17.6.07

Aspek Estetika


Dalam menghasilkan karya sastera, estetika adalah ciri yang penting. Kata Dr. Shafie, sasterawan melalui sentuhan hati dan jiwanya melihat keseluruhan kejadian indah yang mencerminkan sifat indahnya Allah. Ketepuan pengalaman estetika ini mahu ditumpahkan ke dalam bahasa secara indah. Oleh itu, pengarang menggunakan berbagai elemen estetik melalui bahasa, baik yang bersifat luaran mahupun yang bersifat dalaman bagi menggambarkan rasa indahnya.Contohnya, seorang penyair akan memindahkan pengalaman estetika yang diilhami baginya melalui lambang bahasa.


Salah satu cara lain, bagi meningkatkan estetika dalam karya adalah dengan menghiasinya dengan pelbagai elemen. Konsep hiasan ini dapat diambil daripada al Quran sebagai prinsip. Dalam surah al-Baqarah, ayat 11, yang bermaksud,


"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya."


Kita boleh mengambil pengajaran ayat ini dari segi seni dan sastera iaitu Allah yang bersifat Maha Indah itu mencipta alam ini begitu indah sebagai manifestasi sifat indah untuk dihayati oleh yang mencintai keindahan, terutama seniman dan penyair. Katanya lagi, pelbagai elemen keindahan yang dicipta Allah. Langit membiru luas berhias dengan planet dan bintang-bintang. Menjadi pedoman bagi mereka dalam pelayaran.

Para saintis ingin mengkaji kerana hendak mengetahui rahsia alam yang tersimpan. Matahari yang bersinar pada siang hari menjadi sumber kehidupan. Laut yang terbentang luas yang menjadi sebahagian dari bumi ini, menjadi perlambangan bagi kehidupan dan rezeki. Rahsia-rahsia alam terpendam yang mencabar untuk diterokai, tenaga kudrat yang bergerak tidak henti-hentinya, tasbih alam yang berterusan dan berbagai-bagai lagi boleh ditafsirkan.


Menurut Dr. Shafie lagi, ayat-ayat al Quran memperlihatkan fenomena ciptaan Allah baik di langit, di darat mahupun di bumi yang menjadi ilham bagi seniman dan sasterawan. Kejadian ciptaan Allah pada hakikat dan hikmat adalah indah. Hal ini dapat dihayati oleh mata seni sasterawan yang sememangnya mempunyai persepsi yang tajam.








No comments: