25.11.07


Wajah Baru Bahtera Nabi Nuh


Kulit buku ulang cetak buku 'Bahtera Nabi Nuh dan kisah-kisah lain" tidak banyak berubah. Hanya sedikit sahaja yang diubah iaitu di bahagian atas sahaja. Buku ini akan ada di pasaran tidak berapa lama lagi. Sesiapa yang selama ini mencari di kedai-kedai buku tetapi tidak bersua dengan buku itu, insya-Allah bakal teratur di rak buku nanti.



Terima kasih saya ucapkan kepada para pembaca yang sudi membeli dan membaca buku kecil saya itu. Semoga isu buku itu dapat dimanfaatkan oleh kita bersama. Belilah buku itu dan hadiahkan kepada sesiapa sebagai 'halwa' hati dan akal. Sesuai untuk semua peringkat umur sebagai ilmu dan peringatan.

14.11.07


Akhirnya, perjuangan itu berbaloi!



Hari ini saya ke pejabat PTS bagi menghabiskan kerja-kerja sebagai freelance (maksudnya buat kerja secara bebas tanpa terikat, ada kerja ada gaji. Tak ada kerja, gigit jari sambil garuk kepala). Setelah mengharung kesesakan dalam lrt Star dan lrt Putra, dan kemudiannya menaiki bas, akhirnya sampai juga ke pejabat PTS. Sebaik sahaja sampai di pejabat (hari ini terpaksa pergi sendiri, sebabnya suami masih berkursus. Bukan tidak biasa berdikari, tapi mengada-ngada) terasa badan lenguh-lenguh dek berat membawa laptop seberat lima kilo bersama dengan sekaki payung (sediakan payung sebelum hujan). Tapi sebaik jumpa kawan PTS hilang dengan segera lenguh-lenguh sendi bahu dan kaki. Itulah dia terapi emosi namanya bila berjumpa dengan orang yang sudah lama tidak ketemu (maaflah, macam merapu pula).

Dengan perut yang tersangatlah laparnya, mengajak kawan-kawan membeli sama sarapan pagi. Seorang kawan memberitahu, "Sifu datang pagi ini." Saya berbisik dalam hati (tak ada orang yang dengar kecuali Allah) alamak! nanti sifu mesti tanya projek terbaru aku sudah siap atau belum. Tapi, saya buat biasa je. Sudah lama tidak bertemu dengan sifu. Kiranya, hari itu rezeki saya bertemu denganya setelah hampir dua bulan tidak ke pejabat PTS.

Ada berita baik dan juga tidak kurangnya yang tidak baik. Tetapi, orang tua-tua kata, berita baik patut disampaikan dahulu. Alhamdulillah! Dua buku saya akan dilesenkan di Indonesia melalui syarikat penerbitan gergasi iaitu Gramedia. Terima kasih kepada Saudari Firdaus, Editor Pengurusan PTS Islamika yang menyampaikan berita terkini yang menggembirakan. Menurutnya, berita itu sudah lama diketahui tapi tidak berkesempatan menyampaikan kerana sebab-sebab kesibukan yang amat sangat. Juga dengan beberapa tragedi November yang tidak boleh dielakkan. Biarlah antara saya dan dia yang tahu serta Allah SWT. Kiranya, berita yang disampaikan itu, ditambah dengan berita hari Isnin, kiranya kegembiraan berkali ganda!Alhamdulillah! Hilang terus rasa letih tapi selera makan langsung tak ada...asyik minum air saja!

Berita yang tidak baik..lain kalilah saya coretkan. Nanti hilang mood saya yang dalam emosi ceria dan bahagia meskipun suami tiada di sisi. Tapi saya berkongsi gembira melalui telefon dengan suami. Suara cerianya memberikan semangat kepada saya untuk terus ligat menghasilkan manuskrip yang tertangguh! Pasti saya boleh lakukannya!

12.11.07


Alhamdulillah!

Tiada ucapan yang mampu diungkapkan, hanya "Alhamdulillah" apabila satu berita gembira disampaikan oleh seorang rakan. (Terima kasih Puan Nurul). Buku saya, "Bahtera Nabi Nuh dan kisah-kisah lain", dikhabarkan sudah tiada lagi di dalam stor PTS, di Batu Caves. Itulah berita paling gembira dalam minggu ini.

Saya teringat diperingkat awal kelahiran buku pertama dan kedua. Buku saya itu dianggap biasa-biasa dan memang tiada luar biasa. Tapi baru-baru ini, sepupu sebelah suami yang saya jumpa di kampung semasa raya, memuji buku pertama saya. Itulah keseronokan raya saya yang amat bermakna kerana ada orang lain yang begitu ambil berat tentang buku saya. Saudara sendiri pula tu. Alhamdulillah! Tiada apa yang boleh saya katakan. Terubat juga hati yang terluka sedikit masa dahulu akibat pandangan sepi dari seorang kawan seuniversiti dulu. Tak mengapa, luka lama saya sudah sembuh dengan kata-kata perangsang dari orang terdekat.

Berita gembira itu kini saya jadikan sebagai penaik semangat bagi diri ini yang semakin kurang rangsangan untuk meneruskan penulisan dan menghabiskan sisa-sisa tulisan yang tertangguh sekian lama. Maklumlah saya juga manusia biasa. Insan biasa yang ada kalanya pasang dan surut dari segi stamina dan emosi. Tidak mahu mengharapkan orang lain yang merangsang semangat saya, sekadar cukuplah dengan mengadu kepada Allah dan juga suami tercinta. Suami yang tidak putus-putus memberi kata perangsang. Kejayaan saya adalah atas sokongan beliau. Terima kasih suamiku yang kini sedang sibuk berkursus.

Kini, saya berusaha untuk menghabiskan kerja-kerja tertangguh. Insya Allah hujung minggu ini niat hati hendak menghadiri sebuah seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Sudah lama tidak ke program atau seminar sejak meninggalkan dunia kewartawanan. Rindu pula rasanya untuk mendengar, mencatat dan meneliti kertas kerja yang bakal dianjurkan itu. Jangan saya terlelap sudah. Maklumlah usia semakin meningkat dan tahap tepu duduk lama kini ada hadnya. Saya perlu sentiasa menambah pengalaman dan ilmu yang perlu diperbaharui selalu.

Sebagai penulis seperti saya yang bukan sahaja tumpukan kepada penulisan fiksyen dan non fiksyen, perlu mengisi ilmu sepanjang masa. Itulah syarat utama dalam penulisan. Kalau harapkan otak ini berfikir tanpa isi, susah juga. Tapi tidak tahulah kalau orang lain, tapi bagi saya semakin kerap kita ceduk ilmu dari orang lain, semakin terasa diri ini memang serba kekurangan. Manakala pengalaman pula perlu dicari. Bukannya pengalaman itu datang dengan sendiri. Pengalaman hidup mengajar kita akan erti kehidupan di dunia ini. Insya Allah, sekiranya tiada halangan, saya akan siarkan sedikit mengenai seminar itu nanti.

1.11.07

Alahai Rumah Terbuka!

Hampir seminggu tidak menulis dalam blog. Terasa macam ada yang tidak kena dengan semangat dalam diri ini. Mungkin penangan raya yang masih menghambat diri ini untuk terus bermalasan menulis di sini. Dalam fikiran, banyak perkara yang hendak ditulis meluahkan rasa hati yang sememangnya tidak pernah berpuas hati.

Menyentuh tentang raya, ada seorang rakan bertanya, "Tak buat rumah terbukakah?" Seorang saudara yang lain pula bertanya, "Bila nak buat rumah terbuka?" Tanya pula adik sendiri, "Kak Idah tak buat rumah terbukakah? Selalu rajin buat?"

Bila memikirkan pertanyaaan sebegitu yang sering bermain di bibir orang-orang bandar (yang tinggal di bandarlah, tapi di kampung aku tidak tahu), semacam "rumah terbuka" itu satu budaya yang mesti diadakan pada bulan Syawal. Apakah, sekiranya tidak ada rumah terbuka, maka kita tidak boleh datang ke rumah seseorang itu dan beraya? Adakah mengadakan "rumah terbuka" sesuatu yang mesti atau wajib? Adakah kita perlu datang ke rumah seseorang itu hanya bila ada "rumah terbuka"?

Budaya ciptaan orang-orang bandar ini baru sahaja wujud sekitar tahun 90-an (kalau tidak silaplah. Tidak ada catatan sejarah yang tepat tentang budaya rumah terbuka ini). Semacam wajib mengadakannya. Ada yang mendakwa, buat rumah terbuka ini adalah memudahkan untuk kawan-kawan dan sanak saudara datang sekali gus. Itu alasan biasa. Kita lihata pro dan kontra budaya rumah terbuka ini.

Alasan Pro (Baiklah):


1. Sekali gus menjemput orang.

2. Menjimatkan masa (Hanya dibuat pada hujung minggu).

3. Melayan tetamu pun sekali gus (tidak perlu layan pada hari-hari lain).

4. Tidak ada masa (mungkin hujung minggu tiada di rumah..selalu je balik kampung atau bekerja) jadi memilih tarikh dan masa yang sesuai untuk orang lain beraya di rumahnya.

Kalau ada tambahan sila tambah......

Alasan Kontra ( Tidak berapa baik)

1. Kalau ada duit banyak tidak mengapa. Tapi kalau duit gaji pun tinggal sen-sen di hujung Syawal mana pula hendak dibuat belanja?

2. Menu yang disediakan mesti macam-macam dan dalam kuantiti yang banyak. Kena sewa khemah dan kerusi, kena masak periuk besar dan lain-lain. Kalau mampu upah je katering tapi yang tidak mampu terpaksa masak sendiri.

3. Bila sudah kena masak sendiri, tukang masaknya tentulah si wanita (isteri, adik.....kakak, emak....). Bila sudah masak banyak, tentulah penat. Apatah lagi yang datang berduyun-duyun serentak, makanan pula tak cukup (sebab orang datang niat mereka nak makan je, bukannnya beraya) dan kalau tak sedia pula, jadi bahan umpatan orang.

4. Adakalanya, rumah terbuka ini macam buat kenduri pula. Sama ada ala-ala kenduri arwah ataupun kenduri kahwin. Bila hendak jemput orang, mesti dipilih-pilih. Siap senarai dan memilih orang-orang tertentu. Sehinggakan jiran sebelah atau dua belah tidak dijemput kerana tidak ada dalam senarai. Apakah konsep ini betul? Alasannya, jemput kawan sepejabat je! Jiran sebelah melongo dan hanya mampu hidu bau makanan yang semerbak.

5. Bila sudah ramai yang datang secara serentak, sudah jadi macam orang kahwin pula. Tuan tanah tidak sempat hendak bermesra atau beramah mesra dengan tetamu. Apatah lagi hendak bertanya khabar, bercerita tentang diri, keluarga atau apa-apa saja. Dialog biasa dikeluarkan, "Jemput makan! Layan diri ye!" Tetamu datang hanya makan dan kadang-kadang balik tidak sempat jumpa tuan rumah kerana sibuk menyiapkan hidangan dan menjemput orang makan. Apakah raya itu hanya makan-makan je? Entahlah!

6. Tetamu datang hanya lima atau paling lama 15 minit. Mereka datang tunjuk muka, makan dan balik. Sebabnya hendak bekejar ke rumah terbuka yang kali keberapa.

7. Bila tetamu terlalu ramai, sudah panik hendak layan. Ataupun tidak terlayan. Tuan rumah kepenatan dan mungkin hampir pitam. Badan sakit, pinggang hampir bengkok kerana menyiapkan juadah yang sentiasa habis. Bila badan letih, muka tidak mesra, mulut malas hendak berkata, bersalam pun ala kadar je...alahai tercapaikah konsep rumah terbuka?

Sekadar pandangan....terpulanglah kalau hendak buat rumah terbuka. Tapi pintu rumah aku sentiasa terbuka bila perlu saja (kalau asyik terbuka, lain pula yang masuknya). Kalau hendak datang beraya, datanglah.Tapi telefon dahulu, dibuatnya aku tiada di rumah kan penat saja! Makanlah apa yang ada dalam rumah aku. Kalau sempat aku masak sedap-sedap, kalau tidak makan biskut kering je. Janji, niat kita hendak menziarahi sanak saudara dan rakan taulan di bulan yang mulia.