2.6.07

Saya ini feminin!

Beberapa tahun yang lalu saya memang rapat dengan seorang rakan ini. Sama-sama belajar dan kemudiannya berpisah kerana masing-masing sibuk dengan amanah kerjaya masing-masing. Rakan saya ini suka mengkritik orang lain tetapi dia pula tidak suka orang mengkritiknya. Pelikkan tapi itu benar. Itulah manusia, suka menghentam orang lain tetapi sukar untuk menerima apabila diri dihentam. Kelemahan manusia dan dia tidak bersifat sempurna. Tipulah seseorang itu kalau mengaku dirinya sesempurna dan sebaik Nabi Muhammad.


Pada suatu hari, saya bertemu dengannya di suatu tempat yang dijanjikan. Saya suka bertemu dengan rakan-rakan meskipun tidak sekepala dengan mereka. Nama juga manusia, jadi pelbagailah ragamnya. Rakan saya ini nampak sahaja seperti pendiam tetapi jika di dalam alam siber, dialah orangnya yang berani mengutuk, mengata, mengkritik, menunjuk pandai, serba tahu, dan banyak lagilah yang boleh menonjolkan dirinya hebat di alam siber.


Macamana saya tahu? Sebab dia yang bagi tahu pada saya! Kalau jumpa, tiada lagi ceritanya mengenainya kehebatannya melayari alam siber yang tanpa sempadan itu. Habis diredahnya, kawasan tempatan dan juga antarabangsa. Dari bahasa Jawa-Melayu hinggalah bahasa peringkat antarabangsa, dia tunjuk kehebatannya! Saya yang ketika itu tidak pernah melayari Internet kerana sibuk kerja lebih lapan jam sehari dan asyik out-station tanpa henti dan jarang sekali mengambil cuti atau pun cuti terkejut (mc lah tu), dan paling teruk bila doktor hendak bagi cuti, saya tolak dengan alasan, "siapa pula yang hendak buat kerja saya tu?" Doktor pun geleng kepala dan garu kepalanya yang semakin beruban. Akhirnya, ubatlah peneman saya supaya sentiasa segar dan sihat.


Jadi bila rakan saya ini cerita pasal Internet, saya hanya terlopong mendengarnya. Saya kalau usik pc pun kerana hendak menulis skrip yang perlu disiapkan. Ada kalanya sampai larut malam, memikirkan ayat-ayat yang perlu disusun dengan baik dan menarik serta tidak merepek-repek. Dalam fikiran, langsung tidak berminat hendak melayari Internet kerana bagi saya buang masa. Ini kerana, masa itu saya kena buat duit dulu.


Berbalik kepada rakan saya itu, apabila berjumpa dialah orangnya yang banyak berbual berbanding saya. Saya malas hendak menyampuk tapi kalau menyampuk pun bagi membetulkan fakta-faktanya yang tidak tepat. Tetapi lepas itu, dia pulun seorang diri bercakap. Saya hanya menampung dagu saya supaya tidak jatuh. Letih juga telinga ini mendengar dia bercerita dari satu ke satu cerita tentang kehebatannya dalam dunia siber. Air yang diminum pun sudah kering tapi makanan tidak juga di order. Tekak sudah kering dan perut sudah lapar. "Dia ini hendak belanja aku atau tidak?" itu bisikan hatiku sahaja. Akhirnya saya pesan makanan untuk diri sendiri, dia pula tidak memesan kerana jaga badan. Dalam hati ku, "Jaga badan atau kedekut hendak belanja?" jahatnya saya mengutuk rakan dalam hati.


"Saya ini feminin sikit," tiba-tiba dia berkata demikian. Hampir tersedak saya yang sedang mengunyah nasi beriani ayam (tapi taklah gam) dan nasib baik tidak tersembur. Apakah dia tahu makna feminin itu? Tapi saya tidak lontarkan soalan itu. Seperti yang saya katakan tadi, dia yang banyak bercakap dari saya. Jadi saya diamkan saja.


"Saya pantang kalau orang lelaki tidak hormat dengan saya!" katanya tiba-tiba suaranya yang lembut itu, tinggi pula nadanya. Mengalahkah suara Siti Nurhaliza bila nada tingginya bergema. Nasib baiklah tidak bergegar meja kedai mamak itu. (Eh! lebih-lebih pula saya...) Akhirnya saya bersuara setelah melihat rakan saya ini macam dia seorang yang berhak bersuara. Dia belum dengar lagi saya bersuara!


"Baiklah, kalau awak itu feminin, kenapa perangai awak tidak feminin? Dan awak tahu tak apa makna feminin? Jadi selama ini awak kurang femininlah?" tembak saya bertalu-talu kepada kawan saya itu dengan soalan-soalan yang berputar-putar itu. Saya lihat mukanya berubah dari putih jadi merah jambu. Bukan niat saya hendak menjatuhkan sifat femininnya tapi bagi saya macam tidak kena caranya. Cara dia bercakap bertentangan dengan sifat feminin yang dia pertahankan itu.


Apa itu feminin? Feminin itu maknanya bersifat perempuan. Dan memanglah, dia dan saya ini seorang perempuan. Jadi mengapa dia kata, "saya ni feminin sikit." Apa selama ini, dia bukan bersifat perempuankah? Dan saya ini bukan perempuankah bila dia ajukan ayat itu kepada saya. Saya menggeleng kepala. Rakan saya itu cakap banyak tetapi dia tidak tahu apa yang dia cakap? Itulah akibatnya kalau banyak bercakap tetapi tidak ada isi kerana sebab apa? Antaranya sebabnya kurang membaca, kurang menerima pandangan orang lain, kurang hormat orang yang berpengalaman, kurang menginsafi diri yang terkurang itu tetapi mengaku terlebih dari orang lain. Tidak jujur dalam hubungan, suka menunjuk diri hebat tetapi bila berhadapan dengan orang yang dia selalu kritik itu, gementar pula dan tidak terkata, kelu hendak berkata-kata.


Moralnya di sini, peringatan bagi diri sendiri (sayalah tu!) janganlah tunjuk berani tidak bertempat. Jika hendak kritik, hendaklah yang membina bukan sebaliknya membentuk satu hubungan yang tidak baik sampai bergaduh kerana orang itu tidak terima kritikannya. Seperti menegak benang yang basahlah (eh betul ke pepatah ini?). Berbuallah dengan jujur dan ikhlas, bukan sembunyi-sembunyi fakta yang betul atau suka reka cerita yang syok sendiri. Mula-mula orang boleh terima, tetapi selepas itu mungkin orang sudah benci dan perlahan-lahan menjauhkan diri dari kita. Orang mengganggap kita sebagai lalang tidak boleh didekati dan dipercayai kerana sikap kita yang tidak konsisten (faham tak makna ni...carilah dalam kamus!)


Rakan saya itu terdiam bila dia dengar nada tinggi dan rendah suara saya. Saya ini jenis kalau cakap suka terang-terang tidak mahu belakang-belakang. Tapi saya sebelum bercakap saya berfikir dahulu. Takut kata-kata saya itu memakan diri sendiri. Dalam keadan lain pula, bila saya tahu jenis orang yang sukar terima pandangan, ada kalanya saya diam sahaja. Buat habis beras sahaja dengan orang jenis ini. Bukannya dia hendak dengar cakap kita, kerana dia sudah ada jawapannya iaitu tidak boleh terima apa yang hendak kita katakan. Akhirnya, rakan saya sejak hari itu dia tidak mahu lagi mengajak saya berbual. Mungkin sudah nasib badan saya atau mungkin kata-kata feminin saya itu membuatnya diam seribu bahasa. Mudah-mudahan dia terimalah apa yang saya katakan. Dan saya tidak kata, yang kata-kata saya itu benar. Kita ini manusia (manusia lagi!) yang sentiasa ada kesilapan. Suka hati dialah sama ada hendak terima atau tidak, yang penting saya sudah sampaikan apa yang saya tahu.


Bagi saya, semua wanita itu adalah feminin. Tapi bila sebut feminis atau feminisme lain pula maknanya. Itu kita boleh bincang di lain hari...

3 comments:

Latiptalib said...

Salam

Saya jumpa Saridah masa pesta buku antara bangsa di PWTC. Tetapi saya tengok Saridah pendiam saja tidak banyak cerita. Mungkin suasana masa itu tidak sesuai untuk bercakap panjang agaknya. Saya kalau orang pendiam saya lagilah pendiam hehe

saridahamid said...

Salam,

Pak Latip, saya mengaku memang seorang pendiam dari dahulu, tetapi sikap itu sudah berubah sedikit menjadi peramah...

Namun begitu semasa pesta buku itu saya sudah tidak larat hendak bersuara kerana pening dan keletihan...maklumlah mabuk tengok manusia yang melaut!

Abang Long said...

Wahai Puan Saridahamid. Tertarik dengan entri kali ini. Ada ketikanya saya juga pening dengan kumpulan yang memperjuangkan hak femininisme. Salah satu yang paling mengaibkan adalah bilamana mereka hendakkan hak untuk menjadi ketua dalam rumahtanggan (ini saya dengar dalam ruangan forum di TV tidak lama dahulu). Saya tanyakan kepada isteri yang duduk disebelah "yang nak jadi ketua ?", lalu dijawabnya". "Buat apa nak cari masalah, nanti diakhirat dosa tak lepas".