30.8.07

Apa kebanggaan wanita selama 50 tahun?

Hari ini dan esok adalah hari kesibukan rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke 50 tahun. Syukur kerana negara kita sudah terselamat dan bebas dari penjajah yang sudahpun mengaut banyak keuntungan di negara kita ini barulah mereka hendak keluar dari Tanah Melayu. Yang tinggal adalah sisa-sisa yang perlu dibangunkan ataupun ditapis supaya tidak meninggalkan kesan yang teruk. Tetapi, bagi kaum wanita apakah yang perlu dibanggakan selama 50 tahun merdeka? Memang tidak dinafikan, wanita dikatakan banyak berjaya dalam bidang pelajaran dan pendidikan. Mereka banyak menjawat jawatan penting, cumanya jawatan nombor satu yang belum diraih. Tetapi penting sangatkah wanita jadi pemimpin? Itu satu persoalan yang sangat sensitif hendak diulas.

Dalam rasa bangga atas segala kejayaan yang wanita kecapi tetapi kita lupa yang diri kita ini masih dijajah akibat daripada kesan penjajah yang meninggalkan bekas di hati para pemimpin. Wanita masih lagi hendak melaungkan hak sama rata dengan kaum lelaki. Mengapakah begitu? Adakah selama ini wanita tidak diberi hak mereka? Itulah akibatnya sekiranya wanita terutamanya wanita yang beragama Islam tidak menimba dan menghayati ilmu agama Islam secara mendalam. Sekiranya mereka belajar, hanyalah sekadar di pinggiran, sekadar lulus periksa wajib dalam peperiksaan tetapi hendak menghayati Islam sebagai satu cara hidup, nampaknya hanya tinggal bayang-bayang, secara fizikal jauh menyimpang dari agama. Adakah itu yang hendak dibanggakan apabila kita lihat wanita terjebak dengan gejala sosial, hedonisme, penagihanan rokok dan dadah, bohsia, pelacuran, lari dari rumah, dan isu yang paling besar sanggup murtad kerana mengejar cinta yang tak pasti dan juga ganjaran kekayaan yang ditawarkan.

Tiada apa yang hendak dibanggakan pada wanita hari ini kecuali kejayaan duniawi tetapi bekalan jiwa, iman dan amalan untuk akhirat amat tipis. Kita merasa sedih dengan kejadian yang berlaku sama ada secara kejam atau akhlak yang rosak dan golongan sasarannya adalah kaum wanita. Tidak dinafikan yang kita lihat hari ini ramai yang seperti mengamalkan Islam terutamanya gadis dan wanita yang banyak menutup aurat tetapi bertelanjang. Maksudnya, mereka memakai tudung tetapi tidak menepati kehendak agama yang dikatakan menutup aurat itu bagaimana? Ada yang menutup aurat tetapi membonceng motosikal mat rempit, berlegar-legar pada waktu malam, sanggup lari dari rumah kerana mengikut kekasih, bersikap kurang ajar, dan sebagainya yang tidak melambangkan wanita solehah sejati mengikut adunan Islam. Kepala masih ditutup tetapi mengenakan pakaian yang sempit, terbuka di dada dan berlengan pendek. Itu belum lagi memakai baju yang boleh menampakkan lutut sekerat dan juga punggung bercampuk di belakang. Kepala bertudung tetapi rambut terjelir. Entahlah, adakah itu satu fesyen terbaru atau tidak cukup bajet. Fahaman manakah yang mereka pelajari? Tiada pula tindakan undang-undang agama terhadap mereka ini? Pelik tapi benar dan itulah dia keadaan akhir zaman. Yang benar dipandang pelik tetapi yang batil dipandang seronok!

Wanita yang berangan menjadi pemimpin pula sanggup meninggalkan suami dan anak-anak semata-mata hendak mengejar cita-cita berjaya dalam hidup. Wanita yang mengejar dunia glamour sanggup bercerai semata-mata hendak popular dan dikenali ramai. Wanita yang mengejar kekayaan sanggup menggadai diri kerana nafsu duniawi yang tinggi. Wanita yang hendak meraih kesenangan sanggup hantar anak-anak kepada ibu mereka supaya menjaga anak-anak mereka. Wanita hari ini seolah-olah tidak boleh menjadi ibu baik dan isteri yang taat kepada suami. Mereka mudah terpengaruh dengan habuan dunia tetapi lupa dengan ganjaran yang akan diterima di akhirat sekiranya mereka patuh pada agama.

Entahlah! Ini sekadar pengamatan yang cetik dan rasa tidak senang dengan situasi hari ini yang semakin gawat dengan masalah sosial yang tiada kesudahannya. Ya Allah! Semoga kami semua berada di dalam rahmat-Mu dan berada dalam pelindungan-Mu dari segala pengaruh negatif. Amin!

No comments: