31.7.07

Promosi kurang, gerai kosong banyak!

Minggu lalu bersama dengan dua sahabat berkunjung ke International Islamic Fair 2007 bertempat di PWTC. Inilah kunjungan kali pertama sedangkan program itu sudah dua kali dianjurkan oleh sebuah syarikat penerbitan buku yang kebanyakan bukunya dalam bahasa Inggeris.

Aku yang memang pantang mendengar pameran buku, ingatkan itu seperti pesta buku tetapi bertaraf antarabangsa, teringin hendak pergi. Ditambah dipelawa oleh teman-teman, terasa terujalah hendak melihat buku-buku antarabangsa (macamlah faham membaca buku antarabangsa terutamanya dalam bahasa Arab atau Mandarin...sepatah ayat tidak tahu).

Sebaik sahaja sampai, biasalah ramai orang berlegar-legar kerana ada pelbagai program diadakan. Tetapi tidaklah sehebat manusia yang membanjiri semasa Pesta Buku Antarbangsa bulan April lalu. Dalam fikiran ini, mesti hebat pameran kali ini.

Kami pun pergilah ke tingkat 2, tempat yang dahulu pernah diadakan pesta buku bulan April lalu. Tetapi dalam hati ini terdetik, mengapa tidak ramai orang? Sedangkan hari itu adalah hari Sabtu, sudah tentu ramai yang boleh datang. Lebih-lebih lagi, orang gomen dan swasta sudah dapat gaji. Mungkin agaknya, pameran itu serentak dengan pesta buku yang berlangsung di Selangor. Selalunya, yang meramaikan Kuala Lumpur adalah orang-orang Selangor yang pantang ada cuti. Mereka suka membeli belah di Kuala Lumpur. Oleh itu, tidak hairanlah, ibu kota terkenal itu sentiasa sesak jalanraya.

Tetapi kehadiran yang menyedihkan di pameran itu menyebabkan mulutku terpancul juga ayat, "Tak ramai orang pun!" Luahan itu aku lontarkan kepada ke dua-dua temanku yang tidak banyak cakap.

"Ini bukan pesta buku! Ini pesta jualan-jualan langsung, makan-makan, atau jalan-jalan cari makan ke!" Aku mula membebel. Niat hati hendaklah bergambar seperti yang lalu, namun tidak terasa hendak bergambar. Kamera yang dibawa, langsung tidak dikeluarkan daripada beg tanganku. Mood gembira bertukar menjadi mood bosan.

Jalan-jalan sikit dan ditegur, "Kak, beli kak, untuk awet muda!"

Aku menjeling dan berkata kepada temanku, "Kalau akak yang sudah mula tua ni, bolehkah menjadi awet muda?" tergelak temanku itu. Aku buat lawak bodoh.

Kebanyakan gerai-gerai menawarkan barangan jualan langsung dengan pelbagai jenama ubat. Ubat itulah, ubat inilah! Entah betul atau tidak. Tetapi semuanya kononnya atas nama jenama Islam. (Ish! teruknya aku ini langsung tidak memberi sokongan kepada barangan Islam..bukan gitu sebenarnya). Bayangkanlah, apabila kita sudah memberi barangan itu tetapi setelah habis bekalannya, bukan semudah itu hendak mendapatkan bekalannya. Paling mudah, kita beli sahaja barangan yang senang didapati seperti di kedai runcit atau pasar raya.

Jalan-jalan lagi disapa oleh penjual, "Kak! Beli baju mandi!"

"Hai! akak ini kolam renang pun susah nak jumpa, nak buat apa beli baju renang?" Lancar mulutku menjawab. Itu kira kurang adabkah? Entahlah, adakalanya barang yang ditawarkan itu tidak logik. Mana ada kolam renang yang dikhususkan untuk wanita? Kalau ada pun berapa kerat dan tidak pernah dipromosikan. Sekiranya, kemudahan itu ada, akulah orang pertama yang pergi daftar belajar berenang. Maklumlah, musim banjir kilat ini, ilmu pengetahuan tentang berenang itu penting sekali di zaman ini. Alahai! Tidak adakah orang yang terfikir hendak buat kolam renang? Kalau di rumahku ini boleh dibina kolang renang, alangkah indahnhya hidup ini...(mulalah berangan tak habis!)

Beberapa kerat je gerai yang mempamerkan buku. Apa lagi, buku antarabangsalah edisi bahasa Inggeris dan harganya ikut antarabangsa jugalah. Jadi, tiadalah teringin hendak menghabiskan duit aku yang sejemput ini. Bagi menyahut seruan kerajaan iaitu belilah barangan tempatan, maka aku pun belilah barangan tempat seperti kopi, kuah rojak dan makanan frozen dan cili sos buatan orang Melayu.

Balik dari pameran sekitar pukul lima petang, tetapi orang masih tidak ramai. Kiralah bolehlah berlari-lari anak atau bermain badminton dalam dewan itu kerana masih banyak gerai kosong dan laluan lapang. Tidak seperti pesta buku antarabangsa yang sentiasa traffik jam sepanjang masa dan riuh rendah seperti di pasar borong. Alahai IIF2007, mungkin kurang promosi dan barangan yang dijual mahal, langsung tiada diskaun! Kan aku ini muka diskaun! Diskaun itu penting bagi menarik diriku yang bajetnya ciput ini!

Minta maaflah, tiada gambar yang hendak dipaparkan. Kalau hendak paparkan gambar tin kopi yang dibeli, rasanya macam bagi promosi percuma pula! Lain kalilah! Maka aku pun balik dengan menjinjit barangan makanan yang boleh tahan beratnya. Sampai di rumah rasa hendak tercabut lutut dan pinggang bengkok, maklumlah naik lrt....

No comments: