16.5.07


Kenangan Bersama Guru


Semasa bersekolah rendah di pinggir ibu kota, aku berjalan kaki. Subuh masih belum merangkak fajar, aku dan kawan-kawan melangkah dalam kegelapan pagi yang pekat. Kami meredah waktu pagi beramai-ramai, sambil mulut berceloteh dan kepoh sebentar kerana masing-masing hendak bercerita yang berlaku semalam di rumah masing-masing. Aku yang bersifat pendiam ketika itu, leka melihat dan mendengar kata-kata kawanku, terutama Si Normah bercerita. Mulutnya becok mengalahkan ayam betina yang aku pelihara. Tapi, disebabkan dialah yang menjadi radio bergerak kami, terpaksalah menadah telinga mendengar. Nanti kecil hati dia pula. Tidak pasal-pasal kena pujuk. Si Normah kalau sudah merajuk mengalahkan orang yang berkahwin seperti suami kena pujuk isteri. Membentak-bentak minta dirayu, tidak padan dengan saiz badan kecil tapi kalau sudah merajuk, masyaallah bergegar jalanraya!

Tanpa disedari, kami sudahpun sampai ke sekolah. Waktu masih awal dan murid-murid pun belum ramai lagi. Kami meletakkan beg di luar bilik darjah yang masih berkunci kerana guru kelas belum sampai. Kami pun pergi ke padang dan bermain kejar-kejar mengeliling pokok pain, main tali getah (itu pun kalau tidak lupa membawanya) , lompat macam katak pagi-pagi..dengan aktiviti seperti itu peluh betina menitik keluar dan bau bedak talkum yang ditabur dibadan jadi masam dan muka yang ditempek dengan bedak batu emak pun jadi berkilat. Bila waktu kelas bermula, masing-masing membawa aroma bau yang pelbagai. Ada dari Paris, ada aroma dari Jamaica, ada bau dari India dan ada juga yang bau dari Chow Kit.

Tapi kenangan yang tidak boleh dilupakan apabila Cikgu Mariam masuk kelas dengan membawa sebatang pembaris panjang. Dengan muka masam dan tidak pernah tersenyum memaksa kami bangun dan ucap dengan serentak, "Selamat pagi cikgu!" Dalam hatiku berkata, "Selamat apa, sekejap lagi tidak selamat kami semua!"

Cikgu Mariam mengajar ilmu hisab (kini matematiklah, aku pun tidak tahu sebabnya mengapa ditukar nama sebegitu. Mungkin supaya nampak canggih dan elegan!) Satu subjek yang cukup aku dan kawan-kawan merasa gerun. Bukan gerun dengan subjeknya tetapi gerun dengan gurunya. Kami tidak berani mengangkat muka untuk melihat wajah Cikgu Mariam yang boleh dikatakan cun juga. Masing-masing menundukkan muka ke arah buku tanpa bergerak walau seinci pun. Masing-masing dalam hati berdoa, "Ya Allah janganlah aku di tanya oleh cikgu ini! Amin" Nasib baik juga, Cikgu Mariam tidak mendengar doa kami yang tidak masuk akal itu!

Masing-masing buka buku teks (yang diberi pinjaman dan sudah layak dibuat bungkus belacan) dan mengeluarkan buku latihan. Tiba-tiba suara gempita dari Cikgu Mariam, memeranjatkan kami yang sedang berkhayal kerana masing-masing sedang berzikir (berdoa tolak bala!)

"Zul! Kamu bangun dan jawab soalan di papan hitam itu!" Nada tinggi yang dilontarkan oleh Cikgu Mariam bagaikan hendak tercabut jantung kami yang masih kecil lagi. Masing-masing mengurut dada.

Zul bangun dan berjalan menuju ke papan hitam dan terus menjawab soalan itu. Zul seorang budak yang bijak, jadi dia tidak mempunyai masalah hendak menjawabnya. Kelihatan Cikgu Mariam tersenyum. Tetapi bagi kami senyumannya itu menakutkan kami yang masih lagi terkial-kial hendak memahami apa yang diajarnya.

"Atan! Kamu pula buat jawapan seterusnya." kata Cikgu Mariam sambil berjalan ke arah belakang dengan setia memegang pembaris panjangnya itu.

Atan keluar dengan terhegeh-hegeh dan terus menulis jawapan di papan hitam. Entah apa salahnya, Cikgu Mariam tiba-tiba menuju ke hadapan.

"Apa kamu ini Atan? Masih tidak boleh menjawabnya. Sini hulurkan tangan kamu!" Muka Cikgu Mariam yang putih melepak kini menjadi merah seperti buah apel merah. Kami yang melihatnya mula gementar. Terasa hendak terkucil pun ada. Ada juga terasa hendak buang air besar pun ada. Kami sudah pasti satu peristiwan bersejarah hari ini akan terjadi.

"Pang!" Bunyi yang sungguh menakutkan kami.Berdesing kedengaran di telinga. Atan dipukul di tapak tangannya dan dia cuba menjerit tetapi seperti di tahan-tahan jeritan itu. Apa yang lebih aku terperanjat, pembaris panjang itu patah kepada dua! Apa lagi, kami terus menikus dan kalau boleh nafas kami pun tidak diizinkan berbunyi. Kelas itu sunyi ibarat malaikat sedang lalu.


Itulah kisah yang tidak dapat aku lupakan. Tetapi itu perkara biasa apabila Cikgu Mariam masuk kelas. Dan tidaklah menjadi satu masalah besar cikgu memukul murid! Tapi hari ini, aku merasa hairan, cikgu cubit sikit pun boleh buat laporan polis! Agak-agaknya, cikgu dahulu cubitannya tidak berkesan, dan cikgu sekarang kalau cubit kesannya boleh disaman di mahkamah. Ini mesti disebabkan cikgu bela kuku panjang...hehehe!


Walau apa pun, aku masih kenang jasa guru-guru semasa sekolah rendah, sekolah menengah, tingkatan enam dan juga di universiti. Jasa kamu tetap di kenang sepanjang hayat. Jika tidak kerana guru tidaklah saya menjadi pandai membaca, menulis, mengeja dan mengira. Dan kini aku sudah pun bergelar penulis.( alhamdulillah!) Semoga semua guru-guru, ustaz, ustazah dan pensyarah berada dalam rahmat Allah kerana ilmu yang disampaikan oleh mu!

3 comments:

Latiptalib said...

Saridah

Memang banyak kenangan bersama guru yang terpahat dalam ingatan. Paling saya tak lupa seorang guru bernama "Cikgu Osman" yang merotan tapak tangan saya masa sekolah darjah satu kerana tak pandai membaca. Saya ini murid yang agak bengap juga hahaha.

saridahamid said...

Pak Latip,

Bengap masa kecil biasalah...saya pun pendiam dan pemalu. Tapi apabila dewasa, lihat Pak Latip menjadi penulis terkenal!

Masa merubah segala-galanya dengan izin Allah.

Yang bernama Siti said...

Salam,

Rotan bagi saya bagus juga. Saya sendiri merasa dirotan oleh semua guru waktu di sekolah rendah. Paling kurang pun saya diketuk kepala dengan pemadam papan hitam. Namun saya tidak pernah berdendam dengan guru-guru. Mungkin saya sedar itu salah saya dan saya juga sedar ibubapa tidak akan mengendahkan aduan saya kepada mereka. Saya pun tak berani mengadu kerana kedua orang tua juga guru. Mereka memang akan sokong guru saya. Namun itu semua kenangan manis buat saya.

Kenangan paling manis dengan guru; waktu saya tingkatan tiga. Buku latihan geografi saya menjadi 'piring terbang' dilayang guru ke belakang kelas kerana lukisan peta tak ikut piawaian.