7.4.07


Hak Kita Sebagai Pengguna

Kita semua adalah pengguna. Pengguna yang mempunyai hak. Tahukah kita apakah hak kita sebagai pengguna. Mungkin ada di antara kita yang tidak ambil peduli mengenai hak sebagai pengguna. Kita malas hendak mengambil berat. Sedangkan itu perlu diambil kira oleh kita. Di sini saya ingin berkongsi maklumat. Bagi yang belum tahu, anggaplah ini ilmu pengguna dan bagi mereka yang sudah tahu, anggaplah sebagai satu ingatan.



Lapan hak pengguna antaranya adalah:

1. Hak bagi memperoleh kemudahan asas

Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini. Keperluan asas ini termasuklah makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan dan lain-lain.

2. Hak memperoleh keselamatan

Pengguna dilindungi daripada pemprosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

3. Hak memperoleh maklumat

Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat bagi memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

4. Hak membuat pilihan

Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

5. Hak bersuara

Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

6. Mendapatkan ganti rugi

Pengguna berhak mendapat penyelesaian bagi pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang 'mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

7. Memperoleh pendidikan mengenai penggunaan

Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

8. Mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

No comments: