17.4.08

Alahai pesta buku....


Selama sepuluh hari berada di bangunan PWTC yang menjadi tempat terpamernya buku-buku tempatan dan juga luar negara memberi seribu pengalaman. Sama ada merasa letih badan sehingga ke hari ini. Belum lagi termasuk minda yang perlu dicas semula supaya boleh berfungsi seperti biasa dengan idea-idea yang bernas.


Alhamdulillah, selama sepuluh hari berada di sana, setiap sudut dijelajahi. Berkenalan rakan baru dan juga menerima pelbagai informasi sama ada dari buku-buku yang dipamerkan dan juga dari program yang dianjurkan sama ada berbentuk informasi, perbincangan, diskusi, teater, berpuisi, perasmian produk buku terbaru dan sebagainya. Selain itu, inilah masanya berjumpa dengan rakan penulis yang sudah lama tidak mendengar khabarnya.


Namun seminggu sudah berlalu, fizikal masih lemah. Mungkin akibat dari booth-booth buku yang ditempatkan tiga kawasan yang berlainan. Apatah lagi, program yang selalunya dianjurkan di ruang legar telah berpindah ke seberang sungai. Namanya juga seberang sungai, maka ikut rentak kakilah. Kalau kaki ini ingin melangkah ke sana atas kekuataannya, maka melangkahlah ke sana. Jika tidak hanya mampu melangkah setakat di ruang legar dan juga aras 3. Itupun pada hari terakhir terasa mampu untuk menjejak kaki ke aras 4. Dapatlah mencari tajuk-tajuk buku yang berkenan di hati dan juga buku lama yang dijual dengan harga yang murah. Adalah enam tajuk buku dibelii dengan harga lebih kurang RM60 setelah diskaun 10%. Setiap hari memborong beberapa buah buku..itupun yang ada diskaun. Tetapi pada hari terakhir, ingin mencari buku yang berjaya menarik hati ini tetapi tidak berjaya. Antara faktornya, orang ramai berpusu-pusu menyerbu booth tertentu, dan alasan yang lain pula, kaki ini sudah tidak larat hendak melangkah lebih laju dari sebelumnya. Menyesal tak sudah. Mana lagi hendak mencari buku yang rasanya sukar untuk mendapatnya di kedai buku biasa.



Rasanya sudah tiba masanya pihak penganjur mengubah tempat berlangsungnya pesta buku. apa kata dibuat di sebuah bangunan yang besar yang boleh menempatkan semua penerbit. Ini adalah untuk kesenangan orang ramai bergerak dalam satu tempat. Apa kata, kalau pesta buku diadakan di stadium tertutup seperti di Bukit Jalil atau di Cheras. Lebih adil untuk semua pihak. Tiada pemilik gerai yang mengeluh, bukunya tidak laku disebabkan tersorok di hujung sungai. Kali ini dikhabarkan, ada berlaku kekecohan kerana rasa tidak puas hati pihak tertentu kerana tempat mereka kurang dikunjungi oleh orang ramai. Sama ada orang ramai tidak tahu, atau sudah penat berjalan ataupun sudah habis duit apabila berkunjung di ruang legar sahaja.

1.4.08

Merayakan pesta buku yang setahun sekali

Pejam celik pejam celik, pesta buku kembali lagi. Rasanya baru tahun lalu meraikan pesta buku yang gilang gemilang. Sambutannya masih terasa di ruang mata melihat ribuan pengunjung bertandang ke pesta buku. Sama ada bersendirian, bersama kawan, bersama ibu bapa dan ahli keluarga. Hari-hari sesak adalah pada hujung minggu. Tetapi, pada hari biasa, mereka yang bekerja mengambil peluang berkunjung selepas waktu kerja. Memandangkan, pesta buku ini tidak pernah diadakan pada waktu cuti sekolah, maka berbondong-bondonglah rombongan sekolah dari dalam dan juga luar Kuala Lumpur datang menziarahi pameran buku yang setahun sekali diadakan itu.

Sepatutnya, pesta seperti ini perlu diadakan sekerap mungkin supaya budaya mencintai ilmu sentiasa tersemat di hati orang ramai. Setakat setahun sekali, bagaikan melepas batuk di tangga. Apa kata pihak berkenaan, adakan usaha mengadakan pesta buku antarabangsa ini sekurang-kurangnya dua kali setahun macam juga karnival beli belah. Sekiranya lebih dari itu pun tidak apa. Seperti negara jiran kita, Indonesia yang sering mengadakan pesta buku.

Harap-harap semua penerbit dan penjual buku menawarkan potongan harga yang menarik. Kalau setakat 5 atau 10% , baik pergi beli di kedai-kedai yang berderet di Jalan Tunku Abdul Rahman yang menawarkan potongan sepanjang masa. Bagi penulis seperti aku, masa inilah peluangnya menjenguk buku-buku terbaru di pasaran. Setelah dilihat, mestilah hendak membelinya, tapi kalau buku baru langsung tak ada potongan..rasa-rasanya berat hati hendak beli..tangguhkan dahulu!

Para penulis jangan malaskan diri untuk tidak berkunjung ke pesta buku. Masa inilah untuk kita melihat buku-buku penulis lain. Idea dan maklumat boleh dicambah dan diceduk dari buku-buku yang dipamerkan di pesta buku. Masa itu juga kita berpeluang berkenalan dengan para penerbit yang ada di Malaysia ini.

Dijangkakan, pelbagai acara diadakan seperti tahun lalu. Antara hendak atau tidak sahaja untuk kita menghadirkan diri. Oleh itu, jangan lupa ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC bermula dari 4 April hingga 13 April 2008. Jumpa di sana!!!