26.4.07

Kerana mu Bunga Tulip (bab 5)


Selepas balik dari makan di kedai makan yang berdekatan dengan rumah, jam di dinding sudah menunjukkan pukul 2 pagi. Perut masih penuh dengan makanan yang sekali gus dianggap sebagai sahur. Ini kerana saya mungkin tidak masak untuk makan sahur, disebabkan saya hendak out-station.

Mata masih tidak boleh lelap dan saya melihat suami sudah pun lena dengan mimpinya yang indah. Manakala saya pula berkhayal sementara menanti mata lelap sendiri. Fikiran menerawang dan mula mengimbas kembali peristiwa beberapa hari yang lalu di pejabat.

"Cik Suria panggil, ada perkara penting yang hendak disampaikan," kata Zarimah kepada saya yang hendak mula melelapkan mata kerana baru sahaja habis siaran pagi. Pagi-pagi tadi sudah bangun. Sebaik sahaja lepas sahur terus ke pejabat dan solat Subuh di pejabat. Ini kerana siaran akan bermula jam 6 pagi. Mata seperti tidak boleh hendak di buka.

"Apa yang dia hendak cakapkan. Tidak bolehlah hendak rehat sekejap. Kamu tidak nampak mata saya yang tidak boleh celik. Mengantuk sangat!" kata saya dengan suara yang serak basah akibat berpuasa dan mengantuk. Saya menurunkan kepala ke meja dan menutup kepala saya dengan suratkhabar mengelak silau lampu bilik. Dapat lelap 10 minit pun jadilah. Bagi menghilang rasa ngantuk yang tidak boleh ditahan.

"Nanti kamu pula yang kena marah. Pergilah sekejap. Lepas itu, sambunglah tidur wahai permaisuri!" usik Zarimah dengan nada ceria. Betul juga, dibuatnya penerbit saya itu mengamuk mahu diamuknya satu pejabat. Tidak pasal-pasal kena hambur kata-kata laser dengan percuma. Sakit pula telinga ini nanti.

Saya pun bangun dan membetulkan apa yang patut. Mengambil cermin dan melihat wajah yang kelat. "Ada rupa macam orang bangun tidur tak?" bisik saya dalam hati. Sambil itu menyapu sedikit bedak biar nampak ceria. Nanti dikatakan pucat macam hantu. (Betulkan hantu itu pucat? Tidak pernah pula saya melihatnya. Simpang 44, janganlah bertemu dengan makhluk asing itu, menyeramkan!)

Dengan langkah lemah gemalai dan diiringi dengan ketukan kasut tinggi saya (hari siaran pagi saja pakai kasut tinggi sebab kena layan tetamu vvip. Takkan hendak pakai capal! Kalau hendak kena perli, beranilah pakai!) Saya menuju ke meja penerbit Cik Suria (belum kahwin- kira anak dara tua) dan melemparkan senyuman padanya.

"Ada apa Cik Suria?" ringkas soalan saya. Beliau memang suka dipanggil Cik. Tiba-tiba Cik Suria menghulurkan sehelai surat yang baru sahaja diterima. Kertas lembut itu (kerana ia dari kertas fax) saya sambut dan membacanya dengan asyik.

"Kamu pergi ke sana dan buatlah booking kamera dan kenderaan." katanya dengan nada biasa sahaja.

"Bulan puasa ni?" tanya saya dengan nada yang kurang tinggi. Bukan apa ,terperanjat. Kebiasaannya, dalam bulan puasa kami jarang pergi out-station kerana menghormati bulan puasa. Ini kerana sebelum puasa, kami sudah melakukan pelbagai rakaman termasuklah rakaman program hari raya. Cumanya, kalau ada aktiviti penggambaran pun hanya di kawasan yang berhampiran dengan pejabat. Itu pun adakalanya merasa penat yang tidak boleh digambarkan.

"Mengapa, kamu tidak mahu pergikah?" tanya Cik Suria sambil merenung wajah saya. Renungannya diselit dengan senyuman manisnya. Aduh! Ini betul-betul menguji kekuatan fizikal dan mental saya. Dan saya pula sukakan cabaran! Kalau tidak suka, sudah lama saya tinggalkan bidang ini.

"Hendak, siapa yang tidak mahu. Saya sudah biasa ke sana. Lagipun, saya sudah kenal orang-orang di Gunung Jerai." cepat-cepat saya menjawab bagi menyakin kepadanya yang saya ingin sedia berkhidmat. (Yalah tu!)

"Baguslah begitu. Semua sudah disediakan tempat tinggal dan makan. Cuma kamu kena uruskan yang lain." katanya sambil mengambil beberapa tape beta dan diberikan kepada saya.

"Ambil ini, erase isi di dalamnya. Bawa banyak sikit tape itu. Biar berlebih, jangan kurang." pesannya lagi. Saya hanya mengangguk dan mengambil tape beta yang di letakkan di atas mejanya.

Bagus juga pergi Gunung Jerai. Rindu rasa dengan tempat itu yang sejuk, pokok yang menghijau, pemandangan yang cantik. Boleh bertemu dengan pengurus resort itu lagi. Keseronakan menjelma dalam hati dan mata yang mengantuk tadi sudah hilang.

Lamunan terhenti dan saya pun akhirnya terlena sambil tersenyum. (Tidur dalam iman!)




(bersambung...)

No comments: