8.6.07

Taubat Mu di Terima

Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang bernama Fazil bin Ayaz. Dia adalah seorang ketua kepada sekumpulan perompak. Walaupun dia melakukan kerja-kerja jahat seperti merompak harta orang lain, namun begitu dia tidak melupakan tanggungjawabnya menunaikan sembahyang lima waktu. Dia juga tidak pernah meninggalkan ibadah puasa di bulan Ramadan. Dia hidup dalam keadaan sederhana termasuklah berpakaian yang biasa seperti orang lain.



Pada suatu hari, dia mengetuai kumpulannya menyerang sekumpulan pedagang yang baru pulang dari berniaga. Fazil tidak menyertai serangan itu tetapi dia hanya memerhatikannya dari jauh. Apabila rombongan pedagang itu melihat sekumpulan perompak menuju ke arah mereka, ketua pedagang itu ternampak Fazil yang berdiri tercegat tidak jauh daripada tempat mereka. Ketua pedagang itu menyangkakan bahawa Fazil seorang yang baik berdasarkan air muka dan pakaian yang dipakainya tidak melambangkan dia seorang yang jahat.


Ahli rombongan pedagang yang lain telah berjaya ditawan oleh perompak-perompak itu. Hanya ketua pedagang sahaja yang masih belum ditawan. Oleh itu, ketua pedagang itu segera pergi ke arah Fazil dan bertanya, “Saudara, bolehkah saya minta tolong?”


Fazil hanya mendiamkan diri sahaja.


Ketua pedagang menyambung katanya, “Saya meminta saudara simpankan wang dan harta benda yang saya bawa ini. Kumpulan kami sedang dirompak. Apabila mereka sudah pergi, barulah saya datang mengambilnya semula.”


Fazil tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Dia hanya melihat sahaja. Tetapi ketua pedagang itu tetap memberi barang-barang kepada Fazil supaya disimpan bagi pihaknya.
Apabila orang-orang Fazil selesai merompak kumpulan pedagang itu, mereka pun berkumpul di tempat Fazil menunggu. Sedangkan ketika itu, ketua pedagang itu masih bersama dengan Fazil. Ketua pedagang itu terperanjat kerana tidak menyangka bahawa Fazil adalah ketua perompak. Dia menyesal kerana mempercayai Fazil menjaga harta dan wangnya.


Apabila Fazil melihat wajah ketua dagang yang berubah itu, dia pun berkata dengan lembut, “Jangan bimbang tuan. Oleh kerana tuan mempercayai dan persangka baik dengan saya, tidak sampai hati saya hendak mengambil harta tuan.”


Tiba-tiba muncul seorang tua dengan menaiki seekor unta lalu di hadapan mereka. Semasa melintas di hadapan mereka, orang tua membaca sepotong ayat dari kitab Quran, yang bermaksud, “Orang yang melakukan kejahatan itu masih mempunyai peluang bertaubat dari segala dosa-dosanya itu.”


Fazil terpegun sebentar apabila selesai mendengar ayat Quran itu. Cahaya hidayat sudah meresap ke jiwanya. Jiwanya terusik apabila menghayati ayat itu. Dengan segera dia memanggil kawan-kawannya.


Dia berkata, “Wahai kawan-kawanku! Saya hendak kamu tahu, mulai hari ini saya tidak melakukan kerja-kerja jahat yang dilarang Allah. Sesungguhnya, saya bertaubat kepada Allah dan saya berdoa semoga Allah ampunkan segala dosa-dosaku yang lalu.”


Kemudiannya, Fazil juga menyeru kawan-kawan supaya bersama dengannya meninggalkan kerja-kerja yang tidak baik itu dan mengikutnya ke jalan kebenaran. Tetapi kawan-kawannya enggan. Mereka terus meninggalkan Fazil bersama dengan ketua dagang itu. Mereka tidak mengambil harta yang sudah dirompak itu. Mereka takut dengan Fazil yang sudah bertaubat. Fazil pula meminta maaf kepada ketua dagang dan juga yang lain atas perbuatannya dan kawan-kawannya. Dia memulangkan balik harta rampasan itu kepada mereka.


Namun begitu, ada seorang Yahudi dalam rombongan dagang itu tidak mahu memaafkan Fazil. Dia memberi syarat dan berkata, “Saya boleh memaafkan kamu sekiranya kamu melakukan dua syarat yang saya kenakan nanti.”


Fazil tidak marah malahan dia tersenyum dan bertanya kepada lelaki Yahudi itu, “Apakah syarat-syaratnya?”


Lelaki Yahudi itu tersenyum dan yakin yang Fazil tidak boleh melakukannya nanti. Dia pun berkata, “Syarat pertama, hendaklah kamu alihkan sebuah bukit pasir ke suatu tempat lain.”

Fazil memandang lelaki Yahudi dengan hairan. Tetapi dengan yakin dia menjawab, “Baiklah saya cuba dahulu.”


Fazil menghadapkan dirinya dengan penuh yakin ke arah bukit itu. Tanpa disangka, tiba-tiba berlaku satu tiupan angin kencang yang memindahkan bukit itu ke suatu tempat yang tidak jauh dari situ. Fazil memandang kepada lelaki Yahudi itu dan bertanya, “Apakah syarat kamu yang kedua?”


Fazil melihat lelaki Yahudi mengambil guni besar dan memasukkan tanah liat. Kemudiannya, dia berkata, “Ambil guni ini tetapi saya mahu kamu pulangkan balik guni ini kepada dengan berisikan emas.”


Fazil hanya mengangguk dan dia mengambil guni itu dari lelaki Yahudi. Pada keesokan harinya, Fazil membawa guni itu kepada lelaki Yahudi itu. Lelaki Yahudi tersenyum dan berfikir mustahil Fazil boleh lakukan seperti yang dia suruh.


Alangkah terkejutnya apabila dibuka guni itu kelihatan emas berkelipan. Melihat keajaiban itu, lelaki Yahudi itu lalu sujud di kaki Fazil dan dia berkata, “Saya yakin kamu sudah bertaubat sepenuhnya. Saya sudah membacanya dalam kitab Taurat yang menyatakan iaitu seseorang yang bersungguh bertaubat atas segala kesalahannya boleh dilihat kesungguhannya melalui dua perkara. Iaitu seperti dua syarat yang saya berikan kepada kamu itu. Bagi orang lain, adalah mustahil hendak melakukannya. Tetapi kamu ikhlas. Sesungguhnya, kamu adalah orang yang baik dan mulia.”

No comments: