27.4.07


Selamat Berpesta Buku

Hari ini adalah hari membelah-belah secara murah. Bukan membeli belah kain baju, beg atau kasut tetapi memborong buku-buku yang dijangkakan akan diberi potongan yang istimewa. Bagi individu yang memang kaki buku (seperti saya...senyum) sudah tentu inilah harinya yang ditunggu.
Pelbagai buku boleh didapati. Sama ada bacaan yang berat mahupun ringan. Ilmiah, novel, majalah, agama, sains, sastera. masakan, komputer dan pelbagai genre yang sesuai untuk semua peringkat umur, kanak-kanak, budak sekolah, remaja, dewasa mahupun orang tua. Bacaan untuk lelaki dan wanita turut tersedia.

Pokoknya, semuanya ada. Macam-macam ada. Antara hendak dan tidak hendak, tepuk hati tanya fikiran (eh!! pepatah baru). Pameran Buku Antarabangsa hanya diadakan sekali dalam setahun dan dalam masa 10 hari ia berlangsung. Oleh itu, tidak ada alasan untuk tidak pergi. Tetapi tidak tahulah kepada individu yang memang tidak minat membaca apatah lagi memegang buku selepas tamat sekolah atau universiti.

Jangan jadikan alasan tiada masa, tiada duit, tidak minat, lecehlah sebab jauh, susah hendak pergi dan seribu alasan yang direka dan dicipta dengan senang hati tanpa rasa malu. Tetapi apabila dikatakan ada konsert itu, konsert ini, tidak dapat tiket pun hendak pergi. Sanggup diredah mahupun banyak halangan. Menyedihkan hati saya jikalau ini berlaku.

Luangkanlah masa sebentar (walaupun setengah jam) berada di PWTC tempat berlangsungnya pesta buku itu. Kini, banyak kemudahan disediakan sekiranya malas membawa kenderaan sendiri. Ada bas, teksi dan juga aliran ringan transit (lrt la tu) atau komuter. Kuala Lumpur sudah menjadi bandaraya terkenal, masalah pengangkutan bukan isu utama lagi. Hanya sediakan sedikit duit untuk bayar tambang sahaja!

Saya kalau tidak sibuk atau ada perkara lain, memang saya tidak pernah ketinggalan dari menghadirkan diri dalam pameran itu. Saya lebih selesa pergi seorang diri supaya dapat melayan diri sendiri dan membelek buku dari satu gerai ke satu gerai. Tapi rasanya tahun ini hendak bawa anak-anak buah supaya mereka cintakan buku dan juga ilmu.

Peristiwa yang tidak boleh saya lupakan adalah pertemuan kali pertama dengan sahabat yang juga bekerja di sebuah syarikat penerbitan yang kini cukup dikenali di kalangan masyarakat Malaysia. Saya berjalan dari satu gerai ke satu gerai dan terlihat satu papan kertas (sebab di tulis atas kertas kadbod) bertulis, "Anda ingin menjadi penulis." Hati saya terpanggil untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai kenyataan itu.

"Saudari, betulkan sini ada menawarkan menjadi penulis." tanya saya kepada seorang gadis manis menawan. Dia melemparkan senyuman dan hati saya menjadi sejuk (sebab sudah penat berjalan dan penghawa dingin pula kurang berfungsi). Gadis itu mengangguk.

"Benar puan. Puan berikan nama dan nombor telefon, nanti kami akan buat panggilan. Sebenarnya yang menguruskan bengkel ini adalah Puan Ainon." katanya dengan suara lembut. Aduhai, lembut tutur katanya. Saya ini hendak kata lembut susah. Suara tidak ada nada rendah atau tinggi, biasa sahaja. Sudah biasa berkata biasa lebih-lebih lagi bekerja dengan kaum lelaki yang jangan dibagi muka bercakap lembut dengan mereka. Tetapi adakalanya terpaksa cakap lembut sebab hendak memujuk. Eh! melalut pula saya.

"Puan Ainon! Dia ada di sini?" tanya saya balik kepada gadis itu.

"Puan Ainon belum ada, mungkin sebentar lagi dia akan datang."

"Tidak mengapalah nanti saya datang balik." Saya pun beredar dan pergi ke rak buku di gerai itu. Dan mengambil sebuah buku motivasi. Eh! inikah tulisan buku Puan Ainon, semacam aku kenal sahaja. Oh! dia inilah penulis buku 'cara hendak buat terjemahan' yang saya gunakan semasa belajar di universiti. Ini tidak boleh jadi, saya mesti jumpa dengannya hari ini. Hati saya melonjak dan tidak sabar hendak bertemu dengan individu yang dimaksudkan. Bagi menghabiskan masa menunggu itu. Saya pun pergilah merayau ke gerai-gerai lain. Tidak berapa lama kemudian, saya kembali ke gerai itu.

"Boleh saya jumpa Puan Ainon?" saya bertanya kembali kepada gadis tadi.

"Boleh, itu dia baru sahaja sampai." Gadis itu menunjukkan ke arah seorang wanita yang sudah berusia (tapi masih cun lagi!) sedang duduk di meja kecil dan ada seorang lelaki sedang bercakap dengannya.

"Adik ini siapa namanya?" Mesra pula saya sampai sempat bertanya nama gadis itu.

"Fatimah!" jawabnya ringkas dan lembut sambil tersenyum ceria.

"Nama puan?" tanya dia pula.

"Saridah!" saya pula menjawab.

"Baiklah, saya pergi jumpa Puan Ainon dahulu."

Saya pun menuju ke meja Puan Ainon dan memperkenalkan diri hendak mendaftar sebagai penulis. Saya berikan nama penuh dan nombor telepon. Menurut Puan Ainon, dalam masa terdekat dia akan mengadakan bengkel. Beliau berjanji akan menghantar sms (pesanan ringkas dalam telefon bimbit) kepada saya nanti. Saya mengucapkan terima kasih.

Mengapa saya hendak jadi penulis? Selama ini saya banyak menulis dalam majalah, akhbar dan juga membuat penulisan skrip dan penyelidik bagi syarikat yang hendakkan saya menyelidik bagi sesuatu projek. Tiada tulisan yang kekal. Kalau tulis skrip, keluar hanya sehari, itu pun hanya setengah jam atau 4 jam (bagi program siaran pagi) dan berpuluh mungkin beratus skrip saya sudah tulis dan ia berlalu begitu sahaja. Orang dengar dan lihat dan adakalanya hilang begitu sahaja dalam ingatan. Itulah dia penulisan skrip dan adakalanya orang lupa bahawa adanya orang yang menulis skrip. Dan mereka mungkin tidak ingat lagi apa yang cuba disampaikan oleh penulis skrip sebab lebih banyak melihat gambar yang menarik dari tutur kata yang dibaca oleh suara latar.

Saya teringin menulis buku tetapi saya tidak tahu siapa yang boleh terbitkan buku saya dan buku apa pula yang hendak saya tulis? Itulah persoalan yang sering berlegar dalam otak saya. Saya belum lagi memfokuskan bidang yang hendak saya tulis. Saya minat bidang agama tetapi saya tidak dilahirkan sebagai seorang yang mendapat pendidikan agama hanya pendidikan warisan agama (senyum..) Maka rasanya tidak layaklah menulis dalam bidang agama. Saya juga minat isu wanita (kononnya pembela kaum wanita!) dan itulah memang sesuai dengan jiwa. Ada juga teringin hendak tulis novel (novel cinta islami) tapi masih belum kesempatan.
Saya menulis bukan kerana nama (macam lirik lagu Ramli Sarip).kalau hendakkan nama, nama sudah sering terpapar di majalah, akhbar dan televisyen tapi orang mungkin tidak perasan hanya saya sahaja yang perasan (syok sendiri!). Niat saya menulis hendak sampaikan ilmu walaupun saya ini bukannya banyak ilmu (tidak sampai setitis air atau mungkin sehalus kuman...) dan biarlah ilmu yang tidak sesat. Biarlah tulisan saya itu nanti akan sentiasa kekal sehingga akhir hayat. Hanya itulah sahaja bekalan yang boleh saya bawa bila hayat habis di kandung badan.

Dipendekkan cerita, saya ikutlah bengkel anjuran PTS dari bulan ke bulan dan kini memakan hingga 2 tahun barulah saya boleh menerima konsep dan kaedah PTS dan terhasillah 2 buah buku denga PTS Islamika (alhamdulillah akhirnya Allah makbulkan cita-cita saya sehingga saya buatlah sujud syukur....hampir hendak meleleh air mata gembira). Namun begitu, dalam gembira ada dukanya...(tidak mengapa biarlah saya simpan duka itu nun jauh di sudut hati)

Jangan lupa berkunjunglah ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, K.L. dari hari ini hingga 5 Mei 2007. Datang jangan tidak datang dan belilah buku saya ! (Sedang tersenyum riang...) Jumpa saudara di sana!!








No comments: