12.4.07

Anak Enam ! (Bab terakhir)

Saya merenung wajah kawan saya dengan senyum kelat. Dalam hati berkata,(nasib baiklah dia tidak dengar, tapi Allah maha mendengar) mengapakah kawan saya yang dulu cun dan anggun kini berubah? Mengapakah dia menjadi begini? Soalan-soalan yang saya lontarkan dalam hati tiada jawapan. Ini mesti ditanya secara zahir. Tanya terus pada tuan punya diri. Jangan mengumpat dalam hati, tidak baik.

"Hendak makan apa? Pesanlah, saya belanja," kata saya kepada kawan saya yang juga seperti saya saling renung merenung antara satu sama lain sambil melemparkan senyum kambing.

Kawan saya itu seolah-olah terperanjat dari lontaran soalan saya itu. Dia terkebil-kebil. Dan saya pun menghulurkan menu kepadanya. Dia mengambil tanpa sebarang pertanyaan.

"Saya hendak makan nasi campurlah," katanya kepada saya yang tidak habis-habis memandang wajah kawan saya yang sekian lama tidak bertemu. Saya hanya mengangguk.

"Mari kita perti ke sana. Boleh pilih lauk yang berkenan di hati."

Kami pun bangun menuju ke deretan lauk pauk yang pelbagai jenis. Saya memilih ikan bakar dan sayur. Tidak lupa pencicah ikan bakar. Nasi pula separuh sahaja (hendak jaga badan). Sementara kawan saya itu, dia mengambil sayur dan ikan bakar dan juga seketul ayam goreng. Saya pun berlalu tanpa menunggu kawan yang masih belum habis memilih menunya.

Saya menunggu kawan di meja. Masih menunggu. Kenapa pula lambat sangat dia ini? Selepas 10 minit, kawan saya itu pun tiba dengan memegang dua pinggan. Saya tercengang tapi tidaklah menunjukkan yang saya ini dalam kehairanan. Dalam hati, (biar betul kawan aku ini! sudah berapa hari dia tidak makan?)

"Minta maaflah! Saya tidak boleh menahan gelora melihat makanan yang sungguh sedap!" kata kawan saya sambil menadah tangan (membaca doa makan) dan saya pun mengaminkannya.

Terbeliak mata apabila melihat pinggan kawan saya itu. Membukit isi pinggannya. Bolehkah habis? Ini tidak boleh jadi, saya harus dan wajib bertanya dengannya.

"Banyaknya ambil makanan? Boleh habiskah?" Soalan maut dari saya dan saya tidak peduli apa pandangannya. Dan dari dulu, kami memang tiada sifat selindung. Kalau hendak bercakap hendaklah terus terang. Kalau hendak tegur, biarlah berdepan dan jangan dibelakang (itu sudah kira mengumpat). Saya pula jenis terus terang dan faham kawan saya itu tidak akan berkecil hati.

Kawan saya itu hanya mengangguk dan terus mengunyah dan menelan makanannya. Sedangkan saya belum lagi memulakan sesi mengunyah.

"Makanlah, jangan tidak makan!" Tegur kawan saya apabila dia melihat saya asyik melihat dia makan tanpa menyentuh makanan saya.

Saya dengan lemah lembut memulakan makan. Sambil makan, sambil merenung kawan yang makan tanpa bercakap dengan saya.
"Apakah yang kamu buat semenjak kita tidak berjumpa?" tanya saya tidak sabar. Saya bimbang pertemuan itu tidak menghasilkan cerita apa-apa mengenai diri masing-masing.

"Pernah bekerja di restoran, jadi pengurus. Ala, restoran keluarga." katanya sambil terus mengunyah nasinya dengan penuh selera. Saya pula mencubit ikan bakar sambil mencicah kuahnya dan kemudian digaul dengan nasi dan terus disuap ke dalam mulut.

"Ooo, macam mana bisnes?" soalan pendek dari saya. Saya lihat dia hanya menggeleng sahaja tanpa ada jawapan.

Saya pun mendiamkan diri dan terus berusaha menghabiskan nasi di pinggan. Tetapi entah kenapa selera tidak ada. Ikan bakar terasa macam pahit sahaja di tekak. Akhirnya saya tidak dapat menghabiskan makanan di pinggan.

"Mengapa tidak habis? Tidak baik, itu rezeki!" kata kawan saya.
'"Boleh saya ambil?"

Saya terperanjat. Tidak berubah kawan aku ini! Saya teringat semasa sekolah menengah dahulu. Kawan saya ini memang senang dibuat kawan. Tidak cerewet dan tidak mudah ambil hati. Tapi satu sahaja kelemahannya, pantang nampak makanan. Kalau makanan kita tidak habis, dialah orangnya yang menghabiskan makanan. Katanya, "tidak baik, itu rezeki!" Saya akui kenyataannya. Tapi kalau tidak ada selera macam mana hendak habiskan.

Saya juga hairan, bagaimanalah seleranya sentiasa baik walau dalam keadaan apa sekalipun. Ini yang saya masih kagum dengannya.

"Mengapakah kamu nampak lain?" tanya saya, seperti soalan yang tidak bijak keluar dari mulut saya.

"Lain macam mana? Saya seperti dulu setelah kita berpisah selepas masing-masing sudah berkahwin," katanya sambil minum air sirap yang tinggal separuh.

"Saya nampak kamu macam sudah jadi mak cik sahaja!" Akhirnya keluar juga kata-kata tidak sopan dari saya. Memang benar apa yang saya kata, penampilan kawan saya itu seperti emak saya atau emak mentua saya. Seperti orang tua yang sudah punya cucu. Sedangkan usia kami saya dan masih belum dikatakan usia menapouse pun.

"Saya sudah punya anak enam!"

Saya terlopong mendengarnya. Nasib baiklah lalat tidak masuk ke dalam mulut. Saya memandang kawan dengan hairan. Tapi kalau anak enampun takkanlah wajah pun macam orang tua. Sudah itu, kawan saya yang dahulu langsing kini kelihatan seperti bertentangan (malas nak cakap).

"Kamu walaupun sudah anak enam, sepatutnya jagalah penampilan kamu itu. Kita kan masih muda. Saya tengok kamu seperti makcik-makcik sahaja. Sebab itu tadi saya tidak berapa kenal dengan kamu." Saya jujur menasihati kawan saya itu. Risau pula di hati ini melihat imejnya yang jauh berubah selepas berkahwin.

Selama sejam, (nasib baik mamak restoran itu tidak menghalau kami-lambat benar makannya) kami berbual dan bertukar cerita. Adalah beberapa gelas air yang tersusun rapi di atas meja. Akhirnya pertemuan tamat dan kami masing-masing balik ke haluan yang berlainan.

Saya masih tidak percaya apa yang saya alami dengan kawan saya itu. Masa berlalu dengan cepat dan manusia sendiri banyak perubahan. Semoga saya tetap sebegini. (Amin)

(Cerita di atas tiada kaitan antara yang hidup mahupun yang sudah menjadi arwah. Cerita sekadar rekaan bagi dikongsi bersama sebagai renungan kita bersama....Minta maaflah kalau terasa!)

4 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum,

Terliur saya di sini melihat menu Saridah iaitu ikan bakar dengan air asam. Terbayang-bayang depan mata..

Alahai...hari-hari masak ringkas sangat. Sebab dapur(ketuhar dan peralatan memasak yang lain) kongsi dengan teman serumah(pelbagai bangsa) yang masak 'benda itu'. Itupun sangat berhati-hati, guna pinggan mangkuk, periuk sendiri. Kadang-kadang, makan roti sajalah...

Apapun, cerita punya pengajaran baik. Saya juga cuba berjalan kaki sedaya mungkin jika hendak ke mana-mana di sini...Biar berpeluh dan rasa sihat sikit!

Senyum selalu!

Wasalam

saridahamid said...

Mualaikumussalam,

Kesihan Prof. terpaksa makan bercatu. Nasi pernah miss tak? Kalau sayalah tidak makan nasi sehari, boleh dibuatnya menggigil satu badan.

Maklumlah, orang Jawa katakan. Nasi itu sudah macam makanan ruji dah. Tentu di sana susah hendak jumpa ikan bakar!

Saya pun sentiasa berusaha supaya tidak naik badan yang diceritakan. Maklumlah, usia semakin meningkat seiring dengan kenaikan badan.

Sama-samalah kita menjaga badan supayan sihat dan dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna.

Yang bernama Siti said...

Assalamualaikum,

Tentang jaga badan ini, sesuatu yang banyak dipersoalkan orang, lelaki atau perempuan.

Pernah sekali seorang rakan lelaki berkata "Perempuan bila sudah bersuami tidak lagi menjaga badan."

Saya tanya dia, kami sebaya jadi tidak timbul isu isterinya masih usia 20-an, "Adakah awak beri dia masa untuk menjaga badan? Pergi ke gym? Beri dia peruntukan untuk alat penjagaan diri? Beri dia masa untuk bersolek dan mencantik diri? Membelikan minyak wangi? Belikan dia baju, tudung atau baju seksi untuk dipakai di rumah seperti yang awak mahukan? Atau awak hanya berharap dia mampu buat semua itu sedangkan wang gajinya kena dikongsi dengan awak untuk belanja rumah, masanya dihabiskan melayan awak dan anak-anak, dan awak tidak pernah bercakap dan berbincang dengan dia untuk memberitahunya bagaimana penampilan dia yang awak suka?"

Dan saya akhiri tembakan pertanyaan saya dengan, "Awak pun bukannya bagus sangat juga. Awak tak jaga badan juga. Kami perempuan ni pun ada mata juga nak tengok orang."

Namun begitu, jika kawan itu perempuan, saya akan berkata seperti apa yang Sarida katakan kepada kawan Sarida itu juga. Bagi saya tidak kira bagaimana bentuk badan, kita masih boleh kelihatan cantik. Cuma perlu ubah cara kita berfikir dan menerima diri kita seadanya.

saridahamid said...

Cik Siti,

Menjaga badan itu penting. Tetapi menjaga kesihatan juga lebih penting. Ini kerana kesihatan tidak boleh dibeli di mana-mana...