16.6.07

Apakah Estetika?

Dalam kamus dewan, estetika bermaksud cabang falsafah yang mengkaji konsep yang berkaitan dengan keindahan, cita rasa dan lain-lain. Sementara itu, menurut Dr. Shafie Abu Bakar, estetika merupakan ciri utama yang membezakan antara sesebuah hasil penulisan sama ada sebuah karya sastera atau tidak.


Katanya lagi, tanpa ciri estetik, ia bukanlah sebuah karya kreatif. Estetika terumus dalam karya sastera hasil dari citra indah hati nurani terhadap alam dan hakikat cipta yang ditumpah ke dalam bahasa yang bersifat estetik. Manakala, dari segi pandangan Islam (Teori Takmilah), bahawa keindahan yang menjadi sumber estetika adalah sifat Allah yang manifestasinya terpancar pada kewujudan yang mencerminkan kesempurnaan Allah.


Menurutnya, seniman termasuk sasterawan yang lebih tajam tanggapan hati nuraninya dalam menanggapi elemen-elemen estetika ini ialah penghayat yang terpesona dengan keindahan ciptaan Ilahi. Pengalaman estetik sedemikian diperturunkan ke dalam karya mereka. Unsur inilah juga yang menarik dan mengesan khalayak membacanya.


Oleh itu, katanya lagi, unsur hati nurani menjadi salah satu unsur yang penting di dalam diri manusia dan unsur ini menjadi lebuh utama dalam berkreatif. Maka dari itu, Islam juga turut menggunakan elemen ini dalam menyampaikan pengajaran dan pendidikan. Ini terbukti, wujudnya cerita-cerita dalam al Quran yang boleh dijadikan contoh teladan bagi umat.


Bahkan katanya, terdapat elemen-elemen puisi di dalamnya, dan lahirnya ilmu balaghah yang mempunyai kaitan rapat dengan unsur estetika, terutama dari aspek bayan dan badi' pada asalnya dari tujuan mengkaji dan menghayati kandungan ayat-ayat al Quran.


(...sambung.. Aspek Estetika...)

No comments: