12.6.07


Adakah wanita itu gagah?


Dalam sebuah akhbar harian di ruangan sukan , tercetak tajuk, "Wanita makin gagah!" Tersenyum dan mula berfikir, benarkah wanita itu gagah? Apakah yang dimaksudkan dengan gagah? Adakah wanita hendak sama gagahnya dengan kaum lelaki? Itulah persoalan-persoalan yang menerjah di kotak fikiran yang cetek?


Seorang kawan memberi pandangannya, "Apakah kita ini hendak melawan fitrah yang memang sedia ada pada diri kita?"


"Apa maksud awak?"


"Kita ini hendak jadi gagah yang macam mana? Adakah perlu otot-otot kita berketul-ketul macam ahli sukan bina tu, baru dikategorikan sebagai gagah? Bagi akulah, tak perlulah wanita-wanitanya ini menjadi gagah macam tidak feminin lagilah. Jadilah wanita cerdik, penyayang, pendidik yang terbaik, jadi isteri yang solehah, jadi wanita beriman, lemah lembut berbudi bahasa dan lain-lain yang bersangkut paut dengannya."


Kawan lain yang mendengar perbincangan kami menyampuk, "Aku lihat, kaum sejenis kita yang terlibat dalam aktiviti sukan macam sudah bertukar jantina pula. Muka tu sudah tidak ada manisnya sebagai wanita tetapi macam jantan," lasernya mulut kawan saya itu. Saya hanya tersenyum sumbing. Tiba-tiba, datang lagi seorang kawan, kali ini lelaki. Dia ini kalau bab-bab wanita, suka sangatlah hatinya memberi pandangan walaupun tanpa diminta.


"Memang wanita hari ini ramai yang hendak jadi jantan. Aku pun hairan, muka cantik dan comel tiba-tiba hendak jadi ganas. Hendaklah tunjuk hebat dari orang lelaki. Wahai kaum wanita sekalian! Sedarlah diri, bahawa kalau sudah perempuan akan tetap jadi perempuan!" amboi sedapnya mulut si lelaki ini memberi pandangan bernasnya. Aku hanya terpana sebentar, ada benarnya juga kata-katanya.


"Apa faedahnya jika wanita lebih dari lelaki? Cuba jawab!" katanya, lalu memandang kami satu demi satu. Kami menggeleng kepala dan ketawa kecil.


"Dari segi hukum Islam, siapa yang patut jadi ketua keluarga? Dalam adik beradik pula, lelaki atau perempuan yang banyak tanggungjawab terhadap ibu bapa? Siapa yang patut lahirkan anak, perempuan atau lelaki? Dalam masyarakat pula, siapa yang patut jadi pemimpin? Bila akad nikah, kata-kata siapa yang mengatakan nikah itu sah? " Soalan-soalan yang diajukan oleh kawan lelaki itu dalam pelbagai soalan yang sensitif.


Tidak sanggup pula hendak menulisnya di sini. Tetapi kesimpulannya, setuju dengan pendapatnya dan biarlah tidak jadi wanita yang gagah tetapi biarlah gagah dalam mendidik anak, mendapatkan ilmu, mempertahankan maruah diri, memperkasakan iman yang teguh, menguratbesikan kekuatan dalaman bagi menangkis serangan negatif, tabah dan sabar menghadapi ujian dari Allah, gagah dalam menolong orang yang memerlukan dan sebagainya yang sesuai dengan sifat fitrah kaum wanita.

No comments: