3.8.07

Syukur kepada Allah!



Tersebutlah kisah, Si Senah dan suaminya, Si Merah berpindah ke sebuah terataq, di sebuah jajahan yang mempunyai segala kemudahan asas. Si Merah begitu gembira dengan terataqnya yang baru itu, sementara Si Senah hanya memberi sokongan sahaja. Sebagai isteri haruslah mengikut kehendak suami selagi perkara itu mendatangkan kebaikan.



Maka ke dua suami isteri itu pun berkemaslah terataq dengan rapi dan kemas malahan molek lagi. Selama seminggu menginap di terataq itu, adalah hajar Si Merah hendak mengajak Si Senah berjalan-jalan, meninjau-ninjau jajahan baru itu. Manakala, Si Senah merasa malas kerana kepayahan yang tidak terkata. Malahan, musim panas menjelma, maka Si Senah pun merebus seperiuk air bagi dijadikan minuman juga simpanan dalam bekas. Memandangkan periuk itu besar, maka lambatlah ia hendak mendidih. Lalu Si Senah meninggalkannya sendirian di dapur yang apinya marak menyala. Barangkali, Si Senah menyangka yang dia tidak akan lupa.



Namun begitu, tanpa diduga, Si Merah mengajak juga isteri tercinta berjalan-jalan sambil menyinggah makan. Katanya, "Adinda, ada keponakan kekanda menjemput kita makan di rumahnya. Adinda tidak perlulah masak, kita makan sahaja di rumahnya." Si Senah memandang wajah Si Merah yang sedang tersenyum kambing. Akhirnya, Si Senah menyerah kalah dan mengikuti saranan suaminya untuk menerima jemputan keponakannya itu.



Mereka pun berdandan dengan rapi dan keluarlah mereka dari terataq itu dengan bertawakal kepada Allah bagi memelihara terataq itu. Suami isteri itu pun berkunjunglah ke rumah keponakan itu. Mereka berdua dijamu dengan makanan yang sedap lagi lazat. Setelah kenyang dan sudah berlama di terataq keponakan suaminya, mereka pun minta izin beransur.



Tiba-tiba Si Senah teringat. Dengan suaranya yang perlahan dan terketar-ketar berkata, "Ya Allah! Kekanda! Adinda tadi menjerang air dalam periuk. Adinda lupa hendak mematikan dapur itu!" Si Senah hampir menjerit dengan kuat. Dia menggosok dadanya yang semakin berdebar-debar.



"Astagfirrullah al azim!!! Mengapa adinda begitu cuai? Kita baru sahaja berpindah ke terataq itu?" kata Si Merah dengan tenang tetapi tegas.



"Adinda minta maaf! Adinda terlalu letih dan air yang dimasak itu di dalam sebuah periuk yang besar. Harap-harap tidak ada apa yang berlaku." kata Si Senah. Peluh di dahinya mula menitis. Mukanya pucat sekali. Tidak pernah, dia lupa menutup api di dapur. Si Senah tidak habis-habis beristighfar dan berdoa supaya Allah menyelamatkan terataqnya dari kebakaran.



"Sabar! Sabar! Kekanda akan pandu secepat mungkin," ujar Si Merah dengan tenang. Dia tidak mahu memarahi Si Senah. Nanti keadaan akan lebih parah. Si Senah tidak habis-habis mengurut dadanya yang semakin berombak deras. Mukanya pucat. Mulutnya komak kamik membaca ayat-ayat tertentu.



Akhirnya, apabila sampai di halaman rumah, terkocoh-kocohlah Si Merah keluar dari kenderaannya. Dari luar, tiada tanda-tanda kebakaran. Si Senah mengucap syukur di dalam hatinya tetapi dia pun sama masuk ke dalam terataq itu. Alhadulilah! Tiada apa yang terjadi. Berlari anak menuju ke dapur dan api dapur masih menyala manakala air dalam periuk itu mulai mengering. Sekiranya terlambat barang sepuluh minit, maka terbakarlah dapur itu. Tidak dapat dibayangkan meletup-letup.



Si Senah mengurut dadanya tanda lega. Syukur kepada Allah yang mendengar doanya yang tidak putus-putus!

No comments: