30.9.11

Malu Bersahabat?

“Saya tidak pandai hendak berkawan. Kamu itu lainlah.”
“Apa yang lainnya?'
“Kamu peramah dan tidak malu. Saya ini hendak menegur orang pun mengambil masa.”
“Mengapa begitu? Mereka juga seperti kita, manusia biasa. Tiada yang beza.”
“Saya tidak yakin. Lagipun bukannya pandai bercakap.”
“Hendak tegur orang lain pun kena pandai bercakap? Sekarang ini kamu sedang bercakap dengan saya, tidak ada cacat langsung.”

Mungkin kita pernah dengar dialog sedemikian yang diberikan oleh individu yang mencari alasan dirinya tidak sempurna dan tidak pandai memulakan hubungan persahabatan dengan orang lain. Ini menyebabkan mereka tidak berminat hendak bergaul dengan orang lain apatah lagi hendak pergi ke majlis-majlis yang dihadiri oleh orang ramai. Mereka seboleh-bolehnya hendak mengelakkan diri dari mengunjungi tempat sebegitu. Mengelakkan diri dari bertemu dengan orang ramai.

Mengapakah ini berlaku? Apakah perlu ada kemahiran apabila menjalin hubungan dengan orang lain? Tidak dinafikan setiap dari kita ini mempunyai sifat yang pelbagai. Ada yang peramah, pendiam, kurang mesra, terlalu mesra, mudah senyum, sensitif, pemalu, penakut, tidak yakin pada diri dan sebagainya. Kita ini tergolong dalam kumpulan mana?

Tetapi itu bukanlah alasan untuk mengasingkan diri dari bertemu dengan orang lain. Kita tidak mahu jadi seperti katak di bawah tempurung. Apabila bila kita faham erti sahabat dan persahabatan, sudah tentu kita akan merasa rugi jika tidak mempunyai sahabat. Renungkan kata-kata hikmah ini,

“Persahabatan boleh memberikan kegembiraan yang tidak ada nilainya dan boleh mengurangkan kesedihan yang dialami.”

Hendak mencari sahabat yang sejati dalam dunia moden hari ini agak sukar. Tetapi sekiranya kita ada kemahuan di situ ada jalannya. Sahabat adalah suatu keperluan dalam hidup kita. Bayangkan, kita hidup di dunia ini hanya seorang diri. Meskipun segala kemudahan dan kesenangan sudah kita miliki, tetapi kita keseorangan. Apakah perasaan dan jiwa kita?

Bagi orang normal, hidup perlu bermasyarakat. Oleh itu, dalam mencari sahabat bukanlah sukar . Membina persahabatan dengan ikhlas dan jujur boleh membuat hubungan itu bertahan lama. Semuanya itu bergantung kepada diri sendiri. Apa tanggapan kita terhadap diri sendiri? Sudahkah kita mengenali diri kita sendiri?

Kenali dan cintai diri sendiri

Adakah kita sudah memahami diri sendiri dan sudah mengetahui kelebihan dan kekurangan diri sendiri? Kenalilah diri sendiri dan hargailah apa yang kita miliki. Cintailah diri kita supaya kita bersyukur dengan kelebihan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada kita. Kita masih lagi sempurna fizikal dan diberikan akal yang waras. Adakah kita sedar semua itu? Oleh itu, tidak boleh dijadikan alasan yang kita ini tidak mempunyai kelebihan seperti orang lain. Sekiranya kita menyayangi diri sendiri, orang lain juga akan menyayangi diri kita.

Kita dijadikan sama seperti orang lain, cuma yang membezakan kita dengan orang lain adalah dari segi fizikal. Bentuk muka, warna kulit, tinggi, rendah, kurus atau gemuk, dan lain-lain tidak sama. Itulah keindahan ciptaan Allah terhadap makhluk. Kalau semua makhluk ini serupa, hilanglah keindahan dan keunikan itu. Dan yang lebih unik, kita sebagai manusia dianugerahkan akal fikiran yang waras dan bijak. Akal dikerah supaya berfikir. Dan adakah kita sudah berfikir?

Sikap memandang rendah pada diri sendiri hendaklah dijauhkan. Mengapakah mesti kita merasa rendah diri. Adakah disebabkan masalah fizikal yang disebutkan tadi? Sekiranya itulah masalah utama, buanglah dengan segera dari minda kita. Apabila kita sudah mula memandang rendah pada diri sendiri, mungkin kita juga memandang rendah pada orang lain. Oleh itu, keyakinan diri hendaklah dibina supaya kita lebih selesa apabila hendak membentuk persahabatan dengan orang lain. Binalah keyakinan diri dengan banyak menambahkan ilmu. Dan kita perlulah pula rajin mencari ilmu dan bukan hanya menadah atau meminta ilmu itu datang bergolek ke pangkuan.

Usah sekali-kali membenci diri sendiri

Kita benci pada diri sendiri! Mengapa benci? Sikap benci hendaklah dihindarkan dari dalam diri kita. Hargai diri kita. Hanya kita yang boleh hargai diri sendiri. Sikap benci ini boleh mempengaruhi orang lain. Sekiranya kita masih tidak menghargai diri sendiri seperti kita tidak menghargai diri sahabat kita. Fikiran negatif hendaklah dijadikan positif.

Orang lain harus dijatuhkan

Apabila nilai dan sikap negatif sudah bersarang dalam diri, kita sering berusaha hendak bersaing dengan orang lain. Meskipun bersaing itu adalah satu cara yang sihat, tetapi kita tidak. Kita bersaing kerana hendak menjatuhkan orang lain supaya mereka tidak boleh menyaingi atau lebih daripada kita. Kita suka melihat orang lain jatuh atau dimalukan. Dan kita pula cuba menaikkan status kita di mata orang lain dengan cara yang tidak elok.

Sekiranya sikap negatif ini diamalkan, sudah tentu kita tidak boleh membina malahan menjalin persahabatan yang berpanjangan dengan sahabat kita. Malahan sikap negatif kita itu dibenci oleh sahabat kita. Ubah dan buanglah sikap ini bagi memastikan kita mempunyai harapan bersama dengan sahabat kita. Jika kita masih berdegil, tidak mustahil kita keseorangan sepanjang hayat.

Siapalah diri saya ini?

Mungkin kita sering mengajukan soalan ini dalam hati. Kita merasa diri tidak layak bersahabat dengan individu yang bijak, cantik, kaya, berkulit putih, dan sebagainya. Itu pandangan kita yang berfikir, lebih baik kita mengundur diri sebelum dimalukan atau dipandang rendah. Itu kata hati kita. Kita mengambil keputusan sendiri bagi melindungi diri sendiri. Melindungi dari menerima cemuhan dari orang lain yang belum pasti terjadi atau tidak.

Apabila adanya perasaan atau tanggapan sendiri, kita mengongkong atau memperkecilkan kelebihan diri sendiri. Kita yang menentukan diri kita negatif, sedangkan orang lain tidak beranggapan begitu. Kita tidak bebas dan malu hendak ke mana-mana. Dan apabila kita melihat orang lain yang mesra atau aktif dengan sikap mereka, kita mula merasa cemburu dan membenci mereka secara membabi buta tanpa alasan. Pandangan ini hendaklah disingkirkan dari minda dan hati kita. Yakinlah bahawa kita mempunyai keistimewaan tersendiri. Hanya kita sahaja yang tahu.

Mereka itu teruk!

Kita hendaklah menghindarkan dari memikirkan orang lain adalah mempunyai sikap yang teruk. Elakkan dari selalu mencaci atau menghina individu lain yang kita rasa tidak sesuai dibuat sahabat. Adakah dengan mengumpat atau memandang rendah orang lain, boleh meletakkan diri kita ke status yang tinggi? Mungkin kita ego dengan sikap yang ada. Tapi, ketahuilah, dengan sikap ego yang tidak bertempat itu yang boleh merosakkan hubungan kita dengan orang lain.

Sifat ego yang tidak terkawal sering kali menganggap orang lain tidak bagus, tidak betul, tidak pandai. Kita pula selalu kritik orang lain, meskipun orang itu sudah mencapai kejayaan. Kita seperti tidak suka dengan orang lain dan suka menyampaikan cerita-cerita yang tidak benar.

Kita haruslah hindarkan sifat ini yang akhirnya boleh merosakkan diri sendiri. Sekiranya sifat ini berterusan, tiada siapa yang sudi bersahabat dengan kita.

Banyak bercakap!

Wanita terkenal dengan banyak bercakap. Kita sering dikaitkan dengan tabiat 'suka membebel' atau 'suka berleter dan juga 'suka mengkritik' bagi sesuatu keadaan atau isu semasa. Tanpa disedari, apa yang kita bual atau tuturkan itu tidak langsung memberi faedah pada diri dan juga orang lain.

Kita adakalanya banyak bercakap tetapi kita tidak tahu apakah butir-butir percakapan itu. Suka bercakap banyak semata-mata hendak menarik minat individu lain supaya memberi perhatian kepada diri kita. Pertahankan apa yang dibicarakan oleh kita dengan bersemangat bagi membuktikan yang pandangan kita adalah benar. Tidak peduli dengan pandangan sahabat lain. Sekiranya sikap ini berterusan, tiada siapa yang suka mendekatkan diri atau menjalin hubungan dengan kita. Bercakap banyak adakalanya membayangkan diri kita yang lemah. Banyak berbicara, banyak pula kesalahannya.


---Bersambung.

15.9.11

Kembali sedar!

Alhamdulillah, aku masih boleh mewarnakan blog ini yang semakin suram. Tibanya Ramadan, aku terus tenggelam dalam alam maya ini. Tiada catatan seperti yang aku janjikan pada diri ini. Entahlah, rasa tidak bersemangat menguasai diri ini. Adakala bersemangat, kadang-kadang langsung hilang mood. Itulah manusia kerdil seperti aku ini. Malas betul hendak menulis diblog sendiri. Orang lain aku lihat bukan main ligat memasukkan cerita-cerita setiap hari, kalau tidak pun setiap minggu. Tapi aku, emmm....lemah. Meskipun hati ini meronta-ronta ingin melontarkan celoteh ku entah apa-apa ini. Semoga semangat dalam bulan Syawal ini mengembalikan semula sifat kerajinanku yang terpendam dalam lubuk diri ini. Aku kena lonjakkan ke atas agar sentiasa rajin dan rajin dan rajin. Semoga Allah perkenankan. Amin.

22.7.11

Ziarah sahabat


Sebenarnya sudah lama hendak menziarahi Kak Engku atau Ezee Rahmani. Namun begitu, kerana tidak mahu mengganggu suami yang bekerja sendiri, maka hasrat itu sering ditangguhkan. Apabila, penulis Kursyi Hirdan menelepon secara tiba-tiba, terasa teruja bercakap dengannya. Ingatkan teman sudah tidak ingatkan kawan di sini (hehehe). Mendengar cerita yang beliau juga tidak sihat tetapi tidak menerima berita dengan pasti. Ia berlalu begitu sahaja. Khabar yang disampaikan oleh Kursyi sungguh memeranjatkan.


Namun begitu, tanpa perancangan, akhirnya kami (saya dan Kursyi) mengatur janji untuk menziarahi Kak Engku. Alhamdulillah, Allah permudahkan semuanya. Maka, hari Jumaat menjadi saksi kami berkunjung ke rumah baru Kak Engku. Mudah mencari dan sampai ke rumah Kak Engku disambut mesra. Kursyi dan suami sampai terlebih dahulu, aku dan suami pula terlambat sikit akibat kerenah anak.



Kami berpelukan kerana sudah lama tidak berjumpa dan mendengar berita. Macam-macam hendak diperkatakan terutamanya mengenai dunia penulisan. Oh..terima kasih atas perkongsian maklumat dari kawan-kawan tersayang. Semoga Allah merahmati pertemuan kita.



Kusyi menceritakan perkembangannya dan Kak Engku pula menceritakan pengalaman mengerjakan haji. Kagum dengan cekap dan cepatnya Kursyi berkarya. Satu perkembangan yang merangsang aku untuk turut mengikut jejak langkahnya. Sementara, Kak Engku pula telah mengabadikan pengalamannya dalam buku Travelog Hajah: Kembara Tetamu Allah. Terima kasih Kak Engku kerana memberi buku percuma kepada kami. Aku baru membaca beberapa muka surat..terharu dan meresap ke jiwaku. Bilalah aku hendak ke sana? Ya Allah permudahkanlah hasratku ini. Amin.



Semoga sahabatku sukses dalam penulisan dan dirahmati Allah SWT. Amin.

18.7.11

Celoteh entah apa-apa

Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk mencatat di laman rumah yang bersawang ini. Berhasrat untuk memuatkan celoteh setiap hari, tapi hanya tinggal khayalan. Alasannya, usahlah diungkapkan. Faktor utama, malas..sebabnya, adakalanya sukar hendak membuka blog sendiri atas kapasiti internet yang murah ini. Hairan juga, kenapa blog saya susah hendak membuka secara biasa. Kini saya menggunakan akses secara luar biasa..hah..pening pula nanti siapa yang membaca entri saya yang sedikit merapu ini.

Alasan seterusnya, adakah orang hendak membaca blog yang semakin tidak popular ini. Tidak sehebat muka buku yang sering diulit oleh mereka yang mempunyai akaun fb itu (termasuklah saya, sebab senang hendak membukanya). Ada seorang kawan yang memang macam saya menghadap laptop hampir setiap waktu tetapi tiada akaun muka buku. Hebatnya. Saya pun pada mulanya malas hendak bermuka buku ini, tetapi apabila ramai yang menghantar permintaan ke email saya...saya pun hairan. Dan belajarlah sendiri mendaftar akaun fb. Akhirnya, ber fb lah saya. Tapi tidaklah serius, hendak menghadap sepanjang masa..

Dengar cerita, ada orang sepanjang masa membaca status kawan-kawan...laratnya dia. Saya ini hendak menulis status sendiri pun malas. Apatah lagi, hendak membaca status yang dirasakan macam tidak kena. Hinggakan perkara peribadi pun hendak dinyatakan dalam fb. Adakah perlu kita menulis status tiap-tiap hari. Entahlah, tepuk dada, tanyalah hati dan iman.

Memandangkan saya ini penulis (layakkah digelar penulis) yang suka menulis dan menulis selagi boleh menulis. Ingin menulis sesuatu yang bermanfaat untuk semua orang. Dan sebagai satu bekalan saya untuk perjalanan ke akhirat nanti. Saya ingin menulis sebagai satu medium untuk saya menyampaikan sesuatu yang baik. Dalam erti kata lain, untuk berdakwah. Ya, memandangkan saya ini bukannya pandai bercakap dan juga tidaklah berkelulusan ilmu agama pun, tapi ingin mengambil bahagian untuk menyampaikan perkara yang baik untuk orang ramai yang suka membaca buku. Bagi yang tidak suka membaca, adalah sangat rugi.

Sejak dari mengenal huruf lagi, saya suka membaca. Membaca pelbagai bidang. Mungkin itulah yang memberi idea kepada saya apabila hendak menulis. Begitu juga, pengalaman. Pelbagai pengalaman akan terus ditimba. Mungkin dari pengalamanlah saya mencurahkan dalam penulisan saya. Emm..diharapkan sedikit penerangan ini menjadi permulaan pada mereka yang sering bertanya kepada saya bagaimana hendak menjadi seorang penulis. Bagi saya, hendaklah mulakan menulis sebelum jadi penulis. Jika malas hendak menulis, bagaimana hendak menjadi penulis novel, cerpen, puisi dan sebagainya. Maaflah..jika entah apa-apa yang saya tulis...jejari sudah letih menaip..hingga jumpa lagi..(saya berjanji hendak selalu menulis di blog yang semakin usang ini dan terima kasih kepada yang sudi menjadi follower saya. Tidak sangka ada follower, ingatkan blog saya sudah terkubur, hehehe).

3.6.11

KITA PERLU BERSAHABAT!

Perlukah kita bersahabat? Dan apakah pula kepentingannya? Bersahabat membolehkan kita belajar mengenal insan lain dengan lebih dekat. Mendidik hati kita supaya lebih matang dan bertoleransi. Bayangkanlah sekiranya kita tiada sesiapa di dunia ini. Adakah kita sanggup menghadapi seorang diri? Hanya orang yang akalnya tidak waras sanggup berbuat begitu.

Hubungan persahabatan bukan terjalin secara spontan atau dibentuk dengan mudah. Ia berlaku bila ada kesesuaian antara dua individu yang bertemu dan terjalin hubungan yang penuh mesra dan kasih sayang. Hubungan yang baik boleh memecahkan dinding yang selama memisahkan diri kita dari dunia luar dan tidak mahu memulakan hubungan dengan orang lain.

Bermula dari individu yang begitu asing kepada kita kemudiannya dengan usaha dua individu itu, lalu antara satu sama merasa tertarik atau masing-masing ada daya tarikan yang tersendiri. Daya tarikan itu yang membuat individu lain mahukan hubungan lebih serius perlu dijalinkan. Ini berlaku apabila kita mula hendak berkongsi pengalaman hidup dengan individu yang baru kita temui itu.

Individu yang pemalu sering mencari alasan untuk tidak bertemu dengan orang lain. Sekiranya boleh, individu pemalu kalau keluar dari rumahnya tidak mahu bertembung dengan orang ramai yang berada di jalan raya, pasar raya, kedai, dan sebagainya. Individu pemalu ini mengambil masa untuk berkenalan dan beramah mesra dengan individu lain apatah lagi hendak berkongsi pengalaman. Tetapi mereka memilih individu yang boleh menarik perhatiannya dan memahami perangainya. Mereka ini walaupun pemalu tetapi masih perlu bersahabat!

Sesetengah individu pula menghadapi masalah hendak bercampur gaul dengan orang lain. Benarkah individu yang bermasalah sukar bergaul dengan individu lain sebagai sahabat? Oleh itu, kita harus menjalinkan hubungan dengan secara rasional dan bukan dipaksa-paksa. Biarlah apa yang ada dalam diri kita menjadi daya tarikan kepada individu lain yang boleh dijadikan satu titik permulaan. Mungkinkah cara bertegur, senyuman, bercakap, pakaian, imej diri atau lain-lain yang boleh dijadikan daya tarikan kepada individu lain sebagai satu permulaan jalinan persahabatan. Gunakan kaedah psikologi yang berkesan. Oleh itu, kita kenalah belajar ilmu psikologi yang asas supaya segalanya berjalan dengan lancar.

Siapa yang perlu memulakannya?

Sesiapa sahaja boleh memulakan perkenalan dan suai kenal antara dua individu yang berlainan. Salah seorang hendaklah berusaha membina dan membentuk hubungan dengan selesa dan mudah. Namun begitu, dalam menjalinkan hubungan di peringkat awal perlu berhadapan dengan risiko sementara. Risiko tidak dilayan, diejek, di pandang sepi atau di pandang pelik. Situasi ini mungkin dihadapi pada peringkat awal dan anggaplah itu sebagai mengajar kita supaya lebih matang dan berhati-hati. Sakit hati sekiranya kita sahaja yang bersungguh-sungguh hendak berkawan sedangkan individu yang lain buat tidak endah sahaja.

Adakalanya kita tidak boleh menjangka apakah pandangan orang lain terhadap diri kita yang ikhlas hendak menjalin hubungan. Kita mesti menanggung risiko dengan menunjukkan keyakinan kepada individu itu yang kita hendak bersahabat dengannya secara akrab dan ikhlas. Sebenarnya, memulakan persahabatan itu ada risikonya dan tidak semudah yang dibayangkan.

Adakah kita memerlukan sahabat?

Tanyakan soalan itu kepada diri sendiri. Sekiranya memerlukan sahabat maka berusahalah membina, menjalin dan memesrakan diri dengan sahabat yang baru dikenali itu dengan ikhlas dan mesra. Bukan dipaksa atau memaksa diri. Jika terasa terpaksa bersahabat atas sesuatu alasan, maka hubungan yang terjalin tidak ikhlas. Hendaklah kita mengelakkan diri dari bersikap demikian. Ini kerana yang akan mengalami kerugian adalah diri sendiri.

Sebenarnya, setiap dari kita memerlukan sahabat. Orang yang pemalu juga memerlukan sahabat. Apatah lagi orang yang cacat anggota atau yang kurang waras, semuanya memerlukan sahabat. Muslimah perlukan sahabat. Budak kecil perlukan sahabat. Kaum lelaki juga perlukan sahabat. Semua orang perlukan sahabat dan dan kenalan.


Membina persahabatan?

Apabila berkawan kita perlu bertemu dengannnya. Berkawan dengan individu yang menarik dan punya daya tarikan sehingga kita tertarik hendak jalinkan hubungan. Kawan juga boleh memberikan kita satu keyakinan diri dalam meneruskan hubungan dengan yang lain. Usaha dengan bersungguh-sungguh bagi membina persahabatan.
















18.4.11

Selamat Berpesta Buku! Assalamualaikum, kepada pelayar alam maya yang masih sudi membaca ruang blog yang sudah lama tidak tercatat cerita atau celoteh baru. Pejam celik pejam celik hampit 5 bulan tidak mencoretkan apa-apapun di rumah yang usang dan hampir menjadi rumah pusaka...hehehe. Hendak dikatakan demam muka buku..tidak juga. Entahlah, rasa sifat 'm' yang kadangkala bermaharajalela di dalam diri yang memangnya serba lemah ini. Namun, memikirkan bimbang pula rumah ini menjadi runtuh dan hanyut dalam ombak tsunami..maka..jejari ini menekan keyboard dengan lemah lembut. Apakah yang hendak dikatakan dalam isu terdekat. Apa lagi, kalau tidak Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di PWTC, Kuala Lumpur dari 22 April hingga 1 Mei 2011. Jadi, rebutlah peluang yang hanya setahun sekali ini menghadiri pesta buku yang bagaikan hari raya buat para penulis. Di situlah nanti, ramainya penulis dan penerbit berkumpul bagi memeriah dan meramaikan pesta buku itu. Pelbagai acara telah diaturkan untuk para pengunjung yang berminat untuk berkongsi maklumat mengenai dunia buku. Selamat berpesta buku! Semoga tahun ini lebih bermakna dari tahun lalu dalam memiliki, membaca dan menelaah ilmu dalam buku!