25.9.08

Siri Novel Islami Kanak-kanak "Young Aisyah"

Alhamdulillah, akhirnya dalam bulan berkat ini aku dapat menghasilkan satu manuskrip untuk novel Islami khusus untuk kanak-kanak. Walaupun pada peringkat awalnya ingin disiapkan sebelum Ramadan, tetapi aku hanya mampu merancang yang menentukan adalah Allah SWT. Namun atas semangat bulan berkah ini, aku gagahkan jari jemari ini untuk menghasilkan bait-bait seterusnya sehingga ke noktah terakhir.

Syukur ke hadrat Ilahi, akhirnya aku berjaya menyiapkannya pada hari ini, 25 Ramadan bersamaan 25 September ini. Ini percubaan aku untuk terjun dalam novel kanak-kanak pula. Kalau sebelum ini aku pernah menghasilkan karya untuk kanak-kanak tetapi aku tidak puas hati dengan cara penyelenggaraan buku itu. Dan aku mengharapkan, novel Islami kanak-kanak ini atas usaha PTS Islamika juga bakal menghasilkan sesuatu yang berfaedah untuk kanak-kanak pada hari ini. Dan juga sebagai satu alternatif yang tepat untuk mereka. Moga-moga mendapat sambutan!

Pelawaan yang diberi oleh Encik Faris, Pengurus PTS Islamika aku sambut dengan senang hati. Cita-citaku memang hendak menulis sesuatu khusus untuk golongan kanak-kanak bawah 13 tahun. Kelompok mereka ini juga tidak ketinggalan dalam memeriahkan dunia buku. Mereka memang memerlukan bacaan yang bermutu untuk dijadikan sebagai tambahan ilmu.

Usaha awal PTS Islamika perlu diberi sokongan dan aku sanggup memikul tanggungjawab untuk menghasilkan siri pertama, Young Aisyah. Teruja juga hati ini sebaik sahaja memulakan penulisan manuskrip.

Hasil perbincangan secara online dengan editor terbabit, Sdri. Assyura yang pada awalnya meminta datang ke pejabat untuk berbincang lebih lanjut. Tetapi keadaan tidak mengizinkan. Itu yang aku kesal tapi hendak buat macam mana, ada halangan bersebab. Tapi, berkat kegigihan editor yang memberikan kerjasama yang tidak putus-putus dan atas kepercayaannya pada diri aku ini, aku bersyukur dapat melunaskan janji ku kepada mereka.

Tunggulah kemunculan novel islami kanak-kanak pada bulan November, insyaAllah.

No comments: