8.4.07

Sukar mencari novel cinta Islam
(selain ayat-ayat cinta)

Minggu lalu, berkunjung ke salah sebuah pusat membeli belah yang lima bintang dan juga digemari oleh orang-orang yang menjaga status. Saya yang tidak ada status, tetapi biasa-biasa sahaja, sengaja berkunjung ke tempat itu bagi mencari cerita baru mengenai insan moden hari ini.

Tempat itu memang menjadi tumpuan orang ramai terutamanya remaja dan juga orang dewasa yang mencari cinta(benarkah begitu) termasuk juga para pelancong yang pelbagai bahasa turut memeriahkan hari minggu di kompleks membeli belah itu.

Tujuan utama adalah hendak menjenguk kedai buku yang terbesar dan terkenal di kompleks itu. Malangnya ia bukan milik bumiputera malahan dari negara belah timur. Ingatkan tiada buku-buku terbitan PTS di situ. Ini kerana sebelum ini, pernah datang di awal pembukaan kedai buku itu. Hendak melihat buku-buku Bahasa Melayu, memanglah tidak ada langsung. Buku yang paling banyak, bahasa Inggeris, Korea, Jepun dan Mandarin dan lain-lain.

Tetapi kunjungan kali ini, deretan buku-buku Malaysia sudah ada termasuklah buku-buku PTS. Namun begitu, buku-buku PTS banyak tajuk-tajuk yang lama. Tajuk-tajuk baru tidak pula kelihatan, kalau ada pun sedikit sekali. Tetapi yang pastinya, buku-buku terbitan PTS banyak sekali di pamerkan di rak-rak buku yang sudah dikhaskan bagi buku Bahasa Melayu.

Tidak lama di kedai buku itu dan masa juga tidak mengizinkan. Pengunjung semakin ramai dan kepala pula sudah pening (tidak boleh lihat orang ramai dan suka shopping bila orang tidak ada), ambil keputusan membeli sebuah buku bagi menajamkan otak yang semakin tumpul. Berkat pergi bengkel sifu mengenai lateral thingking dan mengenali individu Edward de Bono, lalu dicapai juga buku tulisannya yang bertajuk "Belajar Berfikir", (selama ini berfikir juga tapi berfikir macam mana hendak tulis buku!).

Ingatkan hendaklah 'memborong' beberapa buah buku yang lain, tetapi apabila memikirkan pesta buku antarabangsa tidak berapa lama lagi dan tentunya ada potongan istimewa, hasrat itu dibatalkan.

Berjalan ke arah pintu keluar tetapi masih lagi menjeling deretan kedai-kedai yang menarik hiasannya dan akhirnya menjejakkan kaki ke kedai buku yang menjual surat khabar, majalah, dan juga buku cerita. Akhirnya, terpaksa capai sebuah novel yang mana pengarangnya pernah dikenali dan berjumpa. Ingin melihat hasil karyanya yang dikatakan gah! Melayang duit RM20.00. Tidak mengapa buat koleksi novel di rumah.

Apabila tersadai di rak buku selama beberapa hari, tiga hari lalu tergerak hendak membaca novel itu. Novel itu dikategorikan dalam novel popular. Ini bermakna nilai sasteranya tiada seperti yang pernah dibincangkan dalam satu bengkel dahulu. Mula-mula membaca, sudah dijangka yang buku ini jalan ceritanya sama sahaja dengan novel-novel popular yang pernah dibaca sebelum ini. Hasilnya menghampakan juga.

Sukar hendak mencari novel cinta yang memelihara nilai-nilai Islam. Novel yang saya baca itu, heroinnya walaupun bertudung, tetapi mudah diajar keluar oleh dua orang lelaki yang bukan muhrim dan silih berganti. Dan watak heroin itu tidak boleh dibuat contoh yang baik kerana kasar dengan ibunya yang suka membebel. Tiada nilai wanita berbudi dan juga suka mengumpat walaupun dalam hatinya.

Nilai-nilai wanita Islam tidak langsung ditonjol dengan baik (hanya bertudung dan tidak lupa sembahyang). Masih digambarkan wanita itu hanya suka berfikir pasal lelaki dan cari jodoh sahaja. Tiada perkara lain yang difikir oleh wanita yang berkerjaya.

Tidak tahulah. Mungkin penulis teruja mempunyai peminat yang ramai dan masih hendak pertahankan jalan cerita sebegitu yang pada pandangannya masih diminati oleh peminatnya. Bagi saya, sudah jemu dengan tema sebegitu.

Teringat dengan novel 'Imam', tulisan Abdullah Hussain, yang kini novelnya dijual dengan harga mencecah RM 50.00. Novel itu menjadi rebutan para pengunjung perpustakaan tempat bekerja dahulu. Jalan cerita cukup menarik dan ada nilai sastera. Bagi yang belum pernah mendengar dan melihatnya, belilah di pesta buku nanti. Tukarlah pembacaan novel popular ke novel yang sarat dengan nilai sastera. Dari situ, boleh memperkaya bahasa dan sastera.

3 comments:

Saya said...

Nantikan kemunculan novel Islami sulong PTs Millennia masa pesta buku ini. Di dalamnya ada apa yang akak cari. mengikut acuan ayat2 cinta cuma tidak sekuat itulah. Best. rasa insaf baca terutamanya untuk yg sudah bergelar isteri. Tajuknya,CURAHAN CINTA NIAGARA

saridahamid said...

Itu satu berita yang baik. Tidak sabar hendak menunggu pesta buku. Timbul soalan...(sambil garuk kepala) Macamana pula Rozita tahu? Ah!! ini mesti jadi editor buku itu!

Jadi juga buku itu dikeluarkan.Syabas!

Rahimah Humaira said...

Salam.

Terima kasih kerana berkongsi artikel ini. Sememangnya novel yg berkonsepkan islamik sukar dicari biarpun dalam novel2 yg dilabelkan genre islamik. Tahniah kepada PTS atas usaha mengeluarkan novel genre islamik yang berkualiti disamping bahasa yang terjaga.