2.5.07

Beli Buku Adik! (pesta buku 2.Mei 2007)

Hari ini 2 Mei, saya datang lambat sedikit ke PWTC kerana tidur lewat (lepas Subuh sambung peluk bantal lagi...) sebabnya saya menulis laporan terkini dan berita sensasi untuk sahabat semua. Maka pukul 2 pagi baru boleh lelap mata. Itu pun nasib baik tidak disambung melihat televisyen kerana ada perlawanan bola (Liverpool lawan Chelsea), kejutkan suami dan saya pula sambung tidurnya (eh! eh!, jangan ingat saya tidak tahu perkembangan bola...itu pun nasib baiklah suami tidak mengajak menemannya tengok bola tapi saya sudah ada wakil iaitu Muharam kucing manja saya itu!)

Semalam Sdr. Ann mempengaruhi saya supaya saya menjual dan mempromosikan buku saya, Bahtera Nabi Nuh. Saya katakan kepadanya, saya bukanlah pakar jual menjual malahan dengan ilmu hisab (sekarang matematik) pun saya fobia apatah lagi hendak jadi juru jual memang langsung tidak ada tokoh! Tapi kalau diajak berbual boleh sikit-sikit!

Namun saya sahut cabarannya, dan sebaik sahaja sampai saya sudah terlihat dua orang penulis sudah jadi juru jual tidak rasmi PTS. Sdr. Faizal dengan buku Yong Tau Fu dan Pn. Noorul dengan novel sulung, Menjadi Bintang (kalau saya tidak silap, ini mata saya pun sudah hendak tertutup, skrin laptop ini macam nampak kelabu sahaja. tetapi demi sahabat yang hendak tahu perkembangan terbaru, saya gagahkan juga. Belum mandi lagi ni!).

Pada mulanya saya tidak perasan Pn. Noorul (dalam hati berkata, ini mungkin kakitangan PTS). Subhanallah, rupanya sahabat bengkel. Beliaulah orang pertama yang memakai apron PTS di suruh oleh Puan Sifu. Saya berbual dan bertanya khabar serta melihat novel sulungnya. Tapi sebelum itu, saya lihat En. Zamri Mohammad dan En. Samsuddin Kadir sudah sedia ada di meja bulat di ruang dekat dengan rak buku PTS yang lain.

Kenal atau tidak dengan En. Zamri yang terkenal dengan buku cintanya, tetapi dia sendiri belum bina cinta! Sama sahajalah dengan penulis Ayat-Ayat Cinta, masih bujang terang-tang-tang! Saya cadangkan tajuk terbaru kepada En. Zamri, Bagaimana Mencari Cinta alias Jodoh! (he! he!, jangan marah En. Zamri!).

Hari ini keadaan tidak seperti semalam tetapi orang ramai masih berpusu-pusu. Saya juga mengambil peluang menyertai Pn. Noorul dan petugas yang lain memujuk, merayu dan menjual buku kepada orang ramai yang lalu lalang di situ. Mula-mula nada suara dan ayat sama sahaja antara kami iaitu,

"Mari adik beli buku, potongan 20 peratus!"

"Mari kakak beli buku, kami bagi potongan 20 peratus!"

"Mari abang beli buku, potongan 20 peratus!"

"Mari mak cik beli buku untuk anak-anak, potongan 20 peratus!"


Mula-mula nada ceria dan kuat. Tetapi semakin menjelang petang dan malam, nada suara semakin kelam, muka semakin kelat dan badan pun macam hendak tumbang. Nasib baiklah gerai di hadapan memasang lagu nasyid Sami Yusuf terhibur sedikit hati dan hilang rasa mengantuk dan letih badan. Itulah pengalaman saya memujuk, merayu dan menjual buku sendiri dan juga buku-buku sahabat yang lain. Seronok dan menyeronokkan.

Saya merasa seronok melihat pembeli kecil membeli buku. Sama ada mereka ini pilih dan bayar sendiri. Atau ibu bapa yang pilih dan bayar. Dan ada juga yang bergaduh siapa yang hendak bayar. Ada juga yang memilih lebih dari lima tajuk buku termasuklah buku saya sebagai pilihannya.

Dan yang uniknya bukan saya seorang sahaja yang jadi penulis, kakitangan PTS juga penulis termasuklah, Pn.Nor Hazizam, Sdr. Nurismaliza, Sdr. Mazlia, Sdr. Ida Munira, Sdr. Alif Firdaus , Sdr. Norasyikin yang turut bertindak menjual buku. Ini satu keunikan yang mungkin tidak ada di syarikat penerbitan yang lain.

Hari itu saya tidak berbual panjang dengan Sifu kerana sibuk berdiri dan berada sebaris dengan petugas lain. Sebelah petang, Sifu menyerahkan apronnya kepada saya. Saya memakainya terasa macam hendak memasak pula. Ada seorang pelanggan datang dan bertanya,

"Hendak memasakkah?"

"Sudah, inilah menu kami yang tersedia di atas meja ini." Saya menjawab sambil tersenyum. Terlebih ramah pula saya. Diana yang berada di samping saya tergelak mendengar lawak bodoh saya.

"Potongan 20 peratus, belilah. Kalau tempat lain tidak dapat seperti ini!" tambah saya lagi bagi menyedapkan pendengaran pelanggan itu supaya terus tertarik hendak membeli.

Pelanggan itu tersenyum dan terus membelek buku dan mengambil beberapa buah buku untuk anak-anaknya.

Tidak berapa lama kemudian, kelihatan penulis tersohor En. Abdul Latip Talib datang bagi mempromosikan bukunya. Saya sempat bermesra dan bertukar pandangan dengan beliau. Pak Latif (panggilan mesra) dan bukunya mendapat sambutan yang baik. Sempatlah bergambar dengannya sebelum beliau balik ke Jelebu. Dan insya Allah, hari sabtu ini Pak Latip akan datang lagi. Hari Sabtu ini, mungkin ramai penulis PTS yang datang.

Saya sudah tidak larat menulis lagi. Ini yang ditulis apa yang terlintas di fikiran. Badan sudah terasa letih. Saya fikir, petugas PTS akan lebih letih dari saya. Inilah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan!

Saya akan ke PWTC esok kerana hendak menghadiri bengkel dengan Google. Jumpa di sana!

8 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum,

Kat sini ramai orang sudah kecewa sebab Manch. United sudah kalah...dengan pasukan Itali itu baru sebentar tadi...final nanti Liverpool lawan pasukan Italy...hi! hi! hi!


Harap-harap Liverpool mencipta sejarah seperti tahun sudah...

Wasalam

Bukan tahu sangat mengenai bola..tetapi sejak duduk serumah dengan orang gila bola(pelajar Hindustani yang memang fanatik dengan Manch. United, sanggup habis duit ke perlawanan di Old Trafford), berjangkit pula!

saridahamid said...

Saya sokong Liverpool sebabnya suami sokong. Dan juga Brazil!

saridahamid said...

Lupa hendak sampaikan khabar pada Prof. buku Prof pun boleh tahan ibarat pisang goreng panas!

Umi Kalthum Ngah said...

Ya kah?

Alhamdulillahhirabbil 'Alamin..

Syukur...

Moga semua buku kita dapat mengetuk pintu-pintu hati dan dapat mengerakkan pemilik ahti-hati ini membuat perubahan ke arah yang baik(islah)...Insya Allah...Amin..

Wasalam

Terima kasih di atas berita gembira ini...

Tahun depan Pesta Buku..mesti hadir..kita sama-sama...Insya Allah...ya?

Salam rindu!!

Noorul said...

Assalamualaikum...gembira semalam melihat ramai yang membeli buku..tapi ada kejadian yang menyentuh perasaan saya bila seorang remaja sudah memegang buku "Bercinta Ok atau KO" meletakkan kembali buku tersebut selepas di jeling oleh ibu.

Oraet.com said...

salam.
ahaaa.. nampak juga puan bertungkus lumus dgn isteri saya memperaga apron dan menjual buku.. nak tergelak..

terlepas pluang plak nak jumpa en. latip

kiciwa saya la.. MU kena blasah dgn AC.. pepe pon gogo Liverpool..

saridahamid said...

Puan Noorul,

Saya pula banyak cerita hendak ditulis berdasarkan pengalaman menjual hari itu, macam-macam gaya dan tingkah laku. Sungguh mencuit hati. Nantilah saya tulis lagi.

saridahamid said...

Terlupa hendak tanya, bilakah Pn Nooru balik? Saya tidak sedar ketika itu, kalau tidak boleh kita bergambar kenangan!