4.7.07


Minggu tidak berilham dan kelam kabut (Episod pertama)

Hujung minggu ini aku sibuk dengan penghijrahan ke kawasan perumahan baru, selamat tinggal rumah sewa yang penuh dengan kenangan meskipun hanya sepekan menginap di situ. Episod berhijrah ke daerah lain memang suatu situasi yang memenatkan. Rancangan penghijrahan bukan sesuatu yang terancang malahan ia merupakan suatu yang mengejutkan lagi menggemparkan. Apabila pada suatu malam, suamiku membisikkan, “Hujung purnama ini kita berhijrah.”
Aku merenung wajah suamiku yang tampan lagi menawan itu dengan penuh tanda tanya. “Biar betul kekanda ni! Adinda tengah mengejar tarikh luput kerja adinda ini.” Terasa semacam sesak nafas dan kencang alunan jantung ku ini.
“ Tidak setujukah? Kalau berhijrah, dekat sedikit, bolehlah adinda berjalan sakan sesuka hati, tidak perlulah menunggu kekanda yang selalu balik dinihari atau malam buta.” Suamiku tersengih-sengih menggoda aku supaya setuju dengan cadangannya.
Aku berfikir seratus kali, bagaikan hendak pecah otak ini memikirkannya. Hendak diluah mati anak, hendak ditelan mati emak. Arakian, dalam beberapa jam keputusan diambil, “Baiklah, adinda bersetuju, tetapi adinda sudah serik hendak mengemas dan membungkus kain baju. Adinda ada kerja yang perlu disegerakan.” Aku tersenyum tawar kerana membayangkan betapa banyak yang perlu diselesaikan dari sebesar benda hingga sekumin barang. Aduh! Sakit-sakit pinggang dan belakang belum lagi reda. Sudah dapat dibayangkan keletihan dan kemonyokan yang bakal menimpa diriku yang semakin kurang kuasa baterinya.
Namun begitu, merasa kasihan apabila melihat suamiku seorang diri mengemasnya, terpaksa turun padang membantu menyelesaikan perkara yang rumit dan renyah.
Dalam fikiran ini, bagaimana dengan Muharam kesayanganku yang bakal dibawa bersama. Kebiasaannya, binatang peliharaan ini apabila berpindah ke tempat baru, dia sukar menyesuaikan diri dengan suasana baru. Rasa gundah melanda diri ini, kerana kasih sayang tertumpah padanya sejak setahun yang lalu. Kini, Muharam menjadi bijak dan mendengar kata. Lambat sedikit memberinya makan, mulutnya membebel. Entah apa yang dileterkan pun tidak tahu. Seandai ku tahu bebelannya itu, sudah tentu dijadikan bahan penulisanku. Alahai! Muharam! Muharam!
Tiba pada harinya, maka berangkatkah penghijrahan keluarga ke daerah yang lain. Muharam sudah mula bising dan hairan kenapakah terataq tempat dia berteduh mulai kosong dan ruang pondok itu semakin bergema bunyinya. Dia merasa takut dengan pantulan suara yang bergema. Memanggilnya namanya, dan dia mendengar pantulan suara itu seolah-olah takut. Hendak masuk ke rumah kemudiannya keluar balik. Kasihan Muharam, dia tidak mengerti yang tuannya akan berhijrah. Hatiku bertambah sayu. Sayu itu bertukar sepi apabila Muharam tidak mahu mengikut aku berhijrah. Hatiku semakin pasrah tanpanya di terataq baruku. Terkenang-kenang, setiap pagi dia akan memintaku membelai kepala dan lehernya. Kalau tidak, dia akan mengacau aku berkarya. Dia akan naik ke meja dan duduk di sebelah lap top ku ini. Kini, aku hanya melepaskan rindu kepadanya dengan menatap gambar-gambar Muharam dan Rejab. Ya Allah! Berikan daku kekuatan menghadapi kerinduan kepada Muharam.
Aku bercadang hendak mengambil Muharam dan turut bersama tinggal di terataq baru. Ku harapkan dia boleh menyesuaikan diri. Aku kagan samanya yang tidak terhingga. Adakalanya, air mata ini merembes keluar apabila menatap gambar-gambarnya yang aku abadikan dalam mesin penyimpan dataku. Khabar yang aku terima, Muharam tidak mahu makan. Makanannya, aku titipkan kepada anak keponakanku yang juga seperti mencintai Muharam. Tetapi menurutnya, Muharam masih setia menanti di terataq lamaku. Aduh! Sayu sekali aku mendengar berita itu. Tunggulah Muharam, aku akan mengambilnya nanti.
Dalam minggu ini, idea untuk berkarya terbantut disebabkan kesibukan merapikan terataq baru ini. Aduh capek sekali! Badan ini bagaikan hendak tumbang setiap kali berdiri. Lantas itu, ilham tidak menjelma. Terbayang di ruang mata ini adalah bantal dan tilam sahaja. (bersambung...)

No comments: