7.4.14


Perkongsian Penulisan


Bismillah.

Segala puji-pujian hanya layak ditujukan kepada Allah SWT. Pemilik diri ini dan juga segala sekalian makhluk dan alam buana.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulis, kekasih Allah SWT,  Nabi Muhammad s.a.w, para keluarga dan juga sahabat baginda.

Alhamdulillah, sekian lama bercuti dari menulis blog ini, kini ingin menulis agar dapat berkongsi ilmu yang sedikit ini kepada mereka yang sudi membaca status blog ini.

Kali ini, ingin berkongsi ilmu dan pengalaman dalam penulisan. Selamat berkenalan kepada yang baru membaca blog ini dan juga selamat menjadi penulis yang disayangi Allah SWT kepada yang baru hendak berjinak-jinak mengenali dunia penulisan ini.

Dalam apa jua perbuatan yang hendak kita lakukan biarlah ia adalah sesuatu yang memberi manfaat pada diri dan juga orang lain. Apa yang penting, ia diterima sebagai satu ibadah di sisi Allah SWT. Setiap perbuatan hendaklah disertai dengan niat. Begitu juga dengan tujuan ingin menulis dan juga menjadi penulis. Saya mengutarakan perkongsian sedikit ini dengan perkara pertama yang perlu kita perhatikan iaitu,

Pertama: Niat

Setiap pekerjaan yang hendak kita lakukan mestilah bermula dengan niat. Insya-Allah niat saya ingin berkongsi pengalaman penulisan bersama adalah kerana Allah SWT. Ilmu dan pengalaman yang dimiliki bukan miliki mutlak saya. Ini adalah ilmu milik Allah yang diberikan kepada saya dan saya amalkan serta sebarkan untuk anda semua. Sama-samalah kita berkongsi. Semoga perkongsian ilmu ini adalah satu sedekah dan diterima sebagai amalan ibadah di sisi Allah.

Niat amat penting. Pahala amalan bergantung pada niat. Dalam hadis yang bermaksud,

“Amalan-amalan itu bergantung pada niat, dan setiap orang akan mendapat apa-apa yang dihajatkannya. Sesiapa yang berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu kerana dunia yang ingin diperolehnya atau kerana seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa-apa yang ia berhijrah kerananya.”

Cuba tanyakan diri , mengapakan kita hendak menjadi seorang penulis? Adakah sebab kita berbakat? Adakah sebab kita hanya berminat? Adakah sebab kita melihat orang lain menjadi penulis maka kita pun hendak jadi penulis terkenal? Adakah sekadar ingin mengisi masa lapang? Mencari kepuasan dalam hidup? Saja-saja atau suka-suka? Ingin memeriahkan dunia penulisan? Ingin menyampaikan sesuatu? Mungkin ada seribu alasan ingin menjadi penulis.

Bagi saya, saya menulis adalah kerana minat dan juga bakat saya dalam penulisan. Terus terang saya katakan, saya tidak berminat melakukan kerja-kerja yang teliti seperti mengira stok, melakukan kerja-kerja menyimpan maklumat dalam fail, membuat kerja-kerja pejabat, menaip surat dan sewaktu dengannya. Itu bukan kerja yang saya minat. Pengalaman bekerja pelbagai jawatan dan semuanya tidak kekal. Saya suka mencuba sesuatu yang mencabar minda dan kreativiti. Saya ingin memberi. Saya ingin menyampaikan apa yang saya tahu dan saya ingin berdakwah melalui penulisan.

Ya, menulis adalah mencabar minda dan memerlukan kreativiti. Dua perkara itu akan saya huraikan pada perkongsian yang lain. Saya akui, pengalaman dalam menulis lebih banyak dalam hidup saya. Saya pernah menjadi wartawan akhbar, majalah, penulis skrip, terlibat dalam dunia penyiaran dan juga editor buku. Semuanya berkaitan dengan penulisan. Saya, kerja dan tulisan. Semuanya dalam satu. Kerja saya berkaitan dengan penulisan. Jadi setiap masa, saya tidak boleh tinggalkan untuk menulis. Makin hari makin saya mantap dalam penulisan.


Ambil komputer riba, dan mula menekan papan kekuncinya, maka lahirlah ayat-ayat yang dikehendaki. Alhamdulilah, Allah anugerahkan jari-jari ini dapat menaip dengan cepat dan tepat ejaannya. Seperti seorang jurutaip yang pakar dalam taipan apabila sudah melalui kursus. Saya belajar menaip sendiri. Menggunakan mesin taip milik kakak sendiri. Merujuk buku taip kakak. Alhamdulillah hinggalah jari-jari ini mahir dengan huruf-huruf di papan kekunci. Itu mungkin satu kelebihan saya kerana boleh menaip dengan pantas. Sehingga saya boleh menghasilkan karya novel kanak-kanak dalam masa seminggu. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan saya.

Kembali kepada niat. Niat saya menulis novel adalah untuk berdakwah. Jika zaman remaja saya boleh bergerak aktif dalam persatuan pelajar islam, kini apabila sudah berkahwin dan bekerja ia tidak seperti waktu dulu. Pandangan harus ke hadapan. Saya berfikir dalam bentuk apakah yang boleh saya sumbangkan untuk dakwah Islam. Sekurang-kurangnya ia menjadi pencen kubur saya. Sedikit amalan ini diharapkan dapat dijadikan penyebab untuk memudahkan saya di alam akhirat nanti.

Bagaimana dengan anda? Sudahkah tentukan niat anda selari dengan apa yang hendak dilakukan. Biarlah ia bermula dengan ikhlas dan berakhir dengan kebaikan. Tidak ada putus asa ditengah jalan. Kesusahan itu akan berakhir dengan kesenangan jika landasannya adalah betul dan diredhai Allah SWT. Jadi pastikan niat ikhlas dan perjuangan tetap diteruskan walaupun tidak ditaburi dengan bunga rampai. Walau onak melanda diri dengan duri tajam. Biarpun tohmah dilumuri jika diri yakin insyaAllah semuanya akan jadi baik dan memberi manfaat kepada sesiapa sahaja.
Selamat menulis.
----bersambung.
#saridahamidnovelis

No comments: