9.6.07

1. Wanita dengan sifat fitrahnya

Ada orang kata, terutamanya lelakilah (entah betul entah tidak), kaum wanita ini kalau benda-benda remeh temeh atau kecil-kecil, dia akan nampak kesalahan atau kesilapannya. Misalnya, kalau baju itu terkoyak sikit di celah ketiak, bulat matanya memandang. Meskipun terlindung dengan kain tudung yang dipakai. Sementara kaum lelaki pula, benda remeh temeh ini, dia tidak peduli, bak kata orang biasa, tak mainlah! Nak sibuk-sibukkan diri benda leceh ini! Contohnya buat air minum untuk anak? Atau suruh dia menyapu laman rumah, lebih rela basuh kereta dari menyapu habuk! Apakah kaedah atau pandangan sedemikian benar? Baiklah dijawab sendiri, ada benar dan ada juga tidak benarnya.


Misalnya, kaum wanita ini kalau mengemas rumah, termasuklah menyapu, membasuh kain, basuh pinggan dan kerja-kerja yang sinonim dengannya begitu teliti apabila melakukannya. Tetapi kaum lelaki sebaliknya, sambil lewa je janji buat kerja. Ini yang membuat kaum wanita cakap dengan menjeling, "Baik tak payah tolong, tolong buat sepah adalah!"


Tapi bila beri kepada kaum lelaki buat kerja-kerja besar dan nampak di depan mata, dia boleh siap dengan baik dan teliti. Adakah ini boleh dikatakan sifat dan sikap yang berbeza antara lelaki dan wanita? Itulah dia ciptaan Allah, sifat kaum tidak sejenis adalah berbeza. Tapi sekiranya sama pula sifatnya, apa nak jadi? Tidak indahlah hidup ini! (Sendiri tanya, sendiri jawab...sahabat bagaimana pula?)

2. Wanita dan baju

Apabila setiap hari pergi pejabat, kaum wanitalah yang paling cerewet. Tiap-tiap pagi (selepas Subuh, itupun kalau sempat Subuh) mesti garu kepala tidak gatal dulu kerana memikirkan apa yang hendak dipakai. Asyik berfikir dan sempat pula berkhayal sambil menghitung baju yang tergantung berderet di almari mahupun gantungan tambahan di luar almari ala-ala butik itu.

Dialog biasa yang keluar dalam hati, "Semalam aku sudah pakai baju hijau. Minggu lalu aku sudah pakai yang kuning. Dulu semalam aku sudah pakai unggu. Hari ini hari Rabu, apa yang hendak aku pakai?" Sedangkan berderet-deret baju di hadapan dengan bermacam corak, warna dan fesyen.

Akhirnya, si suami merungut kerana bajunya masih belum disediakan kerana si isteri sibuk menghitung baju yang belum dipakai atau yang akan dipakai. Suami geleng kepala lihat kerenah isteri yang berlagak macam model. Suami mengata dalam hati, "Tengok aku ini, pakai baju yang sama atau warna baju yang sama orang lain tidak ambil peduli pun! Paling penting bersih dan ada bau harum!" Suami tersengeh macam kerang bila lihat isteri yang syok sendiri.


3. Lawa baju!

Apabila sampai di pejabat, adalah seorang dua kaum wanita yang menjadi seorang pengkritik baju dan termasuklah tudung. Tiap-tiap hari kerjanya memandang orang lain maksudnya kaum sejenis dialah, pakai tudung atau baju apa hari ini. Apakah tujuannnya, tidaklah diketahui (mungkin kena buat kajian). Bila dia rasa agak pelik corak baju seseorang itu, dia hampiri dengan senyum sumbing.

"Lawa baju awak!" pujinya sambil membelek dan menyentuh baju sipemakai. Mungkin lepas itu senanglah bagi dia hendak buat komentar.


"Lembut kain ini dan coraknya cantik, padanlah dengan kulit awak," Dalam hati si pemakai tertawa besar kerana baju yang dipakai itu adalah baju semasa jadi anak dara dulu yang berusia 10 tahun yang lalu. Nasib baik boleh muat kerana badan masih stabil macam anak dara. Jadi si Tipah tu tertipulah!

No comments: