Showing posts with label Pengalaman peribadi. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman peribadi. Show all posts

18.6.07

Mengapa Emak Sedih?

Di sebuah kawasan perumahan yang baru diduduk sejak setahun yang lalu oleh sebuah keluarga yang berjumlah 10 orang. Si ayah bertungkus lumus seorang diri mencari nafkah bagi memelihara seorang isteri dan lapan anaknya yang lain. Ada yang sudah bekerja tapi belum berkahwin, ada yang sedang belajar dan akan hadapi peperiksaan penting, ada yang masih bersekolah menengah dan rendah, dan ada juga yang belum bersekolah, masih lagi berhingus.


Si isteri setia dan kasih pada suami dan anak-anaknya. Tetap melakukan tugasan yang menjadi rutin kehidupannya tanpa jemu. Mengemas rumah, membasuh kain baju, memandikan anak kecil, memasak, dan sebagainya yang tidak pernah putus dari melakukannnya dari pagi hinggalah ke malam.


Pada suatu hari, kelihatan beberapa anaknya merasa hairan dengan sikap Si Emak yang mendiamkan diri dan sugul.


“Mengapakah emak dari tadi abang lihat termenung dan tidak banyak bercakap?” tanya Abang Tiga kepada Adik Lima yang sedang membuat kerja sekolahnya. Tahun ini dia akan mengambil peperiksan Sijil Rendah Pelajaarn.


“Tidak tahulah Abang Tiga. Tetapi sejak tengahari tadi, bapa tidak pulang makan. Agaknya sebab itu emak susah hati,” kata Adik Lima tanpa menoleh kepada Abang Tiga yang duduk disebelahnya.


“Mengapakah bapa tidak balik. Selalunya, dia balik makan bersama kita. Abang rasa macam tidak sedap hatilah," Abang Tiga berkata dengan nada perlahan. Dia juga akan mengambil peperiksaan penting seperti Adik Lima iaitu Sijil Pelajaran Malaysia.


“Baiklah abang pergi tanya kepad emak sendiri,” ujar Adik Lima sambil memandang Abang Tiga.


“Tidak mahulah. Nanti emak marah abang”, kata Abang Tiga sambil membuka buku teks untuk mengulangkaji pelajaran.


“Kalau begitu, biar Adik sahaja yang bertanya," Abang Tiga mengangguk tanda bersetuju.


Adik Lima mengemas buku-bukunya dan disusun rapi di atas meja. Emaknya pantang melihat barang yang berselerak. Adik Lima duduk di sisi emaknya yang masih melipat baju.


“Emak tidak sihatkah?” tanya Adik Lima sambil memicit bahu emaknya. Emak mendiamkan diri tanpa menoleh ke arah Adik Lima.


“Emak, mengapakah emak tidak banyak bercakap selepas kita makan tengahari tadi?” tanya Adik Lima sekali lagi apabila pertanyaannya yang pertama tidak disahut oleh emak.


“Tiada apa-apa,”jawap emak dengan nada perlahan.


“Adik tahu emak mungkin risau sebab bapa tidak tidak balik makan. Mungkin bapa kerja lebih masa. Emak janganlah merasa risau,”Adik Lima cuba memujuk hati emaknya agar tidak susah hati.


“Emak merasa tidak sedap hati sahaja hari ini. Emak harap tidak ada apa-apa yang terjadi pada hapa kamu,”ungkapan emak mengejutkan Adik Lima. Abang Tiga bangun dan menuju ke ruang tamu. Abang Tiga menyertai Adik Lima duduk berdekatan dengan emak.


“Mengapa emak berkata demikian? Apa yang telah berlaku kepada bapa?”tanya Abang Lima dengan suara cemas.


“Tidak ada apa-apa. Cuma emak teringat, bapa kamu kata akan balik tengahari tadi. Dan sebelum itu, pagi tadi dia meninggakan pesanan agar emak jaga kamu dengan baik. Itulah yang emak pelik,”suara emak semakin sendu dan mula menitiskan air matanya ke pipi. Abang Tiga dan Adik Lima merasa terharu. Adik Lima memeluk emak dengan erat. Abang Tiga hanya memerhatikan sahaja.


“Emak, janganlah bimbang. Saya yakin tidak ada apa yang berlaku pada bapa,”kata Abang Tiga lalu memandang wajah sayu emaknya.


Telefon rumah berbunyi. Abang Tiga mengangkat telefon dan kemudiannya memanggil emak.


“Emak, ini Abang Sulung bercakap. Hendak beritahu bahawa bapa dimasukkan ke dalam hospital,”suara tenang Abang Sulung didengar dengan teliti oleh emak.. Abang Sulung yang merupakan anak sulung sudah bekerja di bawah satu bumbung dengan bapa.


“Emak, bersabarlah dan jangan bimbang. Saya akan menjaga bapa di sini. Esok emak datanglah. Hari ini tidak sempat. Waktu melawat sudahpun tamat,”kata Abang Sulung lagi.


“Bagaimanakah keadaan bapa sekarang? Apakah yang sebenarnya terjadi?”tanya emak dengan nada lemah.


“Bapa tidak sedarkan diri. Saya sendri belum bercakap denganya. Kawan bapa iaitu Pak Cik Jalal cerita, bahawa bapa jatuh apabila hendak turun dari lori, “ Abang Sulung tidak dapat menahan sebak di dadanya. Dia mendiamkan diri sebentar.


“Kamu masih ada di situ di situ?”suara emak memanggil Abang Sulung yang tidak bersuara di corong telefon.


“Emak, lepas itu bapa hendak balik tetapi Pak Cik Jalal tidak benarkan kerana bapa hendak naik motor. Pak Cik Jalal bawanya ke kantin untuk berehat, apabila tiba di kantin bapa terus pengsan,”kata Abang Sulung dengan suara teresak-esak.


“Kamu tunggulah di situ sehingga bapa sedar. Esok nanti emak akan datang ke hospital,” emak berpesan kepada Abang Sulung.


Waktu Remang Petang


Abang Kedua yang baharu sahaja pulang dari sekolah merasa hairan suasana sunyi di rumah.


“Emak, mengapa rumah kita sunyi sahaja? Abang Sulung belum balik lagikah?” Abang Kedua membuka kasut dan meletakkannya di tepi pintu. Abang Kedua memang rapat dengan Abang Sulung.


“Abang kamu belum balik. Dia berada di hospital,”jawab emak sambil menghulurkan secawan air kepada Abang Kedua yang dahaga.


“Bapa tidak balik lagikah? Mengapa Abang Sulung pergi hospital?” tanya Abang Kedua setelah habis minum air.


“Bapa kamu di hospital,”kata emak perlahan.


“Hospital! Bapa sakit apa? Saya hendak pergi hospital sekarang,” Abang Kedua mendekati emak yang sedang memotong bawang.


“Esok pagi kita pergi. Petang ini tidak sempat,”kata emak tanpa menoleh kepada Abang Kedua.


Mimpi


“Pergi tengok adik bongsu, sudahkah bangun dari tidur agaknya,”kata emak yang sedang sibuk menyediakan makan malam untuk kami adik beradik.


“Emak, mengapa bapa tidak balik?”tanya Adik Tujuh yang baru berumur tiga tahun.


“Bapa sakit. Adik mesti sudah lapar. Pergi panggil abang-abang, nanti boleh makan sama,”emak melihat Adik Tujuh menggangguk kepalanya. Adik Tujuh berlari ke ruang tamu dan memanggil abang-abangnya yang baharu selesai mengerjakan solat Maghrib.


“Abang Dua, Abang Tiga, Abang Empat…emak panggil makan,”kata Adik Tujuh dengan nada pelatnya. Dia menaik tangan Abang Tiga. Abang Tiga tersenyum dan bangun. Mereka menuju ke dapur.


“Kakak, esok ambil cuti. Esok, emak hendak pergi hospital. Tolong jaga adik-adik kamu di rumah,”kata emak selepas mereka sekeluarga habis makan. Kakak yang telah bekerja sementara mengangguk sahaja.


“Emak, Abang Tiga hendak ikut pergi hospital,”Abang Tiga membawa pinggan kotor ke singki.


“Kamu sekolah, tidak boleh ikut,”kata emak sambil mengemas meja. Kakak pula sibuk mencucu pinggan.


“Kami semua hendak ikut,”kata Adik Tiga menolong kakaknya membilas pinggan yang sudah disabun.


“Tidak boleh. Tidak muat teksi kalau semuanya hendak pergi,”kata emak dengan nada perlahan.


“Kami boleh naik bas,”Adik Enam menyampuk.


“Sudah pukul sepuluh ini. Pergi solat Isyak dan kemudian tidur awal. Esok kita hendak bangun cepat,”emak mengusap kepala Adik Bongsu yang lena dalam pangkuannya.


“Tolong dukung Tujuh itu. Sudah tertidur di kerusi itu. Baringkannya di atas katil emak,”Abang Kedua mematuhi arahan emak.


Malam itu mereka tinggal lapan orang sahaja dalam rumah tanpa bapa dan Abang Sulung.


Lampu telah dipadamkan. Tetapi Adik Kelima tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya memikirkan tantang bapanya. Apakah yang menyebabkan bapanya tiba-tiba pitam? Emak pula tidak pasti apakah puncanya? Ini kerana bapa kelihatan sihat. Akhirnya , Adik Kelima terlelap.


“Abang Kedua, bangun!” kedengaran suara emak mengejutkan Abang Kedua.
“Kakak! Bangun!”emak mengoncang kaki Kakak. Kakak terjaga.


“Ada apa emak?” Kakak menggosok matanya. Emak memasang lampu bilik.


“Pergi kejutkan adik-adik yang lain,”kata emak dengan suara yang cemas.


Setelah semuanya terjaga, mereka berkumpul di hadapan emak kecuali Adik Tujuh dan Adik Bongsu.


“Bapa kamu sudah meninggal dunia,”kata emak dengan sedih dan tiba-tiba mengalirkan air matnya.


“Innaillahi wainnaillahi rajiun,” Kakak berkata dengan perlahan. Mereka kemudiannya menangis serentak dan memeluk emak. Emak kelihatan tenang meskipun air matanya mengalir deras di pipi. Emak mengesat pipinya dengan tangan.


“Baiklah. Emak hendak kamu bersabar. Sekarang semuanya pergi mandi dan solat Subuh. Kemudian kemas apa-apa yang patut seperti baju untuk di bawa ke kampong. Bapa kamu akan dikebumikan di kampong,”kata emak dalam suara sendunya. Mereka semuanya mengangguk.


“Emak, patutlah malam tadi Adik Lima bermimpi gigi tercabut. Ustaz kata, kalau mimpi gigi tercabut, tandanya ada orang terdekat yang hendak tinggalkan kita,”Adik Lima memeluk emak dan menangis teresak-esak. Emak dan yang lain menangis lagi.


Anak Yatim


“Emak, bapa pakai apa itu?”tanya Adik Tujuh yang merasa hairan melihat bapa terbujur dalam kain putih.


Emak memndiamkan diri. Dipipinya mengalir air mata. Adik Lima mengambil Adik Tujuh dari emak dan memangkunya. Adik Tujuh yang keletah minta dilepaskan. Dia berlari ke arah Abang Sulung yang berada di sisi jenazah bapa.


“Abang, bapa tidurkah?”tanya Adik Tujuh pada Abang Sulung. Semua yang hadir memandang ke arah kedua beradik itu.


‘Kasihan. Anak-anaknya ramai dan masih kecil lagi,”kedengaran suara wanita berkata dengan perlahan. Ramai saudara mara dari sebelah bapa dan juga emak datang menziarahi jenazah bapa. Bapa akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di kampung emak. Mudah bagi kami, adik beradik untuk menziarahi pusara bapa, itu kata emak.


“Apakah penyakit arwah?”tanya seorang wanita tua yang datang meziarahi jenazah bapa pagi itu. Emak menoleh ke arahnya.


“Menurut doktor, dia disahkan ada penyakit darah tinggi,”kata emak dengan suara yang sayu. Wanita itu memegang tangan emak. Mungkin itu caranya untuk memberi semangat kepada emak agar bersabar. Emak memangku adik Bongsu yang sedang tidur.


“Dia mungkin tidak mengenali bapanya. Masih kecil lagi sudah jadi anak yatim,”kata wanita itu sambil mengusap kepala Adik Bongsu yang sedang lena. Emak hanya memandang dengan sayu.


“Sabarlah, Allah menyayangi suami kamu itu. Doakanlah semoga rohnya berada bersama orang-orang yang salih,”tambah wanita itu sambi bersalam dengan emak untuk meminta diri. Emak hanya mengangguk kecil. Mata emak sudah sembab.


“Berapakah anak kamu?”tanya seorang wanita yang seusia dengan emak.


“Semuanya lapan orang,”kata emak dengan perlahan sambil memandang wajah wanita yang berada dihadapannya. Emak melemparkan senyuman kelat.


“Terima kasih kerana datang ziarah,”kata emak lagi dengan nada perlahan.


“Itu anak–anak kamu?”wanita itu menunjuk ke arah Abang Sulung, Abang Kedua, yang duduk di sisi jenazah bapa. Emak mengangguk lemah.


“Ini semua ujian dari Allah. Bersabarlah,”kata wanita itu sambil meminta diri untuk pulang.


“Panggil ahli keluarganya untuk melihat wajah terakhir arwah,”kata Pak Cik Long yang merupakan abang ipar emak. Dia duduk di sisi mayat bapa. Jenazah bapa telah selamat di mandi dan juga dikafankan.


Seorang demi seorang datang melihat wajah bapa bagi kali terakhir. Anak-anak bapa juga dapat melihat dan mencium muka bapa sebelum ditutup. Emak hanya melihat dari jauh. Emak kelhatan tenang sahaja. Sebaik sahaja kami adik beradik selesai melihat wajah bapa, kami menangis teresak-esak. Rasa sebak yang ditahan selama ini terhabur juga. Suasana hening tercemar dengan bunyian tangisan anak-anak kehilangan bapa yang menjadi tempat bergantung dan mendambakan kasih sayangnya. Al-Fatihah untuk bapa!

28.5.07

Ingin Berhenti Kerja

Sebulan yang lalu saya berkenalan seorang rakan yang sudah berumah tangga dan juga menjawat jawatan yang baik di salah sebuah sektor yang terkenal di negara ini. Dia menghadiri bengkel yang buat pertama kali bagi dirinya dan berkali-kali bagi diri saya. Di situlah mulanya perbincangan serius antara saya dengannya.


Pada mulanya dia sekadar mendengar celoteh saya dengan seorang kawan semasa makan. Apabila saya berbual dengan kawan saya (masing-masing sudah veteran, adalah ceritanya yang tidak pernah habis, dari satu cerita dari ke satu cerita. Tapi bukan mengumpat, perbualan lebih ke arah rumah tangga dan juga dunia penulisan.)


Seorang kawan yang baru saya kenali tadi mungkin tertarik dengan tutur bual kami yang bercelaru dan bercampur aduk antara rumah tangga dan penulisan, maka dia pun mengajukan beberapa soalan cepu mas kepada saya,


1. Bagaimanakah caranya menjadi penulis yang baik?


2. Bagaimana hendak memulakan menulis. Saya minat menulis tetapi tidak tahu hendak menulis apa dan apakah yang saya perlu lakukan.


3. Saya ingat hendak menulis sepenuh masa kerana saya sudah bosan bekerja di pejabat yang kerjanya tidak pernah habis.


Saya memikirkan jawapan yang padu untuk menyakinkannya. Namun begitu, jawapan yang saya beri secara rambang bermula dari waktu makan itu hinggalah berhari-hari melalui panggilan telefon darinya.


Tidak beberapa minggu selepas itu, kawan baru saya itu mengajukan jawapan yang membuatkan jantung saya berdebar-debar dan mungkin tekanan darah tinggi naik sedikit. Inilah jawapannya yang tidak sempat saya ajukan soalan,


4. Saya sudah buat keputusan dan saya berhenti kerja. Saya sudah mendapatkan kerja yang membolehkan saya bekerja dan sambil menulis.


Saya lagi sekali berasa bersalah kerana adakah dengan kata-kata saya itu mempengaruhi orang lain untuk membuat satu keputusan? Saya tidak mahu ia berulang kembali seperti sebelum ini yang membuat saya menyesali, menangisinya dan memikirkan kembali kesilapan selama seminggu dengan hati yang rawan, titisan air mata tanpa disedari mengalir, dan merajuk sendiri sehingga makan pun tidak selera.


Orang bertanya, saya menjawab berdasarkan pengalaman dan pandangan sipi-sipi hasil dari pengamatan dan pembacaan. Tapi, sekiranya mereka sudah membuat keputusan muktamad bagi diri mereka, adakah saya yang bersalah? Saya ingin kurangkan bercakap dan banyakkan buat kerja. Tetapi, apabila sudah bertemu dengan orang, saya ingin bercakap kerana hendak tahu apa yang mereka tahu. Kesudahannya mereka yang ingin tahu apa yang saya sudah tahu (hehehe gelak dalam hati).


Maafkanlah daku teman sekiranya kata-kata ku membuat kamu semua merasa serba salah dan mengambil satu keputusan yang membuat hati ku menjadi gundah gulana dan rawan. Apa pun, daku berdoa teman-teman dengan menjawat kerjaya baru semoga tabah menghadapi ujian, onak duri perjuangan dalam dunia yang serba baru. Anggaplah itu satu penerokaan pengalaman yang tidak boleh dibeli di mana-mana sekolah atau universiti. Berjuanglah selagi hayat di kandung badan!

23.5.07


Mengajukan soalan yang tepat

Semasa terlibat dalam dunia penyiaran, pelbagai jenis, watak dan perwatakan orang perseorangan yang ditemui. Itu adalah satu kelebihan bekerja dalam bidang ini. Kita berpeluang bertemu dengan orang biasa sehinggalah orang yang punya kuasa. Dari orang kecil sehinggalah orang besar-besar. Begitu juga dengan bahasa percakapan dari yang fasih berbahasa melayu dan ada langsung tidak tahu bahasa melayu. Jika pandai berbahasa Inggeris itu satu bonus tetapi terseksa jiwa jika orang yang kita jumpa itu langsung tidak tahu ke dua-dua bahasa itu. Itu lagi parah! Alamak, seperti itik dengan ayam bercakap atau pun guna bahasa isyarat yang entah apa-apa serta tonggang langgang.


Bila baru bertemu dengan seseorang itu sudah tentulah kita akan perkenalkan diri dahulu.

"Saya .....dari ......... " dengan wajah yang manis dan mesra. Bukan masam dan kelat. Bertanya khabar tetapi tidak ikhlas. Bahasa badan boleh mencerminkan sikap kita. Kalau berkomunikasi itu mata mesti dipandang dengan tepat supaya kita boleh lihat sikap dan tingkah laku seseorang yang kita temui itu. Dari situ, mungkin orang itu akan lebih mudah menerima diri kita untuk menjawab pertanyaan selanjutnya.


Apakah sikap kita terhadap orang yang sedang bercakap dengan kita tetapi tidak memandang muka kita. Sudah tentu terasa sakit hati. Seolah-olah bercakap dengan kita secara tidak bersungguh-sungguh. Asalkan bercakap tanpa memperdulikan orang yang diajak berbual. Itu adalah kesilapan besar dalam berkomunikasi.


Lepas itu, nyatakan terus tujuan perjumpaan itu (sekiranya ia dirancang terlebih dahulu dan menetapkan tarikh pertemuan itu). Jangan pula meleret-leret. Orang yang bekerja bertaraf professional, mereka amat mementing waktu dan perbualan yang penting sahaja. Ini kerana mereka banyak kerja yang perlu dilakukan. Sekiranya hendak beramah mesra dengan lebih lanjut, itu perlu dibuat pertemuan yang lain.


Teringat pada suatu masa itu, saya dan kawan ditugaskan melakukan tugasan bagi merakamkan beberapa segmen untuk siaran langsung yang akan diadakan di sebuah negeri yang mempunyai banyak daerah. Kami meninjau lokasi di serata negeri itu bersama krew yang lain. Akhirnya setelah tiga hari menetap di sebuah hotel di negeri itu yang ditaja penuh oleh kerajaan negeri, maka tibalah masa dan harinya bertemu dengan orang kuat negeri itu, iaitu menteri besar.


Hari dan masa sudah ditetapkan terlebih dahulu kerana beliau seorang yang sibuk. Maklumlah memerintah sebuah negeri, sabtu dan ahad adalah hari bekerja bagi orang-orang seperti itu. Tiba masanya kami pun sampai satu rombongan dengan van dan kereta. Saya, kawan serta krew naik van. Sementara, penerbit saya naik keretanya sendiri kerana hendak melihat hasil kerja kami dengan orang besar ini. Kebetulan, penerbit saya itu bercuti di negeri yang sama, oleh itu dia mengambil kesempatan untuk melihat kerja-kerja anak buahnya.


Saya amat suka dengan kehadiran penerbit itu kerana saya merasa bimbang dengan tingkah laku kawan sekerja saya itu. Dia ini macam 'tidak betul' dalam gerakkerjanya. Dan bukan saya sahaja yang merasakan begitu, penerbit saya juga begitu. Sepatutnya dalam melakukan kerja luar daerah ini, sepatutnya saya tidak terlibat. Ini kerana saya ada komitmen lain. Tapi atas permintaan penerbit yang mahu saya pergi bersama kawan setugas itu, maka saya pun reka secara kreatif segmen apa yang saya hendak lakukan. Tidak mahulah pergi semata-mata hendak menemankan kawan saya itu yang kurang diyakini tingkah lakunya. Mungkin sebab itu, penerbit saya itu pun datang sekali. Ini kerana, semasa menemuduga dengan menteri besar itu, bukan tanggungjawab saya. Kami ditugaskan berdasarkan segmen masing-masing. Segmen saya sudah siap, tinggal segmen kawan saya ini yang belum lagi selesai.


Oleh kerana itu, saya tidak peduli apakah soalan-soalan yang hendak diajukan oleh kawan saya itu. Kami pun sampailah ke kediaman rasmi menteri besar itu. Sebelum bertemu dengan tuan rumah (menteri besar lah) saya mencari en tan das dulu. Seharian berkeliaran di negeri itu, en. tan das belum lagi saya temui. Akhirnya saya bertemu juga yang terletak di luar rumah yang tersergam besar itu. Dikatakan tandas itu digunakan oleh orang ramai yang berkunjung ke rumah rasmi itu. Jadi, tiada peluang hendak menggunakan tandas yang berada di dalam rumah yang indah ala-ala tradisional itu.


Setelah melepaskan hasrat yang terpendam, saya pun pergilah ke tempat yang sudah ditetapkan sebagai lokasi temuduga. Agaknya, menteri itu memang tidak mahu kami masuk ke dalam rumahnya. Adakah sesi temuduga itu diadakan di luar rumah berhadapan dengan pintu masuk ke rumahnya. Kecil hati kami, dilayan ibarat peminta sedekah. Tidak mengapa, layanan istimewa kami sudah pun nikmati dengan menginap di hotel lima bintang dan juga makan yang enak-enak belaka, saya memujuk hati yang tersentuh.


Saya pun memandang dari jauh kerja-kerja kawan saya itu. Ini diikuti oleh penerbit yang turut memberikan pandangan mengenai soalan yang hendak diutarakan oleh kawan saya itu. Saya pun buat tidak tahu sambil mata ini memandang di sekeliling kawasan rumah itu.


Setelah mic di selitkan di celah baju menteri besar itu, kamera pun sudah bersedia. Perakam suara dan lampu sudah siap sedia, semuanya sudah on belaka! Saya pun sudah menadah telinga, soalan apakah yang hendak diajukan oleh kawan saya itu.


"Apo nak ditanyo? Tanyolah, den sedio menjawabnyo," kata menteri besar itu.


"Tan Sri, boleh saya tahu di manakah letaknya tan..das.." tanya kawan saya dengan selamba.


"Ado yeh, itu hah di belakang sano!" menteri besar itu pun jawab dengan selamba.


Saya terperanjat dengan soalan cepumas yang kawan lontarkan kepada menteri besar itu. Saya sudah tidak dapat menahan ketawa lalu menutup mulut sebelum suara ketawa yang terbahak-bahak keluar melulu. Krew kami sudah menggeleng kepala. Penerbit saya, lagi sudah merah padam mukanya menahan malu dengan sikap kawan saya yang dikatakan "kurang betul" tingkah lakunya.


Saya menggaru kepala yang tidak gatal. Akhirnya, penerbit menyuruh saya menyoal menteri besar mengenai perkembangan ekonomi negeri itu. Nasib baiklah saya sudah membuat sedikit kajian sebelum datang ke negeri itu. Bagi menutup keaiban yang dirasakan begitu besar kesilapan yang dilakukan oleh kawan saya itu.

18.5.07

Letih berurusan dengan vvip

Bekerja dengan sektor awam mempunyai banyak protokol yang harus diikuti. Ini termasuklah berpakaian yang sopan. Bagi saya yang terlibat dalam penyiaran terutama dalam bahagian siaran pagi perlu banyak mempelajari dan memahami 'adat resam' berurusan dengan orang-orang yang dikatakan vvip atau orang besar.

Bilik tetamu perlu dipastikan kemas (kalau tetamu vvip kenalah tempah bilik tetamu vvip yang pernah menjadi singgahan Yang di Pertuan Agung, Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet dan lain-lain) , makanan dan minuman perlu yang tip top, dikenakan memakai baju yang sopan seperti baju kurung, kebaya dan segala yang berunsurkan tradisional, berkasut kulit bertumit (bagi wanita, lelaki tidak diwajibkan bertumit tapi mesti kasut kulit. Kalau kasut sukan dipakainya, alamat memo surat merah datang...hehehe1)

Selain merangkap jawatan penolong penerbit juga merangkap sebagai pegawai perhubungan awam. Tanpa mengira siapa tetamu, kami yang bertindak sebagai pr semasa bertugas di siaran pagi, diwajibkan menunggu tetamu di hadapan pintu wisma tv. Itulah saat-saat yang membosankan. Termanggu-manggu seorang diri di pagi buta pula itu (silap hari bulan tetamu lain pula yang datang...eee seram bulu roma akak!) Siaran pagi, mana ada orang yang datang bekerja pada waktu itu lagi.

Pada suatu hari, adalah satu slot siaran pagi itu perlu ataupun diwajibkan (ini kes kena paksa keluar juga kalau tidak keluar, orang atas jeling-jeling kat kami. Meskipun tetamu itu bukannya kami suka..kira kami ini pilih kasih juga tapi kalau dipaksa kena ikut, ....tabik tuan!) yang hendak membicarakan pasal persatuannya. Tetamu ini anak orang penting dalam negara. Dia yang tubuh persatuan itu, lepas itu dia sendiri jadi Presidennya (kiranya syok sendiri dan perasan hebat sangat...ya Allah ini kira sudah mengumpat, ampunkan daku!) . Kalau persatuan itu ada mesej kemanusiaan kiranya saya sokonglah juga. Tapi sibuk mengenai orang yang bawa penyakit (atas kelakuan sendiri buat dosa besar) yang hendak dibelanya. Banyak perkara yang boleh dilakukan, tolong orang miskinkah, tolong anak yatimkah, tolong orang tuakah, dan banyak perkara tolong yang boleh dilakukan kepada mereka yang lemah dan dhaif. Alamak! Terlebih merepek pula hari ini. Saja hendak lepas geram pada golongan seperti itu. Gila glamer tidak bertempat. Nanti di akhirat, fikirlah sendiri macamana hendak glamer depan Allah.

Maka datanglah si tetamu yang dinantikan dengan langkah lembut gemalainya. Saya yang menyambutnya tersengeh-sengeh macam kerang busuk (nasib baik teringat gosok gigi pagi itu, kalau tidak berbau!).

"Assalamualaikum puan!' Saya memberi salam sambil menghulurkan tangan bersalamannya dengannya. Senyuman di bibir tidak lekang. Tapi, tetamu itu jangankan senyum kambing, senyum itik pun tidak diberinya kepada saya.

Tetamu itu datang agak lewat. Kami sudah berpesan dengan para tetamu, sekiranya boleh datang lebih awal sama ada setengah jam sebelum sesi tetamu itu dijadualkan. Ini bagi memudahkan kami menyambutnya dan menyuruhnya make-up serta lihat bajunya. Kalau baju yang dipakainya itu tidak sesuai (seksi ke, berwarna biru atau koyak ke -takkanlah orang hendak pakai baju koyak-tidak masuk akal). Ini bagi memastikan masa siaran atau keluar dalam skrin kamera nampak cantik. Tetamu itu nampak cantik dan kami pun senang hati tidaklah kena kutuk dengan orang atas nanti.

"Puan mari ikut saya ke bilik make-up," kata saya dengan lembut tetapi dalam hati geramnya. Semoga sempatlah si minah ini make-up. Masa tinggal lagi 10 minit hendak ke udara ini. Dia pun dengan lemah gemalai berjalan dengan perlahan. Saya pula tidak sabar, hendak saja berlari anak-anak, takut tidak sempat.

"Silakan duduk, puan," kata saya lagi dengan sopan.

"Saya rasa tidak perlulah make-up. Sebabnya kulit saya sensitif dengan make-up di sini. Lagipun saya tidak suka make-up." katanya dengan nada biasanya.

Saya sudah mula geram. Hendak diluahkan perasaan geram ini, nanti tidak pasal-pasal saya dikenakan hukuman mandatori berhenti kerja saja. Tapi kalau tidak dijalankan tugas mencantikkan tetamu , kena marah dengan penerbit pula. Saya hendak saja menghamburkan kata-kata laser tapi masih tahan. (saya ini boleh tahan kalau nak laser orang lain--dalam bidang ini kena keras kata-kata, entahlah sakit jiwa dibuatnya)

"Tidak boleh begitu puan. Puan perlu make-up supaya dalam skrin tv tidak nampak pucat muka itu. Sedikit bedak pun jadilah! "Saya merayu bagaikan rayuan seorang kekasih kepada kekasihnya yang sedang merajuk. Saya lembutkan lidah dan susun ayat supaya dia boleh menerima pendapat saya. Susah hendak jadi pegawai perhubungan ini, kena pasang strategi.

"Tidak mahulah!" tegasnya lagi. Saya pula kiranya sudah patah hati. Rayuan saya tidak diterimanya. Kalau hendak diikutkan hati, lantak kaulah labu! Tetamu itu bukannya cantik pun, kulit sudah gelap (jadi hendaklah diputihkan sikit), mukanya berkilat, rambut yang perlu disisir biar kemas pun tidak dibenarkan. Akhirnya, kakak juru mekap itu pun tersenyum. Agaknya dalam hati dia berkata, "senang kerja aku. Tidak perlu layan orang secerewet seperti dia."

Memandangkan masa semakin suntuk, tinggal 3 minit lagi, saya pun bergegas membawa tetamu itu masuk studio. Setelah membetulkan mic dan tempat duduknya, saya masuk dalam konti dan berjumpa penerbit.

"Boss! bukan salah saya kalau muka dia pucat. Dia sendiri yang tidak mahu di cantikkan muka yang tidak cantiik itu." kata saya sebelum saya ditembak oleh penerbit saya dengan kata-kata yang menyakitkan telinga.

"Begitukah? Biasalah orang ego, dia ingat cantik sangat? Tak pa, biarkan dia. Aku sebenarnya pun bukan suka sangat dengan isu yang hendak dikatakan hari ini." Jawapan dari penerbit saya, memberikan kelegaan kepada saya.

Selepas habis dia bercakap selama setengah jam, tetamu itu pun keluar dan saya ingin membawanya ke bilik tetamu bagi menjamu minum pagi. Tetapi dia menolak dengan alasan masa tidak ada kerana ada hal lain. Dalam hati saya, bagus juga tidak perlulah saya melayan dia bercakap. Apa lagi, saya dan krew lain pun bedallah makanan yang ada dalam bilik tetamu itu. Emmm kenyang dan lepas itu boleh tidur!

18.4.07


Sahabat, Kekasih dan Teman (bab 3)

Kekasih yang ditunggu pun tiba. Hari itu, kami bercadang hendak berbuka puasa di sebuah restoran yang glamour (tapi tidak berbintang) yang menyajikan ayam bakar yang digolek-golek di atas bara api. Terkenal dan murah. Lagi pun, esok saya hendak berangkat luar daerah. Malas pula hendak masak. Tengah pening dan mood pun berkurangan. Makan di kedai sahajalah!

Petang itu ramai yang memenuhi meja di restoran itu. Nasib kami baik kerana masih ada meja kosong. Jam di tangan menunjukkan lagi 20 minit hendak masuk waktu berbuka. Saya termenung. Masih memikirkan masalah yang tidak selesai. Tidak mengapalah, pergi sahajalah. tidak mahu menyusahkan orang lain. Saya masih berfikir dan terus berfikir. Rasa macam hendak pecah otak!

"Apa yang ditenung itu? Sudah tidak sabar lagi hendak berbuka. Ayam golek itu tidak lari ke mana. Sekejap lagi datanglah dia." Suami saya memecah kesunyian. Saya tersentak sebentar. Memang saya sedang merenung ayam yang sedang digolek-golek itu tapi tidaklah sampai membayangkan betapa enaknya ayam golek itu. Tetapi memikirkan perkara yang tidak selesai.

"Esok, abang cuti atau kerja?" adakah soalan tidak bijak keluar dari mulut saya. Suami saya memang bekerja setiap hari, manalah dia ada cuti kecuali hujung minggu atau cuti umum.

"Awak ini tengah mimpi atau berkhayal. Memanglah saya kerja. Kenapa?" suami saya memandang dengan wajah kelat ke wajah saya yang semakin suram. Bulan puasa, malas hendak cakap banyak-banyak. Tetapi terpaksa juga bercakap. Orang belajar komunikasi lah katakan, kenalah pandai komunikasi terutama dengan suami. Mesti pasang strategi! (heh! heh!-gelak dalam hati).

"Abang tahukan, esok saya hendak ke Gunung Jerai. Semuanya sudah siap tiada yang kurang. Duit pendahuluan pun sudah ada dalam tangan. Tempat tidur sudah diatur, makan dan minun semuanya beres. Pokoknya, semuanya sudah disediakan. Krew yang hendak ikut pun sudah disediakan dan pengangkutan pula tiada masalah." kata saya dengan panjang lebar.

"Habis tu, apa pula masalah awak. Termenung macam kehilangan emas pula?" tanya suami saya sambil menyusun pinggan-pinggan yang di hantar pelayan termasuklah ayam golek. Emm..baunya sungguh menggoda! Ah! tidak sabar hendak berbuka puasa.

"Tidak adalah masalah besar..." tiba-tiba azan maghrib berkemundang dari surau yang berdekatan. Suami saya memberi isyarat supaya berbuka puasa dahulu. Saya hanya menggangguk. Berbuka tidak boleh dilambat-lambatkan. Kami pun makanlah nasi dengan ayam golek yang sungguh menyelerakan!

Apabila selesai berbuka puasa dan yang tinggal hanya rangka-rangka ayam. Emm sungguh kenyang. Otak yang sesak, sudah terasa ringan. Tapi perut pula rasa berat. Memang tidak boleh kawal kalau berbuka puasa. Setelah selesai baca doa selepas makan (sebelum makan tadi sudah dibaca doa berbuka puasa..)

"Apa yang awak hendak katakan tadi. Ada masalahkah esok?" tanya suami sambil membuka pintu kereta. Perlu segera balik ke rumah kerana mengejar waktu maghrib. Saya tidak menjawab pertanyaan suami kerana terpaksa penat disebabkan kekenyangan.

"Katakanlah!" saya tersedar yang saya belum menjawab pertanyaan suami.

"Begini, inikan bulan ramadan. Abang kamera itu kata, saya elok bawa teman pergi out-station kali ini. Buat peneman. Tapi masalahnya, siapa yang hendak menemankan saya?" saya menyuarakannya dengan nada sedih (kononnnya menagih simpati dari suamilah tu!).

Kami pun sampai ke rumah. Persoalan yang dibincangkan dengan suami belum terlerai. Apakah jawapannya?

(tunggu!!........)



16.4.07


Panggilan Gunung Jerai (bab 2)

Petang itu setelah selesai membuat persiapan barang-barang yang perlu dibawa untuk esok, saya melepaskan penat. Hari kerja di bulan Ramadhan memang mencabar. Nasib baiklah duduk dalam suasana di hembusi dengan angin pendingin hawa yang nyaman. Saya membelek-belek lagi kotak yang berisi tape beta di atas meja. Ada enam semuanya. Cukuplah itu. Tape beta adalah elemen penting dalam membuat kerja-kerja shooting (ambil gambar bukan menembak yeh!). Kalau tidak ada tape beta, baik tidak usah pergi. Mahunya kena bambu dengan abang kamera. Ialah kalau tidak dibawa tape beta, dengan apa hendak diambil gambar dan direkodkan gambarnya. Takkan dengan kamera biasa kot. Kalau hendak kena amuk dengan boss, buatlah kerja bodoh itu!

Sementara menanti pak we datang ambil. Kepala makin pening. "Siapalah yang hendak aku ajak," itu dialog dalam hati. Persoalan itu tidak saya ajukan kepada sesiapa. Kawan sepejabat masing-masing sedang sibuk memikirkan apa yang hendak di makan semasa berbuka puasa. Jadi kalau saya lontarkan soalan itu, mahunya saya kena pulau. Sebabnya tidak masuk tajuk. Orang sedang seronok fikir hendak makan apa hari ini, saya pula sibuk hendak tanya siapa yang hendak ikut saya shooting ke gunung. Siapa yang gila hendak pergi shooting dalam bulan Ramadhan (kecuali sayalah tu!).


"Saya dengar kamu hendak shooting ke Gunung Jerai, betulkah?" soal Leman dengan senyum kambingnya. Saya memandangnya sambil menggangguk lesu (penat sedang berpuasa)

"Wah! baguslah! Hebatlah kamu ini!" banyak pula pujiannya. Ini mesti ada maksud yang tersirat. Hati saya menganggak.

"Boleh pesan tak?" katanya tersenyum sambil mengusik kotak tape beta saya yang sudah saya tutup dengan pelekat warna putih. Saya sudah agak, ada makna pujiannya!

"Apa dia? " soal pendek dan ringkas dari saya.

"Kamu pergi shoot gambar bunga tulip kan?" tanyanya sambil menggaruk kepalanya yang botak.

"Macam mana kamu tahu? Cepat benar berita tersebar. Sudah tidak rahsialah misi saya kali ini," Saya mendongak melihat Leman yang tergaruk-garuk kepalanya lagi.

"Nanti tolong bawakan aku buah tangan."

"Bunga Tulip?"

"Yalah!"

"Mana boleh hidup di sini. Bunga tulip hanya tumbuh sihat di tempat yang sejuk. Apa kamu hendak tanam bunga tulip dalam pejabat inikah?" Saya sengaja menimbullkan kontroversi.


Malas hendak layan mamat seorang ini. Selalu sahaja banyak pesanan komersialnya. Sudahlah saya tengah pening memikirkan siapakah yang hendak dibawa bersama dalam misi saya ini. Kalau hendak diharap kawan pejabat, mereka lebih suka berada di rumah dan kalau boleh tidak keluar ke mana-mana dalam bulan Ramadan. Duduk pejabat lagi bagus. Hendak ajak penerbit saya, lagi tidak mahunya. Mesti dia hendak berbuka dengan keluarga dan mengerjakan solat terawih di rumahnya.


"Ya Allah! berilah daku ilham!"


(bersambung......tunggu!!!!)

14.4.07


Benarkah Wanita Besi?

Apabila dikatakan wanita itu seorang wanita besi, apakah yang digambarkan dalam fikiran kita? Adakah badan wanita itu dilingkungi besi? Atau urat sarafnya adalah diperbuat dari besi? Atau tenaganya yang macam besi? Atau ada persoalan lain yang boleh ditimbulkan oleh kita....(apakah dia?)

Pelbagai tanggapan diberikan kepada mereka yang digolongkan sebagai wanita besi. Pernah kawan beritahu,

"Hendak tahu, kakak tu mempunyai urat besi."

Tercengang saya sebentar. Benarkah ada wanita yang mempunyai urat besi. Saya pun melontarkan soalan tidak bijak, "Benar?"

Kawan saya itu hanya tersenyum dan memandang saya sambil menggangguk-angguk. Entah apa yang dia angguk pun saya tidak tahu. Saya masih menantikan jawapan mendalam darinya.

"Kamu ini, tak kan tak faham-faham!" dia pula tanya saya balik dan menganggap saya sudah faham. Pelik betul budak ini. Dia yang cerita tidak habis dikatakan saya tidak faham. Kurang ilmu komunikasi betul.

"Kamu yang cakap tidak sempurna. Sekerat-sekerat. Ceritalah dengan lengkap."

Dia tersenyum dan menarik kerusi yang berada di hadapan saya. Kami duduk bertentangan mata. Mula hendak mengata!

"Semalam saya dan boss saya (wanita yang dikatakan urat besi itu) baru sahaja pergi recee ( tinjau lokasilah). Malam tadi baru sahaja balik. Saya kagum dengan boss saya itu. Dia sebagai boss di sini tidak pernah menunjukkan yang dia penat. Pagi-pagi sudah muncul di pejabat ini. Saya pula baru sahaja sampai."

"Kenapa kau lambat?"

"Malam tadi pukul 12 malam baru tiba rumah. Boss kata saya boleh datang lambat pagi ini. Tapi tengok dia pula datang awal seperti biasa. Terasa malu pula. Dia tidak rasa penatkah? Saya yang masih muda ini, dah macam nak pancit." kata kawan saya sambil menulis sesuatu di kertas terpakai.

Terlibat dalam bidang penyiaran menuntut tenaga yang banyak. Banyak kerja yang perlu dilakukan bagi menyiapkan sesuatu program. Saya akui kerja-kerja penyiaran memang mencabar! Bagi sesiapa yang hendak mencabar dirinya bekerja dalam bidang yang lasak, inilah ruang kerjanya. Saya sudah mengalami selama lima tahun dalam bidang penyiaran.


Berbalik kepada boss kawan saya itu, tidak hairanlah sekiranya dia dengan cepat naik pangkat. Gerakerjanya memang saya tabik! Sungguh teliti dan sempurna supaya program yang hendak diterbitkan itu berkualiti. Dan bekerja dalam bidang ini banyak menuntut pengorbanan dari diri kita.


Saya dulu pernah juga jadi wanita besi (sekarang sudah jadi wanita aluminium saja!). Kerja-kerja lasak dilakukan seperti kaum lelaki. Selalu sahaja berada di luar daerah (nasib baiklah dapat suami yang sporting!) dan jangan tak percaya, saya pernah tiga kali 'out station' dengan krew ke Gunung Jerai. Ini bermakna sudah tiga kali saya panjat Gunung Jerai(boleh dikategorikan pecah rekod tak?)


Tahu atau tidak Gunung Jerai itu dimana? Kalau orang Kedah mestinya tahu! Ada sekali itu saya dan krew 'dipaksa' buat liputan ke Gunung Jerai semasa bulan Ramadan! Rasa hendak menangis ketika itu. Bayangkan bulan Ramadan hendak pergi 'shooting'. Terpaksalah hendak buat macam mana.


"Tiada waktu lainkah hendak pergi 'shooting'? tanya abang kamera kepada saya. Saya terpaksalah buat senyum kambing sambil membelek beberapa tape recorder yang hendak di bawa keesokan harinya.


"Nak buat macam mana bang, sudah boss suruh, pergi sahajalah. Takpalah bang, nanti saya belanja abang dan abang-abang yang lain, kita berbuka bersama." Saya sedekah senyum pada abang kamera itu. Saya cuba menenteramkan hati abang kamera yang mungkin sudah gundah gelana. Mungkin dia ada rancangan dengan keluarganya. Saya juga ada rancangan dengan pak we saya (suami) tetapi hendak buat macam mana.


"Hanya pada bulan ramadan sahaja yang bunga tulip itu berkembang. Terpaksalah ambil gambarnya. Abang jangan risau, tempat tidur dan makan sudah disediakan. Kita tidur di hotel lima bintang. Mesti abang suka punya." Kata saya menyedapkan hatinya.


"Habis kamu pergi sorang sahaja kah?" tanya abang kamera lagi. Saya hanya mengangguk sahaja. Biasalah kalau kerja dalam bidang penyiaran. Bila keluar dengan krew, semuanya lelaki mana ada 'kamera girl'. Dunia ini dikuasai lelaki. Cumanya wanita sahaja yang bertindak sebagai penerbit atau penolong penerbit.


'Macam inilah, abang nasihatkan kamu bawalah suami atau adik beradik yang lain sebagai peneman. Tidak baik. Kamu itu perempuan, kami ini semuanya lelaki." Baik juga abang kamera ini. Saya lihat wajahnya, adalah sejemput janggut (ikut sunah Nabi Muhammad s.a.w). Betul juga katanya. Lagipun ini bulan ramadan dan terpaksa pula berada di Gunung Jerai yang sejuk dan nyaman selama tiga hari. Saya pun mengangguk-angguk tanda setuju. Dalam hati, siapa pula yang hendak diajak kali ini. Suami? Atau adik? Atau kawan? Hendakkah mereka temankan aku dalam keadaan suntuk ini? Aduh! Pening kepala.


(Tunggu sambungannya......(panjang benar hendak tulis)