29.7.07

Muharam kembali! ( bahagian kedua)


Selepas seminggu duduk di terataq baru, suami mengajak ke terataq lama untuk mengambil Muharam. Memandangkan, terataq kami sudah hampir sembilan puluh peratus sudah dikemas dan disusun dengan teratur supaya Muharam tidak kalut ataupun pening kepala bila melihat barang-barang yang tidak tersusun. Aku pun setuju.

Dalam cuaca yang mendung dan ada tanda-tanda hujan akan turun, aku dan suami pun pergi ke terataq lama. Sebelum tiba ke destinasi, kami singgah dahulu di rumah kekandaku yang tidak berapa jauh dari situ. Kekanda iparku meminjamkan sangkar yang besar saiznya. Ini membolehkah Muharam diletakkan di dalamnya. Muharam semakin membesar dan badannya semasa di tinggalkan di sana, hampir 4 kilo beratnya. Tetapi seminggu dia tidak makan yang sempurna, tidak tahulah berapa agaknya berat badannya yang terkini.

Akhirnya, kami sampai dalam keadaan cuaca yang mendung dan awan putih berarak pergi kemudian dilitupi dan digantikan dengan awan hitam. Tanpa berlengah lagi, aku dan suami mencarinya. Seperti biasa, suaraku yang mengalahkan tarzan. Setiap rumah dan longkang dijenguk, namun bayang Muharam tidak juga menjelma.

Kemudianya, aku lihat di kawasan kebun tanpa izin yang menjadi tempat tanaman penduduk setempat. Pelbagai pokok ada termasuklah pokok pisang, ubi kayu, rimbunan tebu, serai termasuklah juga lalang yang hidup dengan subur. Di celah-celah rimbunan tebu dan lalang itu, aku terlihat seekor kucing putih kecoklatan dan berekor panjang sedang mengais-gais tanah. Ada dua sebaba mengapa kucing itu mengais, sama ada hendak melepaskan hajatnya ataupun mencari ulat yang hendak dimakannya.

Hatiku terdetik dan memanggil nama, "Muharam! Muharam!" dengan suara yang lantang. Aku terharu bagaikan hendak merembes air mata apabila mendengar sahutan kembali dari Muharam, "Miau! Miau!" Suaranya juga lantang macam tuannya. Aku memanggil suamiku yang sedang mencari di kawasan lain. Suamiku bekejar di kebun itu dan turut memanggil nama Muharam.

Aku lihat Muharam berjalan dengan lemah ke arah suami. Suamiku terus mendukung dan memeluknya seolah-olah tidak mahu melepaskan Muharam. Suamiku sanggup mencium Muharam yang agak comot itu.
Kucing sekiranya dibela daripada kecil, dia akan mengenali tuannya melalui derita baunya yang kuat. Dia boleh membau tuannya. Muharam amat mengenali suaraku yang nyaring. Dia akan segera ke arahku apabila namanya dipanggil. Inilah kelebihan Muharam. Dia mudah mengenali kami berdua meskipun sudah seminggu meninggalkannya keseorangan di situ. Alhamdulillah! Akhirnya, kami dapat berjumpa dengan Muharam.

Kami terus masukkannya ke dalam sangkar dan Muharam mula bising kerana selama ini dia tidak pernah dikurung kecuali semasa dia masih kecil. Tanpa berlengah, kamipun pulang ke terataq baru dengan diiringi hujan yang lebat sepanjang perjalanan. (bersambung...)




No comments: