7.5.07

Berakhirnya pesta buku (6.5.07)

Semalam berakhirnya pesta buku peringkat nasional yang hanya diadakan sekali dalam setahun. Meskipun hari terakhir, para pengunjung ramai dan di saat-saat terakhir booth buku hendak ditutup masih ada lagi yang hendak membelinya. Ini mungkin golongan yang suka membeli belah di saat terakhir. Macam bulan ramadhan, biasanya penduduk Malaysia suka bersesak-sesak di saat terakhir kerana dirasakan ketika itulah harga runtuh akan diberi oleh para peniaga kepada pelanggannya. Maklumlah hendakkan habis stok yang ada.

Begitulah strategi PTS yang menawarkan diskaun 30% bagi belian 2 buah buku ke atas pada hari terakhir. Itu satu potongan yang banyak bagi tajuk-tajuk buku yang baru! Saya lihat gerai-gerai ternama yang mengeluarkan buku baru mereka, janganlah haraplah mendapat potongan harga walaupun 10 sen. Saya apabila tahu tidak ada diskaun, lalu mengangkat kaki..(kirim salamlah kepada penerbit yang kedekut hendak tawarkan diskaun).

Sepatutnya di pesta buku sebeginilah, diskaun harus atau pun wajib diberikan. Tidak kiralah bagi buku baru mahu pun buku lama. Ini kerana dalam fikiran saya (tapi tidak tahulah orang lain..) diskaun itu mesti ada. Sebagai pembeli mesti bayangkan sudah tentu diskaun ada, kalau tidak mampu bagi 20%, bagilah 10 atau 15 % (adalah juga potongannya) sebab itulah pesta buku diadakan! Sama seperti kanival beli belah yang saban tahun diadakan yang menawarkan potongan istimewa. Entahlah! Mungkin penerbit terkenal itu menyangka bahawa dirinya sudah terkenal walau tidak ada potongan harga, peminat tentu membeli (bagi saya itu jenis peminat yang buta tuli...tidak tahu menilai yang mana baik atau tidak).

Sesetengah orang datang lagi pada hari terakhir. Mereka terkejut apabila PTS menawarkan tawaran potongan yang istimewa itu. Mereka meluahkan perasaan, "Jika saya tahu ada potongan sebegini, saya datang hari ini sahaja!" Saya tersenyum sahaja. Pak Latip pun sama. Tapi akhirnya, beliau membeli juga beberapa buah buku lagi!

Buku Pak Latip, laju jualannya ibarat pisang goreng terutama buku pahlawan Islam, Salehuddin..sudah habis di booth PTS. Ramai yang hampa dengan muka sedih berlalu dan diberi pesanan cubalah cari di kedai buku lain seperti MPH, Popular. Pak Latip tersenyum lega. Itulah hasil titik peluh menulis dan apabila sambutan diterima baik dari pembaca, itu adalah satu kepuasan. Bagi seorang penulis, bukanlah hendak dikejar nama yang glamour apa yang penting kepuasan menyampaikan sesuatu yang bermanfaat kepada para pembaca.

Hari raya bagi penulis sudah habis dan kini penulis masuk kembali dalam 'kandang' bagi menghasilkan karya baru dan yang lebih segar! Sepanjang seminggu pesta berlangsung, ada pelbagai tajuk buku baru yang ada di pasaran. Dan buku yang ditulis dalam bahasa Melayu juga semakin bertambah (itu pada pengamatan saya). Tetapi malangnya, ada juga yang beriya-iya hendak menjual buku dalam bahasa asing untuk kanak-kanak. Agaknya, bahasa Melayu sudah tidak begitu penting lagi. Lebih-lebih lagi, harga yang ditawarkan itu terlalu tinggi dan boleh dibayar pula dengan ansuran. Namun begitu, ada juga yang menjadi mangsa perangkap secara halus itu. (kasihan para ibu bapa yang terpaksa mengadap dan mendengar celoteh juru jual. Kalau saya mungkin terlelap di buatnya!). Saya juga pernah di sapa, dan saya menjawab, "Terima kasih! anak-anak saya semua sudah besar dan masuk universiti!" Sejak itu,tidak berani ditegurnya! (garang juga saya ini!)

Di hari terakhir saya berada di gerai PTS, saya sudah tidak mampu hendak berdiri. Duduk sahaja sambil memerhati orang ramai dan sekali sekala adalah juga menyain buku "Bahtera Nabi Nuh"dan " Selembut Bicara" Berkongsi rasa dengan saya, Sdr Ida Munira yang terasa hendak pitam dan juga Diana (pelatih Uitm) yang demam. Kami tidak habis-habis menyapu minyak angin bagi menguatkan badan (tidak juga lut..badan masih lemah dan muka pucat lesu). Puan Nor berkata, "Kenapa datang?" Saya jawab, "Pagi tadi ok sahaja, sekarang macam tidak ok." Mungkin melihat orang semakin ramai dan kepala pun semakin berputar-putar. Saya tengok Pn. Nor pun semacam hendak bergabung dengan kami, tetapi dia masih dapat bertahan lagi.

Sebelum saya ke booth PTS, saya singgah dahulu ke pentas utama bagi mengikuti program sebuah penerbit terkenal dan pengedarnya. Kebetulan, pelakon,pelawak dan penyanyi terkenal ada di situ bertindak sebagai pengacara. Terhibur juga hati ini melihat telatahnya yang bersahaja (sama sebangsa-jawa). Saya lihat ramai kanak-kanak dan ibu bapa yang hadir. Ini termasuklah budak sekolah yang membuat persembahan bercerita. Dan juga pelajar universiti dari Songkla, Thailand yang menyampaikan beberapa sajak terbitan majalah terkenal di kalangan pelajar. Pada mulanya saya seorang diri, tetapi disergah lembut oleh Sdr. Rozita (PTS) yang turut berminat melihatnya. (Ini kerana beliau hendak mencari peluang supaya boleh mempromosi buku-buku bisnes PTS dalam majalah terbitan syarikat itu).

Sebenarnya, di pentas itu pada setiap hari ada sahaja aktivinya. Cumanya saya yang tidak berkesempatan mengikutinya. Ini suatu yang baik sebagai satu cara para penerbit memperkenalkan buku-buku baru dan juga penulis mereka kepada orang ramai. Saya ada cadangan, apa kata pesta buku mesti diadakan dua kali setahun supaya menambah minat rakyat Malaysia ke arah membudayakan buku dalam kehidupan harian mereka.

Sebelum saya balik, saya dan suami merayau dari gerai ke gerai yang belum saya kunjungi. Ada gerai yang sudah tutup dan ada juga gerai yang masih rancak dan ramai pengunjungnya. Selepas maghrib, datang lagi ke booth PTS bagi menggamit Pn. Sifu hendak melaporkan diri berundur diri. Dalam perjalanan ke situ, berselisih dengan Sdr. Firdaus yang hendak ke surau, mengirimkan khabar yang penulis Ayat-ayat Cinta kembali berada di gerai berhadapan dengan gerai PTS bagi sesi menyain autograf bagi bukunya yang bertajuk, "Pudarnya Pesona Cleopatra". Pn. Sifu pula bertindak menjadi pengacara jemputan (jangan marah sifu!) memperkenalkan penulis yang masih bujang itu. Saya pun tidak pasal-pasal mencapai buku itu (memang niat hendak beli tapi tunggu diskaun naik dulu!) dan membayar di kaunter. (Murah sahaja tidak sampai RM10). Mintalah penulis Habiburrahman El Shirazy sain buku itu yang ditulisnya "Salam dari Penulis." Suami saya bertanya, "Dia tulis apa? Salam cinta lagikah?" Saya tersenyum, (cemburu lah tu!) dan menjawab, "Tidak!" Agaknya si Habiburrahman itu nampak suami berada di sisi terus ditulisnya 'Salam perkenalan." (hehehhe!...) Kami pun bergambarlah bergilir-gilir. Kenapalah saya suka beli buku dia? Entahlah...agaknya saya teringin hendak menulis novel cinta sepertinya. Anggaplah ini sebagai satu perangsang bagi diri saya supaya selepas ini saya ikut jejak langkahnya!

Selama beberapa hari saya hadir ke PWTC (kecuali, Jumaat, Sabtu dan Jumaat) banyak pengalaman yang diperoleh yang mungkin tidak dapat di mana-mana. Atas sokongan suami, saya gagahkan diri datang ke PWTC dalam keadaan sebenarnya tidak berapa sihat. Alhamdulillah akhirnya berbagai perkara boleh berlaku. Bertemu dengan sahabat blog yang selama ini berbicara di alam maya tetapi berbicara secara bersua muka. Saya terperanjat juga kerana saya baharu sahaja menceburkan diri di alam maya ini atas dorongan sahabat yang lain. Sebelum ini, terasa malas kerana masa dirasakan begitu cemburu. Tetapi atas dorongan suami, anak buah (yang mahir komputer dan alam siber) dan juga sahabat, saya pun menyibukkan diri di alam ini (terima kasih semua atas dorongan dan sokongan anda). Dan bermulanya menjadi ahli blogger, saya tanamkan azam hendak menulis walaupun sedikit di paparan maya ini.

Akhir sekali, terima kasihlah kerana sudi membaca laporan saya yang tidak seberapa. Jika dahulu menulis berita secara formal tetapi kini tidak formal (diselit dengan lawak bodoh dan juga ulasan sendiri..hehehhe...jangan marah ye!) Seandainya tidak berpuas hati, luahkan rasa tidak puas hati saudara dalam blog saya ini. Jangan mengata belakang-belakang, tidak baik. Katalah depan-depan dan telus! Saya terima sahaja walaupun pahit (pahit itukan ubat yang mujarab!).

Sekian Wassalam.



2 comments:

Abang Long said...

Salam hormat buat Puan. Syukur Alhamdulillah, akhirnya kita bertemu juga. Ya, sepertimana entri Puan pada kali ini. Terlalu banyak yang kita pelajari dari Pesta Buku ini sebenarnya. Saya berasa puas apabila membaca n3 Bloggers lain tentang pesta kali ini. Sama sependapat dengan Puan, sewajarnya Pesta Buku diadakan secara dwi tahunan. Supaya akhirnya dapat memupuk budaya membaca.

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Agaknya, Pak Habib itu sudah biasa dengan kalimat cinta…

Seperti di sini…kalimat “my love”, “my darling”, adalah perkataan yang biasa disebut oleh ramai..baik lelaki mahupun perempuan…dari pemandu bas(kita ucap terima kasih apabila mahu turun bas, memang budaya di sini..pemandu bas akan kata..”Okay, luv”), tukang cuci, (bila kita sebut “good morning!”) sehinggalah kepada professor tua kat universiti…bila kita minta tunjuk ajar dan kita ucap terima kasih…

Agaknya, kalau Saridah ke sini dengan suami, pada hari pertama…mesti wajah suami merah padam menahan api cemburunya…(melawak saja ya?)

Terima kasih daun keladi di atas ulasan panjang lebar tentang Pesta Buku. Pesta Buku tahun depan kita geng, ya?

Wasalam