1.6.07

Mencari Bahan

Apabila hendak membuat sesuatu pekerjaan itu, kita tahu apa yang hendak dilakukan. Ini penting bagi menentukan apa yang perlu dilakukan bagi sesuatu kerja itu. Samalah keadaannya jika kita hendak memasak.

Katakanlah hendak masak kuah kari, apakah yang diperlukan? Kalau kari orang Melayu, santan mesti tidak tinggal, rempah memang bahan yang penting. Bila hendak lebih sedap lagi, rempah dibuat sendiri dengan menggiling cili kering, biji ketumbar, jintan putih, jintah manis, lada hitam, kunyit dan sebagainya yang boleh menghasil rempah kari asli. Kalau tidak percaya, cuba buat sendiri. Teringat seorang sahabat apabila sudah berkahwin (jika sebelum ini dia batu giling pun tidak pernah kenal, kini terpaksalah dia suaikenal dengan batu giling itu kerana setiap hari dia akan gunakannya) asyik menggiling katanya. Namun begitu dia merasa puas hati kerana suaminya puas hati dengan masakan ramuan aslinya itu. Itu kepuasan sahabat saya dari segi masakannya, di puji oleh suaminya.(Apa pula kaitan masak dan penulisan? hehehe...ada kaitannya..tunggu).
Bagaimana pula kepuasan kita dalam menulis? Adakah apabila sudah tersiar dalam akhbar, majalah, radio atau tv, kita sudah rasa puas hati? Sajak, rencana, cerpen dan sebagainya sudah disiarkan secara meluas dan kita sudah boleh mendabik dada mengatakan yang kita ini hebat dan terkenal! Ehh! Nanti dahulu! Jangan perasan diri hebat kerana lebih ramai lagi yang hebat. Sepatutnya kita makin terus merendah diri dan berusaha meningkatkan tahap penulisan supaya lebih mantap dan berkualiti.
Kualiti dalam sesuatu hasil kerja itu adalah paling utama. Jangan mudah berpuas hati dengan hasil yang kita tidak tahu nilaiannya. Tingkatkan diri dengan lebih banyak membaca karya orang lain, banyakkan menyelidik, banyakkan bergaul dengan orang yang berpengalaman dan yang lebih penting adakan satu mini perpustakaan di rumah. Penuhkan dengan segala buku yang menyentuh ekonomi, politik, sosial, agama, penulisan, sains dan segalanya selagi ia berbentuk ilmu perlu dibaca dan difahami. Tetapi sebagai seorang Islam, ilmu yang diceduk itu haruslah selaras dengan fahaman kita. Perlu ditapis sebelum menerimanya bulat-bulat.
Sekiranya merasa tidak yakin atau was-was bertanyalah kepada yang arif. Itu namanya proses pembelajaran dan kita memang dalam proses pembelajaran dari hari ke sehari. Meskipun usia sudah meningkat, ada sahaja benda baharu yang perlu kita belajar setiap hari. Peribahasa yang mengatakan, 'makan garam dahulu daripada kamu' mungkin tidak berapa sesuai lagi kerana meskipun usia meningkat tetapi pengalaman dan ilmu baru belum tentu kita ketahui.
Kita perlu sentiasa belajar dari mereka yang arif meskipun usia mereka muda dari kita. Persoalan usia jangan dijadikan sebagai penghalang untuk timba ilmu dari mereka yang lebih muda dari kita.Apa yang hendak katakan di sini, bahan yang lengkap dapat menghasilkan tulisan yang mantap dan baik. Janganlah hadkan tahap pembacaan hanya kepada satu bidang sahaja. Pelbagaikan ilmu supaya tulisan itu lebih berwarna-warni dengan maklumat yang padat.
Mungkin perkara ini akan dibincangkan lagi berdasarkan pengamatan saya yang masih sipi-sipi dan memerlukan perkongsian ilmu dari sahabat sekalian. Kita akan bincangkan lagi....

No comments: