26.4.07


Selesai Satu Masalah (bab 4)

Selepas menunaikan solat Isyak, saya melabuhkan diri di kerusi sofa yang agak uzur. Terasa nikmat berehat sungguh menggasyikkan sekali. Namun begitu, otak ini masih berligat memikirkan esok hari.
Pakaian yang hendak dibawa belum lagi dikemas. "Nantilah!" Satu perkataan yang sebenarnya tidak elok diamalkan. Tapi semangat hendak pergi macam sudah tiada dan rasa macam sudah hilang nafsu hendak bekerja. Tetapi apabila mengingatkan keindahan dan kesejukan apabila berada di Gunung Jerai, rasa tidak sabar pula menunggu esok. Ah! hati ini berbolak-balik.

Saya merenung siling rumah yang sememangnya siling zink yang bila waktu malam sejuk sementara waktu siang menyengat badan dibuatnya. Tiba-tiba, saya menyaksikan seekor tikus sebesar lengan saya berlari di palang kayu siling rumah itu. "Mak!!!..tiba-tiba saya menjerit terperanjat dan cepat-cepat menutup mulut yang ternganga besar. Sambil mengurut dada yang semakin sesak.
"Tikus ini tidak masa lainkah hendak bergurau dengan aku!" Saya berkata dalam hati supaya tikus itu tidak mendengarnya. Orang tua kata, kalau dimaki tikus alamak nanti tunggulah balasan dendam darinya. Tidak mahulah saya. Sudahlah koleksi buku saya banyak, tidak pasal-pasal nanti digigit dan dibahamnya buku-buku sebagai melepas dendamnya. Itu pun ada yang sudah dibahamnya dengan ganas! Apa tah lagi almari murah saya. Tidak boleh hendak menyimpan barang antik.

Rumah sewa yang diduduki itu adalah bersambung dengan tuan rumah dan dibuat dari papan, atap zink dan dinding batu. Hendak sewa murahlah katakan! Dan dekat dengan tempat kerja. Sedang asyik menyambung angan-angan dan hampir terlelap, kedengaran pintu di buka. Krekk!! bunyinya. Berderau darah! Terperanjat sekali lagi. Aduh! nasib baiklah jantung sihat. Kalau tidak sudah terpaksa panggil ambulan.

Rupa-rupanya, suami baru balik dari mengerjakan solat Isyak dan terawih (saya sahaja malas, badan tidak larat kerana terpaksa menyiapkan kerja-kerja sebelum pergi out-station) . Saya duduk dan melihat suami tersenyum. (ini mesti ada berita baik yang hendak dikatakannya).

"Betulkah esok tiada siapa yang hendak temankan?"

Saya hanya mengangguk dan buatlah muka sedih (sebenarnya penat). Suami duduk di sebelah saya.

"Baiklah!"

"Apa yang baik?" tanya saya kerana tidak faham apa yang dimaksudkannya.

"Baiklah, esok abang temankan awak pergi ke Gunung Jerai!" Itu dia jawapan penuh dari suami saya. Saya merenung suami seperti mamai (kerana baru lepas berangan).

"Awak dengar atau tidak?"

"Oh!!! Jadi abang hendak temankan saya!" kata saya separuh menjerit kerana gembira yang tidak terhingga.

"Kalau begitu, biar saya berkemas dahulu. Lepas itu kita keluar makan, saya belanja abang!"
Kata saya dengan girang dan terus melompat dari sofa,bergegar sikit sofa itu.

"Betulkah? Selalunya awak belanja, saya yang kena bayar!" ujar suami sambil membuka kopiahnya lalu di letakkan di atas meja.

"Betul kali ini saya belanja! Cakap sahaja hendak makan apa? Kiranya kita bersahur sekalilah!" kata saya dengan nada yang ceria dan bersemangat. Alhamdulillah selesai satu masalah.

Saya pun mengemas beberapa helai t'shirt lengan panjang, seluar panjang, telekung dan beberapa alat yang lain. Ini termasuklah baju dan keperluan suami. Tidak lupa kasut sukan (itulah kasut yang sesuai hendak panjat gunung, takkanlah hendak pakai kasut tinggi! Tidak masuk akal. Lagipun tiada siapa yang hendak lihat saya bergaya macam model di Gunung Jerai itu)

Rasa tidak sabar menunggu esok. Gunung Jerai! Nantikan kedatangan daku yang kali ke tiga! (Saya menjerit dalam hati)

(bersambung.....)

No comments: