhlah menjadi anak yang baik. Dengan itu, kedua ibu bapanya akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Sedangkan apabila dibiasakan berbuat jahat dan dibiarkan begitu sahaja seperti membiarkan binatang ternak, maka dia akan sengsara dan binasa. Dosanya akan dipikul oleh ibu bapanya yang bertanggungjawab menguruskannya!"


18.3.10

Meriahkan Pesta Buku dengan Membudayakan Ilmu


Marilah beramai-ramai untuk memeriahkan lagi pesta buku yang hanya diadakan sekali dalam setahun peringat nasional. Meskipun ada juga usaha pesta buku diadakan disetiap negeri di Malaysia ini, namun tidak sehebat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan selama 10 hari tanpa henti. Pesta ini adalah tempat berkumpul para penerbit buku dan juga para penulis. Gerai-gerai yang ada mesti mempamirkan buku yang terbaru dan sudah tentu ada potongan harga yang menarik.


Dan alhamdulillah tahun ini, novel aku turut terpamer di gerai PTS nanti. Novel bersiri Young Aisyah yang sudah ada 7 siri akan turut memeriahkan booth PTS yang terletak di seberang sungai. Bagi memeriahkan lagi suasana pesta buku, bagi peminat siri Young Aisyah, akan diadakan kuiz serta sesi beramah mesra dengan penulis dan pelukis siri Young Aisyah. Oleh itu, aku akan berada di sana pada 20 Mac (Sabtu) dari jam 12.00 tenghari sehingga 2.00 petang.


Siri Young Aisyah yang terdiri dari, Pindah Rumah, Buli, Juara Kampung Badak Berendam, Sayang Cikgu, Ponteng Puasa, Cuti Sekolah dan Summer Camp menanti para peminatnya di gerai nanti.


Budayakan Ilmu


Membaca buku menambah ilmu. Itu tidak dapat dinafikan. Banyak membaca, menambah ilmu di dada. Hobi aku sejak zaman bujang lagi adalah suka membaca. Kadang-kadang, majalah lama milik keluarga berulang kali dibaca, kerana ketika itu tiada wang untuk membeli majalah atau buku sendiri. Jadi, apa sahaja bahan bacaan yang ada di hadapan mata, itulah menjadi santapan bacaanku. Tetapi, kini budak-budak zaman sekarang beruntung. Mereka punya kuasa wang kerana ibu bapa mereka punya wang yang banyak. Jadi tidak hairanlah mereka mudah membeli bahan bacaan. Ini terbukti apabila aku sendiri melihat mereka mengeluarkan duit untuk membeli buku di pesta buku yang lalu. Sungguh beruntung mereka. Dan aku berharap budaya ini akan berterusan. Sekurang-kurangnya penulis yang semakin bertambah ini tidak sia-sia penulisan mereka apabila ada sudi yang membeli dan membacanya.


Tanggungjawab penulis pula adalah berat. Bukan sekadar mengharapkan buku laku, tetapi ilmu yang hendak disampaikan kepada para pembaca hendaklah benar dan bermanfaat. Bukan sekadar hiburan picisan yang murahan tetapi ilmu ikhlas yang mendidik jiwa dan pekerti. Penulis beramanah untuk menyampaikan kebenaran ilmu kerana ia adalah bekalan amalan kita di akhirat nanti. Ini sekadar mengingatkan diri aku yang mana aku menulis bukan untuk mencipta nama di persada tetapi untuk menyampaikan ilmu yang sedikit kepada yang memerlukannya. Semoga Allah menerima amalanku ini, amin!

29.1.10

Alhamdulillah!

Aku berasa bersyukur kepada Allah yang masih menyayangi diri ini. Segala nikmat yang diberi olehNya masih lagi aku guna dan masih ada dalam diri ini. Alhamdulillah segala pujian hanya layak untukNya. Tiada yang mampu hendak membayar segala anugerah itu selain mengucapkan syukur, melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan perkara yang ditegah. Ya Allah, berilah daku kekuatan untuk meneruskan amalan kebaikan.

Meskipun aku diuji sedikit ujian kesihatan, namun itu tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang dalam penulisan. Alhamdulillah, itulah nikmatNya yang diberikan kepada diri ini. Semoga aku tabah menghadapinya..mungkin ujian yang kecil itu dapat menghapuskan dosa-dosa aku yang lalu, sekarang dan akan aku lakukan. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha pengampun.

Oleh itu, aku perlu sedar akan segala yang bakal aku tulis adalah suatu penyampaian ilmu secara tidak langsung kepada para pembaca. Jadi aku perlu menulis yang baik dan memberi contoh yang baik agar tiada yang terpesong atau tersesat dalam men ilmuku yang sedikit ini.

Sebagai penulis, aku bertanggungjawab atas apa yang aku tulis. Jika aku tulis perkara yang baik, pahala menyebelahi aku..itulah ganjaran, amalan dan bekalan aku di akhirat nanti. Tapi sebaliknya, jika aku menulis perkara yang negatif dan menjadi ikutan para pembaca, sudah tentu aku perlu dipertanggungjawabkan..dan yang pasti apa yang aku akan jawap bila berhadapan dengan Allah di akhirat nanti. Minta dijauhkanlah! Aku berdosa semoga niatku yang menulis kerana Allah tidak tersasar.

....bersambung (penat pula rasanya jari-jari ini...heheheh)






13.1.10

Jauhkah diri dari tingkah laku yang tidak baik.


  • pemalas

  • penakut

  • hendak bunuh diri

  • putus asa

  • sombong

  • kedekut

  • suka dipuji

  • berbohong

  • sangka buruk

  • tamak

  • dengki

  • dendam

  • kejam

  • mengutuk orang lain

  • gila kuasa

  • gila jawatan

  • cintakan dunia

  • gopoh gapah

  • pemarah

  • suka berkata lucah atau hina

  • menyesali diri kerana bernasib malang

  • halal yang haram dan haramkan yang halal