8.8.07



Terimalah seadanya




Wanita sering disogokkan dengan perkara yang remeh temeh. Apakah perkara remeh temeh itu? Kita lihat dalam surat khabar, majalah, papan iklan, malahan di kedai atau di pasaraya, wanita dimomokkan dengan kenyataan palsu seperti perlu langsing, maka makan ubat langsing yang pelbagai bentuk terdapat dipasaran. Begitu juga dengan produk memutihkan muka yang kurang putih. Tetapi, cuba kita renungkan, sekiranya muka kita memang versi hitam atau sawo matang, bagaimanakah hendak memutihkannya? Adakah kita boleh menjadi seperti Michael Jackson yang dari hitam boleh jadi putih. Tetapi putih kulitnya itu seperti kulit yang bermasalah.




Inginkan bibir yang merah menyala atau seksi, perlu gunakan lipstik yang pelbagai warna. Begitu juga, hendakkan muka yang cantik, gunakanlah make-up yang terkini. Pelbagai iklan mengasak minda wanita. Sesungguhnya, kaum wanita yang mudah terperdaya dan terpengaruh, mulalah memasang keinginan ingin memilikinya. Ingin menjadi seperti model yang memperagakan produk itu. Sedangkan, dari segi kemampuan mungkin tiada langsung. Begitu juga, mungkin juga produk itu langsung tidak sesuai dengan diri kita. Kesannya, apabila digunakan juga, kesan sampingan boleh memudaratkan diri kita. Padahnya, kita mencari penyakit sendiri. Dari memiliki kulit dan badan yang sihat, menjadi lemah dan berpenyakit. Kita juga sudah melakukan perbuatan yang membazir kerana menggunakan produk-produk itu menelan belanja yang bukan sedikit.




Tidakkah kita menyedari yang kita khususnya wanita sudah diperalatkan untuk melakukan atau melariskan barangan yang belum pasti memberi manfaat kepada kita. Wanita mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Oleh kerana itu, wanita juga dijadikan sebagai sasaran utama untuk melakukan barangan di pasaran. Kita hendaklah bijak bertindak dalam apa juga yang kita lakukan. Jangan jadikan diri kita sebagai individu yang mudah dipengaruhi.




Sedarkah kita bahawa itu adalah satu cara diri kita dilalaikan dari mengingati tanggungjawab kita yang sebenar. Wanita mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan juga kepada pencipta-Nya. Sekiranya tumpuan kita terlebih kepada mengingati perkara-perkara sebegitu seperti hendak mencantikkan diri, melangsing badan, memutihkan diri, mengawetkan muka dan sebagainya. Tetapi kesungguhan kita kepada perkara yang tidak pasti itu menyebabkan kita terlupa dengan tanggungjawab kita yang wajib seperti mengerjakan sembahyang, membuat perkara kebajikan, bersedekah, berzakat, menjaga aurat dengan bukan mahram, menjaga keharmonian rumahtangga (bagi yang berumahtangga).




Kita lihat hari ini, perlambakan jenama kecantikan yang mendakwa barangan mereka yang terbaik. Entah betul atau tidak. Cuba kita fikir sejenak, sekiranya kita asyik sibuk memikirkan cara hendak mencantikkan diri tetapi kita tidak terfikir pula hendak mencantikkan peribadi. Adakah kita pernah berfikir atau memikirkannya, bagaimana caranya kita hendak memiliki peribadi yang cantik seperti isteri Nabi Muhammad, Siti Khadijah yang sanggup berkorban, Aishah yang bijaksana. Setenang Siti Fatimah. Semulia, Asiah isteri Firaun dan ramai lagi.




Apakah benar, kecantikan luaran menjamin kebahagiaan? Itu adalah satu perkara yang abstrak atau belum jelas. Tidak semua orang yang cantik boleh menjamin kebahagiaan. Lihatlah kepada pasangan yang dikatakan ideal, sama cantik sama padan, bagai pinang dibelah dua, dan apa juga jolokan yang diberikan kepada pasangan yang cantik. Tetapi mengapakah apabila setahun atau dua tahun berkahwin, mereka bercerai? Mereka berlaku curang antara satu sama lain?




Rentetan dari itu, apa yang penting, kita berlumbalah mencari ilmu, berlumba meningkatkan keperibadian mulia, menaikkan martabat wanita sebagai seorang Islam, sanggup berkorban kepada agama dalam apa jua bentuk, menyampaikan kebaikan dan mengelakkan diri daripada melakukan kemungkaran, suka menolong orang lain. Jangan sekali-kali membenarkan diri kita terjebak dalam kancah sosial yang negatif. Bergaullah dengan kelompok yang boleh memberi impak yang baik ke atas diri kita. Sekiranya kita berada dalam golongan yang baik maka kita terselamat dari segala yang negatif. Bergaulah dengan mereka yang berilmu, alim, berperibadi tinggi, jujur dalam persahabatan dan selaras dengan kehendak Islam itu sendiri.




No comments: