3.4.07


Ulat buku dan Hantu buku


Saya ini boleh dikatakan ulat buku dan juga hantu buku. Mengapa? Sejak dari kecil minat membaca buku walaupun ketika itu tidak mampu memiliki buku. Tetapi yang menjadi mangsa adalah perpustakaan sekolah. Buku-buku di perpustakaan menjadi mangsa ulat buku ini. Hampir semua isi perpustakaan itu diterokai. Dan habit itu menjadi sehinggalah dewasa (sudah dewasa rupanya saya dan juga sudah bergelar isteri!)

Namun begitu, minat membaca tidak luntur walaupun sudah punya rumah dan ada tangga (mana ada tangga dalam rumah) dan kini menjadi hantu buku pula. Habis segala jenis buku dibeli (yang bermutu sahaja, yang humor dan isi tidak ada, tidak menjadi pilihan utama) dan segala majalah juga diborong sebagai koleksi bagi mini perpustakaan di rumah.


Minat membaca ini turut dikongsi dengan buah hati saya (pak welah yang merangkap suami) dan kami sering mengumpul minat masing-masing. Dan perjuangan budaya membaca saya sebarkan juga di kalangan ahli keluarga termasuklah anak-anak buah yang semakin meningkat remaja.


Apabila tiba hari jadi mereka, tiada hadiah lain yang diberi melainkan buku. Mungkin mereka tidak seronok menerima hadiah buku (hadiah yang tidak glamour) tetapi dengan muka selamba saya tetap berikan hadiah buku. Walau pun mereka bersungut,


"Tiada ada hadiah yang canggih dan anggun?"


"Itulah hadiah canggih dan anggun. Dalam buku itu banyak yang canggih dan anggun yang kamu tidak dapat dimana-mana."


Mereka menggaruk kepala yang tidak gatal ataupun memang banyak kelemumur. Akhirnya mereka terpaksa membaca apabila saya berjanji hendak tanya apa yang ditulis dalam buku itu. (kiranya mak cik mereka ini garang juga tetapi lembut)


Akhirnya, mereka juga menjadi ulat buku dan hantu buku seperti saya. (Senyum bangga dapat didik anak buah cintakan ilmu dan cintakan buku)



No comments: