31.5.07

MENGHADAPI KRITIKAN SAHABAT


Tidak semudah itu bagi setiap individu menerima teguran yang berbentuk kritikan. Meskipun kita begitu tabah dan sabar menghadapi pelbagai rintangan tetapi hati tetap terasa pedih dan sakit apabila dikritik. Itulah kelemahan seorang yang bergelar manusia kerana ia tidak dijadikan dengan sempurna mudah berasa hati dan sensitif serta melakukan pelbagai kesalahan.

Tetapi ada juga orang yang begitu gemar mengkritik tanpa mengira masa dan tempat. Dia mengkritik mengikut sesedap rasa hatinya tanpa mempedulikan perasaan orang lain. Mungkinkah bila dirinya sendiri dikritik, adakah dia akan menerimanya? Sedangkan apa yang dikritiknya itu tidak semuanya berdasarkan fakta dan kebenaran.

Namun begitu, kita sebagai seorang yang teguh pendirian dan menghormati sahabat yang memberi kritikan, apakah tindakan yang perlu kita ambil bagi menghadapi situasi itu. Ada beberapa perkara yang perlu kita fikir dan semak, antaranya,

Menerimanya dengan sikap terbuka

Mungkin kritikan yang diberi oleh sahabat kita itu tidak betul. Tapi manusia ini berbeza dari segi hati dan corak pemikirannya. Dia berhak untuk berkata dan mengkritik. Oleh itu, kita sebagai sahabat terimalah teguran dan kritikan itu dengan hati terbuka. Sekiranya perlu dijelaskan, terangkan dengan lengkap dan padat supaya sahabat tidak terus beranggapan negatif terhadap kita. Jika itu tidak memuaskan hatinya, terpulanglah kepadanya hendak membuat penilaian.

Minta keterangan lebih tepat

Kita jangan terburu-buru menolak kritikan itu yang kemungkinan ada kebenarannya. Fahami dan selami apa yang hendak disampaikan oleh sahabat kita terlebih dahulu dengan lebih mendalam. Ini bagi memberi kedua-dua belah pihak memahami situasi sebenar dan faedah supaya perkara itu tidak berlanjutan lagi.

Jangan marah

Usahlah mudah melenting atau marah apabila kita dikritik oleh sahabat. Tahanlah kemarahan itu kerana sahabat kita berhak untuk mengkritik diri kita yang dirasakan tidak benar. Dia berhak mengutarakan pandangannya demi kebaikan diri kita. Sekiranya perasaan marah tidak terkawal, ini menunjukkan diri kita bukan seorang yang sabar.

Jangan pendam dalam hati

Apabila diri dikritik janganlah simpan di dalam hati. Kita tidak perlu memendam rasa hati terhadap apa yang sudah dikritik oleh sahabat. Hubungan perlu dijaga bagi memastikan ia berpanjangan. Sekiranya, kritikan yang diberikan itu tidak secara profesional, anggaplah bahawa yang mengkritik tidak mempunyai ilmu yang tinggi. Oleh itu, biarkan sahaja dan jangan sekali pendam atau menyimpan dendam dalam hati.

Usah dijadikan sebagai debat

Kritikan yang diberikan itu janganlah kita membesar-besarkannya dengan membalas kritikan itu. Lebih baik mendiamkan diri. Berdepan dengan cara bijaksana supaya tiada yang mengalami kerugiaan.

Muhasabah diri

Renungkan dalam-dalam atas kritikan yang diterima. Mungkin kritikan itu memberi satu kebaikan kepada diri supaya lebih memperbaiki kelemahan yang ada.

Biasakan dengan kritikan

Anggaplah kritikan itu sebagai satu pengalaman yang memberi kematangan dalam menjalani kehidupan ini. Biasakan diri kita dalam menghadapi kritikan dengan tenang dan bersikap positif walaupun kritikan tidak benar. Adakalanya, kritikan itu memberi satu keuntungan kepada diri kita.

Apa yang boleh dilakukan

Sesudah dikritik dengan pedas dan sakit telinga mendengarnya, apakah yang perlu kita lakukan? Mungkin kritikan dari sahabat itu memberi satu kebaikan pada diri kita. Perbetulkan keadaan hasil dari kritikan yang diterima.

No comments: