2.1.14


Kenangan 2013 dan Menempuh 2014

Bismillah,

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang memiliki alam ini dan memiliki diri ini kerana masih memberi udara untuk bernafas, air untuk diminum, alam ini untuk dinikmati keindahan, tubuh badan yang sihat, mata masih boleh melihat, mulut masih boleh bercakap, tangan masih boleh bergerak, kaki masih boleh melangkah, hidung masih boleh menghidu haruman, dan segala nikmat yang diberi sehingga tidak terhitung.

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Tiada apa yang menjadi milik kita, semuanya milik Allah. Allah pinjamkan sementara untuk kita di dunia ini. Adakah kita sudah berterima kasih kepada majikan kita?

Ya Allah, Subhnaallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!

Syukur kepadaMu yang masih mengizinkan daku mencoret di blog ini yang sudah hampir pupus di alam maya. Sudah sekian lama tidak menjenguk rumah usang ini. Hinggakan aplikasinya yang baru ini pun aku tidak peka. Nasib baik masih ingat email dan kata laluannya, Alhamdulillah , ingatan masih belum pikun.

2014 menjelma, dikaitkan dengan azam. Aku setiap hari berazam jadi baik, isteri solehah, hamba yang rajin beribadah dan perbaiki ibadah, tambah ilmu bermanfaat, minta Allah murahkan rezekiku, menjalin silaturrahim dengan baik, banyakkan sedekah dan melakukan perkara-perkara yang memberi manfaat pada diri dan juga orang lain.

Insya-Allah, tahun ini aku juga ingin berkongsi pengalamanku menulis dengan orang lain secara percuma. Ilmu yang sedikit ini akan aku kongsikan kepada sesiapa yang sudi membaca blog ini. Mohon doakan agar aku dapat laksanakan niat ini.

Alhamdulillah, kenangan 2013 sungguh berkesan di hati ini. Dua perkara besar telah aku lalui. Pertama, aku menjadi tetamu Allah dan Kedua, aku dianugerahkan sebagai penulis ke lima terbaik di PTS. Kegembiraan yang tidak dapat aku luahkan dan hanya pada Allah aku panjatkan.

Sekian, moga bertemu dilain coretan. Insya-Allah.

 
 
 

15.4.13

Bismillah, Assalamualaikum kepada semua yang sudi menjengok blog ini. Terima kasih diucapkan kerana sudi membaca tulisanku ini, semoga ia memberi sedikit manfaat.

Sungguh aku terperanjat, kerana bila melihat tarikh terakhir blog ini diisi dengan cerita baru adalah beberapa bulan yang lalu. Ya Allah, cepatnya masa berlalu. Dan aku pula semakin malas hendak menulis diblog yang aku sayang ini. Meskipun mungkin tidak ramai yang membacanya, inilah ruang pertama aku menulis segala aktiviti dan juga luahan ilmu yang sedikit ini. Itulah aku, insan yang lemah. Azam ingin menulis sebanyak-banyak, hasilnya berapa saja status yang boleh ditulis diruang ini. Hendak membuka blog sendiripun hampir aku terlupa katalaluannya. Bersama dengan blog ini juga ada blog yang menanti untuk diisi cerita baru, iaitu Teratak Aisyah Sofia. Aduhai, tanggungjawab yang aku abaikan. Ini janji pada diri sendiri yang tidak ditepati. Perlu muhasabah diri sendiri.

Masa itu terlalu berharga ibarat nyawa sendiri. Dan bagiku, masa berlalu dengan cepat. Rasa-rasanya tidak mencukupi untuk diri ini. Dari pagi hingga ke malam, rasanya sedikit sahaja yang dapat dibuat. Menulis, membaca buku, membelek muka buku, apatah lagi tuntutan jasmani, perlu beribadah, perlu jalankan tanggungjawab sebagai isteri dan umi. Tanggunggjawab sebagai anak kepada ibunya. Dan banyak lagi yang perlukan dilakukan sebagai seorang insan kerdil kepada Pemilik nyawa ini. Ya allah, berikanlah daku kemudahan dalam segala perkara yang mendatangkan manfaat.

Dalam dunia serba pantas ini, adakalanya tidak terkejar oleh kita manusia biasa. Melihat mukabuku sahaja sudah berjam, menulis blog juga memakan masa, apatahlagi jika kerja-kerja itu hanya sampingan sahaja. Kerana ada yang lebih penting lagi yang menjadi keutamaan bagiku, adalah menulis sebagai kerjayaku hari ini. Oleh itu, kerja-kerja melibatkan internet ini kurang menarik. Mengisi cerita dalam blog mahupun mukabuku adalah kerja sampingan jika terluang waktu senggang.

Hari ini aku menulis di sini atas rasa bersalah. Setahun berlalu. Kosong blogku ini. Namun, tidak sangka ada juga yang sudi menjenguk.

Terima kasih semua. Semoga Allah SWT merahmati anda semua.

Wassalam.

9.4.12

Nikmat bersahabat

Antara nikmat yang tidak boleh dinafikan adalah apabila kita bertemu semula dengan kawan-kawan lama semasa sekolah rendah dan juga menengah. Alhamdulillah, terima kasih Allah kerana memberi peluang kepadaku untuk bertemu kawan-kawan lama dalam usia yang semakin senja ini.

Nikmat yang Engkau berikan itu tiada terhitung. Betapa cerianya kami bertemu dalam suatu yang unik. Meskipun sudah berpuluh tahun tidak berjumpa dan wajah masing-masing berubah namun kecanggihan teknologi dan juga dengan IzinNya, memungkikan pertemuan kami.

Bayangkan, sudah 31 tahun tidak bertemu dan wajah kami berubah. Aku yang tinggal di bandar, selepas tamat sekolah, tiada peluang bertemu dengan kawan-kawan. Sedangkan kami sebenarnya tinggal dalam satu daerah. Mungkin berselisih bahu, kami tidak kenal. Ya, masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Ada yang sibuk menyambung belajar, ada yang sibuk mencari kerja sendiri, ada yang sudah berkahwin, maka tiada kami bertemu sebaik sahaja tamat sekolah. Aku akui, aku pula jenis yang memang tidak rajin untuk menulis surat buat kawan-kawan.

Menurut seorang sahabat, dalam perbualan kami, ceritanya membuatkan aku terkejut sekali. Yang sebenarnya, aku pernah berjiran dengannya. Hingga sekarang dia tinggal di kawasan yang pernah aku tinggal. Mengapakah aku tidak bertemu dengan sahabat yang pernah rapat denganku. Sungguh aku menyesal. Masa itu tumpuanku hanya pada kerja. Keluar pagi balik malam. Hujung minggu pula sama ada aku kerja luar kawasan atau aku berjalan-jalan cuti Malaysia. Memang tidak sempat mengenal jiran-jiran, aduh ruginya aku. Kini, aku hargai saat bertemu kawan-kawan lama, terima kasih Allah. NikmatMu yang tidak terhitung buatku. Alhamdulillah.

Tidak banyak cerita yang dapat kami bualkan dalam pertemuan yang singkat. Masing-masing ingin bercakap, hahaha..sudah macam pasar borong, riuh rendah. Masing-masing ingin bercerita..aduhai seronoknya! Teringat zaman persekolahan, aku seorang pendiam namun aku tetap ramai kawan. Ya Allah, aku hargai setiap kenangan yang Kau berikan. Menurut seorang kawan, aku sekarang sudah banyak berubah. Ya, aku akui sudah berubah kerana muka sudah tua dan aku ceria setiap kali bertemu kawan-kawan atau siapa sahaja. Mulutku ringan ingin bertanya dan bercerita, maklumlah pernah terlibat dalam dunia media komunikasi, jadi aku kenalah menjadi peramah supaya kerja menulisku jadi mudah.

Emm...jika diizinkan Allah, kami akan bertemu lagi. Semoga semua sahabat-sahabatku berada dalam keadaan sihat walafia dan sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

5.4.12

 Kembali aktifkan diri


Orang kata, apabila terlibat dengan penulisan, kita akan selalu rajin menulis. Ya, ada benarnya. Tapi, hendak menulis blog sendiri, suatu yang payah. Apabila tumpuan untuk menyiapkan satu-satu manuskrip,, yang lain akan terabai. Itupun betul juga.


Hah, apa yang aku merapu ini. Menyalahkan diri sendiri kerana gagal dan lalai memeriahk blog ini,


Ini azam baru, ingin kembali aktifkan diri dalam blog. Dan juga ingin memaparkan penulisan dalam blog.


Aku ingin menyiarkan e-novel di sini.Atau diselang-selikan dengan celoteh... Bolehkah? Ya, dengan senang hati akan aku mulakan.


 Semoga permulaan ini memberikan manfaat pada diri ini dan orang lain. Yang buruk itu datangnya dari diri ini yang lemah, cetek ilmu, dan yang baik itu adalah datang dari Pencipta alam ini, Allah SWT.

30.9.11

Malu Bersahabat?

“Saya tidak pandai hendak berkawan. Kamu itu lainlah.”
“Apa yang lainnya?'
“Kamu peramah dan tidak malu. Saya ini hendak menegur orang pun mengambil masa.”
“Mengapa begitu? Mereka juga seperti kita, manusia biasa. Tiada yang beza.”
“Saya tidak yakin. Lagipun bukannya pandai bercakap.”
“Hendak tegur orang lain pun kena pandai bercakap? Sekarang ini kamu sedang bercakap dengan saya, tidak ada cacat langsung.”

Mungkin kita pernah dengar dialog sedemikian yang diberikan oleh individu yang mencari alasan dirinya tidak sempurna dan tidak pandai memulakan hubungan persahabatan dengan orang lain. Ini menyebabkan mereka tidak berminat hendak bergaul dengan orang lain apatah lagi hendak pergi ke majlis-majlis yang dihadiri oleh orang ramai. Mereka seboleh-bolehnya hendak mengelakkan diri dari mengunjungi tempat sebegitu. Mengelakkan diri dari bertemu dengan orang ramai.

Mengapakah ini berlaku? Apakah perlu ada kemahiran apabila menjalin hubungan dengan orang lain? Tidak dinafikan setiap dari kita ini mempunyai sifat yang pelbagai. Ada yang peramah, pendiam, kurang mesra, terlalu mesra, mudah senyum, sensitif, pemalu, penakut, tidak yakin pada diri dan sebagainya. Kita ini tergolong dalam kumpulan mana?

Tetapi itu bukanlah alasan untuk mengasingkan diri dari bertemu dengan orang lain. Kita tidak mahu jadi seperti katak di bawah tempurung. Apabila bila kita faham erti sahabat dan persahabatan, sudah tentu kita akan merasa rugi jika tidak mempunyai sahabat. Renungkan kata-kata hikmah ini,

“Persahabatan boleh memberikan kegembiraan yang tidak ada nilainya dan boleh mengurangkan kesedihan yang dialami.”

Hendak mencari sahabat yang sejati dalam dunia moden hari ini agak sukar. Tetapi sekiranya kita ada kemahuan di situ ada jalannya. Sahabat adalah suatu keperluan dalam hidup kita. Bayangkan, kita hidup di dunia ini hanya seorang diri. Meskipun segala kemudahan dan kesenangan sudah kita miliki, tetapi kita keseorangan. Apakah perasaan dan jiwa kita?

Bagi orang normal, hidup perlu bermasyarakat. Oleh itu, dalam mencari sahabat bukanlah sukar . Membina persahabatan dengan ikhlas dan jujur boleh membuat hubungan itu bertahan lama. Semuanya itu bergantung kepada diri sendiri. Apa tanggapan kita terhadap diri sendiri? Sudahkah kita mengenali diri kita sendiri?

Kenali dan cintai diri sendiri

Adakah kita sudah memahami diri sendiri dan sudah mengetahui kelebihan dan kekurangan diri sendiri? Kenalilah diri sendiri dan hargailah apa yang kita miliki. Cintailah diri kita supaya kita bersyukur dengan kelebihan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada kita. Kita masih lagi sempurna fizikal dan diberikan akal yang waras. Adakah kita sedar semua itu? Oleh itu, tidak boleh dijadikan alasan yang kita ini tidak mempunyai kelebihan seperti orang lain. Sekiranya kita menyayangi diri sendiri, orang lain juga akan menyayangi diri kita.

Kita dijadikan sama seperti orang lain, cuma yang membezakan kita dengan orang lain adalah dari segi fizikal. Bentuk muka, warna kulit, tinggi, rendah, kurus atau gemuk, dan lain-lain tidak sama. Itulah keindahan ciptaan Allah terhadap makhluk. Kalau semua makhluk ini serupa, hilanglah keindahan dan keunikan itu. Dan yang lebih unik, kita sebagai manusia dianugerahkan akal fikiran yang waras dan bijak. Akal dikerah supaya berfikir. Dan adakah kita sudah berfikir?

Sikap memandang rendah pada diri sendiri hendaklah dijauhkan. Mengapakah mesti kita merasa rendah diri. Adakah disebabkan masalah fizikal yang disebutkan tadi? Sekiranya itulah masalah utama, buanglah dengan segera dari minda kita. Apabila kita sudah mula memandang rendah pada diri sendiri, mungkin kita juga memandang rendah pada orang lain. Oleh itu, keyakinan diri hendaklah dibina supaya kita lebih selesa apabila hendak membentuk persahabatan dengan orang lain. Binalah keyakinan diri dengan banyak menambahkan ilmu. Dan kita perlulah pula rajin mencari ilmu dan bukan hanya menadah atau meminta ilmu itu datang bergolek ke pangkuan.

Usah sekali-kali membenci diri sendiri

Kita benci pada diri sendiri! Mengapa benci? Sikap benci hendaklah dihindarkan dari dalam diri kita. Hargai diri kita. Hanya kita yang boleh hargai diri sendiri. Sikap benci ini boleh mempengaruhi orang lain. Sekiranya kita masih tidak menghargai diri sendiri seperti kita tidak menghargai diri sahabat kita. Fikiran negatif hendaklah dijadikan positif.

Orang lain harus dijatuhkan

Apabila nilai dan sikap negatif sudah bersarang dalam diri, kita sering berusaha hendak bersaing dengan orang lain. Meskipun bersaing itu adalah satu cara yang sihat, tetapi kita tidak. Kita bersaing kerana hendak menjatuhkan orang lain supaya mereka tidak boleh menyaingi atau lebih daripada kita. Kita suka melihat orang lain jatuh atau dimalukan. Dan kita pula cuba menaikkan status kita di mata orang lain dengan cara yang tidak elok.

Sekiranya sikap negatif ini diamalkan, sudah tentu kita tidak boleh membina malahan menjalin persahabatan yang berpanjangan dengan sahabat kita. Malahan sikap negatif kita itu dibenci oleh sahabat kita. Ubah dan buanglah sikap ini bagi memastikan kita mempunyai harapan bersama dengan sahabat kita. Jika kita masih berdegil, tidak mustahil kita keseorangan sepanjang hayat.

Siapalah diri saya ini?

Mungkin kita sering mengajukan soalan ini dalam hati. Kita merasa diri tidak layak bersahabat dengan individu yang bijak, cantik, kaya, berkulit putih, dan sebagainya. Itu pandangan kita yang berfikir, lebih baik kita mengundur diri sebelum dimalukan atau dipandang rendah. Itu kata hati kita. Kita mengambil keputusan sendiri bagi melindungi diri sendiri. Melindungi dari menerima cemuhan dari orang lain yang belum pasti terjadi atau tidak.

Apabila adanya perasaan atau tanggapan sendiri, kita mengongkong atau memperkecilkan kelebihan diri sendiri. Kita yang menentukan diri kita negatif, sedangkan orang lain tidak beranggapan begitu. Kita tidak bebas dan malu hendak ke mana-mana. Dan apabila kita melihat orang lain yang mesra atau aktif dengan sikap mereka, kita mula merasa cemburu dan membenci mereka secara membabi buta tanpa alasan. Pandangan ini hendaklah disingkirkan dari minda dan hati kita. Yakinlah bahawa kita mempunyai keistimewaan tersendiri. Hanya kita sahaja yang tahu.

Mereka itu teruk!

Kita hendaklah menghindarkan dari memikirkan orang lain adalah mempunyai sikap yang teruk. Elakkan dari selalu mencaci atau menghina individu lain yang kita rasa tidak sesuai dibuat sahabat. Adakah dengan mengumpat atau memandang rendah orang lain, boleh meletakkan diri kita ke status yang tinggi? Mungkin kita ego dengan sikap yang ada. Tapi, ketahuilah, dengan sikap ego yang tidak bertempat itu yang boleh merosakkan hubungan kita dengan orang lain.

Sifat ego yang tidak terkawal sering kali menganggap orang lain tidak bagus, tidak betul, tidak pandai. Kita pula selalu kritik orang lain, meskipun orang itu sudah mencapai kejayaan. Kita seperti tidak suka dengan orang lain dan suka menyampaikan cerita-cerita yang tidak benar.

Kita haruslah hindarkan sifat ini yang akhirnya boleh merosakkan diri sendiri. Sekiranya sifat ini berterusan, tiada siapa yang sudi bersahabat dengan kita.

Banyak bercakap!

Wanita terkenal dengan banyak bercakap. Kita sering dikaitkan dengan tabiat 'suka membebel' atau 'suka berleter dan juga 'suka mengkritik' bagi sesuatu keadaan atau isu semasa. Tanpa disedari, apa yang kita bual atau tuturkan itu tidak langsung memberi faedah pada diri dan juga orang lain.

Kita adakalanya banyak bercakap tetapi kita tidak tahu apakah butir-butir percakapan itu. Suka bercakap banyak semata-mata hendak menarik minat individu lain supaya memberi perhatian kepada diri kita. Pertahankan apa yang dibicarakan oleh kita dengan bersemangat bagi membuktikan yang pandangan kita adalah benar. Tidak peduli dengan pandangan sahabat lain. Sekiranya sikap ini berterusan, tiada siapa yang suka mendekatkan diri atau menjalin hubungan dengan kita. Bercakap banyak adakalanya membayangkan diri kita yang lemah. Banyak berbicara, banyak pula kesalahannya.


---Bersambung.

15.9.11

Kembali sedar!

Alhamdulillah, aku masih boleh mewarnakan blog ini yang semakin suram. Tibanya Ramadan, aku terus tenggelam dalam alam maya ini. Tiada catatan seperti yang aku janjikan pada diri ini. Entahlah, rasa tidak bersemangat menguasai diri ini. Adakala bersemangat, kadang-kadang langsung hilang mood. Itulah manusia kerdil seperti aku ini. Malas betul hendak menulis diblog sendiri. Orang lain aku lihat bukan main ligat memasukkan cerita-cerita setiap hari, kalau tidak pun setiap minggu. Tapi aku, emmm....lemah. Meskipun hati ini meronta-ronta ingin melontarkan celoteh ku entah apa-apa ini. Semoga semangat dalam bulan Syawal ini mengembalikan semula sifat kerajinanku yang terpendam dalam lubuk diri ini. Aku kena lonjakkan ke atas agar sentiasa rajin dan rajin dan rajin. Semoga Allah perkenankan. Amin.

22.7.11

Ziarah sahabat


Sebenarnya sudah lama hendak menziarahi Kak Engku atau Ezee Rahmani. Namun begitu, kerana tidak mahu mengganggu suami yang bekerja sendiri, maka hasrat itu sering ditangguhkan. Apabila, penulis Kursyi Hirdan menelepon secara tiba-tiba, terasa teruja bercakap dengannya. Ingatkan teman sudah tidak ingatkan kawan di sini (hehehe). Mendengar cerita yang beliau juga tidak sihat tetapi tidak menerima berita dengan pasti. Ia berlalu begitu sahaja. Khabar yang disampaikan oleh Kursyi sungguh memeranjatkan.


Namun begitu, tanpa perancangan, akhirnya kami (saya dan Kursyi) mengatur janji untuk menziarahi Kak Engku. Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya. Maka, hari Jumaat menjadi saksi kami berkunjung ke rumah baru Kak Engku. Mudah mencari dan sampai ke rumah Kak Engku disambut mesra. Kursyi dan suami sampai terlebih dahulu, aku dan suami pula terlambat sikit akibat kerenah anak.



Kami berpelukan kerana sudah lama tidak berjumpa dan mendengar berita. Macam-macam hendak diperkatakan terutamanya mengenai dunia penulisan. Oh..terima kasih atas perkongsian maklumat dari kawan-kawan tersayang. Semoga Allah merahmati pertemuan kita.



Kusyi menceritakan perkembangannya dan Kak Engku pula menceritakan pengalaman mengerjakan haji. Kagum dengan cekap dan cepatnya Kursyi berkarya. Satu perkembangan yang merangsang aku untuk turut mengikut jejak langkahnya. Sementara, Kak Engku pula telah mengabadikan pengalamannya dalam buku Travelog Hajah: Kembara Tetamu Allah. Terima kasih Kak Engku kerana memberi buku percuma kepada kami. Aku baru membaca beberapa muka surat..terharu dan meresap ke jiwaku. Bilalah aku hendak ke sana? Ya Allah permudahkanlah hasratku ini. Amin.



Semoga sahabatku sukses dalam penulisan dan dirahmati Allah SWT. Amin.

18.7.11

Celoteh entah apa-apa

Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk mencatat di laman rumah yang bersawang ini. Berhasrat untuk memuatkan celoteh setiap hari, tapi hanya tinggal khayalan. Alasannya, usahlah diungkapkan. Faktor utama, malas..sebabnya, adakalanya sukar hendak membuka blog sendiri atas kapasiti internet yang murah ini. Hairan juga, kenapa blog saya susah hendak membuka secara biasa. Kini saya menggunakan akses secara luar biasa..hah..pening pula nanti siapa yang membaca entri saya yang sedikit merapu ini.

Alasan seterusnya, adakah orang hendak membaca blog yang semakin tidak popular ini. Tidak sehebat muka buku yang sering diulit oleh mereka yang mempunyai akaun fb itu (termasuklah saya, sebab senang hendak membukanya). Ada seorang kawan yang memang macam saya menghadap laptop hampir setiap waktu tetapi tiada akaun muka buku. Hebatnya. Saya pun pada mulanya malas hendak bermuka buku ini, tetapi apabila ramai yang menghantar permintaan ke email saya...saya pun hairan. Dan belajarlah sendiri mendaftar akaun fb. Akhirnya, ber fb lah saya. Tapi tidaklah serius, hendak menghadap sepanjang masa..

Dengar cerita, ada orang sepanjang masa membaca status kawan-kawan...laratnya dia. Saya ini hendak menulis status sendiri pun malas. Apatah lagi, hendak membaca status yang dirasakan macam tidak kena. Hinggakan perkara peribadi pun hendak dinyatakan dalam fb. Adakah perlu kita menulis status tiap-tiap hari. Entahlah, tepuk dada, tanyalah hati dan iman.

Memandangkan saya ini penulis (layakkah digelar penulis) yang suka menulis dan menulis selagi boleh menulis. Ingin menulis sesuatu yang bermanfaat untuk semua orang. Dan sebagai satu bekalan saya untuk perjalanan ke akhirat nanti. Saya ingin menulis sebagai satu medium untuk saya menyampaikan sesuatu yang baik. Dalam erti kata lain, untuk berdakwah. Ya, memandangkan saya ini bukannya pandai bercakap dan juga tidaklah berkelulusan ilmu agama pun, tapi ingin mengambil bahagian untuk menyampaikan perkara yang baik untuk orang ramai yang suka membaca buku. Bagi yang tidak suka membaca, adalah sangat rugi.

Sejak dari mengenal huruf lagi, saya suka membaca. Membaca pelbagai bidang. Mungkin itulah yang memberi idea kepada saya apabila hendak menulis. Begitu juga, pengalaman. Pelbagai pengalaman akan terus ditimba. Mungkin dari pengalamanlah saya mencurahkan dalam penulisan saya. Emm..diharapkan sedikit penerangan ini menjadi permulaan pada mereka yang sering bertanya kepada saya bagaimana hendak menjadi seorang penulis. Bagi saya, hendaklah mulakan menulis sebelum jadi penulis. Jika malas hendak menulis, bagaimana hendak menjadi penulis novel, cerpen, puisi dan sebagainya. Maaflah..jika entah apa-apa yang saya tulis...jejari sudah letih menaip..hingga jumpa lagi..(saya berjanji hendak selalu menulis di blog yang semakin usang ini dan terima kasih kepada yang sudi menjadi follower saya. Tidak sangka ada follower, ingatkan blog saya sudah terkubur, hehehe).

3.6.11

KITA PERLU BERSAHABAT!

Perlukah kita bersahabat? Dan apakah pula kepentingannya? Bersahabat membolehkan kita belajar mengenal insan lain dengan lebih dekat. Mendidik hati kita supaya lebih matang dan bertoleransi. Bayangkanlah sekiranya kita tiada sesiapa di dunia ini. Adakah kita sanggup menghadapi seorang diri? Hanya orang yang akalnya tidak waras sanggup berbuat begitu.

Hubungan persahabatan bukan terjalin secara spontan atau dibentuk dengan mudah. Ia berlaku bila ada kesesuaian antara dua individu yang bertemu dan terjalin hubungan yang penuh mesra dan kasih sayang. Hubungan yang baik boleh memecahkan dinding yang selama memisahkan diri kita dari dunia luar dan tidak mahu memulakan hubungan dengan orang lain.

Bermula dari individu yang begitu asing kepada kita kemudiannya dengan usaha dua individu itu, lalu antara satu sama merasa tertarik atau masing-masing ada daya tarikan yang tersendiri. Daya tarikan itu yang membuat individu lain mahukan hubungan lebih serius perlu dijalinkan. Ini berlaku apabila kita mula hendak berkongsi pengalaman hidup dengan individu yang baru kita temui itu.

Individu yang pemalu sering mencari alasan untuk tidak bertemu dengan orang lain. Sekiranya boleh, individu pemalu kalau keluar dari rumahnya tidak mahu bertembung dengan orang ramai yang berada di jalan raya, pasar raya, kedai, dan sebagainya. Individu pemalu ini mengambil masa untuk berkenalan dan beramah mesra dengan individu lain apatah lagi hendak berkongsi pengalaman. Tetapi mereka memilih individu yang boleh menarik perhatiannya dan memahami perangainya. Mereka ini walaupun pemalu tetapi masih perlu bersahabat!

Sesetengah individu pula menghadapi masalah hendak bercampur gaul dengan orang lain. Benarkah individu yang bermasalah sukar bergaul dengan individu lain sebagai sahabat? Oleh itu, kita harus menjalinkan hubungan dengan secara rasional dan bukan dipaksa-paksa. Biarlah apa yang ada dalam diri kita menjadi daya tarikan kepada individu lain yang boleh dijadikan satu titik permulaan. Mungkinkah cara bertegur, senyuman, bercakap, pakaian, imej diri atau lain-lain yang boleh dijadikan daya tarikan kepada individu lain sebagai satu permulaan jalinan persahabatan. Gunakan kaedah psikologi yang berkesan. Oleh itu, kita kenalah belajar ilmu psikologi yang asas supaya segalanya berjalan dengan lancar.

Siapa yang perlu memulakannya?

Sesiapa sahaja boleh memulakan perkenalan dan suai kenal antara dua individu yang berlainan. Salah seorang hendaklah berusaha membina dan membentuk hubungan dengan selesa dan mudah. Namun begitu, dalam menjalinkan hubungan di peringkat awal perlu berhadapan dengan risiko sementara. Risiko tidak dilayan, diejek, di pandang sepi atau di pandang pelik. Situasi ini mungkin dihadapi pada peringkat awal dan anggaplah itu sebagai mengajar kita supaya lebih matang dan berhati-hati. Sakit hati sekiranya kita sahaja yang bersungguh-sungguh hendak berkawan sedangkan individu yang lain buat tidak endah sahaja.

Adakalanya kita tidak boleh menjangka apakah pandangan orang lain terhadap diri kita yang ikhlas hendak menjalin hubungan. Kita mesti menanggung risiko dengan menunjukkan keyakinan kepada individu itu yang kita hendak bersahabat dengannya secara akrab dan ikhlas. Sebenarnya, memulakan persahabatan itu ada risikonya dan tidak semudah yang dibayangkan.

Adakah kita memerlukan sahabat?

Tanyakan soalan itu kepada diri sendiri. Sekiranya memerlukan sahabat maka berusahalah membina, menjalin dan memesrakan diri dengan sahabat yang baru dikenali itu dengan ikhlas dan mesra. Bukan dipaksa atau memaksa diri. Jika terasa terpaksa bersahabat atas sesuatu alasan, maka hubungan yang terjalin tidak ikhlas. Hendaklah kita mengelakkan diri dari bersikap demikian. Ini kerana yang akan mengalami kerugian adalah diri sendiri.

Sebenarnya, setiap dari kita memerlukan sahabat. Orang yang pemalu juga memerlukan sahabat. Apatah lagi orang yang cacat anggota atau yang kurang waras, semuanya memerlukan sahabat. Muslimah perlukan sahabat. Budak kecil perlukan sahabat. Kaum lelaki juga perlukan sahabat. Semua orang perlukan sahabat dan dan kenalan.


Membina persahabatan?

Apabila berkawan kita perlu bertemu dengannnya. Berkawan dengan individu yang menarik dan punya daya tarikan sehingga kita tertarik hendak jalinkan hubungan. Kawan juga boleh memberikan kita satu keyakinan diri dalam meneruskan hubungan dengan yang lain. Usaha dengan bersungguh-sungguh bagi membina persahabatan.
















18.4.11

Selamat Berpesta Buku! Assalamualaikum, kepada pelayar alam maya yang masih sudi membaca ruang blog yang sudah lama tidak tercatat cerita atau celoteh baru. Pejam celik pejam celik hampit 5 bulan tidak mencoretkan apa-apapun di rumah yang usang dan hampir menjadi rumah pusaka...hehehe. Hendak dikatakan demam muka buku..tidak juga. Entahlah, rasa sifat 'm' yang kadangkala bermaharajalela di dalam diri yang memangnya serba lemah ini. Namun, memikirkan bimbang pula rumah ini menjadi runtuh dan hanyut dalam ombak tsunami..maka..jejari ini menekan keyboard dengan lemah lembut. Apakah yang hendak dikatakan dalam isu terdekat. Apa lagi, kalau tidak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur dari 22 April hingga 1 Mei 2011. Jadi, rebutlah peluang yang hanya setahun sekali ini menghadiri pesta buku yang bagaikan hari raya buat para penulis. Di situlah nanti, ramainya penulis dan penerbit berkumpul bagi memeriah dan meramaikan pesta buku itu. Pelbagai acara telah diaturkan untuk para pengunjung yang berminat untuk berkongsi maklumat mengenai dunia buku. Selamat berpesta buku! Semoga tahun ini lebih bermakna dari tahun lalu dalam memiliki, membaca dan menelaah ilmu dalam buku!

7.12.10



Sambungan...

Berpada-padalah Layari Muka Buku

Saya tidak menjawab pertanyaan kawan-kawan dengan segera. Sengaja saya hirup jus oren yang enak. Saya lihat wajah kawan-kawan yang tidak sabar.

“Apa faedahnya kita berkenalan dengan orang yang kita belum pasti latar belakangnya. Kalau dibuatnya orang itu saja-saja hendak mainkan kita bagaimana? Awak hendak berkongsikah maklumat peribadi dengan orang yang awak tidak pasti.

Kita ini mesti jaga adab sebagai seorang wanita Islam atau muslimah. Apa tujuan kita bermuka buku? Suka-suka, hendak cari kawan, hendak hilang rasa sunyi, hendak menjejak kasih, menimba ilmu atau apa? Jangan asyik ber muka buku hingga lupakan tanggungjawab dan batas-batas Islam. Ingat, Allah sentiasa melihat apa yang kita buat dan jangan lupa malaikat kiri dan kanan yang sentiasa mencatat setiap saat.”


Masing-masing terlongo mendengar aku berceloteh sebaik sahaja aku menghabiskan minuman dan juga rojak yang tersisa di pinggan. Aku malas untuk bercakap lagi. Mereka mendesak lagi tapi aku buat tidak tahu. Aku rasa mereka sudah pandai berfikir.

Bagi yang sudah berkahwin..berpada-padalah bila menghadap muka buku. Macam-macam yang aku dengar. Bagi yang bujang bertemu jodoh di fb, tahniah aku ucapkan. Bagi yang gatal mencari pasangan walaupun sudah beristeri, ingatlah dosa dan pahala. Apatah lagi bagi yang kesunyian, tidak memperdulikan batas-batas Islam, redah sahaja melayan suami atau isteri orang lain. Bagi yang anak-anaknya yang sudah pandai bermuka buku, perhatikanlah..bimbang tersasar pula. Dalam apa tindakan kita hendaklah berpada-pada.

26.10.10

Demam Muka Buku..

Sudah lama aku membiarkan rumahku yang usang ini menjadi kosong dan sunyi dari cerita-cerita yang baru. Entahlah, ada angin 'm' bergema dalam diri ini. Itulah padahnya kalau penyakit 'm' ini sukar dihindar dari mindaku. Tapi aku terfikir, adakah orang hendak baca lagi dengan cerita yang dipaparkan di sini. Ah! Apa aku peduli, yang penting aku dapat luahkan apa yang terdapat dalam kotak fikiranku.

Seronoknya apabila bertemu dengan dua orang kawan yang sudah lama tidak berbual. Maklumlah masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk dengan kerjaya masing-masing. Kalau sekadar pesanan ringkas melalui telefon bimbit, bukan kegemaranku. aku yang tidak bekerjalah kenalah jimat cermat menggunakan kemudahan telefon bimbit. Jadi aku yang menjadi surirumah sepenuh masa menjadikan pertemuan itu sesuatu yang bermakna. Dan aku manfaatkan berjumpa mereka dengan bertanya khabar.

Salah seorang daripada mereka bertanya padaku, “Awak ada fb?”


Aku menjawab kerana ingin menduganya, “Fb itu apa? Sejenis sabun barukah? Awak terlibat dengan jualan langsungkah?”


Kawan yang lagi seorang ketawa kecil. Agaknya kelakar jawapan yang aku berikan. Aku tahu maksud fb kerana aku bukannya buta teknologi alam maya. Sengaja hendak menghidupkan perbualan kami yang agak kaku.


Kawanku membeliakkan matanya. Agaknya dia hairan dengan jawapan darikku. Akupun buat muka selamba sambil memasukkan makanan rojak kegemaranku ke mulut. Mereka yang belanja. Masa itu, para suami dibiarkan menjaga anak-anak dan kami, kaum wanita diizinkan beramah mesra. Alahai, alhamdulillah para suami memang baik hati dan memahami hati wanita.


“Awak ini buta it kah?” Kawanku bertanya lagi.


“It itu apa?” Aku menambahkan rasa kurang sabar di hati kawanku itu.


“Belajar tinggi-tinggi pun masih kabur pasal IT?” tanya kawanku seorang lagi yang sejak tadi mendiamkan diri. “IT itu singkatan internet,” katanya lagi.


Aku tergelak. “Ooo, internet ingatkan apa tadi. Sejenis kuihkah, biskutkah? Janganlah marah. Lain kali apabila bercakap itu dengan menggunakan bahasa yang penuh. Ini ringkas..macam manalah budak-budak sekarang hendak pandai bercakap, cakap pun separuh-separuh,” Aku mula membebel tanpa berhenti. Dua kawanku itu mula menggeleng kepala. “Makna fb itu apa? Awak tidak terangkan lagi?” tanyaku, sengaja hendak memanjang perbualan.


Dua kawanku itu menarik nafas panjang. Mungkin mereka mengata yang aku ini tidak pandai internet atau ketinggalan zaman dalam dunia tanpa sempadan ini.


“Alahai, takkan kau tidak tahu? Fb itukan maknanya, facebook,” kata kawanku yang memakai tudung coklat pekat.


“Oooo muka buku. Ingatkan apa tadi,” kataku selamba.


“Awak ada akaunnyakah?” tanya kawan yang bertudung pink gelap. Cantik orangnya, kalau pandang mukanya tidak jemu.


“Ada, sudah lama,” jawapku ringkas. Aku menghirup air jus oren. Orang belanja, aku pun pesan yang air yang mahal sikit.


Kedua kawan-kawanku memandang antara satu sama lain.


“Kami cari awak, tak pernah jumpa pun,”


“Tak ada gambar, mesti kau tak boleh cari.”


“Jadi awak adalah fb. Berapa ramai kawan awak sekarang?”


“Tak penting berapa ramai. Yang penting apa yang kita buat dengan fb itu? Awak berdua buat apa? Cari kenalan lelaki atau perempuan?”


“Kita ramai kawan.”


“Awak kenalkan semua kawan-kawan awak itu?”


“Ada yang kenal dan ada yang baru hendak kenal.”


“Awak bagaimana pula?”


“Saya terima kenalan yang saya kenal sahaja. Yang tidak kenal, kirim salam sahajalah.”


“Kenapa begitu?”

bersambung...
nota: gambar di atas tiada kaitan dengan artikel..saja-saja letak untuk cuci mata.

15.8.10

Salam Ramadan

Sudah sekian aku tidak mencatatkan dalam rumah yang usang ini. Masalah sukar untuk mengakses ruang maya membuatkan aku semakin malas hendak mencatatkan sebarang tulisan. Inipun setelah mendapat semangat baru mungkin berkat bulan Ramadan yang mulia ini. Salam Ramadan untuk semua pembaca blog yang masih sudi meninjau terataq ini yang sunyi dan sepi dari sebarang coretan.

Alhamdulillah, kita dipertemukan jua dengan bulan yang penuh berkat ini. Rasanya masa berjalan dengan begitu pantas. Dunia semakin pantas..dan tanda-tanda dunia akan berakhir sudah semakin dekat...Masa semakin suntuk..adakah aku boleh meraih segala kebaikan di bulan ini..moga-moga Allah permudahkan..Amin! Sama-samalah kita berlumba untuk mendapat ganjaran bagi bekalan di alam akhirat..




22.6.10

Berani berkata benar.

Sheikh Abdul Kadir Jailani seorang ilmuan dan juga kuat imannya adalah seorang yang rajin menuntut ilmu sejak dari kecil lagi. Dia merancang hendak menyambung pelajarannya ke bandar Baghdad. Pada suatu hari, Kadir bersiap-siap kerana hendak bertolak ke bandar Baghdad bagi melanjutkan pelajarannya. Apabila sudah bersiap, dia pun bertolak dari rumahnya dengan iringan doa dari ibunya. Ibunya juga membekalkannya sedikit wang sebanyak 40 keping wang emas sebagai perbelanjaannya pergi dan balik nanti.


“Ibu, saya pergi dahulu. Doakan saya berjaya.”

“Baiklah anakku. Ibu ingin berpesan kepada kamu.”

“Apakah dia, ibuku?”

“Ibu meminta kamu sentiasa bercakap benar dalam segala perkara.”

“Baiklah ibu.”

Kadir salam tangan ibunya dan kemudiannya keluar dari rumahnya.

Bandar Baghdad adalah sebuah tempat yang jauh dari rumahnya. Namun begitu dia berazam hendak ke sana demi menambah ilmu agamanya meskipun umurnya masih muda lagi. Dalam perjalanannya itu, dia bernasib baik kerana dapat menumpang sebuah rombongan pedagang yang membawa barang. Dia menumpang unta mereka. Oleh itu, Kadir terpaksa mengikut rombongan itu pergi ke sebuah tempat yang bernama Hamadan sebelum ke bandar Baghdad.
Dengan tidak diduga, apabila mereka sampai ke daerah itu, satu kumpulan orang jahat menahannya dan juga rombongan pedagang yang dia tumpang. Perompak itu menangkapnya dan menjadi kan Kadir sebagai tawanan mereka. Kadir dibawa pergi bersama dengan perompak -perompak itu.

Dalam perjalanan, salah seorang perompak bertanya kepada Kadir, “Apakah yang kamu bawa bersamamu wahai budak!”

Kadir memandang wajah perompak itu dan berkata dengan berani, “Saya hanya membawa 40 keping wang emas sahaja.”

Apabila mendengar jawapan daripadanya, perompak itu meninggalkan Kadir seorang diri kerana menyangkakan Kadir mempermain-mainkannya.

Tidak lama kemudiannya, datanglah seorang perompak lain bertanya kepada Kadir, “Wahai budak! Apakah yang kamu bawa dalam beg itu?”

Kadir memandang wajah perompak itu dan menjawab, “Saya membawa 40 keping wang emas.”

Sebaik sahaja perompak itu mendengar jawapan dari Kadir, perompak itu membawa Kadir berjumpa dengan ketua mereka. Ketua perompak itu pun menanyakan soalan yang sama kepada Kadir. Tetapi Kadir tetap memberi jawapan yang sama.

Apabila mendengar jawapan dari Kadir, ketua perompak itu hairan. Dia pun bertanya kepada Kadir, “Wahai budak! Mengapakah kamu berani berkata benar, yang kamu membawa wang ?”
Kadir memandang wajah ketua perompak itu sambil berkata, “Pak cik! Semenjak kecil lagi ibu saya mengajar supaya saya selalu bercakap benar. Sehingga saya hendak pergi menuntut ilmu ke Baghdad, dia tetap berpesan supaya saya jangan bercakap bohong.”

Kadir diam sebentar dan kemudiannya menyambung lagi, “Saya tidak sampai hati hendak membantah nasihat dan pesanan ibu saya itu. Apakah nilai 40 keping wang emas ini dengan nilai saya hendak menuntut ilmu, pak cik?”

Apabila mendengarnya, ketua perompak tiba-tiba menangis tersedu-sedu. Ketua perompak itu berkata kepada Kadir, “Alangkah mulianya akhlak kamu wahai budak. Sesungguhnya, beruntungnya ibu yang melahirkan kamu. Usia kamu masih muda tetapi sudah takut melakukan dosa. Tetapi pak cik ini, tanpa segan silu membuat kejahatan dan mengkhianati janji dan amanah Allah.”

Ketua perompak itu menangis lagi dan menyambung katanya, “Demi Allah! Mulai hari ini pak cik bersumpah hendak bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.”

Kemudiannya, ketua perompak itu mengarahkan orang-orangnya memulangkan kembali harta rampasan kepada rombong pedagang yang Kadir tumpang. Mereka meneruskan perjalanan ke bandar Baghdad dengan selamat.


19.4.10

Menjadi Ibu Bapa Soleh

Sebagai insan yang lemah, masih lagi banyak perkara yang tidak diketahui, maka perlulah banyak mengkaji. Dan untuk mengkaji sudah tentu perlu membaca. Belajar itu bukan tamat setelah tamat sekolah atau universiti, tetapi belajar itu perlu sepanjang hayat selagi nyawa dibadan.

Tetapi, ada sesetengah orang, setelah tamat peperiksaan penting, dan mendapat keputusan sama ada cemerlang atau sederhana, sudah mencukupi bagi mereka. Itu pandangan cetek. Budaya membaca dan menuntut ilmu tidak beraja di hati mereka. Yang lebih penting, ada pekerjaan, cukup makan, pakaian, ada harta..semua itu sudah mencukupi.

Sedangkan menuntut ilmu adalah sepanjang hayat. Tidak kiranya ilmu dunia apatah lagi ilmu bekalan akhirat. Untuk mengeluarkan belanja bagi memiliki beberapa buah buku pun berkira. Tidak menguntungkan, kata mereka. Apatah lagi hendak membeli majalah ilmiah yang mendidik.

Sejauh mana kita sebagai Islam sudah mendalami ilmu fardu ain yang pelbagai cabang itu? Apatah lagi ilmu fardu kifayah, yang juga pelbagai.

Begitu juga apabila sudah mendirikan rumahtangga. Bukan sekadar lulus ujian di kursus perkahwinan, tetapi juga perlu lulus dalam menjalani hidup berumahtangga.

Kita rasa gembira apabila dikurniakan anak. Ya, anak adalah warisan kita. Yang bakal mendoakan kita apabila berada di alam barzakh. Tetapi adalah kita menyedarinya bahawa jika kita sudah mempunyai zuriat, adakah kita akan membiarkan anak itu membesar dengan sendirinya?

Dari akal yang waras, sudah tentu tidak! Kita yang sudah dewasa ini pun diasuh dan dididik oleh ibu bapa kita. Begitu juga prosesnya yang berterusan, dan kini kita pula sebagai ibu dan bapa yang perlu mengasuh dan mendidik anak-anak kita, bukan orang lain. Tetapi, adakah kita sedar tentang tanggungjawab itu?

Sebelum ini kita sering mendengar kisah-kisah mengenai anak-anak yang derhaka. Tetapi pernahkah kita terfikir, bahawa ibu bapa hari ini juga ada yang derhaka kepada anak-anaknya?

Baru-baru ini, aku membeli sebuah majalah yang penuh dengan informasi ilmiah ilmu Islam. Sungguh berbaloi membelinya. Sarat dengan ilmu yang tidak termampu untuk insan biasa seperti aku ini menceduk dari kitab-kitab agama.

Tajuk depan majalah itu, Ibu Bapa Derhaka?

Memang benar, akhir zaman ini, ada ibu bapa derhaka selain anak-anak derhaka. Kita mendengar pelbagai cerita tentang bapa yang merogol anak, ibu bapa yang tidak memberikan perhatian dan kasih sayang apatah lagi didikan agama kepada anak-anak. Mereka mengharapkan sepenuhnya, sang nenek atau pembantu rumah menjaga anak-anak mereka apabila keluar bekerja. Kalau boleh sepenuh masa. Mereka tidak merasa malu atau rasa bersalah, apabila anak-anak membuat maksiat, astagfirullah! Itu yang menakutkan aku.

Lebih-lebih lagi dalam zaman moden yang canggih ini, mudah sahaja anak-anak terpengaruh dengan perkara negatif. Aku mohon jauhkanlah semua itu dari terkena tempias ke atas keluargaku.

Ibu Bapa Derhaka? Mengapakah jadi begitu?

Seorang ayah dari berjumpa dengan Khalifah Umar al-Khattab. Beliau mengadu mengenai sifat derhaka anak lelakinya. Khalifah Umar memanggil sianak dan menasihatinya. Antara lain beliau menasihatkan, supaya sianak taat kepada ibubapanya dan tidak mengabaikan hak-hak ibubapanya.

Anak itupun menjawab, "Wahai Ketua Kerajaan Islam, bukankah seorang anak mempunya hak terhadap orang tuanya?"

"Sudah tentu."

"Apa hak itu, wahai Amirul Mukminin?"

"Seorang bapa wajib memilih ibu yang baik baginya, memberikan nama yang baik kepadanya serta mengajarkan kepadanya."

"Wahai Amirul Mukminin, bapaku tidak melakukan itu semua. Ibuku adalah seorang Majusi (penyembah api. Dia memberiku nama Ju'al (yang bererti kotoran kumbang) dan dia tidak mengajarkan kepadaku satu ayat daripada al-Quran."

Kemudian Khalifah Umar menoleh ke arah bapanya dan berkata,
"Kamu datang kepadaku untuk mengadu ketidaktaatan anakmu, padahal kamu terlebih dahulu gagal melaksanakan tugas-tugasmu kepadanya. Kamu telah melakukan kesalahan kepadanya sebelum ia melakukan kesalahan kepadamu."

Dalam majalah itu juga memberikan ciri-ciri ibu bapa Mukmin dan profesional:
  • lemah lembut dan tidak kasar
  • sabar
  • penyayang
  • mengambil yang paling ringan daripada dua perkara selama mana perkara itu tidak berdosa.
  • menjauhi sifat marah
  • bersikap sederhana dan seimbang
  • mempunyai kemahiran berkomunikasi
  • tahu mengenal pasti masalah dan menyelesaikannya.

Imam al-Ghazali memberi pesanan,

"Anak-anak adalah amanah bagi kedua ibu bapanya. Hatinya yang suci masih bersih tanpa ukiran dan gambar. Dia sedia diukir dan cenderung kepada apa sahaja yang mempengaruhinya. Jika dia dibiasakan dan diajar kepada kebaikan, maka tumbuhlah menjadi anak yang baik. Dengan itu, kedua ibu bapanya akan berbahagia di dunia dan di akhirat. Sedangkan apabila dibiasakan berbuat jahat dan dibiarkan begitu sahaja seperti membiarkan binatang ternak, maka dia akan sengsara dan binasa. Dosanya akan dipikul oleh ibu bapanya yang bertanggungjawab menguruskannya!"


18.3.10

Meriahkan Pesta Buku dengan Membudayakan Ilmu


Marilah beramai-ramai untuk memeriahkan lagi pesta buku yang hanya diadakan sekali dalam setahun peringat nasional. Meskipun ada juga usaha pesta buku diadakan disetiap negeri di Malaysia ini, namun tidak sehebat Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang diadakan selama 10 hari tanpa henti. Pesta ini adalah tempat berkumpul para penerbit buku dan juga para penulis. Gerai-gerai yang ada mesti mempamirkan buku yang terbaru dan sudah tentu ada potongan harga yang menarik.


Dan alhamdulillah tahun ini, novel aku turut terpamer di gerai PTS nanti. Novel bersiri Young Aisyah yang sudah ada 7 siri akan turut memeriahkan booth PTS yang terletak di seberang sungai. Bagi memeriahkan lagi suasana pesta buku, bagi peminat siri Young Aisyah, akan diadakan kuiz serta sesi beramah mesra dengan penulis dan pelukis siri Young Aisyah. Oleh itu, aku akan berada di sana pada 20 Mac (Sabtu) dari jam 12.00 tenghari sehingga 2.00 petang.


Siri Young Aisyah yang terdiri dari, Pindah Rumah, Buli, Juara Kampung Badak Berendam, Sayang Cikgu, Ponteng Puasa, Cuti Sekolah dan Summer Camp menanti para peminatnya di gerai nanti.


Budayakan Ilmu


Membaca buku menambah ilmu. Itu tidak dapat dinafikan. Banyak membaca, menambah ilmu di dada. Hobi aku sejak zaman bujang lagi adalah suka membaca. Kadang-kadang, majalah lama milik keluarga berulang kali dibaca, kerana ketika itu tiada wang untuk membeli majalah atau buku sendiri. Jadi, apa sahaja bahan bacaan yang ada di hadapan mata, itulah menjadi santapan bacaanku. Tetapi, kini budak-budak zaman sekarang beruntung. Mereka punya kuasa wang kerana ibu bapa mereka punya wang yang banyak. Jadi tidak hairanlah mereka mudah membeli bahan bacaan. Ini terbukti apabila aku sendiri melihat mereka mengeluarkan duit untuk membeli buku di pesta buku yang lalu. Sungguh beruntung mereka. Dan aku berharap budaya ini akan berterusan. Sekurang-kurangnya penulis yang semakin bertambah ini tidak sia-sia penulisan mereka apabila ada sudi yang membeli dan membacanya.


Tanggungjawab penulis pula adalah berat. Bukan sekadar mengharapkan buku laku, tetapi ilmu yang hendak disampaikan kepada para pembaca hendaklah benar dan bermanfaat. Bukan sekadar hiburan picisan yang murahan tetapi ilmu ikhlas yang mendidik jiwa dan pekerti. Penulis beramanah untuk menyampaikan kebenaran ilmu kerana ia adalah bekalan amalan kita di akhirat nanti. Ini sekadar mengingatkan diri aku yang mana aku menulis bukan untuk mencipta nama di persada tetapi untuk menyampaikan ilmu yang sedikit kepada yang memerlukannya. Semoga Allah menerima amalanku ini, amin!

29.1.10

Alhamdulillah!

Aku berasa bersyukur kepada Allah yang masih menyayangi diri ini. Segala nikmat yang diberi olehNya masih lagi aku guna dan masih ada dalam diri ini. Alhamdulillah segala pujian hanya layak untukNya. Tiada yang mampu hendak membayar segala anugerah itu selain mengucapkan syukur, melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan perkara yang ditegah. Ya Allah, berilah daku kekuatan untuk meneruskan amalan kebaikan.

Meskipun aku diuji sedikit ujian kesihatan, namun itu tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang dalam penulisan. Alhamdulillah, itulah nikmatNya yang diberikan kepada diri ini. Semoga aku tabah menghadapinya..mungkin ujian yang kecil itu dapat menghapuskan dosa-dosa aku yang lalu, sekarang dan akan aku lakukan. Sesungguhnya Allah itu maha pengasih lagi maha pengampun.

Oleh itu, aku perlu sedar akan segala yang bakal aku tulis adalah suatu penyampaian ilmu secara tidak langsung kepada para pembaca. Jadi aku perlu menulis yang baik dan memberi contoh yang baik agar tiada yang terpesong atau tersesat dalam men ilmuku yang sedikit ini.

Sebagai penulis, aku bertanggungjawab atas apa yang aku tulis. Jika aku tulis perkara yang baik, pahala menyebelahi aku..itulah ganjaran, amalan dan bekalan aku di akhirat nanti. Tapi sebaliknya, jika aku menulis perkara yang negatif dan menjadi ikutan para pembaca, sudah tentu aku perlu dipertanggungjawabkan..dan yang pasti apa yang aku akan jawap bila berhadapan dengan Allah di akhirat nanti. Minta dijauhkanlah! Aku berdosa semoga niatku yang menulis kerana Allah tidak tersasar.

....bersambung (penat pula rasanya jari-jari ini...heheheh)






13.1.10

Jauhkah diri dari tingkah laku yang tidak baik.


  • pemalas

  • penakut

  • hendak bunuh diri

  • putus asa

  • sombong

  • kedekut

  • suka dipuji

  • berbohong

  • sangka buruk

  • tamak

  • dengki

  • dendam

  • kejam

  • mengutuk orang lain

  • gila kuasa

  • gila jawatan

  • cintakan dunia

  • gopoh gapah

  • pemarah

  • suka berkata lucah atau hina

  • menyesali diri kerana bernasib malang

  • halal yang haram dan haramkan yang halal

29.12.09



Kulit Terbaru 10 Sahabat diJanjikan Syurga
Cetakan kedua buku ini berwajah baru. Dengan penambahan muka surat, rekaletak yang berbeza serta disisipkan penanda buku.Alhamdulillah! Cantik juga kulit yang baru itu.

18.12.09

Salam Maal Hijrah

Salam Maal Hijrah 1431Hijrah. Semoga tahun-tahun akan datang lebih bermakna pada diri kita. Hidup ini semakin singkat, kerana usia semakin bertambah. Apakah segala yang dituntut Allah telah kita laksanakan? Apakah amalan yang dilakukan telah diterima? Apakah azam telah dicapai?

Aku sebagai insan yang kerdil hanya termampu membuat setakat yang terdaya. Ingin menjadi insan yang solehah. Ingin menyampaikan ilmu yang sedikit ini melalui tulisan. Ingin melakukan kebaikan dengan banyak bersedekah, rendah diri, tidak sombong, tidak kedekut.

Semoga amalan yang sedikit ini diterima..itulah harapanku.. Dan banyak lagi harapan dan cita-cita tetapi biarlah ia menjadi rahsia diri ini.

Anda pula bagaimana?