14.4.07


Benarkah Wanita Besi?

Apabila dikatakan wanita itu seorang wanita besi, apakah yang digambarkan dalam fikiran kita? Adakah badan wanita itu dilingkungi besi? Atau urat sarafnya adalah diperbuat dari besi? Atau tenaganya yang macam besi? Atau ada persoalan lain yang boleh ditimbulkan oleh kita....(apakah dia?)

Pelbagai tanggapan diberikan kepada mereka yang digolongkan sebagai wanita besi. Pernah kawan beritahu,

"Hendak tahu, kakak tu mempunyai urat besi."

Tercengang saya sebentar. Benarkah ada wanita yang mempunyai urat besi. Saya pun melontarkan soalan tidak bijak, "Benar?"

Kawan saya itu hanya tersenyum dan memandang saya sambil menggangguk-angguk. Entah apa yang dia angguk pun saya tidak tahu. Saya masih menantikan jawapan mendalam darinya.

"Kamu ini, tak kan tak faham-faham!" dia pula tanya saya balik dan menganggap saya sudah faham. Pelik betul budak ini. Dia yang cerita tidak habis dikatakan saya tidak faham. Kurang ilmu komunikasi betul.

"Kamu yang cakap tidak sempurna. Sekerat-sekerat. Ceritalah dengan lengkap."

Dia tersenyum dan menarik kerusi yang berada di hadapan saya. Kami duduk bertentangan mata. Mula hendak mengata!

"Semalam saya dan boss saya (wanita yang dikatakan urat besi itu) baru sahaja pergi recee ( tinjau lokasilah). Malam tadi baru sahaja balik. Saya kagum dengan boss saya itu. Dia sebagai boss di sini tidak pernah menunjukkan yang dia penat. Pagi-pagi sudah muncul di pejabat ini. Saya pula baru sahaja sampai."

"Kenapa kau lambat?"

"Malam tadi pukul 12 malam baru tiba rumah. Boss kata saya boleh datang lambat pagi ini. Tapi tengok dia pula datang awal seperti biasa. Terasa malu pula. Dia tidak rasa penatkah? Saya yang masih muda ini, dah macam nak pancit." kata kawan saya sambil menulis sesuatu di kertas terpakai.

Terlibat dalam bidang penyiaran menuntut tenaga yang banyak. Banyak kerja yang perlu dilakukan bagi menyiapkan sesuatu program. Saya akui kerja-kerja penyiaran memang mencabar! Bagi sesiapa yang hendak mencabar dirinya bekerja dalam bidang yang lasak, inilah ruang kerjanya. Saya sudah mengalami selama lima tahun dalam bidang penyiaran.


Berbalik kepada boss kawan saya itu, tidak hairanlah sekiranya dia dengan cepat naik pangkat. Gerakerjanya memang saya tabik! Sungguh teliti dan sempurna supaya program yang hendak diterbitkan itu berkualiti. Dan bekerja dalam bidang ini banyak menuntut pengorbanan dari diri kita.


Saya dulu pernah juga jadi wanita besi (sekarang sudah jadi wanita aluminium saja!). Kerja-kerja lasak dilakukan seperti kaum lelaki. Selalu sahaja berada di luar daerah (nasib baiklah dapat suami yang sporting!) dan jangan tak percaya, saya pernah tiga kali 'out station' dengan krew ke Gunung Jerai. Ini bermakna sudah tiga kali saya panjat Gunung Jerai(boleh dikategorikan pecah rekod tak?)


Tahu atau tidak Gunung Jerai itu dimana? Kalau orang Kedah mestinya tahu! Ada sekali itu saya dan krew 'dipaksa' buat liputan ke Gunung Jerai semasa bulan Ramadan! Rasa hendak menangis ketika itu. Bayangkan bulan Ramadan hendak pergi 'shooting'. Terpaksalah hendak buat macam mana.


"Tiada waktu lainkah hendak pergi 'shooting'? tanya abang kamera kepada saya. Saya terpaksalah buat senyum kambing sambil membelek beberapa tape recorder yang hendak di bawa keesokan harinya.


"Nak buat macam mana bang, sudah boss suruh, pergi sahajalah. Takpalah bang, nanti saya belanja abang dan abang-abang yang lain, kita berbuka bersama." Saya sedekah senyum pada abang kamera itu. Saya cuba menenteramkan hati abang kamera yang mungkin sudah gundah gelana. Mungkin dia ada rancangan dengan keluarganya. Saya juga ada rancangan dengan pak we saya (suami) tetapi hendak buat macam mana.


"Hanya pada bulan ramadan sahaja yang bunga tulip itu berkembang. Terpaksalah ambil gambarnya. Abang jangan risau, tempat tidur dan makan sudah disediakan. Kita tidur di hotel lima bintang. Mesti abang suka punya." Kata saya menyedapkan hatinya.


"Habis kamu pergi sorang sahaja kah?" tanya abang kamera lagi. Saya hanya mengangguk sahaja. Biasalah kalau kerja dalam bidang penyiaran. Bila keluar dengan krew, semuanya lelaki mana ada 'kamera girl'. Dunia ini dikuasai lelaki. Cumanya wanita sahaja yang bertindak sebagai penerbit atau penolong penerbit.


'Macam inilah, abang nasihatkan kamu bawalah suami atau adik beradik yang lain sebagai peneman. Tidak baik. Kamu itu perempuan, kami ini semuanya lelaki." Baik juga abang kamera ini. Saya lihat wajahnya, adalah sejemput janggut (ikut sunah Nabi Muhammad s.a.w). Betul juga katanya. Lagipun ini bulan ramadan dan terpaksa pula berada di Gunung Jerai yang sejuk dan nyaman selama tiga hari. Saya pun mengangguk-angguk tanda setuju. Dalam hati, siapa pula yang hendak diajak kali ini. Suami? Atau adik? Atau kawan? Hendakkah mereka temankan aku dalam keadaan suntuk ini? Aduh! Pening kepala.


(Tunggu sambungannya......(panjang benar hendak tulis)



No comments: