29.6.07

Ayat Quran meredakan panas baran

Kelahiran Umar bin Khattab dalam keluarganya, sungguh menggembirakan terutamanya, bapanya Khattab bin Nufail Al Muhzumi. Umar meningkat dewasa dengan penuh perhatian dan kasih sayang dari bapanya dan juga ibunya, Hantamah binti Hasyim. Bapanya melatih dirinya menjadi seorang yang kuat semangat dan juga kuat fizikalnya. Umar dilatih oleh orang tuanya menjaga binatang ternakan peliharaan keluarganya. Sedangkan kerja yang diberi adalah berat tidak sesuai dengan usianya yang masih muda. Tetapi itulah hasrat bapanya hendak membentuk tubuhnya supaya gagah dan sasa fizikalnya.

Umar menjadi seorang pemuda yang gagah dan apabila berjalan, dia berjalan dengan pantas. Satu kelemahan Umar adalah sifat panas barannya. Kemarahannya disifatkan seperti 1000 lelaki yang sedang marah. Beliau sebelum memeluk Islam, sungguh bengis kepada mereka yang mengikut kepercayaan yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Pada suatu hari, Umar menghadiri perbincangan dengan pemimpin-pemimpin Quraisy. Mereka membincangkan mengenai ajaran baru yang disampaikan oleh Muhammad dan dilihat yang boleh menggugat kedudukan mereka sebagai pembesar Mekah. Mereka mencadangkan Umar membunuh Muhammad. Ini kerana, Umar bila sudah marah, dia tidak mempunyai perasaan belas kasihan. Dia seorang yang gagah dan berani menakut-nakutkan orang serta mengugut ibarat singa yang lapar. Namun begitu, ada seorang lelaki tidak bersetuju dan berkata, “Wahai Umar! Uruskanlah keluargamu dahulu! Adik perempuan kamu dan suaminya sudah memeluk agama Muhammad! Kamu harus betulkan adik kamu itu!.”

Apabila mendengar kata-kata lelaki itu, Umar mulai marah. Dia bangun dan terus menuju ke rumah adiknya. Apabila dia mendekati rumah adiknya, Umar mendengar sesuatu yang belum didengarinya sebelum ini. Dia menghayati bacaan yang dibaca oleh adiknya yang didengar dari dalam rumah itu. Tiba-tiba suara itu terhenti dan Umar kembali sedar lalu mengetuk pintu rumah adiknya. Dia memanggil nama adiknya dengan lantang.

“Siapakah itu?” Fatimah bertanya.
“Aku!” kata Umar dengan suara keras.
“Aku Umar! Abangmu. Cepat buka pintu ini!” Umar meninggikan suaranya.
Fatimah membuka pintu rumah. Umar tanpa berlengah menerpa masuk ke rumah, dan melihat hanya Said, adik iparnya dan Fatimah sahaja berada di dalam rumah itu. Umar berlegar-legar dalam rumah itu mencari jika ada orang lain, tetapi dia hampa. Tiada sesiapa selain mereka berdua sahaja.
“Apakah ada orang lain bersama kamu tadi?!” tanya Umar dengan keras.
“Tidak ada,” jawab Fatimah dengan segera. “ Kami berdua sahaja.
“Apakah yang aku dengar tadi? Kamu membaca apa tadi?” tanya Umar bertalu-talu.
“Apa yang abang dengar?” Fatimah bertanya dan kemudiannya berkata, “Abang tidak mendengar apa-apa.” Sebenarnya, Fatimah sedang menyembunyikan kepingan tulisan-tulisan ayat Quran di belakangnya.
“Betul, aku belum pekak lagi. Aku mendengarnya apa yang kamu baca tadi,” kata Umar dengan tegas dan menyambung lagi, katanya, “Aku tahu kamu berdua sudah mengikut agama Muhammad, betulkah?”

Umar menghampiri adik iparnya lalu memegangnya. Dia hendak memukulnya. Fatimah mengetahui niat abangnya itu yang mahu melakukan sesuatu perkara jahat. Dia cuba menolong suaminya dengan menarik suaminya. Tetapi tangan Umar lebih pantas. Umar cuba memukul adik iparnya tetapi pukulan itu terkena adiknya. Kepala Fatimah luka dan darah meleleh di mukanya. Fatimah naik marah akibat rasa sakit yang dialaminya.
Dengan perasaan marahnya, Fatimah berkata, “Ya kami sudah memeluk Islam. Kami percaya kepada Allah dan Rasulnya. Apa yang abang hendak lakukan kepada kami, lakukanlah apa sahaja!” Fatimah menangis apabila habis bercakap. Hatinya merasa sedih.. Suaminya hanya mendiamkan diri. Dia bimbang.

Apabila melihat darah bercucuran daripada kepala Fatimah, Umar menyesal atas perbuatannya itu. Dia kasihan melihat adiknya yang menangis teresak-esak itu. Dia menyesal atas tindakannya yang tergesa-gesa tanpa menyiasat terlebih dahulu.
Umar cuba cara berlembut kerana dia ingin mengetahui apakah yang dibacakan oleh mereka tadi.“Berikanlah kepada aku bahan yang kamu baca itu tadi,” kata Umar dengan suara lembut. Kemudian dia berkata lagi, “Aku berjanji tidak akan buat perkara yang tidak elok. Aku ingin tahu, apakah yang dibawa oleh Muhammad itu?” sikap Umar yang garang mulai bertukar menjadi lembut.
“Kami bimbang, jika kau tidak kotakan kata?” jawab Fatimah.
“Usah bimbang! Aku bersumpah dengan Tuhan Muhammad, aku kembalikan nanti sesudah membacanya.” Umar meyakinkan adiknya.
Umar disuruh oleh Fatimah supaya mandi jika dia masih hendak memegang Quran itu. Umar mengikut kata Fatimah dan dia pergi mandi dahulu. Kemudiannya Fatimah menyerahkan kepingan yang bertulis ayat Quran di atasnya. Umar menerima dan membaca dengan penuh teliti. Ayat-ayat Quran itu adalah daripada ayat Taha.
Apabila selesai membacanya, Umar berkata, “Sungguh indahnya kata-kata ini!”
Fatimah melihat keadaan abangnya berubah dan dia begitu gembira kerana abangnya mulai berminat dan tertarik dengan ayat-ayat Quran itu. Dia berdoa, semoga hati abangnya terbuka memeluk Islam.

Selepas itu, Umar mengambil keputusan hendak bertemu dengan Nabi Muhammad. Apabila sampai di rumah itu, Umar mengetuk pintu. Salah seorang sahabat Nabi Muhammad bangun dan menuju ke pintu. Alangkah terperanjatnya dia, apabila melihat Umar berada di hadapan pintu dengan pedangnya. Dia segera memberitahu Nabi Muhammad kedatangan Umar dengan perasaan takut.

“Wahai Nabi Muhammad! Umar bin Khattab berada di hadapan pintu rumah ini dengan pedangnya!” kata lelaki itu.Nabi Muhammad bertenang sahaja. Semoga doanya dimakbulkan oleh Allah. Umar datang dengan sendiri dan tiada siapa yang memujuknya.“Benarkan dia masuk!” kata Nabi Muhammad kepada sahabat-sahabatnya.

Umar dipersilakan masuk ke dalam rumah itu. Nabi Muhammad bangun dan menyambutnya dan dijemputnya masuk ke dalam sebuah bilik. Kemudian Nabi Muhammad mengambil kainnya lalu diletakkan ke tubuh Umar dan direntapnya dengan kuat.
Nabi Muhammad berkata dengan tegas dan berani, “Apa yang menyebabkan kamu ke mari, wahai Umar!”“Wahai Nabi Allah! Aku datang ini kerana hendak beriman kepada Allah dan Rasulnya. Dan apa yang kau bawa daripada Allah,” ujar Umar menerangkan maksud kedatangannya.Nabi Muhammad kemudiannya bertakbir dengan lantang dan seluruh sahabat Nabi merasa gembira.

No comments: