14.6.07

Nilai sastera Islam

Dalam satu kertas kerja tulisan Dr. Shafie Abu Bakar yang bertajuk, Fokus Sastera Islam, menekankan, dalam menghasilkan sesebuah karya sastera Islam, perlu melalui beberapa tahap penyerapan, pemerosesan dan pengadunan melalui diri pengarang sehingga terhasil sebagai sebuah karya yang dihasilkan untuk kelompok pembaca atau sasaran khalayaknya.


Seseorang yang bergelar pengarang hendaklah memperhatikan tahap-tahap tertentu. Garapan yang baik dari tahap-tahap itu memungkin penghasilan karya yang bermutu dari sudut sastera Islam. Bagi pengarang muslim, antaranya yang perlu dititikberatkan adalah,


Nilai


Pengarang muslim hendaklah mempunyai asas-asas ilmu Islam yang merangkumi ilmu akidah, ilmu syariat dan mungkin tasawuf. Individu itu hendaklah mengamal nilai-nilai itu dalam hidupnya terutama pegangan yang teguh dan iman yang kuat kepada Allah serta tingginya akhlak dalam peribadinya. Seorang pengarang muslim juga perlu mempunyai bekalan ilmu lain bagi membantu kefahaman dalam pelbagai aspek hidup bagi mencernakan pandangannya sesuai dengan kehendak Islam. Misalnya, individu itu perlu mempunyai ilmu sastera sebagai alat untuk menghasilkan karya sastera berpandukan kepada a Quran. Karya itu hendaklah terkawal dari segi etik, kaya dari segi estetik dan sempurna dari segi teknik.


Menurut beliau lagi, sasterawan Muslim perlu mengikuti perkembangan ilmu kesusasteraan dan kemanusiaan dengan teori dan kritikan dalam pelbagai cabang untuk meluaskan kefahaman dan menyesuaikannya dengan sastera Islam. Tidak ada bezanya seorang sasterawan Muslim dengan seorang sasterawan lain di dalam mencari ilmu, kecuali seorang Muslim melihat dan menggunakannya dari perspektif keislaman.


Katanya lagi, seorang sasterawan Muslim tidak akan maju berkembang tanpa memperkembangkan dirinya dengan perkembangan ilmu. Contohnya, Imam Syafie seorang ulama yang mencintai ilmu di dalam berbagai bidang termasuklah sastera. Begitu juga dengan Muhammad Iqbal, seroang lulusan peringkat Ph. D dari Universiti Munich (1908) dalam bidang metafizik Islam dan mendalami bidang perpuisian dengan hati dan jiwanya yang berorientasikan Islam. Karya-karyanya mencerminkan jiwa dan perjuangan Islamnya.


Kesimpulannya, pembinaan nilai keislaman dalam diri sasterawan Muslim penting. Tanpanya, sasterawan itu tidak mampu menerapkan nilai-nilai keislaman ke dalam hasil-hasil karyanya. Sasterawan yang mempunyai latar keislaman dan dengan niat yang baik akan dapat menjiwakan karya sasteranya dengan nilai dan kefahaman yang betul serta bercirikan estetik bagi tatapan khalayaknya.


(...sambung.. Garapan Ilham....)

3 comments:

blackpurple said...
This comment has been removed by the author.
blackpurple said...

Maaf menyampuk dan terkeluar dari topik. Mungkin saya bukan orangnya yang layak bercerita tentang sastera Islam ini.

Cuma saya tertarik dengan novel terbaru Faisal Tehrani 'Bila Tuhan Berbicara' itu. Walaupun bersahaja tetapi penerapan nilai-nilai Islamnya jelas dan menarik Pendekatan yang segar dan berbeza. Mungkin pendekatan itu lebih dekat di hati pembaca yang sealiran dan berselera sastera yang ringan penyampaiannya tetapi berat mesej dan wacananya seperti saya.

saridahamid said...

Saudara blackpurple,

Bagi saya keindahan sesuatu karya itu terletak kepada tulisan yang berseni, indah dan mudah difahami. Dan yang paling penting mesej Islam dapat disampaikan walau dalam apa cara pun.

Sdr. Faisal Tehrani mempunyai caranya tersendiri tetapi masih mengekalkan nilai sastera Islam. Karyanya mudah dibaca oleh semua lapisan khalayak.Saya setuju dengan pandangan saudara itu.