Pesta Buku Selangor 2008, kurang menarik!
Awal pagi sudah bertolak dari rumah. Kali ini aku ke Shah Alam dengan menaiki pengangkutan awam. Suami tidak dapat hantar kerana dia bekerja. Tetapi tidak menjadi masalah kepadaku kerana Shah Alam adalah tempat yang menjadi kenanganku semasa belajar lebih dari 14 tahun yang lalu. Bandar Shah Alam sudah banyak berubah. Dari bandar yang suatu ketika dulu apabila jam 7 petang adalah bandar mati kini berkembang pesat dengan kewujudan hotel, pusat membeli belah dan sebagainya. Kawasan perumahan juga semakin padat dan sendat dengan penduduknya.
Aku teringat, bila tiba saat menghadapi peperiksaan besar, aku dan kawan yang lain sering menghabiskan masa di taman tasik yang berhampiran ataupun kami beruzlah di masjid negeri Shah Alam yang terletak betul-betul di tengah Shah Alam. Nostalgia itu bermain-main di mataku
Tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa KL yang lalu, tiada gantungan diskaun yang memeriahkan gerai-gerai buku di situ. Aku sendiri tidak pasti berapakah diskaun yang diberikan kepada pembeli yang akan membeli buku-buku di situ. Yang aku dengar, hanya 10 % sahaja. Dengan tawaran yang tak pasti, sudah tentu tidak menggamit para pembeli untuk membeli buku. Tekaan aku memang tepat. Menjelang pukul 11.00 pagi, orang semakin ramai datang tetapi bukan untuk menyinggah di gerai kami tapi sekadar lalu dan menjeling sahaja. Tambah menggamatkan, apabila gerai yang aku duduk berhampiran dengan kedai muzik dan jual vcd. Tambah riuhlah dan tenggelamlah pesta buku.
Dalam kebosana
Menurut, editor PTS Islamika, buku Selembut Bicara sudah habis dalam stor dan akan diberi wajah baru dari segi saiznya bila diulang cetak nanti. Alhamdulilah, itu satu berita menggembirakan bagi dirku. Dan proses lesen di Indonesia bagi buku, 'Selembut Bicara' dan juga buku, '10 sahabat yang dijanjikan Syurga' juga telah diselesaikan dan menantikan penerbitan di Indonesia. Itu juga satu berita yang menyenangkan hatiku.
Sesetengah orang mungkin tidak suka untuk duduk dan menandatangani buku yang dibeli oleh orang ramai. Tapi bagiku, pengalaman menunggu reaksi dari orang yang membeli adalah sesuatu berharga. Dari situ kita boleh kenal siapa yang membeli dan membaca buku kita. Dalam kebosanan itu, ada seorang wanita yang agak berumur bersama anaknya datang bertanyakan buku aku. Dia berminat untuk membeli. Setelah membayar dia minta aku tandatangan, aku bertanya siapakah pemilik buku itu, dia kata, dirinya yang akan membaca buku itu. Ini bermakna, buku itu yang dikatogerikan sebagai bacaan untuk remaja, turut dibaca oleh kelompok dewasa.
Orang ramai semakin membanjiri ruang itu apabila menjelang pukul 12.00. tapi seperti yang dikatakan tadi, mereka tidak singgah ke gerai kami tetapi berlalu dan mungkin singgah di kedai berhampiran. Suasana hingar bingar tidak mengizinkan untuk bercakap atau menarik orang ramai ke gerai. Memang tak sesuai! Akhirnya tempoh satu jam berlalu. Malangnya, buku 'Selembut Bicara' tidak dapat dipamerkan kerana sudah tiada dalam stor. Sesungguhnya, pengalaman di Pesta Buku Selangor 2008 memberikan satu inspirasi lain.
Coretan ini akan disambung untuk mengisahkan Pesta Buku Malaysia 2008, yang diadakan di PWTC, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment