31.12.08


Salam Maal Hijrah

Selamat menyambut Maal Hijrah kepada semua yang membaca blog ini. Sekejap sahaja masa berputar dengan pantas dan kini kita sebagai orang Islam telah mengalami tahun baru. Apakah cita-cita dan hasrat tahun lalu telah kita lakukan dengan baik? Adakah amalan ibadah kita semakin bertambah atau berkurangan? Adakah akhlak kita semakin baik atau sebaliknya? Ilmu kita semakin menaik atau merosot? Adakah iman kita bertambah atau berkurangan? Atau adakah amalan kita sekadar dipinggiran atau sebaliknya? Semuanya itu perlu diperbaiki dan ditambah rencahnya supaya kita menjadi insan soleh. Walaupun tidak sesempurna, tapi sekurang-kurangnya kita berazam hendak berubah dan berhijrah menjadi yang terbaik.


Azam aku? Sentiasa ingin menjadi insan solehah dan yang terbaik. Tapi, rasanya sukar dicapai jika tidak dibuat dengan bersungguh-sungguh. Sebagai manusia biasa, ada sahaja kelemahannya. Dan kelemahan itu yang perlu diperbaiki. Banyak sungguh kelemahan sehingga tidak terhitung tapi itulah juga yang cuba diperbaiki dari hari ke sehari. Semoga hijrah kali ini lebih bermakna dari yang dulu dan lebih diterima Allah SWT.

21.12.08



Surah-surah Rindu( SSR) dalam Majalah Aniqah (Dis) dan Berita Harian (Jumaat/19.12.08)




Alhamdulillah, syukur aku ke hadrat Allah SWT kerana SSR mulai diulas dalam blog, majalah dan terkini, akhbar harian yang terkenal.




Pada mulanya, apabila disiarkan ulasan dalam blog Novel PTS, aku rasa terharu. Ia bagaikan satu hadiah untuk diriku yang mana novel SSR sudah mula menarik perhatian. Terima kasih kepada pengulas novel yang sanggup menghabiskan novel setebal 230 muka surat untuk ditelah akan isi kandungannya. Bukan calang-calang orang yang sanggup menghabiskan bacaan dan kemudiannya mengulas. Terima kasih kepada Pegawai Perhubungan Awam, Sdr. Roslan Isa yang bersungguh-sungguh ingin memperkenalkan SSR ke mata umum.




Begitu juga, dengan disusuli dengan kiriman SMS daripada pegawai perhubungan awam di suatu pagi memeranjatkan degupan jantungku. Kini dikatakan, ulasan buku sudah diterbitkan dalam Majalah Aniqah. Majalah Aniqah adalah sebuah majalah berbentuk islami yang masih baru di pasaran. Usianya yang baru mencecah setahun jagung sudah tentu untuk aku mencarinya di sekitar kawasan rumahku. Bagiku, majalah yang baru seperti Aniqah hanya boleh didapati di kedai buku yang besar dan juga kedai buku milik mamak. Memang betul tekaanku, selama dua minggu pencariankku akhirnya aku jumpa di kedai mamak. Lega rasa hati, meskipun sebelum itu aku memesan majalah tersebut kepada adikku yang sering berkunjung ke kedai majalah dan buku. Terima kasih Ina, tak apa walaupun Ina dah beli, nanti majalah itu Kak Idah nak hadiahkan kepada emak sahaja.




Degupan jantungku bertambah kencang sejak pagi Jumaat, apabila kiriman SMS sekali lagi diterima dari PR PTS. Aduh! aku sudah semacam terasa kalau terima dari pegawai tersebut mesti ada apa-apa yang terpenting. Memang betul! SMS mengatakan bahawa dimintanya aku beli Berita Harian hari Jumaat kerana ada ulasan tentang SSR. Kelam kabut juga aku. Sebab pagi itu adalah deadline aku kena hantar kerja-kerja freelance. Hati ini sudah melonjak tak sabar-sabar nak pergi kedai Pak Rahim hendak beli suratkhabat. Sedangkan sebelum ini aku memang tak pernah beli suratkhabar kecuali hujung minggu kerana hanya membaca akhbar online sahaja. Akhirnya apabila kerja siap, modem internet pula rosak. Aduh! Aduh! masalah betul, sabar Saridah oi! Kata aku seorang diri. Suami tiada di rumah jadi cakap seorang dirilah! Macama mana hendak email kerja ini? Akhirnya, sasarannya pergi pejabat adik ipar, guna internet...alhamdulillah, semuanya selamat....!




Apabila disemak akhbar harian itu, satu lagi debaran jantung ku ini bertambah sesak...Aduh! Bukan setakat ulasan malahan biodata aku juga ada ditempek dengan gambar yang tak cun itu! Alahai malu rasanya. Dulu aku juga yang sibuk ambil gambar orang dan siarkan kini giliran aku..... itulah putaran hidup manusia....SILA BACA LEBIH LANJUT...http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Sastera/20081219085748/Article/




Tapi, aku suka dengan ulasan yang ditulis, terima kasih kepada pengulas yang mengulas dengan sejujurnya. Memang aku ingin mengetahui reaksi pembaca terhadap penghasilan aku dalam genre kreatif ini.... TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT...!

15.12.08

Komputer pulih dan Pelukis Aisyah yang baru




Alhamdulillah, akhirnya komputer riba aku kembali pulih. Rupa-rupanya, adapter yang rosak terkena renjatan elektrik yang berlaku tidak di rumah ku baru-baru ini. Lega rasanya kerana ia tidak melibatkan komputer aku yang banyak berisi maklumat dan juga fail peribadi. Namun, kesuntukan masa tidak mengizinkan aku untuk terus-terusan mencatatkan sesuatu cerita dalam blog aku ini. Kini, sedang sibuk mengedit buku ilmiah dan juga sedang berusaha untuk menyiapkan manuskrip young aisyah yang kedua. Semoga aku dapat mengejar dead-line yang telah diberikan. Ya Allah, berikan daku kekuatan kudrat dan idea. Amin.










Ada cerita baru tentang siri Young Aishah. Pelukis dan juga penulis bersama dengan aku kini sudah berganti orang. Saudara Jonos telah menarik diri pada saat terakhir atas alasan tertentu. Kiranya, jodoh kami tiada dalam menghasilkan satu buku dan jodohku ini dengan orang lain, pelukis baru yang aku kenali hanya dari segi nama yang diberi oleh editor, Asyuura. Namanya Rezarly. Dan lukisannya cantik dan menawan hati ini. Harapan tinggi, semoga para pembaca akan tertarik dengan lukisan ini dan seterusnya untuk membaca novel itu sehingga habis.










Di atas adalah hasil sentuhan Rezarly...

30.11.08

Karnival Membaca dan ujian hidup

Dua minggu lebih sudah tidak mencatat apa-apa dalam blog yang serba kekurangan ini. Bukan malas atau sengaja tetapi tanpa disengajakan. Pelbagai peristiwa berlaku. Bermula pada 11.11 hari itu aku telah menghadirkan diri dalam satu karnival. Bukan karnival beli belah atau yang bukan-bukan tapi karnival membaca buku di Kuala Selangor. Suatu ketika dahulu, semasa masih di sekolah menengah, pernahlah bertandang ke Kuala Selangor kerana mengikuti rombongan sekolah melawat negeri sendiri, Selangor. Kelakar kan? Maklumlah orang bandar dan hidup pula bukannya senang, hendak mengharapkan ibu bapa membawanya, tak mampu lagipun adik beradik ramai, tak muatpun kalau disumbatkan dalam satu kereta. Jadi bila ada peluang sekolah membuat rombongan, maka hati ini melonjak-lonjak. Ah! itu kenangan silam. Apa yang hendak aku katakan, bahawa kehadiran aku di tempat itu mengimbau kisah lama.

Berbalik kepada karnival itu, aku dijemput sebagai salah seorang panel yang mewakili kaum hawa. Membincangkan tentang buku kegemaran. Apabila Cik Emy dari Perpustakaan Awam Selangor bertanyakan apakah buku kegemaran aku, aku kata, banyak tak terhitung. Dan diapun meminta senarai buku yang digemari. Lagi satu tak tertaip pula aku kerana begitu panjang. Apa yagn sempatlah dan aku emailkan kepada rakan setugasnya. Akhirnya, Cik Emy memberitahu, yang mereka hanya ada buku "Warkah Cinta Berbau Syurga" yang hendak dipamerkan dalam karnival itu. Maka, aku pun diminta bercakap tentang buku itu. Memang novel Islami itu sudah habis aku baca beberapa bulan yang lalu. Kalau tak silap, dalam dua hari aku boleh habiskan.

Menjadi panel adalah pengalaman baru. Aku tak pernah pun sebelum ini. Terima kasih Encik Roslan Isa, PR PTS yang membuka jalan untuk mengenali PPAS (Perpustakaan Awam Selangor). Pada mulanya, aku risau kerana tidak tahu cara hendak pergi kerana suami sendiri tidak dapat menghantar dan perpustakaan di Kuala Selangor pula aku tak tahu di mana tempatnya. Tetapi, segala masalah terurai apabila Cik Emy sendiri menawarkan agar menumpang van PPAS ke sana. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

Tiba masanya, aku diapit dengan tiga panel lelaki yang hebat-hebat. Alahai, terasa kecil diri ini. Nanti entah apa-apa yang aku bicarakan. Harap-harap tak tersasul dan melalut. Dipendekkan cerita, semuanya berjalan lancar. Mungkin di lain hari aku catatkan isi perbincangan.

Sekembalinya dari Kuala Selangor, malam baru aku sampai ke rumah. Badan sudah mula terasa letih. Perutku sudah menyengat. Sakit kerana perutku kosong. Dan dua hari kemudiannya, rumahku tiada bekalan elektrik, itu mungkin keadaan biasa. Tapi yang dahsyatnya, ia melibatkan perkakas elektrik yang lain. Jiranku, mesin basuhnya rosak, diikuti dengan tv berasap. Aku pula, komputer riba pula meragam, agaknya kesan kerosakan elektrik. Kuasa elektrik yang melampau. Apa taknya, tiba-tiba, kipas laju macam kipas helikopter. Lampu tiba-tiba padam, macam ada hantu pula nak main kelip-kelip dengan aku. His! menakutkan saja!!

Hingga kini komputer riba baru tak boleh pakai, sedih rasanya. Ujian...ujian...sabor je la. Itu yang sampai ke hari ini hati tak berapa ceria, ingat nak ke Low Yat, tanya apek di sana boleh tak baiki supaya hatiku gembira semula!!. Doakan semuanya baik belaka! Amin.

10.11.08


Sekadar luahan


Selalunya, seorang pengguna yang membeli sesuatu barangan dan diminta bayar secara ansuran, itu memang sudah jelas dari segi hukum yang ditetapkan oleh sipenjual. Tetapi bagaimana pula, jika duit itu memang sudah duit kita, dibayar pula secara ansuran. Seperti kita pula yang memberi pinjaman kepadanya sedangkan sudah tiba masanya dia bayar penuh kepada kita kerana dalam perjanjian tiada terma-terma bayar separuh.


Itulah keluhan kawan saya. Saya juga kesian dan hendak buat macam mana? Bolehlah situasi begini kita sebagai pengguna mengambil tindakan? Kawan saya itu macam terasa ditipu dan tertipu. Situasi begitu memang pernah saya alami. Saya juga terasa tertipu. Entahlah! Hendak mengupah peguam, duit setakat cukup makan sahaja. Mana hendak mampu upah peguam lawan orang itu, saman orang ini. Buang masa sahaja. Dan jalan terakhir yang boleh diambil, bersabarlah dan berdoalah supaya segalanya berjalan baik. Ada hikmah juga tu. Begitulah nasihat saya kepada diri sendiri dan juga kawan saya itu. Akhirnya garu kepala sendiri yang tidak gatal.

28.10.08

Ulasan Surah-surah Rindu dari blog novelpts


Judul: Surah-surah Rindu

Penulis: Saridah Hamid

Cetakan Pertama: 2008ISBN: 978-983-3604-19-7

Penerbit : PTS Millennia Sdn Bhd

Harga: Sem: RM24.00 Sem. Malaysia, RM27.00 Sabah & Sarawak

Tebal: 432 halaman

Pengulas: Mohd Roslan Md Isa


Surah-surah Rindu tulisan penulis tempatan Saridah Hamid mengangkat dan mempersembahkan alihan konsep kekeluargaan, persahabatan, akademik, cinta, perjuangan, intelektual, survival hidup, dan hukum hakam agama Islam. Penceritaan cerita dengan plot yang mengikut kronologi masa, tempat, emosi, konflik dan persoalan pelajar di institusi pengajian tinggi disusun kemas dan senang dibaca. Nilai tambah adalah apabila diselitkan terjemahan ayat Quran dan Hadis yang disampaikan bagi menerangkan situasi, menguatkan fakta dan bukan kerana tujuan mengarah serta menunjuk pandai.


Novel Islami


Novel yang dikenali sebagai novel Islami ini dipakej sebagai I-Novela. Bagi remaja yang mahu mengetahui konsep cinta dan perjuangan emosi remaja yang sebenar perlu mendapatkan rujukan yang tepat dan serasi dengan jiwa remaja mereka. Justeru itu, novel ini membawa sinar harapan beserta kilauan bintang terpilih yang mampu dijadikan medium perantaraan supaya remaja memahami aspek cinta dan jiwa remaja yang sebenar.


Watak Utama


Nurin Hannah, semasa kecil dirinya dilimpahi kasih sayang daripada ibu dan ayahnya. Meskipun dia sering dianggap berbeza daripada adik-beradiknya, tetapi dia tetap bahagia bersama ahli keluarganya. Dia diberi pendidikan sempurna dunia dan akhirat serta hidup sebagai muslimah sejati.


Fathi Nur Hakim adalah abang sulung Nurin yang berkulit sawo matang manakala lain pula bagi Nurin kerana si sunti itu berkulit putih dan memiliki sepasang mata yang sedikit sepet. Pelbagai kisah suka duka dikongsi mereka semasa kecil. Hubungan adik beradik ini rapat dan adakalanya apabila mereka mula meningkat awal remaja, Nurin akan memberontak apabila abangnya hanya bermain dengan rakan lelaki sahaja dan di ditinggalkan sendirian. Namun Nurin sering mengatasi abangnya seperti bermain gasing sehingga berpusing kepala abangnya memikirkan perangai adiknya yang agak bersifat lelaki.


Konflik dalaman Hannah mula memberontak apabila seorang demi seorang adiknya dilahirkan oleh ibunya memiliki kulit badan yang berbza daripanya. Namun segala persoalan itu dijawab kemas dan secara rahsia oleh ayah dan ibunya.


Semasa menuntut di universiti, hatinya diketuk seorang jejaka yang terkenal di fakultinya. Ibunya sering berpesan memintanya supaya tidak menjalinkan cinta semasa sedang belajar. Dia akur dengan ingatan itu. Akhirnya, dia menerima salam persahabatan daripada jejaka itu selepas melakukan solat istikharah. Persahabatan itu dirahsiakan daripada warga kampus dan juga keluarga. Hanya sahabat karibnya, Liyana yang mengetahuinya.


Percintaan di kampus antara Hannah dan temannya terjalin baik dan mereka cuba mengelakkan perkara yang mendatangkan fitnah dan sering berjumpa apabila tugasan projek persatuan ataupun kelas dalam kumpulan yang besar. Elemen teknologi juga diterangkan bagi memggambarkan novel ini lain dan memang lari laju daripada novel tradisi yang lain. Teknik menjalinkan hubungan cinta yang murni dijelaskan melalui emel, sms dan Yahoo Messenger.Namun, dilema gadis kacukan ini bermula apabila mengetahui hakikat sebenar identiti dirinya apabila usianya meningkat remaja. Dalam usaha mengenal peribadi diri dan keluarga. Hannah dikejutkan dengan berita yang dia secara tidak sengaja terjumpa surat yang sudah usang dan dapat mendedahkan peribadi Hannah. Apakah kandungan surat itu dan bagaimana dia mendepani situasi itu?


Kekuatan Novel


Nurin Hannah adalah sebahagian daripada kes kecil yang jarang didedahkan media dan diterokai penulis lain. Penulis ini berjaya mencipta karektor Nurin Hannah yang cekal, tabah, ceria dan unik. Gabungan ayat Quran dan Hadis yang diterangkan jelas dapat membantu masyarakat memahami hukum hakam Islam, antara yang dikupas adalah saranan Islam kepada wanita bagi memakai tudung dan disampelkan kepada watak Nurin Hannah. Lokasi bagi jalan cerita juga merakyatkan novel ini bagi membawa pembaca mengenali tempat-tempat bersejarah.

klik: blog novelpts

Posted by Peminat at 7:46 PM

27.10.08


Surah-surah Rindu (Dwilogi)mempunyai dua siri


Sebenarnya tidak ada niat untuk membuat novel ini bersiri (hanya dua siri sahaja). Editor PTS Millennia menelefon menyatakan bahawa novel sulung itu tidak lengkap ceritanya. Memang diakui, cerita itu penyudahnya sudah tentu tidak menyeronokkan. Sengaja ditulis sebegitu supaya pembaca tertanya-tanya.


Setelah dibelek dan dikoreksi, ingin disambung cerita itu dan perkara ini pernah utarakan kepada editor (sebelum novel itu diterbitkan lagi). Dan saya sudah berikan sinopsisnya. Pada mulanya, beliau tidak setuju kerana ingin melihat novel pertama saya keluar dahulu tetapi tidak lama kemudian dia memberitahu yang saya perlu menyambung cerita itu kerana tergantung. Saya berbesar hati.


Kini dalam proses menyiapkan manuskripnya. Terasa semput sekali. Jalan cerita memang sudah ada tetapi ingin mengolahnya itu yang menyesakkan dada ini. Sesungguhnya, bukan semudah itu untuk menyiapkan bait-bait indah dalam novel. Ingin membuat para pembaca suspen pun amat payah. Em! Inilah ujian seorang penulis. Kalau boleh saya ingin menghadirkan hati dan perasaan ini dalam penulisan. Bukan sekadar melepas batuk di tangga.


Ya Allah! Berikanlah daku inspirasi dan ilham untuk menulis dengan lebih baik lagi. Berikanlah daku semangat untuk terus berkarya. Jauhkan segala rasa bosan yang kadang kala melanda diri ini. Dan yang paling ditakutu adalah hilang idea dan motivasi. Lapangkan dada ini supaya sentiasa berusaha untuk terus menggerakkan jari jemari ini untuk terus mengetuk huruf-huruf di keyboard ini. Amin!

20.10.08


Watak- watak dalam Siri Young Aisyah



Watak utama dalam siri ini sudah tentulah seorang budak perempuan. Nama penuhnya Aisyah Sofiah atau lebih gemar dipanggil Aisyah sahaja. Fitrah seorang budak yang masih bersifat keanakan yang dunianya penuh dengan keriangan, ingin belajar, sering melakukan kesalahan, rasa ingin tahu sesuatu yang baru, menjalin hubungan dengan kawan, dan sebagainya adalah antara sifat semula jadi seorang budak.





Mungkin kita pernah bertingkah laku seperti itu. Zaman kanak-kanak yang penuh dengan keceriaan dan keseronokan. Itulah yang hendak ditonjolkan dalam siri Aisyah disamping ingin diserapkan nilai-nilai murni dan islamik secara tidak langsung. Pengajaran yang hendak dipaparkan kepada kanak-kanak secara spontan, tidak mengajar tetapi mengajak melakukan kebaikan secara tidak langsung. Sifat seorang anak bukan suka di suruh-suruh tetapi hendaklah diberi teladan yang baik.







Selain watak Aisyah, watak yang tidak kurang berperanan penting seperti Puan Aminah (umi), Encik Jamil (bapa), Nenek Saloma, Azirah (kakak) dan watak pendamping sebagai kawan, seperti Amira, Abu Yela, Ali Mamak dan juga watak binatang kesayangan-kucing.






Lukisan ini dilakar oleh Saudara Jonos. Beliaulah yang membina imej tersebut setelah melakukan banyak kajian. Semoga menjadi ikon kepada kanak-kanak. Untuk melihat lakaran yang lain sila klik

14.10.08


14 Oktober Hari Jadi Bonda


Selamat hari jadi bonda yang ke 69, anakanda doakan bonda sentiasa sihat walafiat di samping mengerjakan amalan ibadah seharian. Semoga bonda dicucuri rahmat Allah dan diberi kemudahan untuk menjalani kehidupan harian dengan amalan ibadah.


Jasa bonda tetap anakanda dan adik beradik kenang. Membesarkan dalam kepayahan seorang diri anak yang seramai lapan orang. Alhamdulillah semua anak-anak bonda sihat dan selamat mendirikan rumahtangga masing-masing. Menantu lapan orang campur dengan bilangan cucu yang telah meningkat seramai 25 orang. Jika umur panjang, bonda berkesempatan menerima kehadiran cicit pula, bila agaknya?


Moga bonda tabah meniti usia emas. Alhamdulillah bonda setakat ini sihat cumanya biasalah sakit orang tua, sengal-sengal dan sakit sendi terutama pada lutut. Anakanda sentiasa mendoakan kesejahteraan bonda di dunia dan akhirat.

13.10.08

Nostalgia Idul Fitri 2008



i.
Tahun ini persiapan raya tidak seperti tahun lalu. Memang berbeza dan malang sekali kuih raya yang selalu aku buat sendiri tahun ini tidak ada kesempatan untuk menyediakan. Bukan kerana harga minyak naik dan kemudian turun beberapa sen saja. Bukan sudah lupa bahan-bahan hendak buat kuih. Bukan itu. Tetapi sesuatu yang menghalang dan tumpuan aku sekarang ini sepenuhnya kepadanya. Namun dalam kesemputan itu, alhamdulillah aku masih berkemampuan menghasilkan manuskrip.




Akibatnya, sudahlah tak sempat buat kuih, hendak beli kuih lagilah tidak terdaya. Kerana kuih yang dijual di kedai-kedai atau pasaraya, harganya mahal sekali. Balang kecil sahaja hampir 20 ringgit. Lebih baik aku beli tepung, gula, telur dengan harga itu dan buat kuih sendiri. Lagi jimat. Namun apakan daya, kudrat yang semakin lemah ini tidak mampu membuat semua itu. Atas nasihat suami tersayang, janganlah sibukkan diri buat itu buat ini, nanti penyakit lain pula timbul.



Kesannya, hanya aku sempat membeli rempeyek, muruku, kacang, kerepek ubi dan jenis-jenis kuih bergoreng. Harganya bolehlah tahan dan nampak banyak pula tu. Kuih tahunan yang selalu aku buat seperti tart nenas, mazola, semperit hanya tinggal kenangan. Melepaskan gian makan kuih itu di rumah saudara mara saja. Jadilah! Tapi aku sempat juga memasak rendang, nasi himpit, kuah kacang dan sayur sambal goreng (jawa punya) pada petang raya. Habis pada raya ke dua.





ii.




Raya tahun in memang sungguh mencabar terutama dari segi cuaca. Mencabar juga aku sekeluarga adalah orang yang paling lambat sampai ke rumah emak. Tahun lalu aku orang pertama tahun ini aku yang tercorot. Nasib baiklah emak memahami, dan abang-abang, kakak dan adik turut memahami keterlambatan aku itu. Memalukan saja. Tapi tersengih-sengih kepenatan.


Kebiasaannya, selepas lepak rumah emak beberapa jam, kami adik beradik akan berkonvoi berkunjung ke rumah sanak saudara di sekitar Kampung Baru, Gombak dan Sungai Buluh, tapi tahun ini terbalik pula. Hanya lepak rumah emak sahaja memandangkan emak pun tidak berdaya hendak ikut kami beraya lagi. Maklumlah umur emak semakin emas dan anak dan cucunya pula ada yang sudah hampir pencen dan juga hendak kahwin(cucunya je). Jadi aku dan yang lain duduk di rumah emak tungguh tetamu datang.



Kebiasaannya, raya kedua aku ikut suami balik kampungnya di Melaka. Tapi tahun ini pelik sikit. Adik ipar aku ada rancangannya sendiri. Mengajak kami bercuti. Mula-mula terdetik, betul ke adik ipar aku ini? Macam hendak banyak hati yang lara saja? Mula-mula terasa malas pula tapi setelah sehari suntuk beraya di Melaka, mungkin inilah masa aku bersantai di pantai sekian lama memerap di rumah dan menghadap komputer riba tanpa batasan waktu. Okey juga cadangannya. Emak mentua aku pun tidak berapa sihat, mungkin boleh ubah angin. Dan akhirnya aku dengan ipar duai dan ibu mentuaku bersantai di Port Dickson di Tanjung Tuan milik syarikat adik ipar. Bayar murah saja.




Rupa-rupanya, cuti begini ramai yang datang ke PD termasuklah aku dan keluargaku. He he he. Tak pernah dibuat orang. Kalau saudara mara tahu ini memang kena bambu! Orang beraya, kami semua bersantai pula di pantai.
Tinggal di Tanjung Tuan ini membangkitkan nostalgia aku semasa berkhidmat di RTM. Tempat ini adalah menjadi tempat penginapan aku dan krew sekiranya aku ada tugasan di negeri ini. Boleh dikatakan kerap juga ke sini sampai sudah jemu. Tapi kehadiran aku pada hari raya ini, mengingatkan aku tentang tempat ini yang dahulunya cantik tapi kini seperti tidak terjaga dari segi penyelenggaraan biliknya. Mungkin disebabkan apartment di sini sudah dijual kepada syarikat lain. Seperti syarikat adik ipar ini, syarikatnya membeli 5 unit kondominium untuk kakitangannya bersantai. Masa sudah berubah!



iii.


Dalam kepenatan baru balik dari pantai dan kampung, hadirlah dua insan yang pernah aku tulis sebelum ini. Datin Hamidah Hamzah dan suaminya, Datuk Ramlan. Alahai terasa malu pula kerana peti ais aku kosong belum beli bahan-bahan basah dan kering. Yang ada hanyalah kerepek seperti yang aku ceritakan sebelum ini. Memandangkan mereka sudah sampai, aku terima dengan hati besar. Bangga sekali dengan kehadiran mereka di teratak kecil aku ini. Hanya menghidangkan air teh o dan kerepek-kerepek aku itu.

Dan pasangan pengantin baru itu menghulurkan kad jemputan rumah terbuka mereka yang akan diadakan pada hujung minggu ini. Inilah pertama kali aku terima jemputan formal rumah terbuka. Selalunya, jemputan mulut sahaja dari sahabat dan saudara mara.

Ada orang tanya, tidak buat rumah terbukakah? Entahlah, terasa malas pula. Suami pula suruh buat, aku belum bagi jawapan lagi. Sebabnya, yang hendak masak nanti, akulah. Dan aku jenis tidak suka order-order keluar duit, membazir. Baik masak sendiri. Nantilah aku fikirkannya!















9.10.08


Perihal Surah-surah Rindu


i.


Kiranya belum terlambat untuk mengutuskan Salam Aidil Fitri kepada semua yang sudi berkunjung ke sini. Dalam kesibukan harian, ada beberapa perkara yang hendak ditulis tetapi tidak ada kesempatan waktu. Namun, memandangkan semua dalam blog ini bukan berita terkini, maka peristiwa yang lalu boleh juga dicatatkan.


Dalam minggu ke dua berpuasa, aku menerima kiriman 10 naskhah novel Surah-surah Rindu. Di samping dititipkan sekeping kad raya kiriman dari PTS Milinnea dan juga PTS Islamika. Terima kasih kepada editor, Siti Nor Fadilah yang memenuhi permintaanku untuk menghantar novel itu secara pos kerana aku tidak berkesempatan untuk mengambilnya di pejabat PTS editorial atas sebab-sebab tertentu.


Perasaan ketika menerimanya adalah berlainan kerana inilah novel sulung ku yang sering membuatkan hati berdebar-debar menunggu kemunculannya. Kini, Surah-surah Rindu sudah berada di pasaran. Carilah di MPH bookstore, Popular, Kinokuniya dan kedai buku yang mengedar buku-buku terbitan PTS.


ii.


Setelah berada di pasaran, kini aku berdebar-debar pula menerima reaksi dari para pembaca. Namun aku bersedia untuk menerima sebarang kritikan, cadangan, komentar, dan sebagainya. Maklumlah, genre kreatif ini sesuatu yang berseni dan ada nilai sastera. Bagi individu yang ulat novel, sudah tentu dapat membezakan antara satu sama lain. Yang pastinya, sebagai penulis, sudah tentu tidak dapat memenuhi citarasa ke semua pembaca.


Aku ingin praktikkan ilmu komunikasi dan penulisan yang dimiliki selama ini dalam genre kreatif pula. Semoga kehadiran aku dalam dunia sastera diterima.


Niat aku menulis dalam bentuk genre adalah ingin menyampaikan sesuatu kepada para pembaca. Selama ini niat itu hanya terpendam sekian lama. Tapi, sesungguhnya untuk menghasilkan satu manuskrip yang penuh bukanlah semudah yang disangka. Bukan senang dan juga bukan susah untuk menghasilkannya. Apa yang penting, perlu ada semangat, kesungguhan, pengalaman, ilmu penulisan, bacaan meluas, kajian dan semua itu bila digarapkan ia akan menghasilkan satu manuskrip seperti yang dikehendaki.


Sebenarnya, aku mensasarkan manuskrip itu siap dalam masa dua bulan. Tetapi akhirnya tersasar juga hingga empat bulan. Kerana aku bukan sahaja menumpukan kepada penulisan novel tetapi beberapa manuskrip lain juga aku ingin siapkan. Terpengaruh dengan KJ Method yang diperkenalkan oleh sifu PTS, Puan Ainon Mohd. Apatah lagi, aku juga melakukan kerja-kerja freelance sebagai editor buku. Kekangan itulah yang melambatkan untuk menyiapkan manuskrip novel sulung.


Alhamdulillah, akhirnya terbit juga novel itu. Untuk menghasilkannya perlu juga disisipkan perasaan menulisnya. Bagi memulakan rasa mood menulis novel cinta Islam sesuatu yang payah. Maklumlah, zaman bercinta aku semasa remajaj sudah berlalu, maka untuk membangkitkan kembali perasaan itu, aku banyak mendengar lagu-lagu cinta (maaflah ye..lebih kepada lagu cinta kepada Tuhan tapi ada juga cinta sesama manusia...he he he) dan kebetulan memang aku ini suka kepada lagu yang sentimental dan romantis. Itu membina jiwa yang lembut. Mungkin pelik orang mendengarnya. Begitu juga aku banyak membaca novel cinta Islami dan novel yang lain.


Bukan mudah untuk membina ayat yang menyentuh perasaan.(Adakah orang membaca akan tersentuh hatinya, tapi bagi aku memang ada, kerana aku sendiri mudah tersentuh dan ada kalanya menangis bila ayat yang ditulis oleh penulis itu betul-betul menyentuh perasaan. Itu jika sipembaca membacanya dengan hati yang hadir. Tapi kalau baca sekali lalu, memang tiada perasaan langsung!) Entahlah, bagi aku memang susah. Setiap ayat perlu dipastikan lembut dan mudah difaham. Apatah lagi isu yang aku bawa dalam novel ini adalah berat dan jarang disentuh oleh pengarang lain. Aku terasa tercabar juga maklumlah aku ini bukannya seorang yang berilmu agama. Namun begitu, banyak juga buku agama yang menjadi rujukanku. Sesetengah pandangan mengatakan bahawa, novel Islami hanya layak ditulis oleh mereka yang berlatarbelakangkan pendidikan agama.


Entahlah, aku ini bukan kelulusan agama tetapi aku berminat untuk sampaikan apa yang aku tahu dari apa yang aku belajar. Salahkah? Adakah menyampaikan ilmu Islam itu hanya layak untuk orang yang ada pendidikan agama? Tapi bagaimana dengan pesanan Nabi Muhammad S.A.W yang menyatakan, "sampaikan dari ku walau satu ayat pun."


Atas kefahaman itulah aku ingin sampaikan kepada para pembaca, harap-harap semua pihak menerimanya.

25.9.08

Siri 'Young Aisyah' dilukis oleh Jonos

Siri novel Islami ini adalah dalam bentuk novel campur komik. Oleh itu, komiknya pula akan dilukis oleh Sdr. Jonos. Kiranya dalam menghasilkan novel kanak-kanak ini, ada cerita dan komik.

Masa kini, Sdr. Jonos sedang bertungkus lumus melakar watak Aisyah dan rakan-rakannya. Bukan sesuatu kerja yang mudah. Perlu dilakukan sedikit sebanyak kajian tentang watak utama dan sampingan dan dicernakan dalam bentuk lukisan. Begitu juga dengan props yang hendak dihasilkan, terutamanya baju dan rekaannya.

Inilah kali pertama aku bekerjasama dengan Sdr. Jonos. Tetapi malangnya, aku masih belum ada kesempatan untuk berbincang secara bersemuka dengan beliau dan yang lain. Seperti yang aku katakan sebelum, halangan itu belum lagi dapat aku rentasi. InsyaAllah, mungkin dalam bulan Syawal aku berkesempatan untuk berbincang secara serius tentang perkara itu.

Terima kasihlah semua yang terlibat kerana memahami keadaan aku ini. Semoga Allah permudahkan kerja-kerja yang mulia ini.

Ingin aku siarkan lakaran awal Sdr. Jonos...tapi nantilah, kena minta izin dari tuannya terlebih dahulu.

Doakan semoga kerjasama kami ini membuahkan yang terbaik untuk semua. Amin!
Siri Novel Islami Kanak-kanak "Young Aisyah"

Alhamdulillah, akhirnya dalam bulan berkat ini aku dapat menghasilkan satu manuskrip untuk novel Islami khusus untuk kanak-kanak. Walaupun pada peringkat awalnya ingin disiapkan sebelum Ramadan, tetapi aku hanya mampu merancang yang menentukan adalah Allah SWT. Namun atas semangat bulan berkah ini, aku gagahkan jari jemari ini untuk menghasilkan bait-bait seterusnya sehingga ke noktah terakhir.

Syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya aku berjaya menyiapkannya pada hari ini, 25 Ramadan bersamaan 25 September ini. Ini percubaan aku untuk terjun dalam novel kanak-kanak pula. Kalau sebelum ini aku pernah menghasilkan karya untuk kanak-kanak tetapi aku tidak puas hati dengan cara penyelenggaraan buku itu. Dan aku mengharapkan, novel Islami kanak-kanak ini atas usaha PTS Islamika juga bakal menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk kanak-kanak pada hari ini. Dan juga sebagai satu alternatif yang tepat untuk mereka. Moga-moga mendapat sambutan!

Pelawaan yang diberi oleh Encik Faris, Pengurus PTS Islamika aku sambut dengan senang hati. Cita-citaku memang hendak menulis sesuatu khusus untuk golongan kanak-kanak bawah 13 tahun. Kelompok mereka ini juga tidak ketinggalan dalam memeriahkan dunia buku. Mereka memang memerlukan bacaan yang bermutu untuk dijadikan sebagai tambahan ilmu.

Usaha awal PTS Islamika perlu diberi sokongan dan aku sanggup memikul tanggungjawab untuk menghasilkan siri pertama, Young Aisyah. Teruja juga hati ini sebaik sahaja memulakan penulisan manuskrip.

Hasil perbincangan secara online dengan editor terbabit, Sdri. Assyura yang pada awalnya meminta datang ke pejabat untuk berbincang lebih lanjut. Tetapi keadaan tidak mengizinkan. Itu yang aku kesal tapi hendak buat macam mana, ada halangan bersebab. Tapi, berkat kegigihan editor yang memberikan kerjasama yang tidak putus-putus dan atas kepercayaannya pada diri aku ini, aku bersyukur dapat melunaskan janji ku kepada mereka.

Tunggulah kemunculan novel islami kanak-kanak pada bulan November, insyaAllah.

15.9.08






Kad ucapan raya istimewa

Bulan Ramadan dan Aidil Fitri sungguh bermakna bagi diriku dan suami. Selain dengan kehadiran seseorang yang memeriahkan hidup kami juga sesuatu yang tidak diduga menerima kad ucapan hari raya dari seseorang yang penting di negeri tumpah tinggalku semasa aku remaja sehinggalah berkahwin.

Dalam usia semakin senja, inilah kali pertama seumur hidup mendapat kad ucapan hari raya Aidil Fitri dari seorang yang meneraju negeri Selangor. Terkejut juga apabila menerima sampul surat berlabel "URUSAN SERI PADUKA BAGINDA". Dalam hati berkata, siapalah yang menghantar kad ucapan raya ini atas urusan negara? Bukan aku sahaja yang terima tetapi juga suami.


Sabtu lalu, 13 September 2008 kad itu sampai di rumah ibu mentuaku. Hari itu aku berbuka puasa dengan beliau. Ibu mentuaku berkata, "Ada kad raya baru sampai." Terkejut juga siapa pula hantar kad raya guna alamat ibu mentuaku?



Akhirnya terteralah kad ucapan raya itu dan sekaligus menjemput rumah terbuka pada 1 Syawal. Terima kasihlah Menteri Besar Selangor yang juga merangkap ahli parlimen Bandar Tun Razak yang menjadi wakil parlimen tempat tinggal aku. Alhamdulillah ada juga orang ingat pada kita.

10.9.08


Selembut Bicara diulas dalam Berita Harian


Seawal pukul 9.38 pagi dan bertarikh 10 September 2008, aku menerima satu pesanan melalui telefon bimbit. Segeralah aku melihatnya pesanan awal pagi itu. Tertera nama Pegawai Perhubungan PTS, Sdra. Roslan. Memaklumkan aku bahawa buku pertama, "Selembut Bicara" diulas dalam akhbar harian, Berita Harian. Dan menasihatkan aku supaya membelinya di kedai.


Tidak lama kemudian, aku pun ke kedai runcit yang berdekatan. Kalau diikutkan hati memang malas hendak membeli dan aku memang jarang membeli akhbar harian kecuali hujung minggu. Ini kerana sudah ada akhbar online, maka tidaklah lagi perlu beli suratkhabar..boleh jimat duit. Dan duit beli akhbar tiap-tiap hari itu bolehlah aku kumpul bayar bil Internet.


Tapi memandangkan ada kepentingan diri (he..he..he) maka aku melangkah ke kedai berhampiran dalam keterpaksaan (bulan Ramadan ini malas pergi kedai apatah lagi stok bahan memasak masih ada, jadi tak rasa hendak pergi selalu ke kedai). Aku membelek suratkhabar yang terjuntai dan bergoyang ditiup angin. Akhbar harian masih banyak lagi. Mungkin orang lain macam aku kot, baca sahaja dalam Internet.


Aku mengambil senaskhah dan membawanya balik ke rumah. Belek punya belek..mana ada keluar? Rungut aku sendirian. Nasib baik tidak ada orang yang dengar. Sudah tiga kali membelek..rasa macam nak putus asa. MasyaAllah, rupa-rupanya aku tersalah beli suratkhabar! Yang aku terambil dan beli adalan Harian Metro! Ceh! Memanglah tak jumpa! Sampai tahun depan aku tak nampak kelibat ulasan itu. Nampaknya penangan mata aku yang semakin kuyu ini yang menyebabkan aku tersalah ambil.


Dengan rasa lelah, aku melangkah keluar rumah lagi menuju ke kedai yang sama. Nasib baiklah kedai dengan rumah aku dekat mengambil masa hanya 3 minit sahaja boleh sampai. Nasib baiklah adik yang mengambil bayaran akhbar dari aku itu tidak bertanya "Kenapa? Baru je beli dah beli paper lain?" Itu nasib baiklah. Agaknya bulan Ramadan ini, orang malas hendak bercakap banyak. Jadi apa yang diambil dibayar dengan tepat itu sudah bagus bagi mereka.


Sebaik sahaja sampai di rumah, tanpa berlengah lagi aku membelek sehelai demi sehelai. Ah! Baru jumpa! Lega! Alhamdulillah! Tapi, ulasannya kalau dihitung dari segi masa, tidak sampai 2 minit sudah boleh habis membacanya. Jadi bacalah apa yang ditulis oleh pengulas.


Terima kasih pengulas, sukran jamil, PTS yang memberi peluang untuk aku menyumbang tulisan. Dengar khabar yang sahih, buku Selembut Bicara akan diulang cetak dan dipakej dalam bentuk yang lebih kecil sama saiz dengan buku Bahtera Nabi Nuh dan Sepuluh Sahabat diJamin Syurga. Terima kasih semua!

2.9.08


Salam Ramadan




Salam Ramadan kepada semua pembaca blog yang sudi bertandang ke terataq ini. Sudah pasti diharapkan Ramadan kali ini lebih bermakna dari yang lalu. Tingkatkanlah azam supaya berkemampuan untuk melaksanakan segala yang wajib dan sunat di bulan yang mulia ini. Moga-moga Allah permudahkan diri ini untuk melakukan perkara yang memberi ganjaran yang besar itu. Apatah lagi, kini tanggungjawabku lebih sedikit dari dahulu. Begitu juga ujian-ujian yang bakal dilalui diharapkan dapat aku atasi dengan baik.




Ya Allah! Permudahkanlah semua urusanku kali ini. Semoga kami sekeluarga dapat menjalani hidup ini sebagai umat-Mu dengan sempurna. Menjadikan Islam sebagai satu cara hidup. Melakukan segala suruhan-Mu dan meninggalkan segala yang mungkar. Lindungilah kami sekeluarga dari segala bala bencana, fitnah dan kekejaman di dunia ini. Semoga kami selalu dilimpahi rahmat kasih sayang-Mu. Amin!

10.8.08

Pesta Buku Malaysia 2008, boleh tahan.





Pada 3 Ogos pula, aku dijemput untuk sesi tandatangan buku pada sebelah pagi. Tiba tepat pada pukul 11.00 pagi, kelihatan gerai-gerai buku sudah di kunjungi orang ramai. Kali ini, pesta buku di adakan dalam satu dewan di PWTC. Kali ini amat mudah untuk mencari gerai PTS. Dalam hati berdebar-debar, adakah orang hendak membeli buku aku dan juga meminta tandatangan sekali? Apa-apapun aku serahkan kepada Allah.


Pada awalnya, kelihatan ada beberapa pengunjung di gerai PTS yang dikendalikan oleh ejen mereka. Kelihatan beberapa editor PTS, Sdri. Firdaus dan Sdri, Assyura dari PTS Islamik sudah bersedia. Begitu juga rakan editor dari PTS Professional, Sdri. Rozita Abdul Razak yang sedia menanti kehadiran, kerana memang kami ada temujanji. Buku-buku disusun dengan kemas oleh editor Islamika. Tempat kami agak terhujung kedudukan dan berhampiran dengan pentas utama. Ada acara berlangsung di situ anjuran Perpustakaan Negara Malaysia. Kebetulan, ramailah murid sekolah dan budak-budak yang datang bersama ibu bapa mereka. Riuh rendah suasananya.


Kehadiran editor perolehan Islamika, Sdra. Imran yang bertindak sebagai 'dj' tak rasmi, sibuk berkata-kata tentang kehadiran aku dan buku-buku yang dipamerkan. Terasa segan pula, tapi buat tak tahu je! Alhamdulillah, ada juga penggemar buku-buku tulisan aku terbitan Islamika. Kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa bertuah, kerana keluarga mereka pasti membelikan buku untuk mereka. Kiranya, tidaklah aku termenung seorang diri, ada peneman dan riuh rendah. Orang semakin ramai dan pengunjung gerai PTS semakin meriah. Termasuklah membeli buku aku, hehehe, Alhamdulillah!


Semasa sudah tamat sesi itu, aku berbual dengan pengurus pemasaran dan promosi, Puan NorHazizam. Dia mempelawa aku untuk terlibat dalam sesi bercakap tentang buku aku yang bakal keluar. Novel Surah-surah Rindu. Aku termenung lagi sekali. Kiranya masuk ini sudah dua orang yang menyuruh aku bercakap tentang buku sendiri. Sambil tersenyum aku katakan, "Apa yang hendak dikatakan?" Aku belum ada pengalaman lagi. Menurut Pn. Nor, ramai yang terlibat hanya sesi tandatangan buku tetapi tidak mahu bercakap tentang buku sendiri. Dia hendakkan orang yang bercakap dan bermesra dengan orang ramai tentang buku sendiri. Aku tarik nafas panjang. Entahlah, antara malu dan segan. Antara tak mahu dengan tak faham. Rasanya macam berat je nak terima tawaran itu. Akhirnya, dia memujuk dan dengan ringan mulut ini berkata, 'baiklah'. Kiranya, itu macam satu perjanjian. Alahai, berdebar-debar rasanya!


Kemudian, Imran dan rakan editor aku mempelawa makan tengahari. Perut pun sudah berkeroncong! Kami berjalan ke bawah dan tiba-tiba Imran terhenti kerana menjawab panggilan telefon bimbitnya.

"Kak, ada orang nak tandatangan buku."

"Tak payah, suruh je Pn. Nor sain."

"Tak boleh kak, dia nak akak juga sain."

"Malasnya akak nak naik atas balik."


Imran borak-borak dengan Pn. Nor lagi.

"Tak pa kak, kita tunggu di bawah ni. Nanti budak yang beli buku tu datang jumpa akak."

"Alahai, rajinnya adik tu."

"Itu kira peminat akak lah ye!"

"Siapalah akak ini?" Tersenyum.

Kami tertawa. Ramai yang jadi pengiring saya, hehehe! Termasuk Sdr1.Firdaus, Sdri. Asyura dan Sdri. Rozita. Semua sudah rasa kebulur. Belum sarapan pagi. Akhirnya dalam masa sepuluh minit, adik yang membeli buku, 'Bahtera Nabi Nuh', pun turun. Macam kenal pula dengan kami yang sedang menunggu di ruang legar PWTC. Rupa-rupanya bukan sekolah tetapi pelajar IPTS. Alhamdulillah ada juga kelompok sebegitu membaca buku aku yang tergolong kumpulan remaja ini. Itulah saat-saat manis sebagai seorang penulis meskipun bilangan yang terjual ketika itu tidaklah banyak. Sempat pula berpesan dengan pelajar IPTS itu, jangan lupa membeli novel terbaru, "Surah-surah Rindu". Terima kasih kepada semua editor PTS Islamika yang melayan aku dengan baik dan belanja makan tengahari!
Kulit depan dan belakang Surah-surah Rindu

5.8.08







Pesta Buku Selangor 2008, kurang menarik!



Awal pagi sudah bertolak dari rumah. Kali ini aku ke Shah Alam dengan menaiki pengangkutan awam. Suami tidak dapat hantar kerana dia bekerja. Tetapi tidak menjadi masalah kepadaku kerana Shah Alam adalah tempat yang menjadi kenanganku semasa belajar lebih dari 14 tahun yang lalu. Bandar Shah Alam sudah banyak berubah. Dari bandar yang suatu ketika dulu apabila jam 7 petang adalah bandar mati kini berkembang pesat dengan kewujudan hotel, pusat membeli belah dan sebagainya. Kawasan perumahan juga semakin padat dan sendat dengan penduduknya.




Aku teringat, bila tiba saat menghadapi peperiksaan besar, aku dan kawan yang lain sering menghabiskan masa di taman tasik yang berhampiran ataupun kami beruzlah di masjid negeri Shah Alam yang terletak betul-betul di tengah Shah Alam. Nostalgia itu bermain-main di mataku sepanjang aku berada dalam bas rapidkl. Alhamdulilah, akhirnya aku sampai seawal pukul 10 pagi. Memang kompleks PKNS telah sesak dengan pelbagai tawaran jualan dari pelbagai jenis kedai. Dan mataku mencari-cari, mana pula lokasi pesta buku Selangor ini. Oh! Rupa-rupanya petak pamerannya di susun di tengah-tengah kompleks bahagian bawah dan terletak di celah-celah gerai-gerai lain yang menjual pelbagai barang termasuk kain tudung, aksesori kaum wanita dan banyak lagi. Mataku tiada tertancap logo PTS. Akhirnya aku bertanya dengan kaunter pertanyaan bagi pesta buku itu, dan rupanya ruang yang disediakan untuk penulis adalah dikongsi bersama dengan ejen buku PTS.




Tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu, tiada gantungan diskaun yang memeriahkan gerai-gerai buku di situ. Aku sendiri tidak pasti berapakah diskaun yang diberikan kepada pembeli yang akan membeli buku-buku di situ. Yang aku dengar, hanya 10 % sahaja. Dengan tawaran yang tak pasti, sudah tentu tidak menggamit para pembeli untuk membeli buku. Tekaan aku memang tepat. Menjelang pukul 11.00 pagi, orang semakin ramai datang tetapi bukan untuk menyinggah di gerai kami tapi sekadar lalu dan menjeling sahaja. Tambah menggamatkan, apabila gerai yang aku duduk berhampiran dengan kedai muzik dan jual vcd. Tambah riuhlah dan tenggelamlah pesta buku.




Dalam kebosanan itu, aku ditemani oleh dua editor PTS Islamika, Sdri, Firdaus dan Sdri. Assyura. Tidak lama kemudian kelihatan, Alif Firdaus, editor dan penulis PTS One. Diikuti pula dengan kawan penulis yang lain, Ainin Naufal dan Serunai Faqir yang berjalan menuju ke pentas utama. Kami sempat berbalas lambaian dan senyuman sahaja. Tidak lama kemudiannya, menyusul pula penulis dari PTS Profesional, Sdra. Sunthara Segar. Maka aku mengajaknya untuk turut duduk bersama meskipun masanya belum tiba dan mempamerkan buku-bukunya yang laku keras. Dia mensyorkan supaya aku bercakap tentang buku aku. Aku hanya tersenyum dan menyatakan aku tidak sepertinya pandai bercakap. Meskipun aku dulu suka bertanya orang lain dengan pelbagai soalan tetapi dalam keadaan sekarang, adakah aku ini layak untuk bercakap dengan buku sendiri? Aku sendiri jadi bingung. Apa yang perlu aku perkatakan tentang buku aku? Entahlah, aku masih belum memikirkan secara serius. Perlukah aku menyatakan mengenai buku-buku aku?




Menurut, editor PTS Islamika, buku Selembut Bicara sudah habis dalam stor dan akan diberi wajah baru dari segi saiznya bila diulang cetak nanti. Alhamdulilah, itu satu berita menggembirakan bagi dirku. Dan proses lesen di Indonesia bagi buku, 'Selembut Bicara' dan juga buku, '10 sahabat yang dijanjikan Syurga' juga telah diselesaikan dan menantikan penerbitan di Indonesia. Itu juga satu berita yang menyenangkan hatiku.
Sesetengah orang mungkin tidak suka untuk duduk dan menandatangani buku yang dibeli oleh orang ramai. Tapi bagiku, pengalaman menunggu reaksi dari orang yang membeli adalah sesuatu berharga. Dari situ kita boleh kenal siapa yang membeli dan membaca buku kita. Dalam kebosanan itu, ada seorang wanita yang agak berumur bersama anaknya datang bertanyakan buku aku. Dia berminat untuk membeli. Setelah membayar dia minta aku tandatangan, aku bertanya siapakah pemilik buku itu, dia kata, dirinya yang akan membaca buku itu. Ini bermakna, buku itu yang dikatogerikan sebagai bacaan untuk remaja, turut dibaca oleh kelompok dewasa.




Orang ramai semakin membanjiri ruang itu apabila menjelang pukul 12.00. tapi seperti yang dikatakan tadi, mereka tidak singgah ke gerai kami tetapi berlalu dan mungkin singgah di kedai berhampiran. Suasana hingar bingar tidak mengizinkan untuk bercakap atau menarik orang ramai ke gerai. Memang tak sesuai! Akhirnya tempoh satu jam berlalu. Malangnya, buku 'Selembut Bicara' tidak dapat dipamerkan kerana sudah tiada dalam stor. Sesungguhnya, pengalaman di Pesta Buku Selangor 2008 memberikan satu inspirasi lain.
Coretan ini akan disambung untuk mengisahkan Pesta Buku Malaysia 2008, yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur.

28.7.08

Hadir di pesta buku

Saya bersama dengan penulis PTS yang lain akan berada di Pesta Buku Selangor dan Pesta Buku Malaysia.









2/8 Sabtu



Ceramah Utama "Mendorong Anak Cemerlang": Dr. Tengku Asmadi
Bahtera Nabi Nuh: Saridah Hamid
Rahsia Melabur dalam Unit Amanah: Sunthara Segar
50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia: Norlela Zubir
Salju Sakinah: Zaid Akhtar






PESTA BUKU MALAYSIA di PWTC Kuala Lumpur



3/8 Ahad


10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga: Saridah Hamid
Hadiah untuk Pengantin: Wan Shuhairi Wan Muhammad
Rahsia Islam di China: Ann Wan Seng
Salju Sakinah: Zaid Akhtar
Hanya Tuhan yang Tahu: A. Razak Adam
Makan Gaji Tetapi Kaya: Shamsuddin Abdul Kadir
Tarik Kekayaan dengan Kuasa Minda: Amar Mahmood



Maklumat dipetik dari blog Pn. Ainon Mohd.

27.7.08

Hujung minggu yang bermakna

I



Dalam bulan Rejab dan Syaaban, pasti ramai yang ingin membuat kenduri arwah dan perkahwinan. Aku dan suami juga tidak ketinggalan membuat kenduri yang sekian lama tertangguh atas sebab musabab yang munasabah. Alhamdulillah, akhirnya hasrat itu dapat ditunaikan. Pada sabtu lalu, kami membuat kenduri kecil yang layak dipanggil 'hi tea' kerananya menu utamanya bukanlah makan nasi seperti biasa orang buat. Tetapi, keputusan diambil untuk membuat menu utama 'mee rebus' dan juga kuih muih yang lain. Itupun sudah dikira berat kerana belanjanya turut 'berat'. Memandangkan harga barang semuanya sudah naik. Sekiranya, menunya makanan asasi, rasa-rasanya 'budjet' nya pun tinggi. Apa yang penting, niat kami hendak membuat kenduri terlaksana. Tak kisahlah apa menunya. Tapi, rezeki itu berada di mana-mana dan Allah permudahkan dengan menu yang semakin bertambah sumbangan dari ibu mertua dan juga adik beradik yang lain. Jadi dari menunya yang dirancang dalam lima jenis menjadi berjenis-jenis. Terima kasih kepada semua yang menyumbang, hanya Allah sahaja yang membalas.


Tetamu yang dijemput adalah terdiri dari adik beradik kandung, dan ipar duai. Tidak lupa jiran-jiran terdekat. Dan juga diundang sahabat dari PTS. Yang hadir adalah Pengurus PTS Islamika, Tuan Faris dan isteri serta anak-anaknya yang comel (sayang terlupa ambil gambar disebabkan kesibukan melayan tetamu yang datang dan juga nak balik).


Semua yang hadir bertanya, mengapa buat kenduri? Kenduri sempena apa? Susah juga hendak menjawab, tetapi banyaklah alasan termasuklah alasan teringat arwah-arwah bapa, ayah mentua, nenek tersayang dan datuk tercinta. Sebenarnya, alasan itu kuat termasuklah mendapat rezeki dari royalti buku. Dan ada beberapa alasan yang munasabah biarlah ia menjadi rahsia. Semuanya ingin dikongsi bersama dengan orang lain kegembiraan yang dikecapi secara tidak langsung.


Sudah lama tidak masak memasak untuk kenduri, jadi itulah masanya memasak banyak untuk dijamu oleh orang ramai. Menu utama, tuan rumah yang masak sendiri. Alhamdulillah, habis! Minta maaflah kepada kawan-kawan yang dikenali sama ada dalam blog mahupun rakan penulis tetapi tidak dapat menjemputnya kerana kenduri kali ini memang kecil dan lain kali saudara sekelian akan dijemput, insya-Allah. Tunggulah!




II


Dalam sibuk-sibuk membuat persiapan terakhir (ceh! Macam nak buat kenduri kahwin) maksud sedang menggetel karipap, ibu mentuaku mendapat satu panggilan terkejut dari anak buahnya. Anak buahnya bukanlah muda lagi tetapi bertaraf pencen yang ada gelaran 'datuk'. Aku memang mengenalinya kerana dia sepupu suami dan kami selalu datang ke rumahnya apabila ada majlis-majlis tertentu seperti rumah terbuka hari raya. Dia orang penting dan pernah jadi datuk bandar shah alam. Tetapi kami tidaklah rapat memandangkan masing-masing ada komitmen sendiri. Jumpa pun bila ada kenduri kahwin dan majlis makan-makan.

Memang sedari awal, sudah diketahui yang sepupu suami akan berkahwin dengan kawan lamaku. Alahai, Hamidah Hamzah, bertemu jodoh juga akhirnya dengan saudara den! Datuk itu menjemput mak ciknya ke majlis perrnikahan. Ibu mentuaku mula-mula malu (alahai mak mentuaku!) tetapi memandangkan anak buah, dia pun mengajak aku pergi. Katanya aku kawan lama hendaklah temankannya pergi. Aduhai! Kalau diikut hati ini memang malas, sebab badan dah mula rasa sengal-sengal akibat bertungkus lumus memasak dan menyediakan menu-menu kenduri. Tetapi mulut ini kata, insyaAllah, emak! Emm! Ok juga kalau pergi, sudah lama tidak berjumpa dan harap-harap dapat jumpa kawan-kawan lama. Tapi tengoklah keadaan, kalau tak terkehel ke. Sakit belakang ke, bolehlah pergi. (itu baru buat kenduri kecil, jika kenduri besar mahunya demam seminggu). Tapi ibu mentuaku, asyik menyebutnya sehingga ke malam hari. Alahai, nampaknya kena pergi jugalah!


Hari ini, aku bersiap seawal 10 pagi. Walaupun badan terasa sengal-sengal (maklumlah usia semakin senja) tapi semangat untuk bertemu dengan kawan lama tetap ada. Memandangkan dia juga sudah berhijrah, aku rasa kena pergi untuk bagi sokongan (ialah macamlah dia perlukan sokongan moral dari kawan lama yang hampir 10 tahun tak jumpa. Entah ingat atau tak).

Sebaik sahaja di rumah adiknya, sempatlah juga aku menyaksikan majlis pernikahannya. Berseri muka Hamidah atau semasa di RTM, aku lebih senang memanggilnya 'Kak Mid' dan juga pengantin lelaki, yang berseri dan nampak muda. Dan sempatlah juga aku bergambar kenangan dengannya. Juga bertegur sapa dan alhamdulillah dia masih ingat aku yang selalu menjadi penulis skripnya untuk rancangan 'Selamat Pagi Malaysia”. Selamat Pengantin Baru Datuk Ramlan dan Datin Hamidah Hamzah. Semoga bahagia sehingga akhir hayat!

21.7.08


Kulit Buku Surah-surah Rindu


Akan keluar pada 08.08.2008

15.7.08

Pengalaman seorang pr tak bertauliah...

Semasa diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda, dalam fikiran ini tiada lain untuk mengambil media massa dalam jurusan kewartawanan. Hati ini telah terarah ke arah itu. Sesuailah dengan jiwa yang memberontak sentiasa ingin ambil tahu tentang orang lain (maksudnya itu, suka melapor kebenaran). Semasa dalam pengajian, memang pelbagai ilmu ditimba dalam merungkai erti makna media masa dan komunikasi. Termasuklah terpaksa belajar psikologi (tapi tak sangka pula dalam markah terbaik dalam subjek itu, kiranya bolehlah jadi seorang pakar kaunseling), perhubungan awam, ekonomi, sejarah dunia, politik dan pelbagai ilmu termasuklah ilmu pengajian Islam (alhamdulillah subjek ini juga selalu tinggi). Kiranya bekalan untuk menjadi seorang wartawan itu telah dilengkapi dengan pelbagai ilmu. Tapi masa itu, ilmu komputer memang dapat cukup makan kiranya bolehlah meluluskan diri mendapat segulung ijazah. Dan kemudahan bilik komputer ketika di universiti amat menyedihkan meskipun universiti itu gah sebagai sebuah universiti untuk bumiputera sepenuhnya. Tapi mungkin masa kini, bilik-bilik itu sudah dimodenkan ataupun sudah dipasang penghawa dingin yang canggih.

Sebenarnya, yang ingin disentuh adalah subjek perhubungan awam. Meskipun ambil kewartawanan tapi ilmu perhubungan awam juga penting. Sebagai seorang yang berinteraksi dengan orang ramai, ilmu pr (public relation) ini teramat penting. Di kalangan orang-orang seperti bahasa penting untuk perhubungan awam dipanggil pr je. Jadi, pr itu penting bagi orang yang menggelarkan diri mereka orang media. Apatah lagi jika seseorang itu menjadi pegawai perhubungan awam dalam sektor awam mahupun swasta. Kalau semasa di kampus, sesiapa yang mengambil kursus pr kebanyakan mereka terdiri dari kelompok yang digolong sebagai individu yang mempunyai personaliti menarik, suka tersenyum, peramah, mudah bergaul, pandai dwi bahasa, tidak sombong, sanggup melayan tetamu sampai selesai...dan pelbagai lagi. Dari sekecil-kecil perkara sehingga ke perkara yang besar. Pokoknya , kena jaga tetamu yang diundang. Orang kata kena entertain. Kena layan tanpa mengira status kedudukan seseorang selagi dia bergelar tetamu untuk tempat kerjanya.

Pengalaman menjadi pr secara tidak langsung lebih ketara semasa menjawat jawatan sebagai penolong penerbit rancangan tv. Dari mengarang surat jemputan, menghubungi, berbual mesra, memujuk tetamu supaya hadir dalam program yang dirancang, meminta sponsor tempat penginapan apabila bekerja di luar daerah atau out station. Semua itu kena dilakukan secara persendirian. Tiada siapa nak tolong, pandai-pandai buat kerja sehingga rancangan yang diterbitkan itu sempurna. Tiada siapa yang hendak ambil tahu tentang kerja-kerja yang akan dilakukan. Sesungguhnya pengalaman mendewasakan sikap kita supaya lebih toleransi, tidak sombong, tidak bangga diri, tidak syok sendiri, tidak terlalu merendah diri atau terlalu tinggi diri, dan ribuan pengalaman yang mendewasakan akal fikiran dan tindakan. Pelbagai jenis manusia sudah ditemui sama ada dari yang tinggi kedudukannya sehinggalah rakyat marhain. Pelbagai jenis kenderaan sudah dinaiki dari setinggi langit kapal terbang sehinggalah ke sampan nelayan. Cumanya belum berpeluang naik kapal selam je. Sementara hotel pula, dari yang hampir 6 bintang sehinggalah ke rumah tumpangan. Tetapi apapun dalam menerokai alam media itu, pr mesti ada.

Bekerja dengan media lebih-lebih lagi penyiaran, memang kena lasak. Lasak dari segala-galanya. Adakalanya terasa macam tomboy pula. Namun batas-batas sebagai wanita solehah (moga-moga jadi wanita yang solehah) memang dijaga. Sebab itu, ketegasan harus ditonjolkan di samping kelembutan. Entahlah, rasa-rasa sukar hendak menjadi seorang yang lemah lembut seperti seorang arwah penerbit yang banyak membimbing diri ini menjadi seorang yang berkeyakinan pada diri. Perwatakannya memang lembut dan orangnya memang cantik boleh dikatakan bidadari dunia lah. Sekiranya perempuan yang melihat cair hati apatah lagi orang lelaki. Kata-katanya yang lemah lembut tapi berisi masih terngiang-ngiang di telinga ini. Dalam hati berkata, “alahai bolehkah aku seperti dia.” Sebabnya diri ini memang dilingkungi dengan kaum adam. Dari ahli keluarga sehinggalah anak saudara semua kaum adam. Suami pun kaum adam, hish! hish! Itu sudah semestinya!. Maaflah kiranya merapu tapi itulah hakikatnya. Setiap orang dijadikan berbeza sifatnya dan rupanya.

Berbalik kepada sikap pr yang baik yang penting harus bijak menangani masalah. Itupun satu perkara juga. Nasib baiklah ilmu pr yang ditimba tidak sia-sia. Ia lebih bermakna jika dipraktikkan di medan yang sebenarnya bukan sekadar teori. Dan untuk praktikkanya mengambil masa juga bukan dalam sekelip mata boleh jadi bagus. Pengalaman kena maki hamun pun ada. Dipuji pun ada apatah lagi dilayan sebagai vip pun ada (he he he! Perasanlah tu) tapi itulah hakikatnyanya. Ada masa kita kena layan orang sebagai vip dan sebaliknya kita pula di layan oleh pr lain sebagai vip. Bagaimana saya dilayan sebagai vip? Nantilah saya akan sambung ke coretan yang lain. Jari jemari saya yang baru nak jadi lembut ini terasa sengal...kita jumpa lagi, itupun kalau ada orang nak bacalah...atau saya saja je nak curah perasaan, sebab kagan untuk kembali menjadi pr....he he he! Atau mungkin syok sendiri...peduli apa...ini blog saya suka hatilah nak tulis apa pun! Jangan marah ye! (ada ke orang nak marah?) ...bersambung.

2.7.08


Surah-Surah Rindu

Alhamdulillah, segala kesyukuran itu ditujukan kepada Allah yang mengurniakan kepada saya yang lemah ini kekuatan untuk terus menghabiskan bait-bait terakhir novel sulung ini. Sememangnya ingin menghasilkan novel bermula dari sejak diri ini melibatkan diri dalam dunia penulisan sejak 18 tahun yang lalu. Tetapi atas kesibukan bekerjaya yang membuatkan diri ini kesuntukan masa kerana terlibat dalam dunia kewartawanan dan penyiaran meruntun tumpuan sepenuhnya.

Namun setelah mengambil keputusan untuk bekerja secara bebas, cita-cita untuk menghasilkan novel yang bercorak ilmu dan Islam itu mula menggebu kembali. Apatah lagi setelah bertemu dengan penerbit yang mempunyai matlamat untuk menghasilkan novel sastera Islami. Mungkin sesetengah orang menganggap bahawa penulis tempatan tertiru-tiru gaya penulis luar yang telah berjaya dalam menghasilkan novel islami. Biarlah apa pun tanggapan orang, perkara yang baik perlu ditiru demi kemaslahatan masyarakat hari ini.

Terima kasih kepada PTS Millenia yang memberikan peluang kepada saya untuk turut mewarnai dunia sastera. Mungkin hasil sulung ini banyak kelemahan. Tetapi itulah hasilnya setelah hampir empat bulan bertungkus lumus menyiapkan dengan sokongan dari suami tercinta, Hj.Mohd Fauzi Abu Bakar. Begitu juga dengan peringatan yang sentiasa diberi oleh bekas editor PTS Millenia, Nurul Hafizah Mokhtar, sering merangsang agar teruskan penulisan sehingga noktah terakhir. Tidak lupa kepada seluruh ahli keluarga yang sentiasa menantikan karya seterusnya kerana diri inilah satu-satunya yang memeriahkan dunia penulisan. Terima kasih atas sokongan anda!
Nota: Gambar diambil dari blog universitipts...mohon Puan Ainon izinkan. Manakah satu yang lebih menarik?

1.7.08

Alahai DBP!

Minggu lalu, ku ajak suami berjalan-jalan. Meskipun orang kata jimat cermat tapi kali ini aku nak lepas geram sebab hendak beli buku. Yang paling penting nak beli kamus terbaru terbitan DBP kerana semasa pesta buku tak sempat nak beli kerana kesibukan dan juga malas nak bawa sebab kamus itu berat. Dari hari sehari tangguh pergi ke DBP, tapi kesempatan diambil apabila suami beri maklumat yang DBP ada sambutan 50 tahun, kiranya seperti hari ulang tahun DBP. Itu pun dia terlihat kain rentang yang meriah disangkut di pagar DBP. Kiranya, orang-orang yang terlalu dekat situlah sahaja yang boleh lihat. Itu pun sekiranya mereka terlihat dan terbaca. Bagi yang tidak prihatin langsung buat tak tahu. Terdetik dalam hati ini, kenapa tiada promo? Setiap hari aku belek ruangan berita dalam alam maya, tapi satu maklumat tentang sambutan itu langsung tiada. Dan aku menjangkakan sudah tentu orang ramai tak tahu.

Aku bertanya kepada beberapa kawan seangkatan denganku, yang memang golongan penulis. Mereka tidak tahu langsung tentang program itu. Malah bila diajak pergi, malaslah. Memang kalau ikut hatiku ini malas juga nak pergi, tapi aku ghairah nak beli kamus, sebab dikatakan ada potongan yang diberi, tak tahulah berapa agaknya.

Akhirnya, sampai juga aku ke DBP dan aku lihat kain rentang yang sedikit punya panjang maklumat yang ditulis. Kiranya semput juga membaca sebab banyak sangat program yang hendak dilakukan sepanjang 4 hari berlangsung sambutan ulang tahunnya. Tak sempat aku membaca sehingga habis, suami sudah meninggalkan aku di belakang. Terkejar-kejar juga. Mulut aku yang gatal pun berkata, “Macam tak ramai orang pun!” Suamiku mengangguk tanda setuju.

Memang tak ramai, masuk saja ruang DBP kedengaran lagu dipasang. Macam karaoke je. Atau macam majlis orang kahwin. Tapi orang ramai masih boleh dibilang dengan jari sedangkan hari itu adalah hari Ahad. Agaknya orang malas nak pergi sebab kena jimat cermat. Lagipun apa yang ada dalam DBP tu? Entahlah. Ada beberapa gerai didirikan di hadapan pintu masuk bangunan itu. Entah gerai apa pun tak tahulah. Nampaknya macam orang jual produk makanan. Aku dan suami ambil kesempatan minum air percuma..teh ais..entah apa rasanya. Hanya seteguk saja sebab cawan yang diberi alahai kecil bonar. Tapi minatku taklah nak beli produk begitu, menghabiskan duit den je! Aku dan suami terus masuk ke dalam bangunan dan singgah di bilik pameran sejarah DBP. Seseorang menghulur kertas dan pen. Katanya cubalah masuk kuiz. Aku pun ambil hulurannya, takut dia kecil hati pula. Dalam dewan pameran yang disusun cantik dan kemas, tak ada orang. Yang ada seorang wanita dengan dua anaknya yang cuba menjawab kertas soalan kuiz. Aku pun cuba lepas tu malas sebab bukannya semua jawapan ada di dewan itu. Kena pula pergi ke tingkat 4.. ini yang buat aku tak ada selera nak masuk kuiz.

Suami pun ajak masuk ke kedai buku DBP. Aku setuju kerana sudah bosan. Apa yang sebenarnya DBP buat ni? Aku terus cari kamus dan buku-buku berkenan di hati. Akhirnya, aku beli buku-buku novel dan antologi cerpen yang berharga antara RM2 dan RM3. Alahai kesian penulis mapan dan sasterawan, buku mereka dijual atau dilelong murah! Aku harus berfikir secara matang untuk menghantar karya ku ke DBP. Ibarat pesanan maut dari sahabatku, “DBP adalah penerbit yang terakhir kalau nak hantar karya.” Maksudnya, faham-faham je lah!

19.6.08


Ku Petik Cinta Itu


Ku petik cinta itu
ku semat dalam hati kosong
ku raih cinta itu
dengan rasa rindu dendam


Selama cinta bersemi dalam hati
hati semakin resah gundah gulana
galau cinta di tolak
bak burung pungguk rindukan bulan


Kini cinta tidak kesampaian
Ku petik cinta sekali lagi
ku semai di halaman cinta sepi
cinta berpadu hati terlara


Layakkah daku bercinta dengan hati rapuh?
Terimalah cintaku ini seadanya
Moga Kau sambut cintaku ini.

12.6.08

Selama ini pun memang berjimat!

Ada seorang sahabat marah-marah. Terperanjat juga apa yagn dimarahkannya. Rupanya marah kerana harga minyak naik. Walaupun dia tiada terlibat dengan penggunaan minyak petrol mahupun diesel sebab dia langsung tiada kenderaan hatta basikal buruk tetapi dia tetap hendak meluahkan kemarahannya. Nasib baik, telinga yang mendengar ini tebal dan juga peka bukan pekak. Yang mendengar ini juga sudah meluap-luap juga tekanan darahnya! Nasib baiklah tekanan darah yang hendak meninggi masih di tahap sempadan, kalau tidak terus tergolong dalam kumpulan penyakit darah tinggi.

Sahabat itu berkata dengan kata-kata pedasnya, banyak kena potong ayatnya. Antaranya, memang selama ini kita berjimat! Gaji tak naik sudah lama dah berjimat tapi kini depa suruh kita jimat lagi, apa yang hendak dijimatnya. Yang miskin sudah tentu berjimat tapi bila harga barang bertambah naik dan tak turun-turun walau sesen, apa yang hendak dijimatkan. Nak kami ini makan pasir ke? Nak suruh kami duduk dalam bergelap pada waktu malam? Kalau kawasan rumah ini banyak pokok, ada sungai yang bersih, angin bertiup sepoi dengan nyaman, malam tidur tak berkipas pun tak pa. Ini rumah siang malam panas berdenting, apa ke halnya? Marah sungguh dia!

Cakap apa yang tak naik bila harga minyak naik? Dah lama tak baca paper sebab tak mampu nak beli. Daripada beli paper baik beli nasi lemak ke, duit ke..boleh bagi anak-anak makan Memanglah makan di rumah itu jimat, tapi kalau barang dah naik, jimat apa namanya. Takkan nak kurangkan makan nasi, kurang makan sayur, kurang makan ikan...dah lah selama ini kurang berzat dalam badan, tambah disuruhnya berjimat, bertambah kurang zat dalam badan. Kesian budak-budak yagn baru yagn membesar, terbantut pula tumberasan meraka sebab bapanya yang kini punya duit semakin kecil. Nak bekerja lebih waktu, nanti penyakit lain pula datang..letih, ngantuk, kurang kasih sayang, kurang amalan ibadah, sebab tertumpu nak cari duit lebih.

Banyaaklah lagi bebelan sahabat tu, tak larat je nak tulis...layaan......!

5.6.08

Bila semuanya naik!

Dikatakan pada mulanya minyak akan naik pada bulan Ogos. Tapi, sebelum itu, memang ada ramalan yang mengatakan minyak naik pada Ahad lalu pada kadar 40 sen. Namun dinafikan oleh orang nombor dua negara. Senyap sebentar. Suara sumbang pula berkata, minyak akan naik pada Ogos. Pengguna sudah mula berdebar. Dalam kotak fikiran masing-masing sudah membayangkan bajet yang semakin tinggal sedikit malah mungkin zero tanpa nombor.

Petang semalam, membaca berita terkini dalam Malaysiakini, sungguh terkejut. Rasa-rasanya, kalau siapa ada sakit jantung, darah tinggi, kencing manis, kalau tidak terkawal, mahunya tumbang atau pitam sebentar. Minyak petrol naik lebih dari 100%. Ingatkan bersen atau 10 sen tapi 78 sen. Itu belum lagi diesel. Seandainya minyak petrol boleh digantikan dengan air sungai ke, air laut ke, alangkah nikmatnya.

Kini, tiada yang turun. Semuanya naik! Beras naik, gula naik, tepung naik, minyak masak naik, telur ayam naik, ikan naik, sayur naik, ayam naik, roti canai naik, teh tarik naik, teh o pun naik. Macam-macam naik! Malahan elektrik juga akan naik. Apa usaha kita hendak berjimat. Nak tanam sayuran di hadapan rumah, tanah sekakang kera. Duduk rumah ala burung merpati...di mana nak tanam sayur. Nampaknya, bagi umat Islam, banyakkanlah berpuasa. Buka puasa makan ala kadar je!

Hari ini sebaik sahaja langkah keluar dari rumah, semuanya berbayar. Malahan ke tandas awam mesti sediakan 20 sen atau 30 sen. Apatah lagi naik kenderaan awam. Semuanya berduit. Bagi yang berkeluarga besar tapi bergaji kecil, kesian sekali. Bagi pekerja yang gajinya memang tak naik sepanjang bekerja, bukankah akan sakit jiwa. Harga makanan di luar semakin tinggi. Kalau tidak berharga RM4 ke atas, alamak makan nasi dengan kuah je (itupun harganya lebih dari RM1).

Entahlah! Tunggu sajalah, semuanya pasti naik tak ada yang hendak turun.