29.12.09



Kulit Terbaru 10 Sahabat diJanjikan Syurga
Cetakan kedua buku ini berwajah baru. Dengan penambahan muka surat, rekaletak yang berbeza serta disisipkan penanda buku.Alhamdulillah! Cantik juga kulit yang baru itu.

18.12.09

Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah 1431Hijrah. Semoga tahun-tahun akan datang lebih bermakna pada diri kita. Hidup ini semakin singkat, kerana usia semakin bertambah. Apakah segala yang dituntut Allah telah kita laksanakan? Apakah amalan yang dilakukan telah diterima? Apakah azam telah dicapai?

Aku sebagai insan yang kerdil hanya termampu membuat setakat yang terdaya. Ingin menjadi insan yang solehah. Ingin menyampaikan ilmu yang sedikit ini melalui tulisan. Ingin melakukan kebaikan dengan banyak bersedekah, rendah diri, tidak sombong, tidak kedekut.

Semoga amalan yang sedikit ini diterima..itulah harapanku.. Dan banyak lagi harapan dan cita-cita tetapi biarlah ia menjadi rahsia diri ini.

Anda pula bagaimana?

11.12.09

Membina Peribadi Positif

Peribadi perlu dibentuk supaya cemerlang di dunia dan di akhirat. Muslimah hendaklah membina keperibadian sebelum menjalinkan hubungan dengan individu lain. Ini kerana individu lain itu juga menilai keperibadian kita sebelum menjalinkan hubungan baik dengan. Dalam Islam, tingkah laku dan keperibadian murni adalah dituntut untuk diamalkan sebagai satu amalan ibadah di sisi Allah.

1. Menjauhkan diri dari melakukan tingkah laku yang boleh merosakkan kesihatan, fizikal dan jiwa. Elakkan diri dari membuat sesuatu yang merosakkan diri sendiri.

2. Menjaga diri dengan menyemaikan sifat-sifat baik seperti menjauhkan diri dari menurutkan kehendak hawa nafsu yang boleh menjerumuskan diri ke lembah yang tidak baik. Kita juga perlu menjaga diri dari terjebak dengan kelakuan yang tidak sopan yang menjejaskan imej muslimah sejati. Mengawal diri dari dipengaruhi oleh sahabat yang tidak beradab tinggi.

3. Mempunyai tingkah laku yang sabar, tabah dan rendah diri.

4. Memelihara maruah diri dari melakukan tingkah laku yang dilarang oleh agama Islam.

5. Merasa malu hendak melakukan tingkah laku yang bertentangan dengan nilai Islam.

6. Bersederhana dalam tutur kata dan juga berpakaian. Tidak berlebihan dalam kehidupan seharian.

7. Menjauhkan diri dari mengambil barang keperluan yang haram dan meragukan. Pastikan halal atau haram sesuatu barang itu.

8. Merasa cukup dengan rezeki yang diperoleh.

9. Menjaga kebersihan diri.

10.Bersikap jujur dan ikhlas dalam apa jua keadaan.

11. Menggunakan waktu lapang dengan mengerjakan amalan ibadah.

12. Memulakan setiap pekerjaan dengan ucapan bismillah.

13. Mendahulukan yang kanan bagi tingkah laku yang baik.

14. Menjaga lidah supaya tidak bercakap perkara yang tidak baik seperti suka mencarut,mengumpat, membawa mulut, menghina, dan sebagainya.

15. Rajin menuntut ilmu dan menjadi bijaksana.

16.Tidak asyik berangan-angan tetapi selalu ingat bekalan apakah apabila mati.

17. Rajin memelihara amal ibadah.

18. Hendaklah pemurah dan suka menderma demi kebaikan orang lain.

19. Mudah memaafkan orang lain.

20. Sering merenung diri (muhasabah) atau menghitung diri sendiri.

21.Sentiasa bekerja sungguh terhadap sesuatu pekerjaan.

10.11.09

Selamat Menunaikan Haji Kak Engku

Bulan November ini adalah bulan orang-orang Muslim pergi mengerjakan haji ke Mekah. Sungguh bertuah pada sesiapa yang mendapat seruan untuk menunaikan haji pada tahun ini. Aku pula entah bila agaknya. Belum ada rezeki ini tetapi niat untuk ke sana, memang sudah lama dipasang.

Baru-baru ini aku baru dapat berbual dengan rakan penulis, Puan Ainin Naufal. Antara cerita yang disampaikan kepada aku ialah bahawa rakan penulis yang sedang menunggu jawapan untuk mengerjakan haji tahun ini adalah Ezee Rahmani. Atau aku selalu memanggilnya dengan Kak Engku.

Hari ini aku tergerak hendak menelefon Kak Engku untuk bertanyakan khabar. Alhamdulillah aku dapat bercakap dengannya. Dan aku bersyukur kerana rupa-rupanya hari ini Selasa adalah tarikh Kak Engku akan meninggalkan rumahnya untuk pergi ke Kelana Jaya dan esok (Rabu) akan bertolak ke Mekah. Aku mengucap syukur kerana dapat berbual dengannya buat kali terakhir dia berada di Malaysia. Terharu rasanya, kerana dengan kesihatannya yang kurang memuaskan, akhirnya hajatnya hendak menunaikan haji termakbul.

Aku mendoakan semoga Kak Engku dan suaminya, Abang Rosli selamat pergi ke Mekah dan kembali ke tanahair dengan selamat. Semoga mendapat haji mabrur. Amin!!!

5.11.09




Selembut Bicara menjadi Oasis Hati






Alhamdulillah Selembut Bicara telah dilesenkan secara rasmi dan kini menjadi Oasis Hati, judulnya yang baru yang diterbitkan oleh Gramedia di Indonesia. Aku menerima 5 naskhah buku dari pihak Gramedia melalui PTS Islamika yang diterima dalam dua bulan yang lalu. Tajuknya agak berbeza berbanding dengan buku yang lagi satu. Tidak mengapalah, yang penting, isi kandungan itu dapat dibaca dengan baik oleh pembaca di sana. Kerana segala isinya telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia



Kepada pengunjung dari Indonesia, bolehlah mendapatkan buku itu di kedai-kedai buku di Indonesia. Selamat Membaca!

1.11.09

Kembali ber-blog

Sekian lama tiada cerita baru dalam blog peribadi, kini kembali ber-blog. Alhamdulillah! Itupun atas rasa prihatin dari suami yang kasihan melihat aku termangu kerana sudah lama tidak melayari internet. Banyak cerita yang hendak dicoretkan di sini, apakan daya, banyak halangan yang melanda. Tetapi, biasalah itu hanya ujian kecil, insan yang lain, lebih besar ujian yang dihadapi. Alhamdulillah, akhirnya dapat bersiaran..macam hendak keluar tv pula. Baiklah..insya-Allah aku akan menulis cerita-cerita yang tertangguh...

9.6.09


10 Sahabat Yang Dijanjikan Syurga sudah terbit di Indonesia

Minggu lalu, aku menerima kiriman pos laju dari PTS Islamika. Isi kandungannya adalah buku 31 kisah teladan, 10 Sahabat Yang Dijanjikan Syurga versi Indonesia. Alhamdulillah, akhirnya buku itu telah diterjemah ke dalam bahasa Indonesia. Aku menerima sebanyak enam buah buku itu. Kulitnya memang amat berbeza. Ala-ala rekabentuk zaman dahulu. Emm...tidak mengapa, janji buku itu sekarang ini sudah berada di toko-toko di Indonesia, terbitan syarikat penerbitan yang terbesar di sana, iaitu Gramedia. Semoga usahaku untuk menyebarkan ilmu akan berterusan, alhamdulillah dan insya-Allah. Kini, aku menunggu pula, buku “Selembut Bicara” yang juga akan diterbitkan oleh Gramedia juga.



Cuba lihat perbezaan kulit buku terbitan di Malaysia dan juga di Indonesia.