11.5.07


Jangan tinggal apa-apa! (bab 6)

Sebaik sahaja selepas mengerjakan solat Subuh, niat hati hendak menyambung balik tidur. Mata bagai dirasuk supaya menggapai bantal busuk dan melelapkan mata sekejap. Hasutan syaitan yang didatangi secara halus dalam sanubari kerdil ini akhirnya berjaya. Saya terlelap dan ingin menyambung mimpi indah (aduh! Mudah terpedaya dengan hasutan iblis sedangkan bulan ramadan dikatakan syaitan dan konco-konconya sudah dipenjara) ini bermakna nafsu yang tidak terkawal itu yang menguasai diri dan fikiran saya ini. Sungguh lemah insan ini. Saya mengiringkan badan menghadap ke lambung kanan.

“Mengapa tidur balik?” tanya suami saya yang baru sahaja balik dari surau yang berdekatan. Saya mendiamkan diri. Tidak mampu hendak menjawab. Mata dirasakan sungguh berat. Suami saya menggoyangkan kaki saya dengan lembut. Saya akhirnya mencelikkan mata dan kemudiannya menggosok mata yang sudah mengeluarkan tahi mata.

“Sudah sembahyang?” tanya suami. Saya hanya mengangguk lemah. Badan terasa letih dan tidak terdaya.

“Hari ini awak kena pergi cepat ke pejabat. Mengapa tidak mandi lagi?” tanya suami dengan suara lembut. Saya terpinga-pinga dan mula memikirkan apa yang dikatakan oleh suami saya. Saya berfikir sejenak, mengapakah saya perlu segera ke pejabat. Ada apa?

“Mengapa termenung lagi? Kan awak hendak pergi Gunung Jerai hari ini!” suara suami sudah mulai keras apabila melihat saya yang masih pisat atau mamai. Kata-kata suami saya itu menyedarkan saya dari lamunan.

“Ya! Saya lupa!” kata saya separuh menjerit. Saya bingkas bangun dari katil dan terus mencapai tuala. Saya harus berada di pejabat sebelum pukul 8 pagi. Banyak perkara yang perlu saya lakukan pagi ini.

Setelah siap berpakaian lengkap, saya memeriksa beg yang sudah saya siapkan segala keperluan dalamnya. Beg sandar ala-ala budak sekolah di sumbat dengan segala baju termasuklah baju suami saya. Tidak mengapa, bukan saya yang kena bawa, suami yang kena angkut (hehehe! Suami mithali!) Tidak lupa baju tebal bagi memanaskan badan. Sudahlah bulan puasa, cuaca di atas gunung itu nanti tentunya sejuk hingga menggigit tulang!

Saya dan suami sampai ke pejabat saya sebelum pukul 7 pagi. Saya segera ke bilik yang menempatkan meja saya yang unik itu. Saya mengeluarkan kotak yang berisikan tape beta. Di bilik itu kelihatan, Shahrum sedang mengulit mimpi di atas kerusi.

“Shahrum! Kamu duti hari ini. Mengapa tidak masuk studio?” tanya saya setelah menyedari Shahrum yang tidur di kerusi. Bukankah hari ini dia bertugas? Mengapa pula dia tidak masuk ke studio? Saya lihat Shahrum tidak menjawab apatah lagi bergerak dari kerusi itu. Sudah pengsankah Shahrum ini? Pedulikannya! Tiba-tiba, masuk Arina secara mendadak dengan kasar menolak pintu bilik itu.

“Masyaallah! Tidur rupanya. Kita perlukan dia di studio, dia boleh tidur di sini dengan lena sekali!” Suara lantang Arina bergema dalam bilik itu. Saya yang melihatnya tersenyum. Sikap Shahrum tidak pernah berubah dan selalu curi tulang dari melakukan tugasnya. Terutamanya di waktu siaran pagi.

Saya melihat Shahrum terkejut dan segera menegakkan badannya. Dia tersengih macam kerang busuk!

“Apa dia Arina manis?” tanyanya dengan selamba sambil mengelap mulutnya yang mula mengeluarkan air liur basi. Saya hendak tergelak melihat telatahnya. Sikapnya yang tidak acuh membangkitkan rasa geram di wajah Arina yang serius itu

“Mengapa tidak ke studio? Biarkan aku buat kerja seorang diri. Kan kau yang kena sambut tetamu. Sekejap lagi tetamu vip hendak datang, yang kau tidur sesuka hati. Nanti kena marah dengan En. Edward baru tahu!” Kata Arina panjang lebar tanpa henti dengan nada tinggi. Saya lihat Shahrum tersenyum sumbing seperti tiada apa yang berlaku. Shahrum bangun dari tempat duduknya. Dia mengemaskan tali lehernya dan kemudiannya menyarung blazer hitam yang disangkutkan di kerusinya. Dia membetulkan butang balzer dan memandang ke arah saya.

“Macamana rupa saya? Tampan atau tidak?” Saya mengangguk sahaja. Malas hendak mengulas lebih lanjut, nanti panjang pula ceritanya. Kemudiannya Sahrum keluar dan diikuti oleh Arina.

Saya pun keluar dari bilik itu dan menuju ke arah belakang bangunan bagi menuju ke pejabat yang menempatkan pemandu-pemandu kenderaan yang menunggu saya dan krew yang akan bertugas. Saya dapati, Pak Cik Ismail yang ditugaskan membawa saya dan krew sudah berada di dalam pejabat itu. Hati saya merasa lega sedikit. Kini saya perlu pastikan pula kehadiran krew. Pagi-pagi begini, tambah lagi di bulan puasa sudah tentu orang semakin liat hendak bangun awal. Saya menuju balik ke pejabat dan mengangkat gagang telefon. Segera saya dial talian tempat krew penggambaran di tempatkan.

“Assalamualaikum! Boleh saya bercakap dengan abang Zamri?” Saya bertanya apabila tiada suara di sebelah sana yang menjawab tetapi gagang telefon sudah di angkat.
“Zamri bercakap.” kedengaran suaranya yang lemah. Mungkin keletihan macam saya .
Saya pun bertanyakan dengan abang Zamri dan krewnya sama ada sudah bersedia atau belum. Dan dalam masa setengah jam lagi, saya mengingatkannya perlu bertolak segera ke Gunung Jerai. Ini bagi mengelakkan sesuatu yang tidak baik berlaku. Lagipun kami perlu sampai ke sana sebelum berbuka puasa.

Suami yang dari tadi setia menunggu di pejabat saya sudah pun tidak sabar hendak pergi. Ini adalah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Gunung Jerai. Kasihan saya lihat, terpaksa menemankan saya di bulan puasa pula. Kalau bulan lain, sudah tentu banyak perancangan yang boleh dibuat. Jalan-jalan sambil makan atau singgah ke Pulau Langkawikah selepas itu...berbulan madu lagi. (apalah saya merepek ini!). Saya dan suami menuju ke belakang bangunan kerana berjanji bertemu dengan krew penggambaran di pejabat kenderaan. Tidak lama kemudiannya, Abang Zamri dan krewnya datang sambil menjinjit kamera dan peralatan yang lain. Aduh! Kasihan pula saya melihatnya. Kamera itu bukannya ringan hampir berat 10 kilo. Ini pula hendak mengangkutnya naik ke gunung. Cabaran! Cabaran!

“Abang-abang apa khabar?” tanya saya kepada mereka sambil tersenyum simpul. Saja hendak ambil hati. Kerja berpasukan ini kena pandai psikologi dan mesra. Kalau tidak, jangan harap boleh berkerjasama dengan baik. Di buatnya tidak mahu bekerja seperti yang kita mahu, alamat tidak ada gambar yang diambilnya.

“Baik.” Jawap Abang Zamri diikuti dengan lain sambil melemparkan senyuman manis mereka. Sejuk hati saya melihatnya. Ini menunjukkan petanda yang baik bahawa mereka itu boleh terima saya yang bertindak sebagai penerbit di lokasi. Ingat senang hendak jadi penerbit. Kena pandai ambil hati dan perasaan mereka dan jangan sekali-kali mengecilkan hati mereka. Maklumlah mereka itu lebih senior dari saya bekerja meskipun dari segi jawatan saya yang lebih tinggi sikit daripadanya.

'Abang, kenalkan ini suami saya,” Mereka bersalaman dengan mesra dan ini bukanlah suatu yang susah kerana suami saya seorang yang peramah dan mudah mesra. Nanti ada sahaja cerita yang hendak disampaikan olehnya.

“Baiklah abang, kita naik van. Semua sudah siap. Itu, pak cik Ismail sudah naik van dan hidupkan enjinnya.” Kata saya selaku ketua kumpulan itu yang ahlinya semuanya lelaki kecuali saya, wanita. Masing-masing sibuk memuatkan barang-barang pengambaran dan juga beg pakaian masing-masing. Berjalan di waktu pagi adalah sesuatu yang baik. Mana tahu di tengah jalan boleh ambil gambar permandangan yang lain sebagai satu insert program saya nanti.

“Kamu bawa atau tidak tape beta?” Tanya Abang Zamri kepada saya. Hati saya mula berdebar-debar. Mana pula saya letakkan kotak kecil itu. Aduh! Tidak jumpa pula!

“Pak Cik Ismail, tunggu dulu. Saya tertinggal tape dalam pejabat!” kata saya dengan cemas dan segera membuka pintu van. Krew yang lain ketawa kecil. Dan kedengaran mereka berkata, “Kalau tinggal tape, alamat kita makan angin sahajalah.” kedengaran ketawa mereka semakin kuat.

Saya bergegas keluar dari van dan berjalan pantas ke pejabat. Dalam hati, “Apalah aku ini, benda yang paling penting pun boleh tertinggal. Kalau tidak, sia-sia sahaja aku pergi! Janganlah tinggal apa -apa lagi,” Saya mula memikirkan apa yang belum di bawa.

(bersambung...)

No comments: