10.5.07


SAHABAT YANG DICARI

Adakah semua orang yang kita jumpa dan kenal boleh dijadikan sebagai sahabat? Tidak semua orang yang kita kenal boleh dijadikan sebagai sahabat. Kita perlu ada panduan memilih sahabat. Sekiranya tersalah pilih, diri kita yang teraniaya. Pastikan kawan yang hendak dijadikan sebagai sahabat itu hendaklah mempunyai sikap dan tingkah laku yang menarik.
Sikap dan tingkah lakunya yang menarik adalah termasuk dari segi akal fikirannya, budi pekerti, pegangan agama yang kukuh dan tidak terlampau mementingkan kebendaan atau keduniaan sehingga lupakan hal akhirat.

Nabi Muhammad berpesan,
“Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang harus di pilih menjadi rakan.”

Tiada guna kita bersahabat sekiranya akal fikirannya itu tidak waras yang boleh membuat kita sering tidak sependapat dan selalu berselisih pandangan. Sudah tentu perasaan dan hati kita tidak tenteram akibat dari perselisihan yang berlaku walaupun persahabatan kita sudah terjalin sekian lama. Ada yang berpendapat, lebih baik kita memutuskan persahabatan dengan orang yang akalnya kurang waras dan itu adalah satu pengorbanan bagi mendekatkan diri kita kepada Allah.

Memiliki peribadi yang mulia itulah pilihan kita. Mempunyai sahabat yang berbudi pekerti tinggi membuat diri kita selesa, tidak cemas atau risau apabila bersahabat dengannya. Ini kerana, sekiranya kita bersahabat dengan seorang yang pemarah, mempunyai hawa nafsu yang tidak terkawal, bersikap kedekut, penakut atau mudah mengikut kehendak nafsu yang buruk. Orang yang sedemikian tidak layak menjadi sahabat. Malahan, dia akan menyusahkan diri kita nanti.

Memilih sahabat yang mempunyai pegangan agama kuat adalah penting. Sekiranya sahabat itu seorang yang tidak acuh dalam melaksanakan perintah Allah, ia sudah tentu mempengaruhi diri kita supaya mengikut caranya. Seorang sahabat yang enggan sembahyang, tidak mahu bertaubat dan tidak mahu menerima nasihat supaya mengubah sikap buruknya itu, tiada guna kita meneruskan persahabatan dengannya. Oleh itu, pastikan sahabat kita itu tidak lemah dalam amalan ibadahnya. Seorang yang bersedia ditegur dan dinasihati. Seorang sahabat yang menghormati orang lain kerana budi pekertinya tinggi.

Jalinkan persahabatan dengan individu yang tidak terlalu mementingkan kebendaan atau harta dunia. Sahabat yang baik saling mengingatkan mengenai pentingnya bekalan amalan di akhirat. Saling mengerjakan kebaikan bersama dan membuat kebajikan dengan jujur dan ikhlas.

No comments: