4.5.07

Bengkel Google dan Budak Sekolah (pesta buku 3.5.07)

Hari ini datang lambat lagi kerana ada urusan di tempat lain. Badan terasa sungguh letih dan mata pula sekejap buka, sekejap tertutup. Walau sudah dicuba menyegarkan badan dengan minum teh tarik, nescafe, tetap tidak lut bagi memulihkan tenaga yang semakin menurun. Tetapi memikirkan sudah berjanji dengan sahabat yang akan datang ke PTWC bagi mengikuti bengkel Google, digagahkan juga kaki ini melangkah ke sana.

Semalam sudahlah balik lambat, saya pula ingin menyampaikan maklumat terkini kepada sahabat yang lain perkembangan terkini. Malam tadi masih tidur lambat. Itu yang bertambah-tambah kurang tenaga dalaman. Teringat waktu bekerja dahulu dalam bidang penyiaran, apabila hendak menyiapkan bagi siaran pagi esoknya, pukul 12 malam baru balik dari pejabat. Dan keesokkannya, jam 5 pagi perlu berada di studio. Tapi ketika itu, saya bekerja bagai tidak ingat siang dan malam, masih bersemangat dan berjiwa besi. Namun begitu, sekarang...rasanya cepat semput dan kurang tenaga. Ini kena cas bateri cap apa, yeh?

Sebaik sahaja tiba di perkarangan bangunan PWTC, kelihatan deretan bas sekolah dan universiti, di bahu jalan laluan masuk ke situ. Sudah pasti, hari ini para pengunjungnya terdiri dari budak-budak sekolah (amboi! seronoknya mereka, hari ini berjalan tengok pesta buku. Tidak sekolah hari ini). Teringat masa sekolah dahulu, mana ada peluang berjalan-jalan sambil makan angin. Dulu-dulu, cikgu-cikgu tidak sibuk hendak memikirkan membuat rombongan melawat ke sana-ke sini (kasihan saya walaupun duduk di Kuala Lumpur, tidak ada peluang melawat ke tempat bersejarah apatah lagi Muzium Negara, Masjid Negara, Zoo Negara dan tempat yang sewaktu dengannya. Apatah lagi luar Kuala Lumpur, jangan mimpilah. Pergi sendiri dengan kawan lepas sekolah, itu pun tanpa pengetahuan emak, nasib baiklah tidak kena culik! Tapi rasanya zaman saya , culik menculik kurang berlaku.....alhamdulillah! melalut pula saya ini, minta maaflah sahabat semua!)

Sementara menunggu pukul 2 petang, saya ke gerai PTS. Sahabat yang ditunggu belum sampai. Kelihatan berderet-deret budak-budak sekolah rendah dan menengah berjalan dan bertaburan dalam dewan itu. Ada yang sudah menjinjing beg plastik, ada yang sedang membelek buku di gerai berdekatan dan ada juga yang menyinggah di gerai di PTS.

Saya sempatlah menyarung jersi apron PTS dan beberapa pelajar mengerumuni buku-buku novel remaja. Seperti biasa, ayat yang sama keluar dari mulut saya,

"Beli adik, kami bagi potongan 20 peratus!"
"Ini berapa kak?"
"11.20 sen selepas dipotong 20 peratus."
"Tidak mengapalah kak." Adik itu meletak balik buku itu selepas diperiksanya dompetnya dan mungkin duitnya sudah susut atau langsung tidak ada. Tapi tidak mengapa, sekurang-kurangnya adik itu ada niat hendak beli cumanya itu bukan rezekinya.

Saya merasa seronok apabila budak-budak sekolah rendah atau pun menengah berminat hendak melaburkan duit mereka yang tidak sebanyak duit orang dewasa semata-mata hendak membeli buku kegemaran. Ini suatu budaya yang perlu dipupuk sejak mereka kecil. Supaya mereka tahu hendak membelanjakan duit mereka ke arah yang lebih memberi manfaat kepada diri sendiri.

Tidak lama kemudian, datanglah Pn. Kushi dan Pn. Ez Rahmani bagi menggabungkan diri dengan saya di gerai itu. Kemudiannya, kelihatan Puan Sifu datang. Saya ingatkan beliau tidak datang kerana dikatakan ada urusan lain. Puan Sifu ada cerita menarik yang disampaikan, tetapi biarlah beliau bercerita di blognya, nanti tidak seronok pula.

Jam 2 petang, saya pun pergi ke bengkel bersama Pn.Kushi dan suaminya yang berada di aras bawah. Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik itu, tidak ramai yang hadir. Kelihatan beberapa kakitangan PTS termasuklah boss PTS, En. Arief, En. Faris, Sdr. Majidah dan En. Roslan. Bengkel Google itu dikendalikan oleh En. Erik Hartmann dari Amerika Syarikat yang pandai berbahasa Mandarin.

Di awal penerangan beliau, saya boleh mendengar lagi tetapi selepas itu saya tidak boleh mengikutinya, mata sudah tidak boleh ditahan lagi (tidak nampak wajah En Erik, macam kelabu sahaja). Saya pula belum mengambil makan tengahari, perut sudah berlagu rindu. Tidak lama kemudian, saya bisik dengan Pn. Kushi saya minta diri sebentar. Niat hati hendak keluar sebentar tetapi akhirnya...terlupa langsung.

Saya mengaktifkan diri yang seperti lalang ini mengambil beberapa keping gambar. Ini termasuklah gambar Datuk Dr. Fadzillah Kamsah dan Sdr. Fazdli Yusof. Sementara saya menunggu Sdr. Firdaus menghabiskan dutinya tengahari itu bagi makan tengahari bersama. Akhirnya saya jumpa juga makanan yang boleh menyegarkan badan ini iaitu Laksa Penang...boleh tahan sedap juga, licinlah juga satu mangkuk besar dengan harga RM3 sahaja yang terdapat di gerai tepi sungai yang indah itu!

Sekembalinya saya dan Fir (nama manja beliau), kelihatan En. Erik dari Google di gerai PTS. Rupa-rupanya beliau sedang menunjukkan cara-cara seorang penulis boleh mempromosikan buku-buku tulisan sendiri dalam Google melalui laptopnya dan saya pun menggabung diri dalam perbincangan itu dan mula memahami cara menggunakan khidmat Google yang diberi secara percuma sahaja.

Dalam dunia tanpa sempadan ini, apa-apa sahaja boleh kita lakukan termasuklah mempromosikan buku di seluruh dunia tanpa bayaran. Bagi sahabat penulis yang lain, peluang ini harus direbut. Nantilah saya tulis kemudian nanti panjang pula ceritanya. Atau mungkin minta Pn.Kushi menulisnya kerana dia sudah pun mendaftarkan dirinya menjadi ahli.

Hari ini (Jumaat, 4.5.07) saya tidak datang ke PWTC bagi merehatkan diri bagi mencas diri yang semakin lemah. Jumpa lagi di gerai PTS,insya Allah. Sesiapa yang belum hadir itu, hadir-hadirkanlah diri. Nanti menyesal pula di kemudian hari! (Bergurau sahaja....he! he!)




3 comments:

Zamri Mohamad said...

Apa tip nak mempromosikan buku di google. ajarlah :)

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum wrh,

Saridah,

Ya! Kongsi-kongsikanlah ilmu cara mempromosi buku di google itu nanti, ya?

Rehatlah...memang sampai usia sebegini(seperti saya ini terutamanya..)sebenarnya perlu kuatkan hati...gagahkan diri...namun ada hadnya... jadi perlu rehat seketika...cas batteri power betul-betul untuk esok, hari Sabtu, ya?

Wasalam

saridahamid said...

Sahabat sekelian,

Sabarlah nanti saya tulis juga di sini mengenai kaedah mempromosikan buku dalam google. Senang sahaja. Cumanya saya sudah lupa alamat google itu kerana mengharapkan sahabat lain yang menyalin alamat itu.

Teruk betul saya ini akibat keletihan yang amat sangat hinggakan mood hendak menyalin tiada. Tetapi otak ini masih ingat teknik dan cara En. Erik itu buat.

Sabar yeh..nanti saya siasat dengan Pn. Kusyi..harap-harap dia beri kerjasama.